Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Jumaat, 11 Julai 2025

Lelaki Korea dipenjara tiga bulan angkara tinggal lebih masa di Malaysia

Lelaki Korea dipenjara tiga bulan angkara tinggal lebih masa di Malaysia


Seorang pekerja pembinaan warga Korea Selatan dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di George Town, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini.


Tertuduh, Jeon Eunjin, 55, mengaku bersalah atas pertuduhan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret, Nadratun Naim Mohd. Saidi.


Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 30 Jun 2025, pada pukul 12.30 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, telah didapati tinggal di Malaysia setelah tamat tempoh pas lawatan sosial yang sah laku sehingga 10 Februari 2025 iaitu selama 90 hari tanpa sebab yang munasabah.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin.


Ketika prosiding, Ahmad Danial berkata, pihaknya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh berdasarkan kesalahan yang telah dibuat iaitu tinggal melebihi had masa di negara ini.


Peguam YBGK, Nur Adilla yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah agar mempertimbang hukuman yang ringan kepada anak guamnya memandangkan ia adalah kesalahan pertama kali yang dilakukan olehnya.


"Anak guam saya sudah berkahwin, mempunyai dua orang anak dan dia telah mengakui kesalahan serta menjimatkan masa mahkamah," katanya.


Majistret kemudian memerintahkan agar tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan dari tarikh tangkap dan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah.


Dalam kes berasingan, tertuduh juga dikenakan denda RM2,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan selepas dia mengaku bersalah membuat laporan polis palsu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja membuat satu laporan palsu dengan niat bagi pihak polis menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang untuk membuka kertas siasatan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, pada pukul 12.45 tengah hari, 28 Jun lalu.


Jeon Eunjin (kemeja-T biru) ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, hari ini. - Foto Kosmo Online.

Khamis, 10 Julai 2025

Anggota JPJ pandu secara berbahaya potong 'double line' digantung tugas

Anggota JPJ pandu secara berbahaya potong 'double line' digantung tugas


Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membawa kenderaan pasukan secara berbahaya ketika melalui jalan Simpang Pulai, Perak dikenakan tindakan gantung tugas.


Kejadian itu dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam sebelum dimuat naik dan tular di media sosial, sejak semalam.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, anggota itu ditempatkan ke jawatan kumpulan di ibu pejabat sehingga siasatan kes tersebut selesai.


"Notis saman kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar juga dikeluarkan selain dilarang memandu kenderaan jabatan.


"Pihak JPJ memandang serius kejadian itu dan tindakan tegas secara serta-merta dikeluarkan kepada anggota JPJ terlibat," katanya dalam kenyataan, semalam.


Menurut Aedy Fadly, pihaknya juga mengambil langkah susulan dengan melaksanakan siasatan berkaitan kesalahan lain melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan lanjut.


Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan jabatan ini yang melakukan kesalahan lalu lintas.


"Pihak JPJ merakam setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada orang awam yang merakam kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.


"JPJ menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus jika terdapat mana-mana pengguna yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dengan menerusi aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel berserta butiran lengkap," ujarnya.


Terdahulu tular di media sosial sebuah video yang merakam kenderaan JPJ memotong garisan berkembar.


Kejadian yang dirakam pada pukul 10.18 pagi itu memaparkan pemandu dari arah bertentangan sempat mengelak daripada terlanggar kenderaan JPJ tersebut.


Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka memaparkan kenderaan JPJ sedang memotong garisan berkembar. 

Selasa, 8 Julai 2025

Polis 'buru' kumpulan pengayuh basikal halang laluan bas

Polis 'buru' kumpulan pengayuh basikal halang laluan bas


Polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur menghala Sungai Buloh selepas lampu isyarat Batu Arang, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.35 pagi (Ahad).


"Siasatan awal mendapati mereka mengayuh basikal secara berkumpulan di lorong kiri jalan berkenaan yang kemudian dipercayai menghalang pergerakan sebuah bas yang turut berada di situ.


"Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan dalam kejadian itu," katanya hari ini.


Jelasnya, kes disiasat mengikut Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing.


Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor atau mana-mana balai polis berhampiran.


"Polis juga menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan menghormati keselesaan pengguna lain," katanya.


Terdahulu, media tempatan melaporkan Rapid Bus sedang menjalankan siasatan berhubung insiden membabitkan bas perantara Aliran Transit Massa (MRT) dan sekumpulan penunggang basikal yang tular di media sosial itu.


Kejadian berlaku selepas pemandu bas terpaksa memberhentikan kenderaan akibat halangan daripada sekumpulan penunggang basikal yang mengayuh secara berkumpulan di hadapannya.


Namun, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan itu menenangkan keadaan.


Tangkap layar video kejadian tular itu.

Ahad, 6 Julai 2025

Anggota bomba selamatkan dua wanita sesat, tak jumpa jalan keluar ketika daki Bukit Broga

Anggota bomba selamatkan dua wanita sesat, tak jumpa jalan keluar ketika daki Bukit Broga


Dua wanita berdepan detik cemas apabila tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Broga, Semenyih pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.52 pagi itu, kedua-dua mangsa yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an dilaporkan gagal mencari jalan keluar selepas dipercayai tersasar dari trek asal.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih digerakkan ke lokasi.


"Seramai lima anggota termasuk seorang pegawai dengan kekuatan satu jentera dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.02 pagi.


"Setibanya di lokasi, komander operasi dimaklumkan terdapat dua wanita yang tersesat dari laluan asal pendakian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ahmad Mukhlis, operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan berdasarkan maklumat awal yang diterima.


"Anggota bomba melakukan pendakian dan pencarian di sekitar kawasan yang dipercayai menjadi lokasi terakhir mangsa dilihat.


"Tidak lama selepas itu, kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Mangsa kemudiannya dibawa turun ke kaki bukit dengan dibantu anggota bomba bertugas.


Bomba menyelamatkan dua wanita yang tersesat ketika mendaki Bukit Broga selepas tersasar dari landasan pendakian pagi ini. - Foto BOMBA.

Ahad, 29 Jun 2025

Jalan sesak punya pasal, pemandu mengamuk ketuk kenderaan guna kayu

Jalan sesak punya pasal, pemandu mengamuk ketuk kenderaan guna kayu


Seorang pemandu di Wisconsin, Amerika Syarikat mengamuk sebelum merosakkan kenderaan lain ketika kesesakan lalu lintas, lapor akhbar New York Post pada 28 Jun 2025.


Dalam satu rakaman video, lelaki dikenali sebagai Mike Chaltry, keluar dari keretanya dalam keadaan marah sebelum memecahkan tingkap sebuah kenderaan Nissan berwarna putih menggunakan kayu. Ia berlaku di pusat bandar Milwaukee, Selasa lepas.


Dalam suasana kecoh itu, pemandu Nissan dengan pantas memecut laju ke hadapan dan hampir melanggar Chaltry.


Chaltry tidak berdiam diri, sebaliknya dia mengejar kenderaan itu dan sempat mengetuk badan kereta itu beberapa kali sebelum pergelutan berakhir tanpa penyelesaian.


"Bukan saya yang mulakan dulu, lelaki itu memandu macam orang hilang akal," katanya.


Menurut Chaltry, insiden tegang itu tercetus apabila pemandu Nissan berkenaan memandu dengan melulu dengan cuba memotongnya di lebuh raya sehingga kedua-dua kenderaan itu hampir berlanggar.


Polis menahan pemandu Nissan atas kesalahan memandu tanpa mempunyai insurans kereta.


Selain itu, Chaltry turut berdepan dakwaan berkelakuan tidak senonoh dan menyebabkan kerosakan harta benda. - Sumber New York Post.


Seorang lelaki menyerang sebuah kenderaan jenis Nissan dengan kayu. - Foto Facebook.

Jumaat, 27 Jun 2025

Berang telur separuh masak tak campur dalam mi, Pesuruhjaya Polis digugur jawatan

Berang telur separuh masak tak campur dalam mi, Pesuruhjaya Polis digugur jawatan


Seorang Pesuruhjaya Polis di wilayah Sulawesi Tengah digugurkan daripada jawatannya selepas satu kontroversi yang menyaksikan dia melempar telur mata separuh masak ke muka pelayan restoran, lapor laman berita Info Tren pada 25 Jun 2025.


Pesuruhjaya Kanan Polis Richard B. Pakpahan secara rasmi digugurkan daripada jawatannya sebagai Direktorat Khidmat Masyarakat Polis Wilayah Sulawesi Tengah susulan kes tular tersebut.


Dalam kejadian pada 14 Jun lalu, seorang remaja dikenali sebagai CV, 17, dilempar dengan telur mata separuh masak pada muka di sebuah premis perniagaan di Bandar Palu.


Richard bertindak demikian selepas hidangan mi kuah yang dipesannya tidak dibuat mengikut kehendaknya.


Dia dikatakan meminta agar telur dicampur ke dalam mi kuah, namun pelayan membawa telur yang diasingkan, lapor laman berita Tribunnews.


Ia membuatkan Richard berang, lalu melempar telur ke muka CV serta memukul mangsa.


Justeru, berdasarkan Surat Telegram Ketua Polis Nombor: ST/1442/VI/KEP/2025 bertarikh 24 Jun 2025, Richard dipindahkan menjadi perwira menengah di Polis Wilayah Sulawesi Tengah tanpa jabatan struktural.


Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Tengah, Pesuruhjaya Kanan Djoko Wienartono menjelaskan, tindakan memindahkan Richard ke jawatan bukan struktur dianggap sebagai usaha mengekalkan profesionalisme dan menyahut tuntutan awam.


"Ini menunjukkan komitmen Polis Republik Indonesia terhadap akauntabiliti dan integriti pegawai di lapangan," katanya. - Sumber InfoTren.


Pesuruhjaya Polis (KBP) Richard B. Pakpahan secara rasmi digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengarah Polis Daerah Sulawesi Tengah (Sulteng) susulan viral kes serangan terhadap pelajar yang dikenali sebagai CV berusia 17 tahun. - Foto InfoTren.

Khamis, 26 Jun 2025

Penghuni rumah terkejut, kereta 'berdiri' terpacak atas bumbung

Penghuni rumah terkejut, kereta 'berdiri' terpacak atas bumbung


Penghuni sebuah rumah di Kota Balikpapan, wilayah Kalimantan Timur terkejut apabila sebuah kereta menghentam bumbung kediaman itu selepas pemandunya hilang kawalan ketika menuruni bukit, lapor laman berita iNews pada 25 Jun 2025.


Dalam kejadian petang Selasa (24/6/2025), pemilik rumah yang dikenali sebagai Rio berkata, dia sedang berehat di dalam rumah apabila terdengar bunyi dentuman kuat.


"Saya sangkakan pokok tumbang. Selepas keluar dari rumah, rupa-rupanya sebuah kereta terpacak di atas bumbung rumah saya," katanya.



Gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kenderaan berwarna kuning itu terperosok di atas bumbung rumah dalam keadaan terpacak.


Ketua Rukun Tetangga, Joko, 64, berkata, kereta itu datang dari arah gereja dan sedang menuruni bukit dengan laju ketika kemalangan berlaku.


"Terdapat tiga penumpang di dalamnya dan semuanya selamat termasuk penghuni rumah," katanya.


Petugas kecemasan menggunakan jentera berat dan tali untuk menurunkan kereta, manakala kerja-kerja itu berlangsung selama beberapa jam sehingga malam. - Sumber iNews.


Pemandu kereta hilang kawalan ketika menuruni bukit. - Foto Istimewa.