Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Sabtu, 26 Mac 2022

Cari pasal pakai 6 cincin, lelaki terpaksa menahan seksa selepas jari tangannya membengkak

Cari pasal pakai 6 cincin, lelaki terpaksa menahan seksa selepas jari tangannya membengkak


Tindakan seorang lelaki memakai enam cincin pada dua jari tangan kanannya mengundang padah, apabila terpaksa menahan seksa selepas jarinya membengkak menyebabkan cincin tersebut tersekat.


Mangsa dibawa ke Hospital Taiping selepas semua enam cincin terbabit tidak dapat ditanggalkan, sebelum bantuan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diminta.


Jurucakap JBPM Perak dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Taiping pada 11.46 malam untuk khidmat khas memotong cincin yang tersekat pada jari lelaki terbabit.


Menurut kenyataan itu, bomba mengambil masa hampir sejam memotong kesemua cincin berkenaan menggunakan peralatan khas.


"Anggota kami yang tiba mengambil masa hampir sejam untuk memotong semua cincin itu menggunakan peralatan khas. Tiga daripada cincin itu dipakai mangsa pada jari hantu, manakala tiga lagi pada jari manis.


"Semua enam cincin berjaya dipotong dengan operasi tamat jam 12.46 tengah malam," katanya dalam kenyataan, semalam.


Keadaan jari tangan mangsa yang bengkak disebabkan enam cicnicn dipakai tersangkut. - Foto JBPM Perak.
Suami terkorban akibat melecur teruk demi selamatkan isteri daripada kebakaran

Suami terkorban akibat melecur teruk demi selamatkan isteri daripada kebakaran


Pengorbanan seorang suami yang cuba melindungi isterinya ketika terperangkap dalam satu kebakaran pada 13 Mac lalu, meruntun hati apabila lelaki itu akhirnya meninggal dunia, lapor laman berita Mothership pada 25 Mac 2022.


Insiden di Nanjing dalam wilayah Jiangsu, China itu menyaksikan si suami nekad memegang lengan isteri yang tergantung di luar balkoni rumah mereka, di tingkat tiga blok kediaman sambil menahan bahang kebakaran yang menyambar dari dalam.


Wanita itu tidak dapat keluar dari bilik tidur apabila kebakaran berlaku dan dan cuba memanjat turun dari balkoni. Suaminya yang menyedari kejadian itu terus memaut lengan isterinya ketika wanita itu tergantung di luar balkoni.


"Kelihatan si suami pegang erat lengan isterinya di atas balkoni. Pasangan itu sedang menunggu anggota bomba tiba. Asap tebal kelihatan berkepul-kepul dari unit itu," kata seorang saksi.


Mangsa, Chen Chaochan dan isterinya, Wang Xueyu berjaya dibawa turun oleh anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas itu.


Bagaimanapaun, kebakaran itu menyebabkan saluran pernafasan lelaki itu rosak serta mengalami kesan lecur sehingga 98 peratus. Dia disahkan meninggal dunia pada 22 Mac selepas sembilan hari dirawat di hospital.


Isterinya mengalami kesan lecur sebanyak 96 peratus, namun berjaya diselamatkan menerusi pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil. Keluarga Xueyu masih belum memaklumkan kepada wanita itu mengenai kematian suaminya dan mahu menunggu sehingga keadaannya lebih baik.


Menurut saksi, pasangan ini telah berkahwin lebih sedekad dan mempunyai tiga anak yang dibesarkan di kampung oleh ibu bapa Chaochan. Mereka menyewa bilik di flat tersebut namun hanya kediaman pasangan itu yang terbakar dalam nahas tersebut.


Keluarga mangsa berjaya mengumpul AS$157,000 (RM662,147) melalui platform dana khalayak atau crowdfunding, Shuidichou untuk membantu menampung bil perubatan mereka.


Antara gambar yang sempat dirakam saksi ketika kejadian. - Foto Mothership.

Selasa, 15 Mac 2022

Wanita tidak tahu dirinya hamil, pergi ke hospital mengalami kekejangan perut pulang bawa bayi

Wanita tidak tahu dirinya hamil, pergi ke hospital mengalami kekejangan perut pulang bawa bayi


Pelik tapi benar, seorang wanita muda dari Missouri, Amerika Syarikat (AS) yang tidak tahu dirinya hamil hingga pergi ke hospital kerana mengalami kekejangan perut sebelum pulang ke rumah selepas melahirkan bayi.


Menurut laporan Metro UK pada 4 Mac 2022, Abby Vollet yang kini berusia 22 tahun, melahirkan bayi perempuan Khalani, 11 bulan, pada 30 Mac 2021 lalu melalui pembedahan ketika usia kandungan 35 minggu.


Pada mulanya, dia yang merupakan pelajar sepenuh masa pada masa itu dan pekerja jagaan harian pergi ke hospital dengan kekejangan perut yang teruk, kemudian mengetahui bahawa dirinya hamil.


Pakar perubatan terpaksa melakukan pembedahan kecemasan dan dalam tempoh 20 minit, Abby melahirkan anak perempuannya, Khalani. Dia sebelum itu langsung tidak mengetahui bahawa dia hamil.


"Saya tidak tahu bahawa saya hamil. Saya tidak mengalami sebarang gejala dan berat badan saya tidak bertambah. Tiada siapa menyangka jadi begini. Kesakitan bermula dengan sedikit kekejangan perut.


"Kesakitan bertambah teruk sepanjang hari hingga saya tidak boleh bergerak, jadi ibu saya Cindy, yang berusia 54 tahun, membawa saya ke hospital.


"Saya menjalani ujian imbasan ultrabuny dan doktor memberitahu saya hamil. Saya ingat lagi yang saya beritahu doktor bahawa ia tidak benar. Saya sangat terkejut," katanya.


Pada mulanya doktor menganggarkan bahawa Abby hamil kira-kira 20 minggu, tetapi mengesahkan usia kandungan antara 35 hingga 37 minggu selepas pembedahan.


"Pada mulanya saya berasa sangat malu kerana saya akan menjadi ibu muda dan tunggal. Saya juga enggan melihat bayi saya untuk beberapa hari pertama," katanya.


Apabila Abby memberitahu rakan-rakannya apa yang berlaku, mereka menyangka dia bergurau kerana dia berkongsi kisah itu menjelang April Fool's Day. Menurut Abby, tiada siapa percaya ia boleh berlaku kerana berat badannya tidak bertambah.


"Doktor berpendapat kandungan saya pasti berada di kawasan belakang tulang rusuk kerana tiada benjolan dan saya tidak pernah berasa sebarang tendangan.


"Saya juga mendapat haid seperti biasa dan saya selesa memakai semua pakaian sederhana saiz saya sepanjang proses kehamilan," katanya.


Abby Vollet bersama bayinya. - Foto Agensi.

Rabu, 9 Mac 2022

Conor McGregor mengemukakan tawaran RM8.4 bilion untuk membeli Chelsea

Conor McGregor mengemukakan tawaran RM8.4 bilion untuk membeli Chelsea


Bintang tempur UFC, Conor McGregor telah menyatakan minatnya untuk membeli Chelsea, dan membuat tawaran bernilai 1.5 bilion pound (RM8.4 bilion) untuk memiliki kelab itu.


Jaguh Ireland berusia 33 tahun itu, sebelum ini menyatakan hasrat untuk membeli pasukan Chelsea daripada Roman Abramovich juga menerusi Twitter.


"Saya dengan ini membuat tawaran 1.5 bilion pound," tulis Conor McGregor melalui akaun Twitter peribadinya, pada Sabtu, 5 Mac 2022 lalu.


Jutawan Rusia yang juga pemilik Chelsea, Abramovich mengesahkan dia mahu menjual juara Eropah itu dengan tawaran 3 bilion pound (RM16.8 bilion).


Abramovich bersedia melepaskan kelab yang telah dibeli sejak 2003 dalam masa terdekat sekiranya mendapat permintaan terbaik, kerana berdepan ancaman dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.


Katanya, kelab tersebut akan dijual dan menghapuskan hutang Chelsea sebanyak 1.5 bilion pound (RM8.4 bilion). Hasil jualan prospektif itu akan disumbangkan kepada mangsa perang di Ukraine.


Portal Mail Online, sebelum ini turut melaporkan Abramovich telah mengesahkan beliau dalam proses menjual Chelsea.


Roman Abramovich.

Sabtu, 5 Mac 2022

Lelaki gembira kahwini pasangan kembar tiga serentak

Lelaki gembira kahwini pasangan kembar tiga serentak


Seorang lelaki di Republik Demokratik Congo bertindak mengahwini pasangan adik-beradik kembar tiga secara serentak selepas mengakui jatuh cinta kepada mereka, lapor akhbar Daily Star pada 3 Mac 2022.


Menurut Luwizo, 32, dia membuat keputusan sukar itu selepas 'dilamar' oleh ketiga-tiga wanita berkenaan untuk mengahwini mereka pada hari yang sama.


"Saya menuruti permintaan itu kerana mereka merupakan kembar tiga. Ia bukan satu keputusan yang mudah kerana sehingga sekarang, ibu bapa saya masih tidak memahami apa yang saya lakukan ini," katanya.


Tambah Luwizo, dia pada mulanya telah jatuh cinta dengan salah seorang daripada kembar seiras tersebut, Natalie selepas berkenalan di media sosial.


"Saya tidak dapat menolak kecantikannya. Kami bertemu, berpelukan dan akhirnya membuat keputusan untuk berkahwin," katanya ketika bercakap dengan Afrimax English pada hari perkahwinannya.



Sementara itu, menurut salah seorang daripada kembar bernama Natasha, Natalie dan Nadege itu, Luwizo terkejut apabila diminta mengahwini ketiga-tiga mereka selepas menjalinkan hubungan cinta dengan Natalie.


"Namun, disebabkan dia telah jatuh cinta kepada kami bertiga, tiada yang mampu menghalang perkahwinan ini kerana kami juga mencintainya.


"Walaupun orang menganggap mustahil untuk tiga wanita berkongsi seorang suami, bagi kami, berkongsi segala-galanya adalah kehidupan kami sejak kecil," katanya.


Mereka berempat telah berkahwin pada Isnin (28 Februari) dengan ketiga-tiga beradik perempuan itu semuanya memakai pakaian putih tradisional, dan menerima cincin emas yang agak besar. - Sumber Daily Star.


Kembar tiga ini menegaskan mereka gembira untuk berkongsi seorang lelaki. - Foto Newsflash.

Sabtu, 26 Februari 2022

200 burung tiung jatuh secara misteri dari langit di England gemparkan penduduk

200 burung tiung jatuh secara misteri dari langit di England gemparkan penduduk


Pencinta hidupan liar terkejut selepas mendapati 200 burung jatuh secara misteri dari langit di sebuah perkampungan tepi laut di Waterston dan Hazelbeach, Pembrokeshire, lapor Daily Mail pada 11 Februari 2022.


Pemandu kenderaan yang trauma melihat kejadian itu memaklumkan mereka seperti menonton adegan 'filem seram' apabila lambakan burung jatuh ke tanah tanpa sebab yang jelas.


Saksi berkata, spesies burung tiung itu mengalami kecederaan dan jatuh bertaburan di kawasan pagar dan tanah.


Pihak majlis perbandaran mengesahkan sebanyak 200 burung tiung mati dan pihaknya terpaksa membersihkan bangkai burung yang berlumuran darah itu.


Setakat ini, belum ada maklumat sebenar mengenai punca sebenar kematian haiwan itu. Pakar Burung, Dominic Couzens, 59, memberitahu MailOnline berkata, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat dan sangat pelik.


"Bunyi itu sangat ganjil dan sukar dijelaskan. Sesuatu yang tidak dijangka membuatkan semua burung berkenaan keliru dan jatuh secara tiba-tiba.


"Terdapat juga beberapa burung yang mati di kawasan jalan dan darah memercik di merata tempat," katanya.


Seorang lagi saksi, Claire Eaton, berkata dia melihat burung itu jatuh dari langit pada malam Khamis dan telah membawa seekor yang cedera ke rumah untuk menjaganya.


"Ia benar-benar traumatik, di jalan raya terdapat beberapa burung mati. Darah memercik ke mana-mana. Saya melihat kilat di langit kira-kira sejam sebelum ini.


"Ia seperti sesuatu daripada filem seram. Saya fikir punca ini adalah buatan manusia, dan orang ramai perlu menghormati hidupan liar," katanya.


Mccaffrey yang bekerja di Waterston, turut memberitahu bahawa beberapa burung jatuh dari langit ke keretanya sebaik sahaja dia mendengar bunyi dentuman besar 'jenis elektrik'.


"Ketika perjalanan pulang dari tempat kerja malam tadi, saya mendengar beberapa kali bunyi dentuman dan kemudian puluhan burung jatuh di atas kereta saya.


"Saya fikir ia adalah 'bahan' yang digunakan petani menakutkan burung gagak. Walau bagaimanapun dentuman ini lebih seperti dentuman elektrik - tidak sekuat kilat tetapi serupa," jelasnya.


Sebanyak 200 bangkai burung tiung bertaburan di sebuah perkampungan tepi laut di Waterston dan Hazelbeach, Pembrokeshire.

Khamis, 17 Februari 2022

Berlian biru paling besar, dilelong pada harga lebih RM200 juta

Berlian biru paling besar, dilelong pada harga lebih RM200 juta


Firma lelongan Sotheby's mengumumkan pada Rabu bahawa ia akan melelong sebutir berlian biru paling besar dan amat berharga di Hong Kong pada April depan, lapor Daily Mail pada 16 Februari 2022.


Belian biru seberat 15.10 karat itu dikenali sebagai De Beers Cullinan Blue Diamond, ditemui di Lombong Culinan, Afrika Selatan pada April 2021, yang juga antara beberapa lombong di dunia di mana berlian biru boleh ditemui.


Naib Presiden Kanan Sotheby's merangkap Pengarah Jualan Barangan Kemas, Frank Everett, berkata berlian itu amat luar biasa dalam pelbagai aspek. Ia akan ditawarkan pada lelongan di Sotheby's Hong Kong pada harga lebih AS$48 juta (RM200 juta).


"Ia dipotong tanpa mengalami sebarang kecacatan yang terbesar bagi berlian biru dan pernah digredkan oleh Institut Gemologi Amerika (GIA).


"Saya yakin ia akan mendapat sambutan menggalakkan pada acara lelongan nanti kerana pasaran kini amat kukuh bagi barangan kemas dalam tempoh beberapa tahun.


"Antara sektor paling kuat ialah permintaan bagi berlian berwarna dan antara yang paling diminati ialah warna biru," katanya.


Jualan itu menandakan buat kali pertamanya berlian biru lebih daripada 15 karat yang pernah dilelong. Ia lebih besar daripada Oppenheimer Blue seberat 14.62 karat yang dilelong pada harga AS$57.5 juta (RM240.48 juta) pada Mei 2016.


Sebutir berlian biru terbesar akan dilelong di Hong Kong pada April depan. - Foto AFP.