Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Isnin, 14 Februari 2022

Pengawal keselamatan rosakkan lukisan RM4.19 juta, lukis 'mata' kerana bosan hari pertama kerja

Pengawal keselamatan rosakkan lukisan RM4.19 juta, lukis 'mata' kerana bosan hari pertama kerja


Sebuah lukisan bernilai £740,000 (kira-kira RM4.2 juta) rosak selepas seorang pengawal keselamatan bertindak melukis 'mata' pada wajah hasil seni itu yang dipamerkan di sebuah galeri di Rusia, lapor Daily Mail pada 11 Februari 2022.


Pengawal keselamatan itu didapati melakar bahagian mata pada dua figura tanpa wajah dalam lukisan bertajuk Three Figures yang dihasilkan oleh artis Anna Leporskaya.


Dia merosakkan lukisan tersebut dengan menggunakan pen, pada hari pertama bekerja di pameran seni abstrak diadakan di Pusat Galeri Yeltsin di bandar Yekaterinburg, barat Rusia.


Pusat Galeri Yeltsin memaklumkan lukisan itu dicemari oleh seorang warga emas berusia 60 tahun yang bekerja di syarikat keselamatan swasta.


Lapor Art Newspaper, dua pengunjung yang menghadiri pameran seni itu pada 7 Disember 2021 lalu, telah mengesan butiran tambahan pada dua figura yang terdapat dalam lukisan tahun 1930an itu.



"Lukisan yang dipinjam dari Galeri Tretyakov di Moscow dirosakkan oleh pengawal keselamatan selepas dikatakan bosan hari pertama bekerja. Sejak insiden itu, dia sudah dipecat," jelasnya.


Pihak polis telah membuka kertas siasatan untuk perbuatan vandalisme tersebut dan jika sabit kesalahan, suspek berdepan denda sebanyak £395 (RM2,240) serta penjara selama setahun.


Lukisan tersebut dihantar ke galeri Moscow keesokan harinya dan diperiksa oleh artis pemulih karya seni. Seorang pakar di galeri Tretyakov menyatakan kesan conteng tersebut boleh dipadamkan tanpa sebarang kerosakan jangka panjang pada lukisan berkenaan.


Lukisan tersebut berjaya dipulihkan, namun kos pemulihan dianggar berjumlah £2,470 (RM14,000) yang ditanggung syarikat keselamatan terlibat.


Leporskaya merupakan seorang pelukis yang merupakan pelajar artis tersohor Rusia, Kazimir Malevich. Beliau dilahirkan pada tahun 1900 dan meninggal dunia pada tahun 1982.


Lukisan Three Figures yang dirosakkan oleh seorang pengawal keselamatan. - Foto NEWSFLASH.

Jumaat, 11 Februari 2022

Ular Sawa Memuntahkan Dua Ekor Ayam Selepas Ditangkap

Ular Sawa Memuntahkan Dua Ekor Ayam Selepas Ditangkap


Seekor ular sawa yang kekenyangan selepas menelan dua ekor ayam ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Penjara Satelit di Kem Bukit Besar, Kulim, Semalam.


Pegawai APM Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai ular sawa sepanjang tiga meter dan berat 10 kilogram itu kira-kira pukul 8 pagi.


Katanya, pekerja di penjara tersebut memaklumkan mereka terdengar bunyi bising ayam yang berada di dalam reban yang terletak di belakang rumah kakitangan.


Menurutnya, pekerja berusia 42 tahun itu kemudian mendapati seekor ular sawa berada di dalam reban ayam tersebut.


"Pengadu bertindak menghubungi pihak APM untuk mendapatkan bantuan dan lima anggota APM tiba di lokasi kemudian mengesan ular terbabit yang masih berada di dalam reban.


"Anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular itu yang bersembunyi di dalam reban ayam terbabit," katanya.


Mohd. Faizol berkata, selepas ditangkap ular sawa terbabit memuntahkan dua ekor ayam yang ditelan itu.


"Ular sawa itu kemudian dibawa balik ke Pejabat APM Daerah Kulim sebelum dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan lanjut," jelasnya.


Dua anggota APM menunjukkan seekor ular sawa yang ditangkap di Penjara Satelit di Kem Bukit Besar, Kulim hari ini. - Foto Utusan Online.

Rabu, 9 Februari 2022

Derita Buaya Tersekat Tayar Motosikal Di Lehernya Selama 6 Tahun Akhirnya Berakhir

Derita Buaya Tersekat Tayar Motosikal Di Lehernya Selama 6 Tahun Akhirnya Berakhir


Usaha pihak berkuasa dan penduduk setempat untuk mengeluarkan tayar motosikal yang tersangkut pada seekor buaya di Palu, Sulawesi Tengah akhirnya berjaya, lapor Newsweek pada 8 Februari 2022.


Kumpulan kebajikan haiwan di Indonesia telah cuba memancing buaya itu dari sungai Palu di pulau Sulawesi sejak 2016, supaya mereka boleh mengeluarkan tayar tersebut. Namun, segala usaha sehingga kini tidak berjaya.


Pada 7 Februari lalu, seorang lelaki dikenali sebagai Tili, berasal dari Sragen, Jawa Tengah, telah berjaya mengeluarkan tayar tersebut yang diketahui sudah tersekat pada badan haiwan itu yang dikenali dengan jolokan 'buaya berkalung tayar' atau B3 sejak 2016.


Ketika ditemui media, Tili menceritakan dia terlebih dahulu menangkap anak buaya berkenaan sebelum mengumpannya dengan 35 ekor ayam dalam tempoh tiga minggu.


"Saya juga gunakan sejumlah burung merpati sebagai umpan untuk menangkap buaya itu, selain tali sepanjang 300 meter.


"Alhamdulillah, usaha saya berhasil dan tayar itu berjaya dikeluarkan dari buaya berkenaan dan selepas itu kami bebaskannya semula ke dalam sungai," katanya.



Dengan bantuan penduduk kampung yang lain, Tili berjaya mengeluarkan buaya itu dari dalam air dan mengeluarkan tayar dari leher haiwan itu. Aksi Tili disaksikan oleh orang ramai yang berkumpul di Jambatan Palu, Tatura Selatan.


Tili memberitahu AFP bahawa dia 'hanya mahu membantu,' kerana dia tidak suka melihat haiwan menderita.


Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk pasukan dari luar negara cuba mengeluarkan tayar itu dari haiwan tersebut namun menemukan kegagalan. Antaranya termasuk hos rancangan National Geographic, Matt Wright dan pengacara Extinct or Alive on Animal Planet, Forrest Galante.


Bukan perkara luar biasa bagi haiwan laut terperangkap dalam sampah yang dibuang di alam sekitar. Akibatnya boleh membawa maut, menyebabkan tercekik atau lemas. Dianggarkan lebih satu juta haiwan mati setiap tahun akibat sampah.


Hasmuni Hasmar, ketua Agensi Pemuliharaan Sumber Negara memberitahu AFP bahawa ia adalah 'hari bersejarah'.


"Kami bersyukur buaya itu akhirnya berjaya diselamatkan dan kami menghargai penduduk setempat yang menunjukkan keprihatinan terhadap hidupan liar," katanya.


Gambar bertarikh 20 September 2016 menunjukkan tayar tersekat pada seekor buaya di Palu, Sulawesi Tengah. - Foto AFP.

Ahad, 6 Februari 2022

Wanita maut terbelit rambut sendiri ketika hadiri temuduga kerja di sebuah kilang kimpalan

Wanita maut terbelit rambut sendiri ketika hadiri temuduga kerja di sebuah kilang kimpalan


Seorang wanita yang mengandung tujuh minggu maut akibat terbelit rambut sendiri selepas rambutnya tersangkut di sebuah mesin di kilang Svarmet di Borisov, Belarus.


Memetik lapor akhbar Daily Mail pada 3 Februari 2022, Umida Nazarova, 21, dibawa mengelilingi kilang tersebut ketika menghadiri temuduga kerja di kilang yang mengeluarkan produk berkaitan wayar kimpalan dan elektrod.


Semasa lawatan itu, rambutnya yang panjang tiba-tiba terperangkap dalam mesin dan melilit lehernya sebelum mangsa terperangkap dan berlumuran darah selepas kulit kepalanya tercabut.



Ibu mangsa, Olga berkata, bahagian leher anaknya turut mengalami kecederaan akibat lilitan rambut tersebut.


"Dia mengalami kecederaan parah susulan kejadian itu. Saya sedih kerana kilang tersebut melanggar peraturan keselamatan sehingga meragut nyawa anak saya.


"Mereka nampak Umida mempunyai rambut panjang, kenapa tidak diberikan sebarang penutup untuk melindungi kepalanya?" soalnya.


Mangsa yang mengalami kecederaan serius tidak pernah sedarkan diri selama mendapatkan rawatan di hospital sebelum disahkan meninggal dunia 20 hari kemudian.


Mahkamah menjatuhkan hukuman kepada ketua kilang pengeluaran tersebut kerana gagal menunaikan tanggungjawab keselamatan selain tidak bersikap jujur dan cuai sehingga menyebabkan kematian seseorang. - Sumber Daily Mail.


Umida Nazarova mengalami kecederaan parah di kepala selepas rambutnya tersangkut di mesin kilang di Belarus. - Foto EAST2WEST NEWS.

Olga berkata anak perempuannya tidak sabar untuk bersalin. - Foto EAST2WEST NEWS.

Jumaat, 21 Januari 2022

Tidak mandi selama 67 tahun dan makan bangkai haiwan, lelaki ini kekal sihat

Tidak mandi selama 67 tahun dan makan bangkai haiwan, lelaki ini kekal sihat


Para saintis keliru setelah mendapati seorang lelaki di Iran berada dalam keadaan sihat walaupun tidak mandi selama 67 tahun, dan hidup dengan memakan bangkai haiwan, lapor akhbar Mirror UK pada 19 Januari 2022.


Amou Jaji, 87, mendakwa bahawa dia tidak mandi selama beberapa dekad kerana percaya perbuatan itu akan menyebabkan dirinya bernasib malang dan membunuhnya.


Pemakanan lelaki itu terdiri daripada haiwan-haiwan yang terbunuh di jalan raya seperti landak. Dia turut meminum air daripada lopak jalan untuk menghilangkan dahaga.


Gaya hidup yang luar biasa dipilih oleh Jaji menyukarkannya untuk berkawan, atau mencari teman wanita. Dia lebih dipinggir disebabkan aktiviti kegemarannya pada masa lalu kerana suka menghisap rokok paip yang diisi dengan najis haiwan, jelas lapor akhbar Daily Star.


Penduduk di kampung Dejgah, Iran yang prihatin terhadap gaya hidup Jaji, telah berkerjasama membina sebuah pondok kecil sebagai ganti kepada lubang yang dijadikan tempat berteduh.


Pakar-pakar perubatan yang melawat pondoknya mendapati lelaki itu sangat sihat dan tidak mempunyai penyakit serius atau bakteria. Bukan itu sahaja, mereka mengesahkan bahawa Jaji tidak mempunyai parasit pada badan walaupun kurang menjaga kebersihan.


Profesor Dr. Gholamreza Molavi yang menjalankan ujian kesihatan tersebut mendakwa bahawa lelaki itu kekal sihat kerana mempunyai sistem imunisasi badan yang sangat kuat. Pakar perubatan yang mengujinya, hanya menemui jangkitan trikinosis tanpa gejala.


Lelaki itu juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan membincangkan peristiwa seperti Revolusi Rusia dan Revolusi Perancis dengan mereka yang melawatnya. Walaupun jiran menghormatinya, tetapi ada orang luar kadang-kadang mengejeknya dan membaling batu.


Lelaki yang tinggal di Iran ini tidak mandi selama 67 tahun dan hidup dengan memakan bangkai haiwan namun kekal sihat. - Foto CEN.

Rabu, 19 Januari 2022

Seorang lelaki bisu dan lumpuh dakwa pulih selepas terima vaksin Covid-19

Seorang lelaki bisu dan lumpuh dakwa pulih selepas terima vaksin Covid-19


Seorang lelaki yang lumpuh dan bisu selama empat tahun di India, mendakwa bahawa dirinya kembali pulih selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 Covieshield, lapor akhbar Mirror UK pada 17 Januari 2022.


Dularchand Munda, 55, cedera parah pada tulang belakang dalam satu kemalangan kereta pada 2017 yang menyebabkan dia terlantar dan tidak boleh bercakap.


Namun, selepas menerima suntikan vaksin pada 4 Januari lalu, Dularchand memberitahu, dia dapat menggerakkan semula kakinya selepas beberapa jam menerima vaksin Covieshield, dia juga boleh berjalan perlahan-lahan dengan bantuan tongkat.


Dalam masa sama, lelaki yang sudah empat tahun tidak boleh bercakap itu mampu bersuara buat kali pertama sejak kemalangan itu, lapor Mirror UK dipetik dari laporan NDTV.



"Saya sangat gembira kerana terpilih mengambil vaksin ini kerana ia mengembalikan semula kemampuan saya untuk berjalan dan bercakap.


Seorang pakar kesihatan, Dr. Jitendra Kumar berkata, situasi itu adalah satu keajaiban yang mengagumkan, namun menegaskan masih banyak yang perlu dikaji mengenai keberkesanan vaksin ke atas penyakit lain selain virus Covid-19.


Tambahnya, ramai yang kagum melihat perkara ini tetapi ia perlu dipastikan oleh saintis, pulih secara tiba-tiba selepas mengambil suntikan vaksin adalah sukar dipercayai.


"Jika vaksin dikatakan memberi kesan positif ke atas kecederaan yang baru berlaku beberapa hari, ia boleh difahami secara perubatan. Namun bagi keadaan yang sudah berlarutan empat tahun seperti Dularchand, kita perlu lakukan kajian lanjut," katanya.


Vaksin Covishield dihasilkan oleh Institut Serum India dan menggunakan formula sama untuk menghasilkan vaksin Oxford-AstraZeneca. - Sumber Mirror UK.


Dularchand mendakwa boleh berjalan dan bercakap semula selepas 24 jam menerima vaksin Covishield. - Foto The Mirror.

Ahad, 16 Januari 2022

Tersalah bayar bil elektrik ke akaun lain sejak 6 tahun lalu, wanita menanggung hutang RM22,800

Tersalah bayar bil elektrik ke akaun lain sejak 6 tahun lalu, wanita menanggung hutang RM22,800


Seorang wanita di Knightswood, Glasgow, Scotland, terpaksa menanggung hutang bil elektrik sebanyak 4,000 pound sterling (kira-kira RM22,800) selepas tersalah bayar ke akaun lain, lapor akhbar The Sun pada 14 Januari 2022.


Lesley Hill, 43, terdiam selepas diberitahu dia terhutang besar kepada syarikat tenaga elektrik Scottish Power, dia turut didakwa menggunakan elektrik secara haram walaupun membuat pembayaran secara tambah nilai setiap minggu sejak enam tahun lalu.


Namun, bayaran itu dikatakan tidak diterima oleh syarikat pembekal tenaga elektrik tersebut. Dia mendakwa bayaran tambah nilai elektrik itu mungkin masuk ke dalam akaun lain.


"Mungkin meter saya sebenarnya didaftarkan ke premis lain. Jadi, ini bermakna selama beberapa tahun, wang yang saya belanjakan untuk elektrik telah pergi ke tempat lain.


"Setiap kali saya memasukkan wang ke dalamnya, ia terus ke alamat lain yang didaftarkan, bukan Scottish Power. Saya sentiasa menangis dan berasa seolah-olah saya sedang bertarung dengan kekalahan.


"Ia 'bermain' dalam otak saya 24 jam sehari dan saya sentiasa memikirkan bagaimana ia boleh diselesaikan, ia membuatkan saya tidak sihat. Seluruh keadaan adalah pelik - ke mana wang tunai saya pergi?" katanya kepada Glasgow Times.


Ibu tunggal itu menukar cara bayaran daripada bulanan kepada tambah nilai sejak 2015 selepas berpisah dengan suaminya. Jurutera dari syarikat tersebut kemudian memasang 'meter pembayaran' di rumahnya.


Bayaran yang dibuat secara konsisten dan meter elektrik berfungsi dengan baik untuk tempoh setahun saja. Selepas itu, dia mula menerima surat tuntutan hutang daripada syarikat penyediaan perkhidmatan.


"Saya kemudian membayar hutang itu secara ansuran namun terus menerima surat tuntutan hutang, mereka juga menghubungi saya untuk menuntut hutang, sedangkan saya menggunakan meter tambah nilai," katanya.


Menurut Hill, ketika dia mempersoalkan bilnya, Scottish Power memberitahunya bahawa mereka tidak mempunyai rekod pembayaran daripadanya sejak 2016.


Kes itu kini disiasat oleh pengawas penyedia tenaga, Ombudsman; "Kes ini dalam siasat Ombudsman tenaga, dan kami sedang bekerjasama dengan mereka (Scottish Power) dan Cik Hill untuk menyiasat kesnya dan mencapai penyelesaian yang semua pihak berpuas hati."


Menurut Hill, mereka mengatakan akan menyelesaikan masalahnya dalam tempoh terdekat, namun sehingga kini dia mendakwa masih menerima bil pembayaran dan Scottish Power mahu dia melangsaikan segera hutang itu.


Lesley Hill menanggung hutang bil elektrik sebanyak kira-kira RM22,800 kerana tersalah bayar ke akaun lain sejak 6 tahun lalu. - Foto The Sun.