Sabtu, 26 Februari 2022

200 burung tiung jatuh secara misteri dari langit di England gemparkan penduduk


Pencinta hidupan liar terkejut selepas mendapati 200 burung jatuh secara misteri dari langit di sebuah perkampungan tepi laut di Waterston dan Hazelbeach, Pembrokeshire, lapor Daily Mail pada 11 Februari 2022.


Pemandu kenderaan yang trauma melihat kejadian itu memaklumkan mereka seperti menonton adegan 'filem seram' apabila lambakan burung jatuh ke tanah tanpa sebab yang jelas.


Saksi berkata, spesies burung tiung itu mengalami kecederaan dan jatuh bertaburan di kawasan pagar dan tanah.


Pihak majlis perbandaran mengesahkan sebanyak 200 burung tiung mati dan pihaknya terpaksa membersihkan bangkai burung yang berlumuran darah itu.


Setakat ini, belum ada maklumat sebenar mengenai punca sebenar kematian haiwan itu. Pakar Burung, Dominic Couzens, 59, memberitahu MailOnline berkata, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat dan sangat pelik.


"Bunyi itu sangat ganjil dan sukar dijelaskan. Sesuatu yang tidak dijangka membuatkan semua burung berkenaan keliru dan jatuh secara tiba-tiba.


"Terdapat juga beberapa burung yang mati di kawasan jalan dan darah memercik di merata tempat," katanya.


Seorang lagi saksi, Claire Eaton, berkata dia melihat burung itu jatuh dari langit pada malam Khamis dan telah membawa seekor yang cedera ke rumah untuk menjaganya.


"Ia benar-benar traumatik, di jalan raya terdapat beberapa burung mati. Darah memercik ke mana-mana. Saya melihat kilat di langit kira-kira sejam sebelum ini.


"Ia seperti sesuatu daripada filem seram. Saya fikir punca ini adalah buatan manusia, dan orang ramai perlu menghormati hidupan liar," katanya.


Mccaffrey yang bekerja di Waterston, turut memberitahu bahawa beberapa burung jatuh dari langit ke keretanya sebaik sahaja dia mendengar bunyi dentuman besar 'jenis elektrik'.


"Ketika perjalanan pulang dari tempat kerja malam tadi, saya mendengar beberapa kali bunyi dentuman dan kemudian puluhan burung jatuh di atas kereta saya.


"Saya fikir ia adalah 'bahan' yang digunakan petani menakutkan burung gagak. Walau bagaimanapun dentuman ini lebih seperti dentuman elektrik - tidak sekuat kilat tetapi serupa," jelasnya.


Sebanyak 200 bangkai burung tiung bertaburan di sebuah perkampungan tepi laut di Waterston dan Hazelbeach, Pembrokeshire.


EmoticonEmoticon