Sabtu, 26 Mac 2022

Suami terkorban akibat melecur teruk demi selamatkan isteri daripada kebakaran


Pengorbanan seorang suami yang cuba melindungi isterinya ketika terperangkap dalam satu kebakaran pada 13 Mac lalu, meruntun hati apabila lelaki itu akhirnya meninggal dunia, lapor laman berita Mothership pada 25 Mac 2022.


Insiden di Nanjing dalam wilayah Jiangsu, China itu menyaksikan si suami nekad memegang lengan isteri yang tergantung di luar balkoni rumah mereka, di tingkat tiga blok kediaman sambil menahan bahang kebakaran yang menyambar dari dalam.


Wanita itu tidak dapat keluar dari bilik tidur apabila kebakaran berlaku dan dan cuba memanjat turun dari balkoni. Suaminya yang menyedari kejadian itu terus memaut lengan isterinya ketika wanita itu tergantung di luar balkoni.


"Kelihatan si suami pegang erat lengan isterinya di atas balkoni. Pasangan itu sedang menunggu anggota bomba tiba. Asap tebal kelihatan berkepul-kepul dari unit itu," kata seorang saksi.


Mangsa, Chen Chaochan dan isterinya, Wang Xueyu berjaya dibawa turun oleh anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas itu.


Bagaimanapaun, kebakaran itu menyebabkan saluran pernafasan lelaki itu rosak serta mengalami kesan lecur sehingga 98 peratus. Dia disahkan meninggal dunia pada 22 Mac selepas sembilan hari dirawat di hospital.


Isterinya mengalami kesan lecur sebanyak 96 peratus, namun berjaya diselamatkan menerusi pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil. Keluarga Xueyu masih belum memaklumkan kepada wanita itu mengenai kematian suaminya dan mahu menunggu sehingga keadaannya lebih baik.


Menurut saksi, pasangan ini telah berkahwin lebih sedekad dan mempunyai tiga anak yang dibesarkan di kampung oleh ibu bapa Chaochan. Mereka menyewa bilik di flat tersebut namun hanya kediaman pasangan itu yang terbakar dalam nahas tersebut.


Keluarga mangsa berjaya mengumpul AS$157,000 (RM662,147) melalui platform dana khalayak atau crowdfunding, Shuidichou untuk membantu menampung bil perubatan mereka.


Antara gambar yang sempat dirakam saksi ketika kejadian. - Foto Mothership.


EmoticonEmoticon