Sabtu, 26 Mac 2022

Misteri ratusan ikan paus sering terdampar dan mati di pantai Farewell Spit


Kejadian paus pilot terdampar di kawasan Farewell Spit, New Zealand masih menjadi tanda tanya biarpun banyak teori mengenainya berlegar-legar dalam kalangan masyarakat setempat.


Terbaru, puluhan ikan paus mati dalam insiden terdampar besar-besaran di pantai itu yang dikenali sebagai perangkap maut bagi spesies tersebut, kata beberapa renjer hidupan liar.


Menurut lapor Daily Star pada 18 Mac 2022, Jabatan Konservasi menyatakan, sebanyak 29 ekor paus pilot sirip panjang itu sudah mati apabila kawanan terdiri daripada 34 mamalia berkenaan ditemui di pantai terpencil, Farewell Spit, yang terletak di hujung utara pulau selatan, 16 Mac lalu.


Jurucakap Jabatan Konservasi, Dave Winterburn berkata, renjer-renjernya sedang menjaga lima paus yang terselamat tetapi memberitahu bahawa haiwan itu berada di daratan untuk tempoh yang agak lama.


"Walaupun peristiwa ini menyedihkan, paus terdampar adalah fenomena semula jadi. Punca ia terkandas tidak diketahui," katanya.



Menurutnya, renjer-renjernya yang bekerja keras untuk menyelamatkan nyawa lima ekor ikan paus tersebut, telah berjaya mengapungkan semula mamalia itu ke lautan pada Jumaat (18 Mac).


Farewell Spit yang merupakan kawasan beting pasir sepanjang 26 kilometer telah menyaksikan lebih 10 kejadian paus pilot terdampar sejak 15 tahun lalu.


Insiden terbesar berlaku pada Februari 2017, apabila hampir 700 ekor paus itu terdampar dan mengakibatkan 250 kematian.


Saintis-saintis tidak jelas tentang mengapa pantai itu sangat berbahaya kepada ikan paus. Satu teori menyatakan bahawa kawasan itu menghasilkan dasar laut cetek yang mengganggu sistem navigasi sonar paus.


Paus pilot adalah spesies ikan paus yang paling biasa di perairan New Zealand dan sangat terdedah kepada fenomena terdampar secara besar-besaran. Paus itu boleh membesar sehingga mencapai panjang 6 meter.


29 ikan paus mati, manakala lima diselamatkan dan berjaya diapungkan semula ke lautan. - Foto AFP/Getty Images.


EmoticonEmoticon