Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan

Khamis, 26 Januari 2023

Lelaki mabuk, tertidur dalam rumah mangsa selepas pecah masuk dihadapkan ke mahkamah

Lelaki mabuk, tertidur dalam rumah mangsa selepas pecah masuk dihadapkan ke mahkamah


Seorang lelaki yang ditangkap ketika tertidur di sebuah rumah penduduk di Bahau, Jempol tiga hari lalu tidak mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh rumah tersebut ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Jelebu, hari ini.


Tertuduh, B. Raman, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak di Jelebu, pada Khamis.


Berdasarkan pertuduhan, pada 23 Januari lalu kira-kira pukul 6.30 pagi di Taman Tanjung, Bahau, Jempol, tertuduh didapati telah menceroboh masuk dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang di sebuah rumah penduduk tanpa kebenaran.


Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dalam prosiding berkenaan, Ahmad Loqman tidak menawarkan sebarang wang jaminan berikutan tertuduh mempunyai banyak rekod jenayah lampau.


"OKT (orang kena tuduh) mempunyai banyak rekod lampau di mana saya percaya ada kecenderungan untuk melarikan diri. Bukan satu (kes) tapi melibatkan narkotik dan juga jenayah. Sudah dihukum beberapa kali," katanya.


Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon untuk diberikan wang jaminan kerana menjaga ibunya yang sedang sakit.


Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM16,000 dengan dua orang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.


Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai. Majistret menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol.


Kelmarin, media melaporkan seorang warga emas, Sin Kong Men, 66, terkejut apabila lelaki yang tidur di bahagian tengah rumahnya rupa-rupanya pencuri yang sedang mabuk.


Kejadian berlaku di Taman Tanjung, Bahau kira-kira pukul 6.15 pagi, 23 Januari lalu. Suspek dilapor mempunyai 21 rekod jenayah lampau di mana 15 daripadanya merupakan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.


BACA: Sangka kawan anak, rupanya pencuri tertidur akibat mabuk.


B. Raman dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu hari ini bagi dihadapkan atas tuduhan menceroboh masuk rumah pada 23 Januari lalu. - Foto Utusan Malaysia.

Khamis, 22 Disember 2022

Elon Musk umum akan letak jawatan CEO Twitter sebaik temui menggantinya

Elon Musk umum akan letak jawatan CEO Twitter sebaik temui menggantinya


Elon Musk berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Twitter sebaik sahaja menemui pengganti "seorang yang cukup bodoh" untuk mengambil alih jawatan itu.


"Saya akan meletakkan jawatan sebagai CEO sebaik sahaja saya menemui seseorang yang foolish enough untuk mengambil alih tugas itu!


"Selepas itu, saya hanya akan menerajui pasukan perisian & pelayan," kata Musk di Twitter pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.


Pengumuman Musk dibuat berikutan hasil tinjauan dalam talian yang disiarkannya di Twitter, sama ada beliau perlu meletakkan jawatan sebagai ketua platform media sosial itu.


"Saya akan mematuhi keputusan tinjauan pendapat ini," katanya.


Selepas tempoh kaji selidik berkenaan berakhir pada Ahad lepas, tinjauan itu menerima lebih 17.5 juta undian di seluruh dunia dengan majoriti 57.5 peratus mahu beliau meletakkan jawatan berbanding hanya 42.5 peratus mengatakan tidak.


Pada akhir Oktober, Musk memuktamadkan pemerolehan Twitter bernilai AS$44 bilion.


Musk merombak operasi harian syarikat, termasuk menamatkan perkhidmatan separuh pekerjanya dan eksekutif Twitter yang bertanggungjawab ke atas privasi, keselamatan siber, dan penapisan platform berkenaan.


Sebelum menyiarkan tinjauan pendapat pada Ahad mengenai potensinya meletak jawatan sebagai ketua Twitter, Musk memaklumkan mulai sekarang, "undian akan dilakukan bagi menentukan perubahan dasar utama" di platform media sosial itu.


Pengumuman itu dibuat selepas Musk melancarkan satu kaji selidik meminta pandangan pengguna Twitter tentang prestasinya sepanjang memegang jawatan sebagai ketua syarikat berkenaan. - Foto Anadolu Agency/Getty Images.
Petronas menang kontrak teroka minyak di Lembangan Campos, Brazil

Petronas menang kontrak teroka minyak di Lembangan Campos, Brazil

Gambar hiasaan.

Petronas menerusi anak syarikatnya, Petróleo Brasil Ltda (PPBL) dan rakan niaganya telah memenangi kontrak penerokaan blok Agua Marinha pada bidaan regim perkongsian pengeluaran kitaran terbuka pertama Brazil di Rio de Janeiro.


PPBL akan menguasai 20 peratus kepentingan dalam blok yang terletak di Lembangan Campos, manakala Petrobras dengan 30 peratus, sementara pengendali, TotalEnergies (30 peratus) dan QatarEnergy (20 peratus).


Keputusan bidaan bagi penerokaan kawasan berkenaan diumumkan oleh Agensi Petroleum, Gas Asli dan Biofuel (ANP) Kebangsaan Brazil dalam satu majlis secara langsung pada 16 Disember lalu.


Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Mohd. Redhani Abdul Rahman berkata, kejayaan memenangi bidaan menunjukkan kelebihan daya saing syarikat dalam membangunkan dan mencipta nilai aset secara mampan di Lembangan Campos.


"Kami benar-benar teruja dengan keputusan pusingan bidaan yang menggalakkan. Petronas kekal fokus untuk membuka lebih banyak nilai daripada aset dengan rakan kongsi bersama pihak berkuasa tempatan," katanya dalam kenyataan.


Baru-baru ini, PPBL mengumumkan penemuan minyak pertama di telaga 4-BRSA-1386D-RJS di medan minyak Sépia di Lembangan Santos. Syarikat itu memiliki 21 peratus kepentingan penyertaan dalam lapangan itu.


PPBL juga memiliki kepentingan penyertaan dalam Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Modul III medan laut dalam Espadarte (Konsesi Espadarte), serta tiga blok penerokaan air dalam, C-M-541, C-M-661 serta C-M-715 di Lembangan Campos.


Petronas menang kontrak teroka minyak di Brazil. - Foto Astro Awani.

Khamis, 15 Disember 2022

Doktor temui cacing 'menari' dalam testis seorang lelaki

Doktor temui cacing 'menari' dalam testis seorang lelaki


Seorang lelaki berusia 26 tahun di India menimbulkan kekecohan di Internet selepas buah zakar kanannya bengkak akibat dimasuki cacing, lapor akhbar New York Post pada 13 Disember 2022.


Satu rakaman memaparkan haiwan parasit itu 'menari' di bahagian kemaluan lelaki itu tular di media sosial.


"Daripada keputusan ujian ultrasound, struktur bergerak dapat dilihat dalam saluran limfa (saluran nipis yang mengangkut cecair dan sel darah merah dalam skrotum)," tulis doktor dalam satu kajian kes mengenai penemuan cacing itu.


Pesakit itu dilaporkan kepada Hospital Max Super Specialty di New Delhi selepas mengalami 'sakit dan bengkak pada skrotum serta deman selama sebulan, jelas kajian itu yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.


Lelaki itu didiagnosis mengalami filariasis limfa yang biasanya dikenali sebagai elephantiasis. Ia berlaku akibat gigitan nyamuk yang menyebarkan cacing mikroskopik, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Pesakit itu bernasib baik kerana tindakan doktor yang memeriksa testisnya lebih awal. Cacing itu berjaya ditangani sepenuhnya selepas pesakit diberikan ubat anti parasit.


Dalam kes elephantiasis yang lebih serius pada tahun 2018, doktor di India telah mengeluarkan ketulan seberat 13 kilogram daripada kaki seorang lelaki yang menderita penyakit itu. - Sumber New York Post.


Lelaki itu disahkan mengalami elephantiasis atau penyakit kaki gajah. - Foto New England Journal of Medicine.

Sabtu, 3 Disember 2022

Lantikan TPM, permulaan hadapi pelbagai cabaran - Ahmad Zahid

Lantikan TPM, permulaan hadapi pelbagai cabaran - Ahmad Zahid


Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikan dirinya sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) merupakan satu permulaan dalam menghadapi pelbagai cabaran sebaik sahaja diberi amanah untuk memegang jawatan berkenaan.


"Ia bukan kemenangan sebuah perjuangan, namun adalah satu permulaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan tiba sebaik sahaja diberi amanah memegang jawatan ini.


"Terima kasih atas doa tidak henti dan sokongan begitu ikhlas daripada semua. Moga Allah akan membalasnya," tulisnya menerusi ciapan di Twitter tadi.


Terdahulu, Ahmad Zahid berkongsi beberapa keping gambar yang memaparkan beliau bersama keluarga serta Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengikuti pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung lantikan Kabinet Kerajaan Perpaduan, semalam.


"Mengikuti pengumuman Kabinet Malaysia oleh Perdana Menteri bersama keluarga tercinta, sahabat dan saf kepimpinan tertinggi parti di Yayasan Al Falah Country Height semalam.


"Tiada kata selain ucapan penuh syukur ke hadrat Allah Maha Esa atas takdir ini," jelasnya.


Selain memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid juga dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi Kerajaan Perpaduan yang turut menyaksikan sebanyak 28 kementerian diwujudkan.


Manakala, Datuk Seri Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat dilantik sebagai Menteri Pertahanan. Tok Mat kali pertama bertanding sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu dan memenangi kerusi Rembau.


Beliau pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan ke-10 pada tahun 2004 hingga 2018. Kementerian Pertahanan merupakan portfolio pertama untuk beliau di peringkat Kerajaan Persekutuan.


Ahmad Zahid (tengah) dan Tok Mat ketika meraikan pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri semalam.

Ahad, 27 November 2022

Parlimen Russia meluluskan undang-undang melarang propaganda LGBT, tangkap pihak promosi kegiatan songsang

Parlimen Russia meluluskan undang-undang melarang propaganda LGBT, tangkap pihak promosi kegiatan songsang


Parlimen Russia meluluskan bacaan ketiga dan terakhir undang-undang yang melarang sebarang propaganda berkaitan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan semua golongan dewasa di negara ini.


Di bawah undang-undang baharu, sebarang acara atau perbuatan yang dianggap sebagai percubaan untuk mempromosikan homoseksualiti termasuk dalam talian, filem, buku, pengiklanan atau di khalayak ramai dianggap sebagai satu jenayah dan boleh dikenakan denda yang berat.


Russia memperluaskan undang-undang pada 2013 yang melarang propaganda LGBT dalam kalangan kanak-kanak dan kini mengharamkannya di semua peringkat umur serta digunakan untuk menghentikan perarakan gay dan menahan aktivis hak gay.


Di bawah undang-undang baharu itu, individu boleh didenda sehingga 400,000 rubel (RM29,519) dan organisasi pula sehingga lima juta rubel (RM368,854) kerana 'mempropagandakan hubungan seksual bukan tradisi'.


Warga asing bakal berdepan penangkapan dan pengusiran sehingga 15 hari dari Russia bagi kesalahan sama.


Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis LGBTQ+ berkata, pelanjutan undang-undang bermakna sebarang perbuatan atau sebutan umum tentang hubungan sejenis adalah diharamkan secara terus.


Ahli parlimen kanan dan salah seorang penulis rang undang-undang tersebut, Alexander Khinshtein berkata, perang di Ukraine telah menjadikan undang-undang anti-LGBTQ+ lebih relevan.


Presiden Russia, Vladimir Putin, dijangka menandatangani rang undang-undang itu dalam tempoh beberapa hari lagi.


Dalam perbincangan awal rang undang-undang itu, Khinshtein menyasarkan kartun kanak-kanak popular Peppa Pig, selepas pasangan lesbian menyertai watak utamanya dalam episod bertajuk 'Keluarga'.


TikTok, aplikasi perkongsian video, didenda 3 juta rubel (RM223,000) bulan lalu kerana mempromosikan 'video dengan tema LGBT', manakala pengawal selia media Russia meminta syarikat penerbitan untuk menarik balik semua buku yang mengandungi 'propaganda LGBT' daripada jualan.


Rang undang-undang itu perlu disemak oleh Dewan Rakyat di Parlimen dan ditandatangani oleh Presiden, Vladimir Putin sebelum berkuat kuasa. - Sumber Reuters.


Orang ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) ‘VIII St.Petersburg Pride’ di St. Petersburg, Russia. - Foto Reuters.

Ahad, 20 November 2022

Najib menegaskan pendapat Ahli Parlimen BN perlu diambil kira sebelum berunding dengan mana-mana gabungan

Najib menegaskan pendapat Ahli Parlimen BN perlu diambil kira sebelum berunding dengan mana-mana gabungan


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa rundingan antara Barisan Nasional (BN) dengan mana-mana gabungan perlu mengambil kira kepentingan parti itu. Perkara itu disampaikan oleh anaknya, Nooryana Najwa menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Menurut Najib, rundingan tersebut perlu mengenepikan perbezaan sentimen serta mengambil kira pendapat semua Ahli Parlimen BN yang berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


"Sekiranya BN perlu berunding dengan mana-mana gabungan, maka rundingan ini patut mengambil kira kepentingan jangka masa panjang UMNO dan BN dan bukannya untuk kepentingan sementara," jelasnya.


Dalam pada itu, Najib juga meluahkan perasaan rindu terhadap sahabat-sahabatnya dalam BN. Beliau berkata, harapan dan kepercayaannya bahawa UMNO dan BN merupakan parti keramat, pasti akan bangkit semula.


Keputusan PRU15 mencipta sejarah buat negara apabila tidak ada satu pun gabungan parti yang cukup majoriti 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.


Situasi ini lebih rumit berbanding rekod PRU14 pada 2018, sekali gus meletakkan kedudukan politik negara berada dalam suasana tidak menentu.


Berdasarkan keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP) dilaman webnya, membabitkan 220 kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, jumlah kerusi terbanyak mengatasi saingan terdekatnya, Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.


Sementara Barisan Nasional (BN), mengalami kekalahan terburuknya dalam siri PRU selepas hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen diikuti Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 kerusi, Parti Warisan Sabah (WARISAN) 3 kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) 1 kerusi dan calon Bebas, 2 kerusi.