Ahad, 27 November 2022

Parlimen Russia meluluskan undang-undang melarang propaganda LGBT, tangkap pihak promosi kegiatan songsang


Parlimen Russia meluluskan bacaan ketiga dan terakhir undang-undang yang melarang sebarang propaganda berkaitan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan semua golongan dewasa di negara ini.


Di bawah undang-undang baharu, sebarang acara atau perbuatan yang dianggap sebagai percubaan untuk mempromosikan homoseksualiti termasuk dalam talian, filem, buku, pengiklanan atau di khalayak ramai dianggap sebagai satu jenayah dan boleh dikenakan denda yang berat.


Russia memperluaskan undang-undang pada 2013 yang melarang propaganda LGBT dalam kalangan kanak-kanak dan kini mengharamkannya di semua peringkat umur serta digunakan untuk menghentikan perarakan gay dan menahan aktivis hak gay.


Di bawah undang-undang baharu itu, individu boleh didenda sehingga 400,000 rubel (RM29,519) dan organisasi pula sehingga lima juta rubel (RM368,854) kerana 'mempropagandakan hubungan seksual bukan tradisi'.


Warga asing bakal berdepan penangkapan dan pengusiran sehingga 15 hari dari Russia bagi kesalahan sama.


Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis LGBTQ+ berkata, pelanjutan undang-undang bermakna sebarang perbuatan atau sebutan umum tentang hubungan sejenis adalah diharamkan secara terus.


Ahli parlimen kanan dan salah seorang penulis rang undang-undang tersebut, Alexander Khinshtein berkata, perang di Ukraine telah menjadikan undang-undang anti-LGBTQ+ lebih relevan.


Presiden Russia, Vladimir Putin, dijangka menandatangani rang undang-undang itu dalam tempoh beberapa hari lagi.


Dalam perbincangan awal rang undang-undang itu, Khinshtein menyasarkan kartun kanak-kanak popular Peppa Pig, selepas pasangan lesbian menyertai watak utamanya dalam episod bertajuk 'Keluarga'.


TikTok, aplikasi perkongsian video, didenda 3 juta rubel (RM223,000) bulan lalu kerana mempromosikan 'video dengan tema LGBT', manakala pengawal selia media Russia meminta syarikat penerbitan untuk menarik balik semua buku yang mengandungi 'propaganda LGBT' daripada jualan.


Rang undang-undang itu perlu disemak oleh Dewan Rakyat di Parlimen dan ditandatangani oleh Presiden, Vladimir Putin sebelum berkuat kuasa. - Sumber Reuters.


Orang ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) ‘VIII St.Petersburg Pride’ di St. Petersburg, Russia. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon