Ahad, 20 November 2022

Najib menegaskan pendapat Ahli Parlimen BN perlu diambil kira sebelum berunding dengan mana-mana gabungan


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa rundingan antara Barisan Nasional (BN) dengan mana-mana gabungan perlu mengambil kira kepentingan parti itu. Perkara itu disampaikan oleh anaknya, Nooryana Najwa menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Menurut Najib, rundingan tersebut perlu mengenepikan perbezaan sentimen serta mengambil kira pendapat semua Ahli Parlimen BN yang berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


"Sekiranya BN perlu berunding dengan mana-mana gabungan, maka rundingan ini patut mengambil kira kepentingan jangka masa panjang UMNO dan BN dan bukannya untuk kepentingan sementara," jelasnya.


Dalam pada itu, Najib juga meluahkan perasaan rindu terhadap sahabat-sahabatnya dalam BN. Beliau berkata, harapan dan kepercayaannya bahawa UMNO dan BN merupakan parti keramat, pasti akan bangkit semula.


Keputusan PRU15 mencipta sejarah buat negara apabila tidak ada satu pun gabungan parti yang cukup majoriti 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.


Situasi ini lebih rumit berbanding rekod PRU14 pada 2018, sekali gus meletakkan kedudukan politik negara berada dalam suasana tidak menentu.


Berdasarkan keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP) dilaman webnya, membabitkan 220 kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, jumlah kerusi terbanyak mengatasi saingan terdekatnya, Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.


Sementara Barisan Nasional (BN), mengalami kekalahan terburuknya dalam siri PRU selepas hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen diikuti Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 kerusi, Parti Warisan Sabah (WARISAN) 3 kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) 1 kerusi dan calon Bebas, 2 kerusi.


EmoticonEmoticon