Memaparkan catatan dengan label Terdampar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terdampar. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Julai 2021

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang


Sebuah vila misteri ditemui terdampar secara tiba-tiba di tepi pantai di Costa de Sol, El Salvador, menyebabkan ramai pengunjung berteka teki asal usul bangunan tersebut, lapor laman berita Oddity Central pada 15 Julai 2021 lalu.


Penduduk tempatan dan pe­lancong keliru berhubung pene­muan tersebut di Pantai La Puntilla baru-baru ini. Bagaima­napun, terdapat teori popular mengatakan bahawa vila itu hanyut dan terus 'menghilang' dalam bencana taufan yang membadai El Salvador lebih 20 tahun lalu.


Akhbar tempatan, La Prensa Grafica melaporkan bahawa beberapa penduduk memberitahu, vila misteri yang tiba-tiba muncul itu merupakan sebuah hotel dikenali sebagai Hotel Puerto Ventura kira-kira 28 tahun lalu.


Hotel tersebut dibina hanya beberapa meter dari laut sekali gus menguatkan kemungkinan bahawa ia dihanyutkan oleh air laut.


"Mereka membinanya terlalu dekat dengan pantai. Mereka juga tidak membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk membinanya (hotel) dan itulah akibatnya," kata seorang penduduk tempatan.



Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan bagaimana hotel tersebut musnah dalam kejadian Taufan Mitch yang telah membadai El Salvador pada tahun 1998 dan mengakibatkan lebih 9,000 kematian.


Kini, bangunan dua tingkat tersebut menjadi tarikan pelancong yang datang ke situ untuk bergambar. Ada antara pengunjung memanjat tingkat atas vila tersebut bagi mendapatkan gambar pemandangan yang lebih cantik.


Bagaimanapun, penduduk setempat, Coralia Sotelo berkata, beberapa kanak-kanak pernah melihat seorang lelaki kulit hitam yang sangat tinggi berkeliaran di sekitar vila tersebut pada waktu malam, menyebabkannya takut untuk menghampiri kawasan itu.


"Saya takut untuk pergi ke situ dan tidak pernah menghampirinya. Beberapa kanak-kanak yang pergi ke pantai itu untuk menangkap penyu pada waktu malam memberitahu mereka ada terlihat lelaki itu," ujarnya.



Rabu, 14 Julai 2021

Anak dihantar ke pulau terpencil kerana suka lawan cakap ibu bapa

Anak dihantar ke pulau terpencil kerana suka lawan cakap ibu bapa


Sepasang suami isteri di China sanggup membawa anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun ke sebuah pulau terpencil, untuk memberi pengajaran kepada anak tersebut yang didakwa suka melawan cakap mereka.


Lapor Oddity Central pada 12 Julai 2021, polis di bandar Weihai berkata, pihaknya dimaklumkan oleh sekumpulan nelayan mengenai kehadiran seorang remaja perempuan di pulau tersebut kira-kira satu kilometer dari tanah besar.


Menurut polis, remaja itu mendekati nelayan tersebut dengan mendakwa ibu bapanya telah memaksa dan membawanya ke pulau itu, dan memohon mereka untuk membawanya ke pantai (tanah besar).


Remaja itu juga mendakwa telah merayu beberapa kali kepada ibu bapanya untuk membawanya pulang semula ke pantai. Jelas polis, selepas tiba di pulau itu, mereka menemukan remaja tersebut bersama ibu bapanya.



Menurut polis, pihaknya mendapati ibu bapa membawa remaja tersebut ke pulau terpencil kerana mahu mendidik anak mereka mengenai kesukaran hidup.


"Ibu bapa remaja itu menyatakan anak perempuan mereka mempunyai tabiat suka melawan, mudah marah, enggan mematuhi arah dan tidak mahu pergi ke sekolah.


"Sudah banyak kali ibu bapanya cuba menasihati remaja perempuan itu tetapi dia tetap degil. Mereka merasakan anaknya mensia-siakan kehidupannya. Jadi, mereka terpaksa mengambil langkah drastik dengan melakukan demikian," kata polis berkenaan.


Ibu bapa remaja itu pada awalnya enggan meninggalkan pulau tersebut dengan alasan bahawa mereka telah bersedia dengan bekalan yang diperlukan, dan menegaskan bahawa mereka mahu meneruskan pelan mendidik anak mereka disitu.


Ketika mereka berada di pulau itu, ayahnya mengakui kagum terhadap anak perempuannya yang mula berkomunikasi dengan nelayan yang singgah di pulau tersebut. Katanya, ketika mula-mula datang di pulau itu anaknya jarang bercakap pada mereka, apalagi orang lain.


Tindakan 3 beranak tinggal di pulau ini selepas mendapat khidmat pakar 'survival' yang bersetuju untuk menemani mereka di pulau tersebut. Bagaimanapun, polis yang datang di pulau itu berjaya memujuk keluarga berkenaan dan menghantar mereka pulang ke tanah besar.

Khamis, 8 Julai 2021

Lelaki tinggal dalam hutan selama 30 tahun dan tidak berhubung dunia luar

Lelaki tinggal dalam hutan selama 30 tahun dan tidak berhubung dunia luar


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan mengenai kesusahan dan keperitan seorang warga emas yang mendiami pondok usang dalam hutan di sebuah kebun getah berhampiran Jalan Trolak-Slim River di Perak.


Rashid Mat Sah, 66, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor merantau ke Slim River untuk mencari kerja selepas ibu bapanya berpisah. Dia mengakui tinggal di pondok itu kira-kira 30 tahun lalu yang dibinanya sendiri menggunakan zink dan kayu terpakai.


"Apabila tiba di kawasan ini, saya mengikut seorang lelaki untuk berkerja di dusun durian. Saya mendapat upah dengan menjaga dan membersihkan dusun yang dipajaknya," katanya ketika ditemui.


Menceritakan kehidupannya kini, menurut Rashid, pada waktu malam, dia akan menyalakan pelita manakala air hujan pula digunakan untuk mandi dan memasak.



Rashid berkata, dia bersyukur kerana ada seorang guru yang sering membantunya membeli barangan keperluan asas, walaupun pondoknya terletak di dalam kawasan hutan sejauh kira-kira 1.5 kilometer dari jalan besar.


"Guru berkenaan mempunyai ladang getah di lokasi berhampiran dan saya selalu meminta bantuannya. Memang sunyi tinggal seorang diri di hutan, saya hanya bertemankan anjing yang dibela sebagai kawan selain untuk menjaga keselamatan," katanya.


Menurut Rashid, dokumen pengenalan dirinya tiada sejak lahir, dan selepas bapanya meninggal ibunya pula tidak dapat dikesan membuatkan dia terpaksa tinggal bersama nenek sebelum merantau. Selama berpuluh tahun tinggal di pondok itu, dia tidak tahu langsung apa yang berlaku di luar.


"Saya bukan tidak mahu keluar sesekali ke pekan dan sebagainya namun disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, ia menghalang saya berbuat demikian. Kalau boleh saya nak sangat ada kad pengenalan," katanya.



Jelasnya, duit diperoleh dengan bekerja mengambil upah menjaga kebun berhampiran pondok yang dibina di atas tanah pemilik kebun terbabit. Katanya lagi, dia sudah biasa dengan tempat itu, dan akan tetap duduk di situ. "Biarlah saya kerja jaga kebun ini pun tak apa," katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz yang melawat Rashid berkata, beliau mengetahui keadaan lelaki itu selepas dimaklumkan orang awam.


"Hasil kunjungan ke pondok Rashid, saya dapati kehidupannya memang daif. Saya akan bantunya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi memudahkan urusan dan bantuan," katanya.


Menurut beliau, sementara menunggu urusan menyiapkan dokumen pengenalan diri, pihaknya akan terus membantu Rashid. Berkaitan bekalan air, beliau akan cuba menggali perigi untuk mendapatkan bekalan air bersih.


Katanya, pihaknya juga akan bawa Rashid ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan dan merawat penyakit kulit dialami yang dipercayai berpunca daripada anjing yang dibelanya, dan membina kandang anjing untuk mengelakkan ia tinggal dalam pondok bersama Rashid.


Rashid menunjukkan air hujan yang ditadah di dalam sebuah tong untuk digunakan bagi membersihkan diri berhampiran pondoknya.

Rashid menunjukkan dapur di luar pondok yang digunakan untuk memasak makanan dan air hujan yang ditadah.

Isnin, 7 Jun 2021

Nelayan Jadi Jutawan Segera Selepas Jumpa Muntah Ikan Paus Berharga RM6.4 juta

Nelayan Jadi Jutawan Segera Selepas Jumpa Muntah Ikan Paus Berharga RM6.4 juta


Sekumpulan nelayan di Yaman menjadi jutawan setelah menemui ambergris atau dalam bahasa mudah dikenali muntah ikan paus di perut bangkai paus sperma yang ditemui terdampar.


Memetik lapor laman berita Mirror UK pada 2 Jun 2021, nelayan tersebut berjaya menjual ambergris itu dengan harga AS$1.5 juta (RM6.4 juta).


Bukan hanya mereka yang menikmati hasil jualan itu, para nelayan ini juga memberikan wang kepada beberapa orang memerlukan bantuan di kampung mereka.


Difahamkan kejadian ini bermula ketika seorang nelayan dari Syria memberitahu sekumpulan nelayan mengenai bangkai ikan paus yang terdampar di pinggiran Teluk Aden, Yaman.


"Salah seorang nelayan dari Syria memanggil kami pada waktu pagi dan dia berkata, 'Ada ikan paus dan mungkin mengandungi ambergris'," kata seorang nelayan seperti yang dilaporkan laman berita BBC, pada Rabu lalu (2/6/2021).



Selepas menerima maklumat, nelayan dari Yaman kemudian pergi ke lokasi yang dimaksudkan. Ketika mereka semakin dekat dengan bangkai ikan paus, baunya sangat kuat, dan mereka mengesyaki ada sesuatu yang berharga di dalamnya.


Nelayan kemudian membawa bangkai ikan paus ke pantai, kemudian mereka membedah bangkai tersebut untuk melihat apa yang ada di dalamnya. Sangkaan mereka benar, mereka menjumpai benda berharga dalam perut ikan paus tersebut.


"Baunya sangat busuk, tetapi akan menghasilkan banyak wang. Jika anda menjumpai ikan paus ambergris, itu adalah harta karun," tambah nelayan itu.


Seperti diketahui, ambergris adalah bahan yang agak sukar ditemui dan hanya dapat dihasilkan oleh ikan paus sperma. Ambergris sangat berharga kerana ia adalah salah satu bahan yang paling dicari untuk digunakan dalam industri minyak wangi.


Penemuan 'harta karun' ini tentunya menjadikan mereka tiba-tiba kaya. Sebilangan nelayan menyatakan bahawa wang itu digunakan untuk membeli rumah atau kereta, dan ada juga yang merancang untuk segera berkahwin.


Pada mulanya ambergris mempunyai bau busuk. Tetapi setelah mengering, ia akan mengeluarkan wangian yang manis dan tahan lama. Harga ambergris boleh mencecah sehingga RM200 ribu sekilogram.

Ahad, 16 Mei 2021

Kisah Juana Maria, Terkandas 18 Tahun Hidup Sendirian Di Pulau Tak Berpenghuni

Kisah Juana Maria, Terkandas 18 Tahun Hidup Sendirian Di Pulau Tak Berpenghuni


Wanita bernama Juana Maria, adalah salah seorang yang mempunyai sejarah kehidupan yang pelik di dunia, menyebabkan kisahnya diangkat dalam sebuah buku klasik bertajuk Island of The Blue Dolphins, yang ditulis oleh Scott O'Dell.


Juana Maria dilahirkan pada awal abad ke-19, tetapi tidak diketahui secara tepat tarikh dia dilahirkan. Dia menjadi terkenal kerana menghabiskan seluruh hidupnya sendirian terasing jauh dari masyarakat. Dia ditemui pada tahun 1853 selepas 18 tahun menjalani kehidupan seorang diri di pulau San Nicolas, salah satu kepulauan di California.


Masa hidupnya agak singkat hanya tujuh minggu selepas ditemui dia meninggal dunia kerana sakit. Sejarawan juga hanya dapat mengumpulkan beberapa fakta dan data mengenai kehidupan Juana, tetapi di sebalik semua itu ada kehidupan tragis yang dia jalani.


Sekumpulan pemburu menyerang perkampungan mereka antara tahun 1811-1814. Ketika itu, bulu dan kulit haiwan merupakan salah satu sumber semula jadi yang diperdagangkan antara penduduk pribumi di Amerika Utara dan penjajah Eropah.



Pada tahun 1811, syarikat Russian American Company mula melakukan aktiviti memburu di sepanjang pantai California kerana kulit haiwan itu mempunyai nilai yang tinggi. Pada peringkat awal, sekumpulan penduduk asli puak Kodiak dari Alaska seramai 25 hingga 30 orang telah diupah sebagai pemburu untuk ekspedisi ini.


Pada satu ketika semasa ekspedisi ini berlangsung, puak asli Kodiak telah ditinggalkan di Pulau San Nicolas secara berperingkat untuk memburu anjing laut. Walaupun pulau itu sedikit jauh dan terpencil daripada tanah besar di California, namun ia mempunyai penghuni asal.


Kaum Kodiak dikatakan mengalami konflik dengan penduduk pulau itu dan telah membunuh hampir semua kaum lelaki. Wanita dan kanak-kanak pula telah diambil menjadi hamba. Sejarah tidak menceritakan dengan jelas apa yang berlaku terhadap puak Kodiak selepas itu kerana mereka menghilang daripada pulau itu pada suatu ketika. 


Malang bagi penduduk di Pulau San Nicolas, populasi mereka telah menurun secara drastik selepas berhadapan dengan puak Kodiak. Setelah puak Kodiak meninggalkan San Nicolas, dianggarkan kurang daripada seratus orang sahaja yang penduduk di Pulau itu.



Kemudian, pada tahun 1830-an suku Juana dipindahkan dari pulau San Nicolas oleh pemerintah setempat. Satu pasukan dikenali sebagai Santa Barbara Mission telah melakukan operasi pada tahun 1835 untuk membawa penduduk pulau itu ke tanah besar.


Operasi itu berjaya membawa keluar semua penduduk kecuali seorang, dia ialah Juana Maria. Mengikut satu versi cerita, Juana Maria telah menaiki kapal penyelamat itu namun menyedari bahawa anak kecilnya hilang.


Dia kemudian kembali ke kampungnya tetapi mendapati bahawa anaknya telah dibunuh oleh anjing liar. Disebabkan ribut yang sedang menghampiri, kapal itu terpaksa meninggalkan pulau itu dengan cepat.


Tidak semua orang percaya dengan versi popular cerita ini. Satu lagi versi menceritakan, disebabkan ribut menghampiri pulau itu, krew kapal tidak menghitung para penduduk yang diselamatkan dan mereka meninggalkan pulau itu dalam keadaan tergesa- gesa.


Akibatnya, Juana Maria telah menghabiskan 18 tahun hidupnya dengan tinggal seorang diri di pulau terpencil itu. Pada tahun 1853, seorang kapten kapal Peores Nada bernama George Nidever menemui Juana Maria. Dia kelihatan gembira apabila melihat Nidever serta anak-anak kapalnya dan bersedia untuk mengikuti mereka kembali ke tanah besar.


Di Santa Barbara, Juana Maria telah menjadi tumpuan dan dia telah didatangi ramai orang yang ingin melawatnya. Juana Maria kelihatan seronok dengan layanan yang diterimanya itu. Malangnya setelah tujuh minggu berada di tanah besar, Juana Maria telah meninggal dunia akibat disentri atau berak berdarah.


Sketsa, ketika Juana Maria ditemukan.


Tugu Juana Maria di  Santa Barbara.

Ahad, 9 Mei 2021

Wanita tinggal selama 6 bulan dalam hutan bergantung hidup makan lumut dan rumput

Wanita tinggal selama 6 bulan dalam hutan bergantung hidup makan lumut dan rumput


Seorang wanita yang dilaporkan hilang hampir enam bulan lalu ditemui tinggal di sebuah khemah dalam hutan nasional di Utah, Amerika Syarikat. Dia hanya bergantung hidup dengan makan lumut dan rumput setiap hari.


Jabatan Sherif Utah mengesahkan wanita berusia 47 tahun itu ditemui tinggal dalam sebuah khemah di Uinta-Wasatch-Cache National Forest, Utah, Ahad lalu selepas sebuah dron yang mengesannya terhempas di kawasan berdekatan.


Semasa mencari dron yang terhempas, mereka menemui sebuah khemah yang kelihatan usang, apabila khemah dibuka mendapati wanita itu ada didalamnya dengan keadaan lesu dan kurang bermaya.


"Wanita ini kehilangan berat badan ketara dan sangat lemah, tetapi dia pandai mencari ikhtiar meneruskan hidup," katanya dalam satu kenyataan.


Pihak berkuasa percaya wanita itu secara sukarela berpindah ke Diamond Fork Canyon dan bergantung kepada sedikit makanan yang dibawanya termasuk rumput dan lumut. Dia juga dilaporkan mendapatkan air dari sungai berhampiran.



Jabatan Sherif Utah mula melakukan misi mencari dan menyelamat wanita itu pada November 2020 selepas pegawai Jabatan Hutan Amerika Syarikat menemui kenderaannya terbengkalai di kawasan tapak perkhemahan sebelum menggunakan dron mengesan wanita itu.


Wanita itu dihantar ke hospital berdekatan untuk melalui ujian kesihatan mental namun sukar kerana kemungkinan wanita itu memilih kembali menetap di hutan itu.


"Dia kemungkinan melalui cabaran kesihatan mental ketika tinggal dalam hutan. Kami ingin jelaskan, walaupun ramai orang memilih untuk tidak hidup seperti wanita ini namun wanita ini tidak melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang," kata jabatan itu dalam New York Post. Sumber: New York Post


Wanita yang hilang enam bulan lalu ditemui masih hidup dengan menetap dalam khemah di hutan Utah.

Isnin, 3 Mei 2021

4 tahun hidup sendirian atas kapal yang terdampar tengah lautan tanpa elektrik

4 tahun hidup sendirian atas kapal yang terdampar tengah lautan tanpa elektrik


Setelah menghabiskan hampir empat tahun di kapal dan terdampar di Terusan Suez, pesisir Mesir, pelayar Syria akhirnya dibebaskan dan diterbangkan pulang ke Syria. Episod hitam hidup Mohammed Aisha bermula sejak dia menaiki kapal MV Aman pada Mei 2017 sebelum dinaikkan pangkat kepada ketua pegawai kapal itu.


Dua bulan selepas belayar, perjalanan mereka terganggu apabila pihak pelabuhan Mesir menahan kapal kargo 4,000 tan itu kerana peralatan keselamatan tamat tempoh. Cukup mudah untuk menyelesaikan masalah itu, tetapi kontraktor kapal tidak membayar bahan bakar dan pemilik MV Aman di Bahrain menghadapi masalah kewangan.


Selepas Kapten kapal warga Mesir, meninggalkan kapal itu, pihak berkuasa tempatan menyatakan bahawa Mohammed, ketua pegawai kapal dan penjaga sah MV Aman. Mohammed, yang dilahirkan di bandar Tartus, pelabuhan Syria, mengatakan bahawa dia tidak diberitahu apa maksud pesanan itu dan hanya diketahui beberapa bulan kemudian, ketika kru yang lain mula berangkat.


Mohammed kemudiannya dijadikan taruhan sebagai 'penjaga sah' yang membuatkan dia tidak boleh meninggalkan kapal itu sehingga dijual atau dipindah milik kepada orang lain. Undang-undang Mesir mewajibkan dia untuk tetap berada di atas kapal dan dia tidak dibayar.



Tanpa minyak kapal itu bukan hanya tidak boleh bergerak, tetapi tidak dapat membekalkan kuasa elektrik. Ia menyebabkan keadaan Mohammed bertambah genting termasuk tinggal dalam persekitaran tidak terurus dengan dikelilingi tikus dan serangga di atas kapal itu.


"Kamu tidak nampak atau mendengar apa-apa. Macam duduk dalam keranda. Lebih menyedihkan, saya tidak dapat pulang melihat ibu yang meninggal dunia pada Ogos 2018. Ia membuatkan saya tertekan termasuk terfikir mengakhiri hidup saya," katanya kepada BBC News.


Menurutnya, nasibnya mula berubah pada Mac tahun 2020 lalu apabila kejadian ribut menghanyutkan kapal itu dari pelabuhannya, berhampiran pesisir pantai yang membolehkannya berenang ke pantai mencari makanan dan mengecas telefonnya.


Berita mengenai dirinya tersebar dan menjadi tajuk bahan utama berita sehingga dia dibebaskan oleh Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) pada Khamis lalu selepas wakil dari organisasi itu mengambil hak penjagaan kapal kargo itu secara sah.


"Apa yang saya rasa? Rasa macam bebas dari penjara. Akhirnya saya dapat bersatu dengan keluarga," kata Mohammed Aisha.



Wakil ITF Mohamed Arrachedi menyifatkan situasi dialami Mohammed itu satu kes yang sangat mengecewakan yang pernah dikendalikannya.


"Penderitaan yang menghimpit Mohammed dapat dielakkan jika pemilik kapal dan pihak lain yang bertanggungjawab melakukan perkara yang betul sejak awal lagi," katanya.


Sementara itu, Mohammed Aisha mengatakan dia merasa terperangkap dalam situasi yang bukan salahnya, dipengaruhi oleh undang-undang Mesir dan diabaikan oleh pemilik kapal. Dia mengatakan berbulan-bulan dia ditinggalkan tanpa komunikasi membuatnya sangat kecewa.


Katanya, kes itu membuatnya berfikir dua kali untuk kembali ke laut. Namun, dia tetap nekad mengatakan bahawa dia hanya pandai dalam pekerjaannya dan tidak mahu mana-mana selain meneruskan pekerjaan yang ditinggalkannya. Rujukan: BBC NewsHarian Metro


Ribut hanyutkan kapal ke pelabuhan berhampiran pesisir pantai dan membolehkan Mohamed berenang ke pantai mencari makanan dan mengecas telefonnya.

Ribut hanyutkan kapal ke pelabuhan berhampiran pesisir pantai dan membolehkan Mohamed berenang ke pantai mencari makanan dan mengecas telefonnya.

Kapal kargo yang sudah tidak terurus menjadi tempat tinggal Mohammed selama empat tahun.

Kapal kargo yang sudah tidak terurus menjadi tempat tinggal Mohammed selama empat tahun.

Ahad, 2 Mei 2021

 32 tahun hidup bersendirian di pulau terpencil, lelaki berusia 81 tahun akhirnya akur diarah berpindah

32 tahun hidup bersendirian di pulau terpencil, lelaki berusia 81 tahun akhirnya akur diarah berpindah


Boleh anda bayangkan bagaimana rasanya tinggal sendirian dan terasing dari dunia luar? Itulah dilakukan oleh Mauro Morandi sejak 32 tahun lalu, apabila mengambil keputusan untuk menetap di Pulau Budelli, Itali sebagai penjaga.


Bagaimanapun Mauro, 81, kini terpaksa mengucapkan selamat tinggal selepas akur dengan perintah pihak berkuasa yang memintanya meninggalkan pulau itu.


Itu pun selepas pihak berkuasa di Sardinia, Itali sudah beberapa kali memberi amaran dan mengugut untuk mengusirnya secara paksa dari pulau itu, Mauro tetap dengan keputusannya untuk tinggal di situ.


"Saya akan pergi dan berharap Budeli akan dilindungi seperti telah saya lakukan selama 32 tahun lalu," katanya kepada BBC.



Mauro telah tinggal di Budelli sejak tahun 1989. Pada mulanya, Mauro tiba di Budelli secara tidak sengaja. Pada masa itu, Mauro cuba berlayar ke Polinesia. Namun, kapal itu mengalami masalah, dan akhirnya mendarat di Budelli.


Sejak itu, Mauro memutuskan untuk tinggal di Budelli. Dia terpesona dengan keindahan pulau kecil itu dan mengambil keputusan untuk tinggal di situ. Kebetulan, penjaga pulau itu sudah mahu bersara dan Mauro mengambil alih tugasnya sehingga kini.


Semasa tinggal di Budelli, Mauro tinggal di pondok yang didirikannya di tempat perlindungan bekas Perang Dunia II. Dia bekerja membimbing pelancong yang datang ke Budelli, dan mengurus ekosistem di sana.


Namun, peranannya sebagai penjaga tidak lagi berfungsi selepas Taman Nasional La Maddalena mengambil alih pemilikan pulau itu pada 2015. Sejak itu Mauro menghabiskan masanya cuba mempertahankan haknya tinggal di pulau itu sehinggalah dia berputus asa dan bersetuju berpindah daripada pulau itu.


Pada tahun 2020 presiden Taman Negara La Maddalena, mengatakan kepada bahawa Mauro telah melakukan perubahan secara tidak sah kediamannya. Bagi membantu Mauro memulakan kehidupan baharu, pihak berwajib mencarinya sebuah apartment kecil sebagai tempat tinggal baharunya. Sumber: BBC News





Selasa, 2 Februari 2021

Lebih 40 tahun sembunyi dalam hutan, lelaki ini fikir dunia masih dalam peperangan

Lebih 40 tahun sembunyi dalam hutan, lelaki ini fikir dunia masih dalam peperangan

(Kiri) Ho Van Lang dan (kanan) Ho Van Thanh yang terpaksa diangkat kerana sudah uzur.

Pernah anda terbayang dalam kepesatan pembangunan teknologi moden, masih ada manusia di dunia ini yang jauh tertinggal? Kisah realiti seakan hampir sama dengan kartun Tarzan yang menjadi kegilaan anak-anak muda pada suatu ketika dahulu.


Walaupun kisah ini sudah agak lama mungkin masih ramai yang tak tahu. Kejadian 'pelik tapi benar' ini berlaku di Hanoi, Vietnam, pada Ogos 2013 beberapa tahun lalu, apabila seorang lelaki Ho Van Thanh, berusia 82 tahun (pada 2013), dan anak lelakinya, Ho Van Lang, berusia 41 tahun dijumpai tinggal di sebuah hutan.


Mereka berdua dipercayai hilang semasa perang negara dengan Amerika Syarikat kira-kira 48 tahun lepas. Kisah bermula apabila Thanh membawa lari Lang ke dalam hutan pada tahun 1972 selepas isteri dan dua anaknya terkorban ketika Vietnam sedang berdepan dengan konflik Perang Vietnam bersama Amerika Syarikat.


Dia melarikan diri dengan membawa anaknya berusia dua tahun ke dalam hutan dan sejak itu tidak pernah berhubung dengan manusia lain. Dia mulakan kehidupan di dalam hutan bersama anaknya, Thanh mula beradaptasi dengan kehidupan baharunya dengan membina rumah di atas pokok, menghasilkan pakaian daripada kulit kayu dan daun selain daripada memburu haiwan liar untuk dijadikan makanan.



Mereka berdua ini ditemui apabila penduduk kampung berhampiran memasuki hutan tersebut dan membuat perjalanan sejauh 40 kilometer untuk mencari kayu. Paling mengejutkan, apabila mereka terjumpa dua rumah pokok milik Thanh dan Lang. Penemuan mereka ini terus dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.


Ketika dijumpai, jelas keterujaan dan kekaguman di wajah keduanya melihat dunia luar yang jauh berbeza dengan apa yang mereka ada di dalam hutan. Thanh dapat berkomunikasi dalam bahasa etnik minoriti Cor, manakala Lang hanya tahu beberapa patah perkataan ujar Pegawai Tay Tra.


Menurut Hoang Anh Ngoc, Ketua Daerah Hanoi, meminta pegawainya untuk mengawasi mereka berdua untuk memastikan mereka tidak kembali semula ke hutan. Penemuan mereka ini secara tidak langsung mengejutkan pelbagai pihak dan ramai sudah menyangka mereka sudah mati.


Mereka juga tidak pernah berkomunikasi dengan siapa-siapa sepanjang berada di hutan tersebut. Anak beranak itu kelihatan tidak bermaya dan memakai kain pinggang dan kemeja yang terbuat daripada kulit pokok ketika dijumpai. Thanh telah dirawat di pusat perubatan manakala Lang dijaga sendiri oleh keluarganya.


Pada tahun 2017, Thanh yang sudah berusia 86 tahun meninggal dunia dan pada ketika itu Lang mula menghabiskan waktunya di kawasan padang sejauh 4 kilometer dari kawasan kampung tempat beliau tinggal.


Thanh ketika dirawat di pusat perubatan dan gambar selepas keluar dari hospital - Foto The Sun.

Ho Van Lang, pada Mei 2020. - Foto VN Express.

Ahad, 25 Mac 2018

Penempatan di tengah lautan terpisah dari dunia luar sejak sekian lama

Penempatan di tengah lautan terpisah dari dunia luar sejak sekian lama


Pernahkah anda membayangkan tinggal di sebuah desa terpencil bersuasanakan tumbuhan menghijau, dikelilingi lautan terbentang luas? Perkampungan terpencil ditengah kawah gunung berapi ini mungkin apa yang anda sedang bayangkan. Pulau Aogashima terasing dari dunia luar sesuai bagi anda yang ingin mencari ketenangan dari kesibukan kota untuk bercuti.

Aogashima adalah sebuah pulau vulkanik yang memiliki kawah besar di tengahnya. Pulau ini berada di kawasan kepulauan Izu perairan Filipina. Aogashima adalah pulau gunung berapi tropika di laut Filipina, berkeluasan 3.5 kilometer panjang dan 2.5 kilometer lebar maksimum. Pulau ini dikendalikan oleh Jepun walaupun terletak kira-kira 358 kilometer di selatan Tokyo.

Tidak banyak butir-butir tentang bagaimana pulau itu mula dihuni, tetapi rekod sejarah menunjukkan bahawa sejak abad ke-17 sudah ada orang tinggal disini. Seramai 205 orang sahaja penduduk mendiami pulau Aogashima ketika itu, dan kebanyakannya berasal dari Jepun.

Aogashima island

Aogashima island

Aogashima island

Dalam satu catatan yang disimpan di Hachijo-jima, merekodkan tentang aktiviti gunung berapi di pulau Aogashima pada tahun 1652. Pada 1670 sehingga 1680 merupakan tahun paling banyak letusan berlaku, disusuli gempa bumi yang berlaku pada Mei 1781 juga menyebabkan letusan.

Pada bulan April 1783, lava dari pusat letusan mengalir mengakibatkan 63 isi rumah di pulau itu berpindah. Semasa letusan besar-besaran pada tahun 1785, kira-kira 327 penduduk tinggal di pulau ini dan seramai 130 hingga 140 yang mati. Sejak itu, penduduk Aogashima selalu waspada kemungkinan ada letusan susulan yang akan berlaku bila-biasa masa.

Hingga kini, gunung berapi di Pulau Aogashima masih aktif. Kini, pulau ini merupakan salah satu destinasi tarikan pelancongan yang ingin mencuba hiking atau berkhemah di sekitar kawah gunung berapi. Ditengah pulau ini terdapat sebuah kolam geotermal, sesuai untuk mereka yang ingin menikmat kehangatan mandian air panas semulajadi.

Untuk datang ke pulau Aogashima, pengunjung boleh menggunakan bot atau helikopter. Selain aktiviti berhiking, menyelam juga merupakan pilihan kebanyakan pelancong yang datang di pulau ini.