Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Ahad, 17 Julai 2022

Bagaimanakah bangunan berusia 100 tahun seberat 3,800 tan ini 'berjalan' ke lokasi baharu?

Bagaimanakah bangunan berusia 100 tahun seberat 3,800 tan ini 'berjalan' ke lokasi baharu?


Sebuah bangunan di bandar raya Shanghai yang berusia 100 tahun seberat 3,800 tan diangkat dan dipindahkan ke lokasi lain dengan bantuan teknologi digelar 'mesin berjalan', lapor laman berita Wion News pada 10 Julai 2022.


Bangunan itu dipindahkan dari kedudukan asalnya pada 8 Julai sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian. Ia merupakan projek pe­ngangkutan binaan terbesar dan paling berat di bandar raya itu.


Selepas kiraan dan ukuran tepat diambil, rel-rel gelongsor dipasang di bahagian bawah bangunan tersebut bagi menolaknya ke kedudukan yang telah dikhaskan.


Sokongan yang diletakkan bertindak seperti kaki robotik, di mana ia dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu yang bergerak naik dan turun secara berganti-ganti seperti kaki manusia.



Sebilangan sensor juga di­letakkan untuk membantu me­ngawal bagaimana bangunan itu bergerak ke hadapan.


"Ia seperti memberikan tongkat kepada bangunan itu supaya boleh berdiri dan berjalan," kata Lan Wuji, Ketua Penyelia Teknikal bagi projek tersebut.


Pemindahan struktur binaan itu merupakan proses mengangkat keseluruhan bangunan dari tapak asal dan memindahkannya ke lokasi lain.


Ia merupakan satu kaedah yang semakin banyak digunakan untuk memulihara bangunan bersejarah yang mungkin akan dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.


Teknologi itu juga digunakan untuk memindahkan bangunan ke lokasi lebih selamat berikutan ancaman banjir.


Pada tahun 2020, sebuah bangunan di kota raya Shanghai telah dipindahkan dengan menggunakan teknologi yang sama. Bangunan tersebut merupakan sebuah sekolah berusia 85 tahun dan setinggi lima tingkat di daerah Huangpu. - Sumber Wion News.


Rel gelongsor dipasang di bahagian bawah bangunan tersebut bagi menolaknya ke kedudukan yang telah dikhaskan. - Foto CGTN.

Tangkapan skrin daripada video oleh CGTN memaparkan sebuah bangunan berusia berabad-abad dipindahkan. - Sumber GGTN.

Bangunan itu dipindahkan dari kedudukan asalnya pada 8 Julai lalu sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian. - Foto GGTN.

Khamis, 14 Julai 2022

NASA mahu tempatkan reaktor nuklear di Bulan untuk menjana tenaga kepada koloni manusia

NASA mahu tempatkan reaktor nuklear di Bulan untuk menjana tenaga kepada koloni manusia


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang untuk menempatkan reaktor nuklear mini di Bulan bagi menjana tenaga kepada koloni manusia, lapor akhbar Daily Star pada 11 Julai 2022.


Agensi itu berharap untuk menghantar manusia ke Bulan menjelang 2025, berkata ia melihat tenaga nuklear sebagai pilihan terbaik untuk menjana infrastruktur di Bulan.


Susulan itu, NASA mengambil masa 15 tahun untuk membangunkan reaktor nuklear dinamakan KRUSTY bagi tujuan tersebut. Ia memiliki saiz sebuah roket tetapi cukup berkuasa membekalkan tenaga ke sejumlah isi rumah.


KRUSTY menggunakan bahan api nuklear untuk menjana tenaga dan mampu menjana tenaga untuk kenderaan rover, makmal, perumahan dan peralatan saintifik lain.


Bagaimanapun, misi mendaratkan bahan nuklear dengan selamat di Bulan boleh menjadi satu cabaran. NASA masih belum menentukan sama ada reaktor itu boleh menahan tekanan semasa penerbangan di angkasa lepas.


Bagaimanapun, penghantaran bahan api nuklear ke Bulan dari Bumi dikatakan agak selamat kerana bahan api berkenaan mempunyai tahap radiasi yang rendah.


Walaupun roket itu meletup semasa meninggalkan atmosfera Bumi, ia tidak mungkin menyebabkan letupan nuklear yang besar.


NASA mengatakan bahawa jika reaktor nuklear berjaya ditempatkan di Bulan, ia juga akan dihantar ke Marikh untuk membekalkan kuasa kepada penempatan di planet itu. - Sumber Daily Star.


BACA: Elon Musk berkata manusia akan berada di planet Marikh menjelang 2029.


Reaktor nuklear KRUSTY direka untuk membekalkan tenaga kepada bangunan di Bulan. - Foto NASA.

Khamis, 7 Julai 2022

Ketua NASA Dakwa China Mahu Tuntut Bulan Sebagai Haknya

Ketua NASA Dakwa China Mahu Tuntut Bulan Sebagai Haknya


Pentadbir Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Bill Nelson baru-baru ini menyatakan China mahu menuntut bulan sebagai haknya, lapor Newsweek pada 4 Julai 2022.


Nelson, yang mengangkat sumpah sebagai ketua NASA pada Mei tahun lalu, dan juga merupakan bekas senator Amerika Syarikat (AS) membuat kenyataan itu dalam temu bual dengan akhbar Bild di Jerman, pada hari Sabtu lalu.


Beliau berkata bahawa penerokaan angkasa lepas China harus menjadi kebimbangan semua pihak. Ini kerana pada suatu hari nanti, Beijing didakwa akan mendarat di bulan dan menyatakan ia adalah miliknya.


Beliau juga mendakwa China akan menggunakan pangkalan di bulannya untuk mengkaji kemungkinan menembak jatuh satelit negara lain. Namun, Nelson tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya itu.


Bagaimanapun, Zhao Lijian, jurucakap Kementerian Luar China, membalas kenyataan itu semasa sidang media kementerian pada hari Isnin.


"Ini bukan kali pertama pentadbir NASA membidas China dengan mengenepikan fakta. Sesetengah pegawai AS telah bercakap secara tidak bertanggungjawab untuk menyalahgambarkan usaha angkasa lepas biasa dan sah China.


"China tidak bercadang untuk menuntut bulan, kami dengan tegas menolak kenyataan sedemikian," kata Lijian.


Lijian terus menuduh AS telah mendefinisikan ruang angkasa sebagai domain berperang, dan telah menghalang kerjasama angkasa lepas, dengan sengaja mengenakan sekatan ke atas agensi angkasa negara lain.


Tambahnya, AS juga meluluskan undang-undang untuk melarang semua bentuk kerjasama dan pertukaran angkasa lepas dengan China.


China sebelum ini menyatakan bahawa ia merancang untuk menghantar angkasawan ke bulan menjelang tahun 2025 dan bertapak di sana menjelang tahun 2035 melalui kerjasama dengan Rusia. AS juga mempunyai rancangan yang sama termasuk menubuhkan pangkalan di bulan. - Sumber Newsweek.


Gambar menunjukkan kapal angkasa Chang'e-5 mendarat di Bulan pada tahun 2020 lalu. - Foto AFP/Agensi Berita Xinhua.

Selasa, 28 Jun 2022

Tanah di Planet Marikh menunjukkan keadaan boleh didiami untuk kehidupan jangka panjang

Tanah di Planet Marikh menunjukkan keadaan boleh didiami untuk kehidupan jangka panjang


Adakah pernah wujud kehidupan di Planet Marikh? Penyelidikan terus dijalankan untuk membongkar persoalan ini, dan kajian terbaru mendapati bahawa tanah di Marikh mempamerkan keadaan yang boleh didiami untuk kehidupan jangka panjang.


Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa satu bahagian planet itu boleh menampung kehidupan beberapa kali selama berbilion tahun.


Kesimpulan itu dicapai melalui kajian menyeluruh terhadap imej yang diambil oleh Mars Reconnaissance Orbiter, sebuah kapal angkasa pengorbit yang direka untuk mengelilingi dan meneliti kandungan tanah di Marikh dengan lebih terperinci.


Menerusi lapor Science Alert pada 26 Jun 2022, saintis mengenal pasti sedimen yang mengandungi tanah liat di utara Ladon Valles, selatan lembangan Ladon, dan dataran tinggi barat daya di sekitar lembangan Ladon di Marikh.


Kesemuanya adalah sebahagian daripada kawasan Margaritifer Terra atau kawasan Marikh purba yang banyak berkawah. Tanah liat mempamerkan kehadiran air jangka panjang kerana ia terbentuk di bawah keadaan pH neutral dengan penyejatan air yang minimum.


Tanah di Marikh mempamerkan keadaan yang boleh didiami menurut pasukan penyelidik, berdasarkan air yang mengalir di tempat itu dari kira-kira 3.8 bilion tahun hingga kira-kira 2.5 bilion tahun lalu.


"Selain itu, sedimen berbilang lapisan berwarna terang yang menunjukkan lapisan celupan dan tanah liat yang agak rendah sepanjang 200 kilometer adalah bukti bahawa sebuah tasik kemungkinan besar wujud dalam lembangan Ladon dan Ladon Valles utara, " kata Catherine Weitz, seorang saintis di Institut Sains Planet di Arizona.


Walaupun kajian mendapati bahawa tanah di Marikh boleh didiami, ia bukan bukti kehidupan, tetapi ia menunjukkan keadaan yang mungkin menyokong kehidupan.


Penyelidikan ini adalah kajian terbaru untuk mentafsir keadaan Marikh dengan apa yang boleh dilihat dari permukaan dan sedimen.


"Keadaan tasik yang rendah tenaga dan kehadiran tanah liat juga menyokong persekitaran yang baik untuk kehidupan pada masa itu," tambahnya.


Tambahan pula, penyelidik mengesyaki bahawa tanah liat pada asalnya terbentuk di sekitar kawasan yang lebih tinggi di atas lembangan Ladon, sebelum dihakis oleh saluran air dan diangkut ke hilir ke sebuah tasik di lembangan Ladon dan utara Ladon Valles. Aliran air itu kemudiannya akan berlaku di sepanjang lembangan Ladon barat daya.


Kajian baharu itu juga menyokong idea bahawa air yang mengalir pernah menjadi sebahagian besar landskap Marikh dan mungkin membawa kehidupan bersamanya. Ini kerana taburan tanah liat dan batuan lain yang ditemui adalah konsisten dengan air di sekelilingnya.


Apatah lagi, tanah liat merupakan sumber nutrien dan penstabil kepada persekitaran sekeliling supaya peluang organisma untuk terus hidup meningkat dengan ketara.


"Keadaan yang boleh dihuni mungkin berlaku berulang kali di rantau ini, sekurang-kurangnya secara berkala," tulis para penyelidik dalam laporan mereka yang diterbitkan di Icarus. - Sumber Science Alert.


Ilustrasi air di Marikh. Tanah di Marikh dikatakan mempunyai keadaan yang boleh didiami. - Foto Planetary Science Institute via Science Alert.

Isnin, 20 Jun 2022

Sebuah syarikat tawar khidmat simpan mayat untuk 'dihidupkan semula' hanya perlu bayar RM456,327

Sebuah syarikat tawar khidmat simpan mayat untuk 'dihidupkan semula' hanya perlu bayar RM456,327


Sebuah syarikat di Australia menawarkan peluang kepada orang ramai untuk 'kembali hidup selepas mati', dengan cara menyimpan mayat mereka di dalam peti sejuk beku kriogenik sehingga dihidupkan kembali oleh sains pada masa akan datang, lapor akhbar Daily Star pada 18 Jun 2022.


Menerusi perkhidmatan disediakan syarikat bernama Cryonics itu, badan peserta akan direndam di dalam cecair nitrogen dan disimpan di dalam peti keluli pada suhu sekitar -200 darjah Celsius.


Menurut akhbar Daily Mail, keadaan itu akan membuatkan otak manusia berpeluang untuk hidup sekiranya peti tersebut bocor.


Cryonics ialah pembekuan suhu rendah dan penyimpanan mayat manusia, dengan harapan bahawa kebangkitan semula manusia akan berlaku di masa hadapan.


"Sebaik sahaja kemajuan perubatan tertentu berjaya dicapai pada masa hadapan, peserta mungkin boleh dihidupkan semula," demikian kenyataan pada laman web Cryonics.


Organisasi bukan untung itu kini mempunyai 40 ruang, yang kebanyakannya telah dikhaskan untuk pengasasnya. Walau bagaimanapun, projek itu mempunyai rancangan untuk menambah 600 lagi ruang penyimpanan.


Syarikat itu adalah yang pertama seumpamanya di Australia. Kemudahan berteknologi tinggi itu dibangunkan di sebuah kawasan pedalaman di Holbrook dalam negeri New South Wales.


Individu yang berminat perlu membayar sekitar £84,793 (RM456,327) untuk mendaftar. Bagaimanapun, tiada jaminan atau bayaran balik bagi sesiapa yang cukup berani untuk mendaftar. - Sumber Daily Star.


Gambar menunjukkan ruang simpanan mayat yang disediakan oleh syarikat Cryonics di Australia. - Foto Cryonics Institute.

Jumaat, 17 Jun 2022

Teleskop bernilai RM43 bilion 'James Webb' dihentam Meteoroid

Teleskop bernilai RM43 bilion 'James Webb' dihentam Meteoroid


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) mendedahkan Teleskop Angkasa Lepas James Webb (JSWT) bertembung dengan meteoroid pada Rabu 8 Jun 2022 lalu. Ia adalah insiden perlanggaran kelima dalam tempoh enam bulan selepas pelancarannya.


Meteoroid kecil yang menghentam Teleskop itu yang baru digunakan pada Mei lalu telah mengenai satu cermin bersalut emasnya.


"Batu angkasa kecil menghentam teleskop bernilai AS$10 bilion (RM43 bilion) hingga memberi sedikit kesan kepada data teleskop itu. Selepas penilaian awal, pasukan mendapati teleskop itu masih berfungsi pada tahap yang melebihi semua keperluan misi.


"Analisis dan pengukuran menyeluruh sedang dijalankan, manakala jurutera sudah memulakan pelarasan semula pada cermin yang terjejas," kata NASA dalam satu kenyataan.


Bagaimanapun, hentaman kelima dan terbesar kepada teleskop itu sejak pelancarannya pada Disember lalu tidak akan mengubah jadual balai cerap mengorbit untuk beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.


James Webb berada di orbit Matahari kira-kira 1.6 juta kilometer dari Bumi sejak Januari lalu dan dijangka menghasilkan imej kosmos berwarna penuh pertamanya pada Julai ini.


Cermin James Webb direka bentuk untuk menahan hentaman zarah bersaiz habuk yang terbang pada had laju melampau di angkasa, tetapi kesan terbaru dilihat lebih besar daripada yang dimodelkan serta melebihi apa yang boleh diuji oleh pasukan di atas tanah.


Agensi angkasa AS yang menggelar impak itu sebagai 'peristiwa kebetulan yang tidak dapat dielakkan' berkata, ia sudah mengadakan satu pasukan jurutera untuk mengkaji cara mengelakkan kesan masa depan daripada batuan angkasa yang serupa.


Teleskop itu adalah kerjasama antarabangsa bersama Eropah dan Kanada yang diketuai oleh NASA. Northrop Grumman Corp ialah kontraktor utama. - Sumber Space.com


Teleskop Angkasa Lepas James Webb. - Foto NASA.

Khamis, 9 Jun 2022

China rancang cari planet baharu untuk dihuni manusia bagi menggantikan Bumi

China rancang cari planet baharu untuk dihuni manusia bagi menggantikan Bumi


Akademi Sains China (CAS) dikatakan sedang merancang mencari planet baharu bagi menggantikan Bumi untuk dihuni manusia, lapor CNN Indonesia pada 22 Mei 2022.


Pencarian planet itu telah dilakukan dengan menggunakan teleskop angkasa lepas berkonsep penyelidikan, yang disebut sebagai Closeby Habitable Exoplanet Survey (CHES).


Balai cerap akan mencari planet seperti Bumi dalam zon boleh huni (HZs) dalam jarak sekitar 33 tahun cahaya, dengan menggunakan kaedah dikenali sebagai astrometri relatif mikro arka-saat.


Astrometri mengambil ukuran tepat mengenai kedudukan dan gerakan yang tepat dari segi posisi objek-objek di angkasa dan bandingkannya dengan bintang-bintang.


Jika misi itu berjaya, China akan menjadi negara pertama yang mencari planet seperti Bumi yang boleh dihuni selain daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Bagi setiap bintang yang diperhatikannya, CHES akan mengukur gangguan dinamik yang kecil disebabkan exoplanet yang mengorbit sekali gus memberikan anggaran yang tepat tentang jisim dan tempoh orbitnya.


"Astrometri relatif untuk CHES boleh mengukur dengan tepat pemisahan sudut mikro arka-saat antara bintang-bintang sasaran tunggal selain enam hingga lapan bintang rujukan.


"Berdasarkan ukuran kecil ini, kami dapat mengesan sama ada terdapat planet berdaratan di sekitarnya," ulas Ji Jianghui iaitu profesor di Universiti Sains dan Teknologi Nanjing.


Ji Jianghui menambah, selain daripada mencari planet yang serupa dengan Bumi, projek angkasa lepas itu juga akan mencari jawapan kepada pelbagai persoalan mengenai sistem suria. - Sumber CNN Indonesia.


Teleskop 'terbang' yang ada di luar angkasa pernah digunakan oleh Swiss dan ESA bernama CHEOPS. - Foto IST.