Khamis, 7 Julai 2022

Ketua NASA Dakwa China Mahu Tuntut Bulan Sebagai Haknya


Pentadbir Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Bill Nelson baru-baru ini menyatakan China mahu menuntut bulan sebagai haknya, lapor Newsweek pada 4 Julai 2022.


Nelson, yang mengangkat sumpah sebagai ketua NASA pada Mei tahun lalu, dan juga merupakan bekas senator Amerika Syarikat (AS) membuat kenyataan itu dalam temu bual dengan akhbar Bild di Jerman, pada hari Sabtu lalu.


Beliau berkata bahawa penerokaan angkasa lepas China harus menjadi kebimbangan semua pihak. Ini kerana pada suatu hari nanti, Beijing didakwa akan mendarat di bulan dan menyatakan ia adalah miliknya.


Beliau juga mendakwa China akan menggunakan pangkalan di bulannya untuk mengkaji kemungkinan menembak jatuh satelit negara lain. Namun, Nelson tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya itu.


Bagaimanapun, Zhao Lijian, jurucakap Kementerian Luar China, membalas kenyataan itu semasa sidang media kementerian pada hari Isnin.


"Ini bukan kali pertama pentadbir NASA membidas China dengan mengenepikan fakta. Sesetengah pegawai AS telah bercakap secara tidak bertanggungjawab untuk menyalahgambarkan usaha angkasa lepas biasa dan sah China.


"China tidak bercadang untuk menuntut bulan, kami dengan tegas menolak kenyataan sedemikian," kata Lijian.


Lijian terus menuduh AS telah mendefinisikan ruang angkasa sebagai domain berperang, dan telah menghalang kerjasama angkasa lepas, dengan sengaja mengenakan sekatan ke atas agensi angkasa negara lain.


Tambahnya, AS juga meluluskan undang-undang untuk melarang semua bentuk kerjasama dan pertukaran angkasa lepas dengan China.


China sebelum ini menyatakan bahawa ia merancang untuk menghantar angkasawan ke bulan menjelang tahun 2025 dan bertapak di sana menjelang tahun 2035 melalui kerjasama dengan Rusia. AS juga mempunyai rancangan yang sama termasuk menubuhkan pangkalan di bulan. - Sumber Newsweek.


Gambar menunjukkan kapal angkasa Chang'e-5 mendarat di Bulan pada tahun 2020 lalu. - Foto AFP/Agensi Berita Xinhua.


EmoticonEmoticon