Ahad, 17 Julai 2022

Bagaimanakah bangunan berusia 100 tahun seberat 3,800 tan ini 'berjalan' ke lokasi baharu?


Sebuah bangunan di bandar raya Shanghai yang berusia 100 tahun seberat 3,800 tan diangkat dan dipindahkan ke lokasi lain dengan bantuan teknologi digelar 'mesin berjalan', lapor laman berita Wion News pada 10 Julai 2022.


Bangunan itu dipindahkan dari kedudukan asalnya pada 8 Julai sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian. Ia merupakan projek pe­ngangkutan binaan terbesar dan paling berat di bandar raya itu.


Selepas kiraan dan ukuran tepat diambil, rel-rel gelongsor dipasang di bahagian bawah bangunan tersebut bagi menolaknya ke kedudukan yang telah dikhaskan.


Sokongan yang diletakkan bertindak seperti kaki robotik, di mana ia dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu yang bergerak naik dan turun secara berganti-ganti seperti kaki manusia.



Sebilangan sensor juga di­letakkan untuk membantu me­ngawal bagaimana bangunan itu bergerak ke hadapan.


"Ia seperti memberikan tongkat kepada bangunan itu supaya boleh berdiri dan berjalan," kata Lan Wuji, Ketua Penyelia Teknikal bagi projek tersebut.


Pemindahan struktur binaan itu merupakan proses mengangkat keseluruhan bangunan dari tapak asal dan memindahkannya ke lokasi lain.


Ia merupakan satu kaedah yang semakin banyak digunakan untuk memulihara bangunan bersejarah yang mungkin akan dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.


Teknologi itu juga digunakan untuk memindahkan bangunan ke lokasi lebih selamat berikutan ancaman banjir.


Pada tahun 2020, sebuah bangunan di kota raya Shanghai telah dipindahkan dengan menggunakan teknologi yang sama. Bangunan tersebut merupakan sebuah sekolah berusia 85 tahun dan setinggi lima tingkat di daerah Huangpu. - Sumber Wion News.


Rel gelongsor dipasang di bahagian bawah bangunan tersebut bagi menolaknya ke kedudukan yang telah dikhaskan. - Foto CGTN.

Tangkapan skrin daripada video oleh CGTN memaparkan sebuah bangunan berusia berabad-abad dipindahkan. - Sumber GGTN.

Bangunan itu dipindahkan dari kedudukan asalnya pada 8 Julai lalu sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian. - Foto GGTN.


EmoticonEmoticon