Memaparkan catatan dengan label Scam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Scam. Papar semua catatan

Selasa, 2 Januari 2024

Janda cantik tipu wang tukang mozek RM29,000

Janda cantik tipu wang tukang mozek RM29,000


Seorang tukang mozek mengalami kerugian kira-kira RM29,000 selepas terpedaya dengan seorang janda melalui satu sindiket jual beli barang online.


Foong Mun Fei, 42 berkata, dia mengenali janda terbabit pada 5 Disember lalu melalui media sosial Facebook sebelum melanjutkan perbualan mereka di dalam aplikasi WhatsApp.


Katanya, janda yang dikenali sebagai Xue itu pada awalnya ingin berkenalan dengan Foong untuk mencari teman hidup selepas bercerai dengan suaminya.


Bagaimanapun, seminggu selepas perkenalan mereka, menerusi WhatsApp, Xue telah menunjukkan kepada Foong satu tangkap layar aplikasi Ubei (Engoogo.com) memberitahu dia telah memasukkan wang sebanyak RM30,000 di dalam aplikasi itu.


"Xue telah meyakinkan saya jika saya membeli barang berupa jam tangan dan barang kemas, saya akan memperolehi keuntungan daripada barangan yang saya beli.


"Pada mulanya saya memasukkan wang sebanyak RM1,000 dan dari situ saya telah ditunjukkan di dalam aplikasi itu saya telah memperoleh keuntungan RM250.


"Kemudian saya telah memasukkan wang sebanyak RM25,000 dan kali ketiga sebanyak RM3,000 namun saya gagal mendapatkan kembali kesemua wang saya dan keuntungan yang dinyatakan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, hari ini.


Mun Fei juga memberitahu, dia melakukan tiga kali transaksi wang ke tiga akaun berbeza sebelum menyedari tertipu dan kehabisan wang simpanan.


"Saya lihat nombor telefon WhatsApp masih aktif namun apabila saya cuba menghubungi Xue, dia tidak membalas dan menjawabnya.


"Saya membuat laporan polis pada 25 Disember lalu dan berharap agar pihak polis dapat melakukan siasatan berkaitan kes ini selain turut menasihatkan kepada orang ramai agar tidak turut menjadi mangsa penipuan sebegini," katanya.


Sementara itu, ADUN Semambu, Chan Chun Kuang berkata, pihaknya sudah berbincang dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis bagi menangani masalah sindiket penipuan yang semakin berleluasa.


"Kita minta agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan dalam masa sama menasihatkan mana-mana pemilik akaun agar tidak terpedaya dan tidak meminjamkan akaun mereka kepada pihak lain kerana bimbang akan disalahgunakan untuk aktiviti penipuan ini," katanya.


Foong Mun Fei (kanan) bersama ADUN Semambu, Chan Chun Kuang dan Wakil MHO, Daniel Khoo menunjukkan salinan aplikasi WhatsApp dan Ubei yang digunakan seorang janda bagi memperdaya Foong sehingga kerugian RM29,000. - Foto Kosmo Online.

Ahad, 31 Disember 2023

Seorang kontraktor rugi lebih RM146,000, tertipu pelaburan bitcoin tak wujud

Seorang kontraktor rugi lebih RM146,000, tertipu pelaburan bitcoin tak wujud


Seorang kontraktor rugi RM146,313.60 selepas tertipu dengan pelaburan bitcoin tidak wujud yang menjanjikan keuntungan mencecah RM12,000 dalam tempoh tiga jam bagi modal serendah RM300.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang berusia 30-an telah tertarik dengan iklan satu skim pelaburan Bitcoin di laman sosial Facebook dan menyertainya pada 26 Disember lalu.


Katanya, mangsa telah berhubung dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp dan diberikan penerangan berkenaan pelaburan tersebut.


"Mangsa dijanjikan dengan pulangan wang lumayan iaitu RM8,000 sehingga RM12,000 dalam masa tiga jam bagi pakej modal serendah RM300.


"Jika mangsa melabur sebanyak RM1,000 dia akan mendapat pulangan RM18,000 sehingga RM25,000 dalam enam jam serta pakej emas iaitu modal RM1,800 pulangan RM30,000 sehingga RM50,000 mengikut kenaikan harga bitcoin semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ujarnya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah membuat pindahan wang sebanyak 12 kali ke sembilan akaun berbeza menggunakan wang simpanannya berjumlah RM146,313.60 pada 27 sehingga 29 Disember lalu.


"Namun, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila tidak memperoleh apa-apa keuntungan daripada pelaburan seperti dijanjikan suspek.


"Dia kemudian hadir di Balai Polis Rumbia semalam bagi membuat laporan mengenai kejadian tersebut dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Khamis, 11 Mei 2023

Suami isteri dipenjara 12,640 tahun selepas didapati bersalah menipu

Suami isteri dipenjara 12,640 tahun selepas didapati bersalah menipu


Mahkamah Thailand, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 12,640 tahun kepada suami isteri selepas bersalah menipu jutaan dolar membabitkan lebih 2,000 mangsa dalam skim Ponzi.


Bagaimanapun, Mahkamah Jenayah Thailand menukar tempoh hukuman mereka kepada 5,056 tahun kerana Wantanee Tippaveth dan suaminya, Methi Chinpha, mengaku melakukan jenayah pada 2019 itu.


The Bangkok Post melaporkan, kedua-dua mereka bagaimanapun dijangka berada di dalam penjara selama dua dekad kerana undang-undang kerajaan yang mengehadkan jumlah penjara mereka kepada 20 tahun setiap seorang.



Semasa perbicaraan, mahkamah mendengar pasangan itu, bersama tujuh individu lain, menjemput orang ramai melalui Facebook antara Mac hingga Oktober 2019, untuk melabur dalam skim simpanan yang didakwa menawarkan pulangan 93 peratus.


Untuk meyakinkan orang ramai, Wantanee kerap menyiarkan video dalam talian mengenai barang kemasnya konon miliknya.


Polis berkata, ia adalah taktik menggambarkan gaya hidupnya yang mewah bagi membantu menarik minat mangsa untuk melabur dalam skim berkenaan.


Pelaburan minimum ialah 1,000 baht. Selepas sembilan bulan, pelabur akan mendapat pulangan sebanyak 930 baht ditambah 1,000 baht atau 1,930 baht secara keseluruhan.


Seramai 2,533 orang menyertai skim tersebut. Jumlah keseluruhan pelaburan ialah 1.3 bilion baht.


Beberapa mangsa melaburkan seluruh simpanan dan rumah mereka, malah ada yang dilaporkan cuba membunuh diri selepas kehilangan harta benda.


Pendakwa raya berkata, sembilan tertuduh dalam kes itu tidak melabur wang yang diamanahkan kepada mereka. Sebaliknya, dana itu dibahagikan antara mereka.


Pendakwa raya mendakwa kesemua sembilan individu berhubung kes itu dengan pelbagai tuduhan penipuan, namun hanya Wantanee dan Methi didapati bersalah, manakala yang lain dibebaskan kerana kekurangan bukti. - Sumber Bangkok Post.


Wantanee Tippaveth dan suaminya, Methi Chinpha. - Foto Facebook.

Selasa, 11 April 2023

Penyamun tukar kod QR bank masjid ke akaun peribadi

Penyamun tukar kod QR bank masjid ke akaun peribadi


Satu klip video yang tular di media sosial Twitter ketika ini menyaksikan seorang pemuda secara sengaja telah menukar kod QR bank amal sebuah masjid kepada kod QR bank peribadinya.


Klip video yang dikongsi itu menunjukkan seorang pemuda yang memakai baju kemeja biru gelap berlegar di kawasan masjid lalu menampal satu kertas kod QR pada tabung masjid yang disediakan.


Difahamkan kejadian ini berlaku di sebuah masjid yang terletak di Jakarta Pusat, Indonesia. Pihak berkuasa Indonesia juga sudah berjaya menahan suspek yang juga seorang pegawai bank.


"Kod QR kotak amal masjid pun jadi sasaran, diganti dengan kod QR peribadi. Semakin canggih cara pencuri beraksi. Syukur kejadian terakam dengan kamera," tulis seorang netizen.


Didakwa pencuri tersebut juga telah melakukan perkara sama di beberapa buah masjid sebelum ini. Insiden ini dapat dikesan selepas salah satu masjid terbabit mempunyai CCTV lalu berjaya merakam perbuatan lelaki ini.


Orang ramai yang menyaksikan klip video tersebut turut terkejut dengan cara yang dilakukan oleh pencuri itu dan menyifatkan cara yang dilakukannya amat bahaya dan tidak disedari orang ramai.


"Kalau kita nak derma kita terus 'scan' sahaja, memang la akan keluar butiran akaun penerima tetapi kita tidak tahu itu penerima sebenar atau tidak, risau benda ini akan berlaku di Malaysia nanti," kata seorang lagi netizen.


"Memang ramai tak terfikir lagi cara mencuri ini, kalau di masjid memang ramai orang akan menderma dengan cara 'scan' kod QR, makin canggih pencuri zaman sekarang," tulis netizen lain.


Tangkap layar seorang pemuda yang menukar kod QR bank amal sebuah masjid kepada akaun peribadinya. - Foto Twitter.

Jumaat, 21 Oktober 2022

Rumah mewah ketua sindiket judi dalam talian bernilai RM9.15 juta disita

Rumah mewah ketua sindiket judi dalam talian bernilai RM9.15 juta disita


Rumah mewah milik ketua sindiket judi dalam talian terbesar di Utara Sumatera, yang bernilai lebih 30 bilion rupiah (RM9.15 juta) di Jalan Palem, Kompleks Cemara Asri, Kecamatan Percut Seituan, Sumatera Utara disita pihak berkuasa pada Selasa, 18 Oktober 2022 lalu.


Polis Sumatera Utara, AKBP Herwansyah berkata, rumah mewah tersebut disita selepas disyaki dibeli hasil aktiviti pengubahan wang haram melalui perniagaan perjudian dalam talian yang dijalankan oleh Apin BK.


Menurutnya, setakat ini yang dirampas adalah berupa bangunan dan tanah yang rata-rata berada di Kompleks Cemara Asri, Kecamatan Percut Seituan.


"Aset yang disita ini terletak di Jalan Palem dan sudah tidak berpenghuni lagi selepas markas perjudian di sebuah kafe diserbu baru-baru ini.


"Rumah mewah ini merupakan aset keempat milik Apin yang disita polis dengan jumlah kesemuanya bernilai lebih 145.79 bilion rupiah (RM44.8 juta)," jelasnya.


Polis Indonesia dilaporkan bekerjasama dengan Polis Malaysia bagi menangkap ketua sindiket perjudian itu.


Apin sebelum itu cuba melarikan diri ke Singapura selepas markas perjudiannya diserbu pihak berkuasa Ogos lalu.


Polis menamakan Apin bersama 15 lagi pekerjanya sebagai suspek kes perjudian dan pengubahan wang haram.


Rumah mewah milik ketua sindiket perjudian dalam talian, Apin BK di Kompleks Cemara Asri di Jalan Palem, Sumatera Utara yang disita pihak berkuasa.

Ahad, 16 Oktober 2022

Wanita ditipu RM141,000 oleh 'angkasawan Rusia' pinjam wang pulang ke Bumi untuk berkahwin dengannya

Wanita ditipu RM141,000 oleh 'angkasawan Rusia' pinjam wang pulang ke Bumi untuk berkahwin dengannya


Seorang warga emas di Jepun kerugian 4.4 juta yen (RM140,992) selepas menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan angkasawan Rusia, yang memerlukan wang untuk terbang kembali ke Bumi untuk mengahwininya, lapor akhbar Daily Mail.


Wanita berusia 65 tahun dari wilayah Shiga itu dilaporkan jatuh cinta dengan lelaki berkenaan selepas berkenalan menerusi aplikasi media sosial Instagram pada Jun lalu, di mana profil lelaki itu dipenuhi dengan foto angkasa.


Suspek dikatakan telah meminta agar mangsa menghantar sejumlah wang untuk membantunya pulang ke Bumi. Lelaki tersebut juga berjanji untuk berpindah ke Jepun dan mengahwini warga emas berkenaan.


Menurut mangsa, 'teman lelakinya' memerlukan wang untuk membayar tambang roket dan yuran pendaratannya di Bumi.


Dia dikatakan mempercayai lelaki tersebut kerana suspek sudah biasa menggunakan akronim melibatkan angkasa lepas seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) atau Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).


Lelaki itu juga telah memuat naik beberapa foto Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), dalam akaun Instagram miliknya.


Mangsa dilaporkan menghantar wang kepada suspek dalam lima transaksi berbeza antara 19 Ogos dan 5 September sebelum melaporkan kepada polis selepas suspek meminta jumlah wang yang lebih banyak.


Tiada laporan dikongsikan sama ada Polis Jepun berjaya menangkap lelaki tersebut atau menunggu dia benar-benar kembali ke Bumi. - Sumber Daily Mail.


Lelaki itu mengaku dia seorang angkasawan Rusia yang bertugas di ISS. - Foto NASA.

Khamis, 18 Ogos 2022

Ahli perniagaan berusia 28 tahun didakwa ubah wang haram RM2.04 juta, beli perniagaan sushi

Ahli perniagaan berusia 28 tahun didakwa ubah wang haram RM2.04 juta, beli perniagaan sushi


Seorang ahli perniagaan wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di Raub, pada Rabu atas lima pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM2,042,628.84 pada tahun 2021.


Bagaimanapun tertuduh Norida Syakira Agus Hadi, 28, yang beralamat di Banting, Selangor, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.


Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 8 Jan 2021 hingga 20 Jun 2021, menerusi akaun syarikatnya DSS Berkat Enterprise di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Lipis, Pahang.


Norida Syakira didakwa melakukan kesalahan itu dengan membeli perniagaan sushi bernilai RM1.317 juta, selain memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM242,770, RM369,700 dan RM32,500 serta didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM80,000.


Dia dituduh mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.


Timbalan Pendakwa Raya AMLA Rohaiza Zainal menawarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, memandangkan tertuduh telah didakwa dengan satu pertuduhan di mahkamah itu, selain empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam melibatkan nilai jutaan ringgit pada 24 Feb lepas.


Bagaimanapun, peguam M Manoharan yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak berkeupayaan untuk membayar jaminan, setelah menjelaskan jaminan sebanyak RM17,500 di Shah Alam dan berharap jaminan itu boleh diguna pakai di sini.


Ahmad Faizadh kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan meletakkan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.


Tertuduh dilihat menangis selepas selesai perbicaraan sebelum diikat jamin oleh suaminya yang turut hadir di mahkamah. - Sumber Harian Metro.


Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen. - Foto Bernama.