Ahad, 31 Disember 2023

Seorang kontraktor rugi lebih RM146,000, tertipu pelaburan bitcoin tak wujud


Seorang kontraktor rugi RM146,313.60 selepas tertipu dengan pelaburan bitcoin tidak wujud yang menjanjikan keuntungan mencecah RM12,000 dalam tempoh tiga jam bagi modal serendah RM300.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang berusia 30-an telah tertarik dengan iklan satu skim pelaburan Bitcoin di laman sosial Facebook dan menyertainya pada 26 Disember lalu.


Katanya, mangsa telah berhubung dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp dan diberikan penerangan berkenaan pelaburan tersebut.


"Mangsa dijanjikan dengan pulangan wang lumayan iaitu RM8,000 sehingga RM12,000 dalam masa tiga jam bagi pakej modal serendah RM300.


"Jika mangsa melabur sebanyak RM1,000 dia akan mendapat pulangan RM18,000 sehingga RM25,000 dalam enam jam serta pakej emas iaitu modal RM1,800 pulangan RM30,000 sehingga RM50,000 mengikut kenaikan harga bitcoin semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ujarnya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah membuat pindahan wang sebanyak 12 kali ke sembilan akaun berbeza menggunakan wang simpanannya berjumlah RM146,313.60 pada 27 sehingga 29 Disember lalu.


"Namun, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila tidak memperoleh apa-apa keuntungan daripada pelaburan seperti dijanjikan suspek.


"Dia kemudian hadir di Balai Polis Rumbia semalam bagi membuat laporan mengenai kejadian tersebut dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.


EmoticonEmoticon