Memaparkan catatan dengan label Scam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Scam. Papar semua catatan

Selasa, 19 Julai 2022

Wanita dakwa ditipu, beli telefon murah online, dapat sebungkus garam

Wanita dakwa ditipu, beli telefon murah online, dapat sebungkus garam


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang wanita yang tertipu setelah membeli telefon bimbit murah secara online tetapi menerima sebungkus garam, lapor laman berita Suarasumbar.id pada 17 Julai 2022.


Menerusi video yang dimuat naik dalam akaun Instagram @statusfakta, wanita terbabit meminta penghantar barang membuka bungkusan untuk mengetahui barang yang diterimanya.


Wanita itu curiga dengan kandungan bungkusan yang dihantar kepadanya. Dia curiga kerana harga telefon bimbit yang dibeli sangat murah.


Penghantar barang itu membuka bungkusan tersebut menggunakan pisau pemotong.


"Saya takut ia mengandungi sabun atau sebagainya. Kalau tipu saya akan pulangkan dan video ini saya hantar kepada penjual," katanya.


Tidak lama kemudian, penghantar barang itu terkejut setelah mengeluarkan sepeket garam dapur daripada bungkusan itu. Wanita itu kemudian meminta bungkusan itu dikembalikan.


Wanita itu memberitahu bahawa dia telah membeli telefon tersebut secara atas talian dengan harga Rp350 ribu (RM104). Video berkenaan mendapat perhatian netizen di ruangan komen.


"Pelik juga tahu harga murah tetap dibeli," kata seorang netizen.


"Yang kurang bijak anda. Dah tahu banyak penipuan hari ini. Mana ada telefon harga semurah itu," komen netizen lain.


"Hei, zaman sekarang telefon android paling murah Rp1 juta (RM297), tapi kau nak dengan harga Rp350 ribu (RM104)," komen seorang lagi netizen. - Sumber Suarasumbar.id.


Tangkap layar memaparkan senario seorang wanita menerima paket garam sedangkan dia membeli telefon bimbit. - Foto Instagram.

Ahad, 17 Julai 2022

Peniaga rugi lebih RM1 juta ditipu sindiket menyamar 'pegawai LHDN'

Peniaga rugi lebih RM1 juta ditipu sindiket menyamar 'pegawai LHDN'


Seorang peniaga wanita mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas terperdaya dengan sindiket Macau Scam, yang menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang berusia 50 tahun itu, semalam.


Menurut beliau, 'pegawai LHDN' menghubungi mangsa pada Mei lalu dan menakutkan mangsa dengan memberitahu wanita itu mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat milik mangsa.


Jelasnya lagi, mangsa terpedaya telah mengikut arahan dengan membuat pembayaran tunai melalui 23 transaksi menggunakan mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza.


"Mangsa turut menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada pihak sindiket," katanya menurut laporan Bernama.


Tambah Kamarul Zaman, mangsa hanya mengesyaki ditipu pada 16 Julai lalu sebelum membuat laporan polis dan memaklumkan kerugian keseluruhan berjumlah RM1,022,300.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dimana siasatan juga meliputi penglibatan 'keldai akaun' sekiranya terlibat serta tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit.


"Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya panggilan melalui telefon yang mendakwa diri mereka sebagai pihak berkuasa," ujarnya.


Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa mengikut arahan dengan membuat pembayaran tunai melalui 23 transaksi menggunakan mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza. - Foto Bernama.

Selasa, 12 April 2022

Pengantin wanita rugi RM135,444 ditipu bakal suami yang lari sebelum akad nikah

Pengantin wanita rugi RM135,444 ditipu bakal suami yang lari sebelum akad nikah

Foto Kompas.com

JAWA TENGAH - Seorang lelaki berasal dari Semarang diberkas pihak polis selepas menipu bakal calon isterinya sendiri sebanyak 461 juta rupiah (RM135,444).


Menurut lapor Tribunnews pada 8 April 2022, suspek juga melarikan diri sebelum akad nikah berlangsung, walaupun kad jemputan sudah diedarkan kepada tetamu.


Pelaku ialah Mulyani Sanjoyo, 43, dan mangsa, TH, 34, berasal dari bandar Magelang. Difahamkan, pasangan itu mula berkenalan menerusi aplikasi Tinder sejak Jun 2018.


Komunikasi mereka semakin rancak dengan berbual sesama sendiri selepas bertukar nombor Whatsapp. Hingga akhirnya memutuskan untuk bertemu di sebuah hotel di Semarang.


Selepas sebulan menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih, lelaki itu memberitahu mangsa dia tidak berselera makan kerana sering dikejar pemungut hutang.


Lelaki itu malah memberitahu ibunya sedang sakit dan tidak mampu meneruskan rawatan kerana tidak mempunyai wang mencukupi bagi menjalani pembedahan. Mangsa kemudian menyerahkan sejumlah wang kepada suspek.


Ketua Polis Bandar Magelang, Yolanda Evallyn Sebayang berkata, suspek kemudian berkunjung ke rumah mangsa untuk berjumpa kedua-dua orang tua wanita itu. Jelasnya, suspek kononnya berniat serius untuk mengahwini anaknya.


"Sebulan selepas itu, lelaki itu mengadu keretanya mengalami kemalangan dan meminjam wang daripada wanita itu. Mangsa kemudian mahu suspek berjanji untuk mengahwininya selepas kereta tersebut siap dibaiki.


Beberapa bulan selepas itu, suspek meminta wanita itu melakukan persiapan perkahwinan termasuk menyediakan kad jemputan, maka dipersetujui 7 Mac 2020 sebagai hari perkahwinan," katanya.


Mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu. Polis menyiasat laporan itu dan akhirnya menangkap pelaku pada Rabu, 23 Mac 2022, di sebuah bilik hotel di kawasan Sragen. - Sumber Tribunnews.

Isnin, 4 April 2022

Remaja 17 tahun antara 2 ditahan suspek penipuan jual lesen palsu

Remaja 17 tahun antara 2 ditahan suspek penipuan jual lesen palsu


Polis menahan dua lelaki termasuk seorang remaja di sebuah rumah di Durian Tunggal, Melaka, kelmarin kerana disyaki terbabit sindiket penipuan menjual lesen memandu palsu.


Kedua-dua suspek berusia 17 dan 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Cheras dalam serbuan pada pukul 10.05 malam itu.


Ketua Jabatan JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata dalam serbuan itu polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses lesen palsu.


Katanya, serbuan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 40 tahun membabitkan kerugian RM490.


"Pada Selasa lalu, mangsa mendakwa melihat iklan di Facebook menawarkan perkhidmatan membuat lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


"Pengadu kemudian menghubungi nombor tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan itu mangsa dijanjikan lesen memandu dengan bayaran RM490.


"Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat suspek masih meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan. Curiga dengan suspek, pengadu membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mahidisham berkata, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak 2016 dan seorang suspek masih bersekolah dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.


"Dua suspek itu direman tiga hari berakhir esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Orang ramai dinasihatkan mendapatkan lesen memandu melalui kaedah betul dan sah," katanya.


Anggota polis memeriksa beberapa peralatan dipercayai digunakan oleh suspek untuk memproses lesen memandu palsu. - Foto  PDRM.

Selasa, 22 Mac 2022

Wang RM3.9 juta peninggalan suami lesap diperdaya 'kekasih dari Korea'

Wang RM3.9 juta peninggalan suami lesap diperdaya 'kekasih dari Korea'


GEORGE TOWN - Hasrat seorang wanita berusia 63 tahun untuk dijaga sehingga akhir hayat oleh 'kekasih dari Korea' bukan sahaja tidak kesampaian, tetapi turut mengalami kerugian RM3.9 juta akibat diperdaya sindiket Love Scam.


Selain termakan janji lelaki berkenanan untuk menjaganya, wanita warga emas itu turut terpengaruh dengan tawaran projek perniagaan membabitkan pelantar minyak daripada suspek.


Malah, untuk membuatkan mangsa mempercayainya, lelaki itu juga sering menghantar gambar kononnya wajahnya, selain video dia sedang memandu kereta serta berada di tempat kerja.


Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa melakukan 184 transaksi kepada kekasihnya, dan transaksi pertama pada Disember tahun lalu. Setiap transaksi yang dilakukan berjumlah antara RM9,000 hingga RM50,000 menerusi 19 akaun bank tempatan.


Mangsa menyedari tertipu selepas curiga melihat foto suspek selepas mendapati gambar wajah lelaki Korea itu yang dikatakan bekerja di pelantar minyak disunting daripada gambar milik individu lain. Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, pada 17 Mac lalu.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily berkata terdahulu, mangsa mengenali suspek yang berusia 40-an menerusi laman sosial Instagram pada Disember tahun lalu sebelum meneruskan perhubungan menerusi aplikasi WhatsApp.


"Hubungan mereka kemudiannya diteruskan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp. Wanita berkenaan diperdaya melakukan 184 kali transaksi pemindahan wang dalam pelbagai jumlah dengan menggunakan 19 akaun bank kepada lelaki ini," katanya.


Menurut beliau, wanita berkenaan tidak bekerja dan dia menggunakan wang peninggalan mendiang suaminya yang merupakan ahli perniagaan untuk dipindahkan kepada suspek.


Tambahnya, pihak polis masih sedang berusaha mengesan suspek. Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan 'love scam' yang akhirnya menyebabkan kerugian sejumlah wang. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Pulau Pinang, Shuhaily Zain menunjukkan gambar suspek yang dihantar kepada mangsa untuk meyakinkan wanita itu beliau bekerja di pelantar minyak. - Foto Bernama.

Khamis, 17 Mac 2022

Hanya serah kod TAC dari SMS diterima, wang RM73,000 lesap 'disedut' penyamun

Hanya serah kod TAC dari SMS diterima, wang RM73,000 lesap 'disedut' penyamun


Hasrat seorang penjawat awam yang telah membuat pinjaman bagi mengubah suai kediamannya tidak kesampaian, apabila lelaki terbabit kerugian RM73,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).


Difahamkan, lelaki berusia 40-an yang bekerja sebagai pemandu jabatan kerajaan itu membuat pinjaman RM80,000 sebelum diluluskan pada 11 Mac dan menjadi mangsa sindiket penipuan terbabit.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, ketika berada di pejabatnya pada 14 Mac, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali mendakwa isterinya tersilap mendaftarkan butiran maklumat perbankan dalam talian dengan menggunakan nombor telefon mangsa.


"Suspek memaklumkan sekiranya mangsa ada menerima pesanan ringkas (SMS) nombor TAC daripada pihak bank, ia hendaklah diserahkan kepadanya.


"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memaklumkan ada menerima SMS nombor TAC daripada pihak bank dan kemudiannya memberikannya kepada suspek.


"Tidak lama selepas menyerahkan nombor TAC itu, mangsa menerima semula SMS daripada bank memaklumkan terdapat pindahan wang sebanyak RM50,000 daripada akaunnya," katanya.


Menurutnya, keesokanya mangsa membuat semakan ke akaun bank miliknya dan mendapati hanya berbaki RM456 selain terdapat pemindahan wang ke akaun tidak dikenali. Mangsa turut mendapati terdapat satu lagi pindahan wang berjumlah RM23,000 ke akaun tidak dikenali.


"Mangsa bergegas ke bank untuk membuat semakan serta pengesahan dan kemudiannya dinasihatkan membuat laporan polis bagi tindakan lanjut. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Selasa, 28 Disember 2021

Ahli Psikik Ramal 'Alien' Mendarat Di Bumi Tidak Lama Lagi

Ahli Psikik Ramal 'Alien' Mendarat Di Bumi Tidak Lama Lagi


Seorang ahli psikik popular meramalkan bahawa makhluk asing akan mendarat di Bumi tidak lama lagi, selepas bertahun-tahun melakukan kajian ke atas manusia, lapor akhbar Daily Star pada 13 Disember 2021.


Uri Geller, 74, percaya lokasi pendaratan pertama makhluk asing di Bumi bagi menunjukkan diri kepada manusia adalah di White House, AS, sekali gus sama seperti yang pernah dipaparkan dalam filem sains fiksyen arahan Steven Spielberg.


"Saya berpendapat makhluk asing sedang mengkaji kita tetapi saya tidak tahu apa yang mereka mahukan sebenarnya. Saya menjangkakan pendaratan tersebut akan berlaku pada abad akan datang.


"Tidak mungkin kejadian itu berlaku dalam beribu-ribu atau beratus-ratus tahun lagi. Jika difikirkan secara rasional, saya meramalkan kejadian tersebut akan berlaku dalam tempoh 60 tahun hingga 75 tahun lagi," katanya kepada akhbar The Sun.


Geller sebelum ini mendakwa bahawa dia pernah bekerjasama dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan ada melihat bangkai kapal angkasa makhluk asing.


"Saya telah ditunjukkan sekeping gambar UFO yang terhempas pada tahun 1970-an, semasa bekerjasama dengan CIA. Serpihan dari kapal angkasa asing itu disimpan di dalam peti sejuk," dakwanya.


Walaupun Geller tidak tahu mengapa makhluk asing akhirnya mendedahkan diri mereka, dia percaya bahawa makhluk luar angkasa mesra. "Jika 'alien' tidak mesra sudah lama kita dimusnahkan," dakwanya.


Dia turut percaya bahawa Pentagon mengetahui banyak perkara mengenai makhluk asing, namun tidak mendedahkannya kepada orang ramai.


Geller meramalkan makhluk asing akan mendarat dan menunjukkan dirinya tidak lama lagi. - Foto Getty Images.