Ahad, 17 Julai 2022

Peniaga rugi lebih RM1 juta ditipu sindiket menyamar 'pegawai LHDN'


Seorang peniaga wanita mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas terperdaya dengan sindiket Macau Scam, yang menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang berusia 50 tahun itu, semalam.


Menurut beliau, 'pegawai LHDN' menghubungi mangsa pada Mei lalu dan menakutkan mangsa dengan memberitahu wanita itu mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat milik mangsa.


Jelasnya lagi, mangsa terpedaya telah mengikut arahan dengan membuat pembayaran tunai melalui 23 transaksi menggunakan mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza.


"Mangsa turut menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada pihak sindiket," katanya menurut laporan Bernama.


Tambah Kamarul Zaman, mangsa hanya mengesyaki ditipu pada 16 Julai lalu sebelum membuat laporan polis dan memaklumkan kerugian keseluruhan berjumlah RM1,022,300.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dimana siasatan juga meliputi penglibatan 'keldai akaun' sekiranya terlibat serta tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit.


"Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya panggilan melalui telefon yang mendakwa diri mereka sebagai pihak berkuasa," ujarnya.


Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa mengikut arahan dengan membuat pembayaran tunai melalui 23 transaksi menggunakan mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza. - Foto Bernama.


EmoticonEmoticon