Khamis, 17 Mac 2022

Hanya serah kod TAC dari SMS diterima, wang RM73,000 lesap 'disedut' penyamun


Hasrat seorang penjawat awam yang telah membuat pinjaman bagi mengubah suai kediamannya tidak kesampaian, apabila lelaki terbabit kerugian RM73,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).


Difahamkan, lelaki berusia 40-an yang bekerja sebagai pemandu jabatan kerajaan itu membuat pinjaman RM80,000 sebelum diluluskan pada 11 Mac dan menjadi mangsa sindiket penipuan terbabit.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, ketika berada di pejabatnya pada 14 Mac, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali mendakwa isterinya tersilap mendaftarkan butiran maklumat perbankan dalam talian dengan menggunakan nombor telefon mangsa.


"Suspek memaklumkan sekiranya mangsa ada menerima pesanan ringkas (SMS) nombor TAC daripada pihak bank, ia hendaklah diserahkan kepadanya.


"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memaklumkan ada menerima SMS nombor TAC daripada pihak bank dan kemudiannya memberikannya kepada suspek.


"Tidak lama selepas menyerahkan nombor TAC itu, mangsa menerima semula SMS daripada bank memaklumkan terdapat pindahan wang sebanyak RM50,000 daripada akaunnya," katanya.


Menurutnya, keesokanya mangsa membuat semakan ke akaun bank miliknya dan mendapati hanya berbaki RM456 selain terdapat pemindahan wang ke akaun tidak dikenali. Mangsa turut mendapati terdapat satu lagi pindahan wang berjumlah RM23,000 ke akaun tidak dikenali.


"Mangsa bergegas ke bank untuk membuat semakan serta pengesahan dan kemudiannya dinasihatkan membuat laporan polis bagi tindakan lanjut. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.


EmoticonEmoticon