Ahad, 20 Mac 2022

Elon Musk berkata manusia akan berada di planet Marikh menjelang 2029


Bukan rahsia lagi bahawa pemilik kapal angkasa SpaceX, Elon Musk cuba membawa manusia ke Marikh, dan meramalkan manusia dapat menjejakkan kaki ke planet itu paling awal pada 2029, lapor akhbar Metro UK pada 17 Mac 2022.


Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu memberikan maklum balas ciapan Twitter yang bertanyakan ramalan mengenai perkara itu, selepas manusia kali pertama menjejakkan kaki ke Bulan 1969.


Isnin lalu, seorang pengguna Twitter memuat naik gambar menunjukkan kapal angkasa Apollo 11 Moon yang mendarat di bulan 1969, serta gambar bayangan manusia di planet Marikh tanpa tahun dinyatakan.


Menerusi gambar itu, pengguna media sosial menyebut nama Musk dan meminta ramalannya. Musk membalas ciapan itu Rabu lalu dengan menulis '2029'.


Hartawan terkemuka itu sebelum ini sering menyatakan rancangannya untuk menjelajah planet Marikh, serta sering membuat ramalan mengenai jangkaan manusia akan mendarat di planet itu.


Pada 2016, beliau berkata, sekiranya semua mengikut perancangan, manusia dapat dihantar ke planet itu pada 2024 dan dijangka tiba 2025.


Pada 2020, Musk berkata, dia berharap dapat membina 1,000 kapal angkasa SpaceX selama 10 tahun bagi menghantar sejuta manusia ke planet itu sehingga 2050.


Namun pada tahun 2021 lalu, Musk menarik balik ramalan awalnya dan penuh yakin SpaceX akan menghantar manusia pertama ke Marikh 2026.


Pengumuman itu dibuat sembilan bulan selepas SpaceX mencapai kejayaan pertama pelancaran dan pendaratan roket prototaip Starship, dalam penerbangan ujian selepas empat percubaan pendaratan sebelum ini berakhir dengan letupan.


Marikh adalah salah satu planet paling dekat dengan Bumi yang mungkin boleh didiami, dan gravitinya adalah kira-kira 38 peratus daripada graviti Bumi. Walaupun jarak dari Matahari lebih jauh berbanding Bumi, ia masih mempunyai cahaya yang baik.


"Ia agak sejuk, tetapi kita boleh memanaskannya. Atmosferanya CO2 dengan beberapa nitrogen dan argon serta beberapa unsur surih lain, yang bermaksud bahawa kita boleh menanam tumbuhan di Marikh hanya dengan memampatkan atmosfera," tulis laman web SpaceX.


Elon Musk percaya manusia akan menjejakkan kaki ke planet Marikh pada 2029. - Foto TNS.


EmoticonEmoticon