Selasa, 22 Mac 2022

Wang RM3.9 juta peninggalan suami lesap diperdaya 'kekasih dari Korea'


GEORGE TOWN - Hasrat seorang wanita berusia 63 tahun untuk dijaga sehingga akhir hayat oleh 'kekasih dari Korea' bukan sahaja tidak kesampaian, tetapi turut mengalami kerugian RM3.9 juta akibat diperdaya sindiket Love Scam.


Selain termakan janji lelaki berkenanan untuk menjaganya, wanita warga emas itu turut terpengaruh dengan tawaran projek perniagaan membabitkan pelantar minyak daripada suspek.


Malah, untuk membuatkan mangsa mempercayainya, lelaki itu juga sering menghantar gambar kononnya wajahnya, selain video dia sedang memandu kereta serta berada di tempat kerja.


Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa melakukan 184 transaksi kepada kekasihnya, dan transaksi pertama pada Disember tahun lalu. Setiap transaksi yang dilakukan berjumlah antara RM9,000 hingga RM50,000 menerusi 19 akaun bank tempatan.


Mangsa menyedari tertipu selepas curiga melihat foto suspek selepas mendapati gambar wajah lelaki Korea itu yang dikatakan bekerja di pelantar minyak disunting daripada gambar milik individu lain. Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, pada 17 Mac lalu.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily berkata terdahulu, mangsa mengenali suspek yang berusia 40-an menerusi laman sosial Instagram pada Disember tahun lalu sebelum meneruskan perhubungan menerusi aplikasi WhatsApp.


"Hubungan mereka kemudiannya diteruskan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp. Wanita berkenaan diperdaya melakukan 184 kali transaksi pemindahan wang dalam pelbagai jumlah dengan menggunakan 19 akaun bank kepada lelaki ini," katanya.


Menurut beliau, wanita berkenaan tidak bekerja dan dia menggunakan wang peninggalan mendiang suaminya yang merupakan ahli perniagaan untuk dipindahkan kepada suspek.


Tambahnya, pihak polis masih sedang berusaha mengesan suspek. Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan 'love scam' yang akhirnya menyebabkan kerugian sejumlah wang. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Pulau Pinang, Shuhaily Zain menunjukkan gambar suspek yang dihantar kepada mangsa untuk meyakinkan wanita itu beliau bekerja di pelantar minyak. - Foto Bernama.


EmoticonEmoticon