Isnin, 21 Mac 2022

Saintis Britain bangunkan loji jana kuasa di angkasa lepas 'sedut' oksigen dan air di batuan Bulan


Agensi Angkasa Lepas Britain akan membangunkan 13 projek baharu di ruang angkasa termasuk pembinaan sebuah loji jana kuasa bagi menjana air dan oksigen, lapor akhbar Daily Star pada 14 Mac 2022.


Di bawah pelan tersebut, agensi berkenaan akan menerima dana daripada kerajaan Britain berjumlah £2 juta (RM11 juta) bagi membiayai kesemua projek itu.


Antara pelan digariskan adalah pembinaan sebuah loji jana kuasa Rolls-Royce yang boleh menjana air dan oksigen yang boleh disedut di angkasa lepas. Pasukan jurutera juga akan membangunkan sebuah robot yang berfungsi untuk meneroka sumber-sumber seperti oksigen dan air di batuan Bulan.


Projek lain termasuk membangunkan teknologi baharu yang boleh menahan kadar radiasi yang tinggi di Planet Marikh. Saintis juga akan membina alat komunikasi bagi membolehkan angkasawan menangani masalah kelewatan dalam perbualan antara Marikh dan Bumi.


"Kesemua projek itu akan membolehkan penduduk Bumi mendapat manfaat daripada teknologi-teknologi yang dibangunkan," kata Menteri Sains Britain, George Freeman, ketika berucap pada sambutan Minggu Sains Britain yang berlangsung dari 11 hingga 20 Mac ini.


Sementara itu, Pengarah Program Masa Depan Rolls-Royce, Abi Clayton berkata, sokongan daripada Agensi Angkasa Lepas Britain adalah penting dalam membolehkan kemajuan berterusan bagi program pembangunan Reaktor-Mikro Rolls-Royce.


"Ia membuktikan nilai sebenar kerjasama awam dan swasta di mana kami boleh memanfaatkan pengalaman utama agensi tersebut dan kepakaran nuklear Rolls-Royce yang unik," ujarnya. - Sumber Daily Star.


Gambaran imej menunjukkan sebuah robot digunakan untuk meneroka sumber air dan oksigen di batuan Bulan. - Foto PA.


EmoticonEmoticon