KOTA KINABALU - Niat seorang lelaki untuk meleraikan pergaduhan membawa padah apabila dia maut selepas ditikam menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di kawasan premis perniagaan di Sulaman Sentral, Manggatal, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ahli keluarganya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS). Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kematian mangsa yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila seorang lelaki berusia 38 tahun bertengkar dengan seorang peniaga makanan di luar sebuah kafe sebelum cuba menikam peniaga berkenaan menggunakan pisau lipat. Peniaga itu bagaimanapun sempat melarikan diri, namun dikejar suspek.
Ketika kejadian, mangsa yang berada di sebuah pusat snuker berhampiran cuba menghalang suspek daripada terus mengejar peniaga berkenaan.
"Bagaimanapun, suspek dipercayai mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum menikam mangsa ketika terserempak dengannya di tangga bersebelahan premis berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian sempat melarikan diri sebelum rebah di kawasan parkir berhampiran.
Syed Lot berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap peniaga makanan terbabit.
Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menemukan beberapa barang kes serta sampel untuk dianalisis.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi menjalani proses bedah siasat.
Katanya, polis kini giat mengesan dan memburu suspek selain mendapatkan keterangan saksi lain yang berada di lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

















