Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Ahad, 2 Ogos 2026

'Di Johor kalah, di Negeri Sembilan pun kosong' - Hamzah sindir kekalahan BERSATU

'Di Johor kalah, di Negeri Sembilan pun kosong' - Hamzah sindir kekalahan BERSATU


Parti Wawasan Negara (WAWASAN) berpandangan BERSATU sudah tidak lagi relevan dalam landskap politik semasa susulan prestasi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.


Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, turut mengajak bekas rakan seperjuangannya dalam BERSATU supaya menyertai WAWASAN sekiranya masih mahu meneruskan perjuangan politik demi kepentingan rakyat.


"Saya nak beritahu kepada rakan-rakan saya yang dahulunya daripada BERSATU, sudahlah. Di Johor kalah, di sini pun kosong.


"Kembalilah bersama pimpinan yang benar-benar ikhlas dan jujur demi masa depan rakyat. Bukan untuk saya tetapi untuk semua rakyat," katanya pada sidang media di Rasah Kemayan, Seremban malam tadi.


Beliau berkata demikian mengulas prestasi BERSATU pada PRN Negeri Sembilan.


Hamzah turut mengulas corak kempen BERSATU sepanjang pilihan raya yang lebih banyak menyerang gabungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH), sekali gus mempersoalkan pendirian sebenar parti itu.


"Dalam kempen, mereka tidak pernah bercakap mengenai PH. Mereka lebih banyak menyerang kami. Terpulang kepada mereka tetapi pada saya mereka sudah tidak relevan lagi," katanya.


Mengulas prestasi pilihan raya itu, Hamzah turut menyindir BERSATU yang kehilangan deposit di hampir semua kerusi yang ditandingi.


"Saya dimaklumkan mereka bertanding 24 kerusi. Saya rasa tak perlulah kita bercakap mengenai mereka lagi," katanya.

Khamis, 30 Julai 2026

Tular video 'beli undi', calon BN DUN Chuah buat laporan polis

Tular video 'beli undi', calon BN DUN Chuah buat laporan polis


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Pau Jeou Ching membuat laporan polis susulan tular satu video di media sosial yang didakwa memaparkan aktiviti agihan wang serta risalah yang dikaitkan dengannya.


Menurut Jeou Ching, video berkenaan adalah cubaan untuk memfitnah serta merosakkan reputasinya.


"Setelah menyedari mengenai kewujudan video tular ini, saya segera menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan susulan.


"Memandangkan video itu jelas merakam mereka yang hadir, maka ia pastinya memudahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh seterusnya mendedahkan kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya sebarang percubaan memfitnah, sengaja memanipulasi rakaman video atau menggunakan teknologi bagi mengelirukan orang ramai.


Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak terpedaya dengan fitnah, menghentikan penyebaran berita palsu dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.


Sebelum ini tular video dan beberapa gambar di media sosial yang memaparkan orang ramai beratur di sebuah restoran di Chuah dipercayai untuk menerima wang sebagai imbuhan yang diberikan oleh sebuah parti sempena pilihan raya ini.


Bagaimanapun calon PH Chuah, Datuk Yew Boon Lye menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan beliau dengan video tular tersebut dan turut membuat laporan polis.


Beliau menegaskan tidak pernah terlibat, merestui atau mengarahkan mana-mana individu menawarkan wang atau apa-apa bentuk imbuhan sebagai pertukaran untuk mendapatkan undi.


"Saya sentiasa menentang sekeras-kerasnya politik wang dan perbuatan membeli undi.


"Menggunakan wang untuk mempengaruhi pilihan pengundi bukan sahaja melanggar undang-undang pilihan raya, malah mencabuli hak pengundi untuk membuat pilihan secara bebas serta merosakkan keadilan dan maruah sistem demokrasi," katanya.


Tular satu video di media sosial yang didakwa memaparkan aktiviti agihan wang serta risalah yang dikaitkan dengan calon BN bagi DUN Chuah itu.

Selasa, 28 Julai 2026

Sanusi mula hantar LOD terhadap pihak didakwa putar belit kenyataannya, lebih ramai bakal disaman

Sanusi mula hantar LOD terhadap pihak didakwa putar belit kenyataannya, lebih ramai bakal disaman


Pasukan peguam Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang menjalankan proses penyerahan surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataannya berkaitan isu sejarah dalam ucapan yang disampaikan di Negeri Sembilan baru-baru ini.


Menurut Muhammad Sanusi, lebih ramai individu berada dalam senarai untuk menerima LOD sekiranya didapati melakukan tindakan sama, termasuk memutar belit, menokok tambah dan mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar.


"Penyerahan LOD ini sedang diuruskan oleh pasukan peguam. Ada ramai lagi dalam senarai untuk menerima LOD seumpama ini dengan tuntutan yang sesuai mengikut tindakan mereka.


"Mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan perkara yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputar belit tanpa diperiksa, selain memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar.


"Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua," katanya yang dipetik di media sosialnya hari ini.


Pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya berkaitan sejarah demi kepentingan politik.


Beliau turut memaklumkan laporan polis akan dibuat terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataan berkenaan, sambil menegaskan ucapan yang disampaikan hanyalah berdasarkan fakta sejarah dan tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau pihak tertentu.


Difahamkan, antara individu terawal menerima LOD ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.


Menerusi surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Faizi & Associates bertarikh 27 Julai, Muhammad Sanusi mendakwa Dr Sathia telah memfitnah beliau menerusi kenyataan media dan video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya berhubung ucapan yang disampaikan di Negeri Sembilan baru-baru ini.


Surat itu mendakwa Dr Sathia secara tidak tepat mengaitkan Muhammad Sanusi dengan kenyataan berbunyi 'India baliklah India' dan 'Cina baliklah China', sedangkan frasa tersebut didakwa tidak pernah diucapkan oleh Menteri Besar Kedah itu.


Sebaliknya, surat berkenaan menyatakan ucapan sebenar Muhammad Sanusi hanya menjelaskan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, manakala bangsa lain mempunyai negara asal masing-masing.


Peguam beliau turut mendakwa tindakan memetik sebahagian ucapan, menambah perkataan tertentu serta menyunting rakaman video telah menjejaskan reputasi anak guam mereka dan dilakukan dengan niat jahat.


Sehubungan itu, Dr Sathia dituntut dalam tempoh tujuh hari untuk menarik balik video TikTok berkenaan, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, selain mencadangkan jumlah ganti rugi kepada Muhammad Sanusi.


Surat berkenaan turut menyatakan tindakan undang-undang akan dimulakan tanpa sebarang notis lanjut sekiranya tuntutan tersebut gagal dipenuhi.


Sebelum itu, Dr Sathia dilaporkan mengakui terdapat kekhilafan apabila mengulangi ucapan Muhammad Sanusi dengan menggunakan perkataan 'balik'.


Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap Menteri Besar Kedah berhubung ucapan yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.


Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden juga turut mendakwa Dr Sathia memanipulasi ucapan Muhammad Sanusi dan menuntut beliau menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka.


Susulan kontroversi itu, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Dr Sathia bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ahad, 26 Julai 2026

Kenyataan Sanusi cermin sikap PAS pecah belahkan rakyat - Dakwa Fahmi

Kenyataan Sanusi cermin sikap PAS pecah belahkan rakyat - Dakwa Fahmi


Kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyentuh isu kaum, mencerminkan sikap sebenar pimpinan PAS yang sering memainkan sentimen perkauman dan memecahbelahkan masyarakat.


Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata politik sedemikian tidak sepatutnya diamalkan, sebaliknya ahli politik perlu menggalakkan perpaduan serta memahami kepelbagaian rakyat di negara ini.


"Kenyataan beliau mencerminkan satu sikap yang agak meluas dalam PAS. Sebelum ini pun kita lihat ada kenyataan mengenai isu pendatang daripada Presiden PAS sendiri.


"Ini bukan satu politik yang baik, yang sepatutnya politik itu menggalakkan perpaduan, memahami perbezaan dan berusaha untuk menyatupadukan rakyat. Bukan memecahbelahkan ataupun memisah-misahkan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Wayang Pacak di Taman Saujana Rompin, Jempol malam tadi.


Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata negara telah lama merdeka dan Bulan Kebangsaan juga telah dilancarkan, justeru, semua pihak sepatutnya menumpukan usaha menyatupadukan rakyat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang membeza-bezakan atau memecahbelahkan masyarakat.


"Jadi saya harap Datuk Seri Sanusi mengambil iktibar dan mengubah sikap beliau. Tapi saya percaya itu tidak akan berlaku," katanya.


Sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat orang Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India dan China.


Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata demikian ketika Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersempena dengan PRN Negeri Sembilan di Jempol pada 24 Julai.


Selain itu, Fahmi turut menyentuh mengenai kenyataan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kelmarin yang mengaitkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, sebagai calon Menteri Besar sekiranya Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun tewas pada PRN itu.


Beliau berkata mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, jawatan Menteri Besar itu sememangnya khas untuk orang Melayu sejak ia digubal lagi dan sehubungan itu, beliau menggesa Asyraf Wajdi memohon maaf atas kenyataan berkenaan.


"Saya harap beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan atas kekhilafan yang telah beliau lakukan," katanya.


Dalam pada itu Fahmi menolak ramalan bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengenai sokongan pengundi Melayu terhadap PH di Johor, yang mendakwa hanya menerima sekitar 10 peratus sokongan pengundi Melayu.


Beliau menegaskan situasi politik serta dinamika pengundi di Negeri Sembilan pula jauh berbeza dan yakin dengan pentadbiran Aminuddin yang terbukti cemerlang dalam menjaga kebajikan seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum.


Ditanya berhubung kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) yang membayangkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) mungkin diadakan pada hujung tahun, Fahmi menjelaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet dan menyifatkan kenyataan Tok Mat itu sekadar pandangan peribadi.


Beliau menegaskan fokus utama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri ketika ini adalah untuk menstabilkan ekonomi negara, serta memulihkan kesan konflik geopolitik di Asia Barat, bukannya berpolitik berpanjangan atau mengadakan pilihan raya awal.

Isnin, 20 Julai 2026

Zizie Izette bebas tuduhan bersubahat kes rasuah RM2.8 juta

Zizie Izette bebas tuduhan bersubahat kes rasuah RM2.8 juta


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini melepaskan dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.


Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan pada 9.30 pagi ini.


Terdahulu Zizie Izette, 47, yang mengenakan sut serba kelabu tiba Kompleks Mahkamah pada jam 8.30 pagi.


Zizie Izette isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.


Pasukan pembelaan menutup kesnya selepas Zizie Izette selesai memberi keterangan membela diri pada 5 Mac lepas manakala Bung Moktar memberi keterangan pada 2 Sept 2025 selepas pasangan suami isteri itu gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri.



Mahkamah Rayuan membuat keputusan berkenaan pada 18 November 2024, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu oleh Mahkamah Tinggi pada 7 Sept 2023 yang membebaskan pasangan itu daripada pertuduhan tersebut.


Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette, bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan itu.


Bagaimanapun, pada 16 Januar lepas, Mahkamah Sesyen membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap bekas ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Dis 2025.


Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.


Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.


Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.


Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.


Beliau juga dituduh bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.


Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahad, 12 Julai 2026

Kekalahan PN di PRN Johor perlu dijadikan medan muhasabah - Tuan Ibrahim

Kekalahan PN di PRN Johor perlu dijadikan medan muhasabah - Tuan Ibrahim


Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kekalahan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam perlu dijadikan medan muhasabah.


Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kegagalan mempertahankan tiga kerusi menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya dari aspek penyelarasan organisasi, kekuatan jentera dan kesatuan dalaman.


Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, 'post mortem' yang menyeluruh semestinya akan dilakukan supaya persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan dan pilihan raya seterusnya menjadi lebih tersusun dan berkesan.


"PRN Johor sudah berakhir dan rakyat sudah membuat keputusan. PAS mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, atas kejayaan mengekalkan pentadbiran negeri Johor.


"Walaupun PAS dan PN tidak berjaya mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini, keputusan rakyat hendaklah diterima dengan hati terbuka serta dijadikan asas untuk bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan," katanya ketika dihubungi.


Terdahulu, BN berjaya mengekalkan status quo di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, BN memenangi 48 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini, manakala lapan kerusi lagi berpihak kepada PH.


Pada masa sama, Tuan Ibrahim turut menyifatkan kemunculan parti baharu, BERSAMA dan juga parti MUDA juga masih belum berjaya menawarkan alternatif yang benar-benar diyakini rakyat.


Sebaliknya katanya, pertandingan pelbagai penjuru memecahkan undi pembangkang dan memberikan kelebihan yang besar kepada BN.


"Namun, selepas tamatnya pilihan raya, tumpuan kini beralih kepada janji yang dibuat sepanjang kempen.


"Antara yang paling mendapat perhatian ialah kenyataan Menteri Perumahan dan KerajaanTempatan, Nga Kor Ming, yang berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya PH gagal mencapai sasaran dalam PRN Johor.


"Sudah semestinya rakyat sedang menunggu sama ada janji berkenaan akan ditunaikan. Pemimpin DAP ini perlulah menunaikan janji yang dilafazkan.


"Jika tidak DAP adalah parti yang hanya pandai berjanji namun tiada integriti," katanya.

Isnin, 6 Julai 2026

Berkempen secara berhemah, jangan sampai gugat kestabilan kerajaan Persekutuan - Tok Mat

Berkempen secara berhemah, jangan sampai gugat kestabilan kerajaan Persekutuan - Tok Mat


Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hassan mengingatkan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya berkempen secara berhemah dan tidak mencetuskan keadaan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan Persekutuan.


Beliau berkata, perbezaan pendapat dan kritikan dalam kempen pilihan raya adalah perkara biasa, namun ia perlu dibuat secara berfakta serta tidak melibatkan serangan bersifat peribadi.


Katanya, semua pihak perlu menyedari bahawa kerajaan Persekutuan ketika ini masih ditadbir secara bersama oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, justeru kempen politik perlu mempunyai batas.


"Kecaman itu biasa dalam pilihan raya, gurau manja dan usik-mengusik itu biasa. Tetapi jangan sampai berbentuk serangan peribadi.


"Mengenai dasar atau parti, itu tiada masalah. Namun kita kena berpada-pada kerana di peringkat Persekutuan kita masih lagi menguruskan negara secara bersama. Jangan sampai merosakkan negara.


"Yang penting jangan kita menggugat kestabilan negara yang sekarang menjadi sebagai tunggak," katanya selepas menghadiri program makan tengah hari bersama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram di Ulu Tiram pada Ahad.


Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kestabilan politik dan keamanan negara perlu dipelihara kerana ia menjadi faktor utama keyakinan pelabur serta pelancong asing untuk memilih Malaysia.


Katanya, suasana politik yang stabil telah menyumbang kepada peningkatan prestasi negara termasuk dalam sektor pelancongan.


"Tahun lalu Malaysia menerima kira-kira 42 juta pelancong dan menjadi antara yang tertinggi di rantau ASEAN, mengatasi Thailand.


"Orang datang kerana melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan stabil. Jangan disebabkan pilihan raya, kita akhirnya merugikan diri sendiri," katanya.


Ketika ditanya mengenai dakwaan PRN Johor mempunyai kaitan dengan usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, Mohamad menegaskan dakwaan itu tidak berasas.


"PRN Johor ini tiada kaitan dengan Datuk Seri Najib atau pembebasan beliau. Kita sebuah negara yang menghormati kedaulatan undang-undang.


"Kalau ini pilihan raya untuk membentuk kerajaan Persekutuan mungkin orang boleh membuat andaian sedemikian, tetapi ini hanya pilihan raya negeri. Apa yang Menteri Besar boleh buat untuk membebaskan Datuk Seri Najib?


"Pengampunan itu kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, jadi kita tidak perlu ambil kuasa baginda dan jangan pula kita perkecilkan kuasa tersebut, itu perlu difahamkan terlebih dahulu," katanya.



Ahad, 5 Julai 2026

Lelaki 86 tahun bawa isteri naik beca tunai hajat mahu lihat PM depan mata

Lelaki 86 tahun bawa isteri naik beca tunai hajat mahu lihat PM depan mata


Bahang terik mentari bukan penghalang buat seorang warga emas berusia 86 tahun mengayuh beca sejauh hampir satu kilometer bagi menunaikan hajat isterinya melihat dengan lebih dekat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang singgah bersarapan di sebuah kedai makan di Senggarang, Batu Pahat hari ini.


Abdul Razak Pelangga, 86, berkata dia mengambil keputusan membawa isterinya Jamilah Samsudin, 64, menaiki beca dari kediaman mereka di Kampung Parit Bugis ke Kedai Kopi Hailam Sri Medan di pekan kecil, selepas mendengar perkhabaran akan kehadiran pemimpin nombor satu negara itu semalam.


Imam Masjid Raudhatul Jannah Parit Bugis itu berkata biarpun mempunyai pilihan untuk memandu kereta atau menunggang motosikal, beliau mengambil keputusan untuk membawa isterinya menaiki beca kerana tidak mahu berhadapan kesusahan mencari tempat letak kenderaan.


"Lama bertahun dahulu (sebelum menjadi Perdana Menteri) beliau (Anwar) pernah datang solat di masjid kami di sini, saya yang imamkan jemaah ketika itu, selepas solat kami bersalaman dan bertegur sapa, beliau sangat mesra, saya ceritakan itu kepada isteri.


"Jadi sekarang bila tahu beliau ada di sekitar sini, saya memang berhasrat bawa isteri pula bertemu Perdana Menteri dan kami berdua gembira hari ini, biarpun tak dapat bertentang mata kerana terlalu ramai orang, dapat melihat secara dekat pun memadai, selama ini tonton dalam televisyen sahaja," katanya kepada BERNAMA hari ini.



Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 50 minit bersarapan di kedai berkenaan dan menyantuni penduduk sekitar pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Turut hadir Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.


Dalam pada itu, Abdul Razak turut menzahirkan rasa teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai ini, yang kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-87.


"Banyak kali dah mengundi, tapi kali ini rasa istimewa sikitlah, dapat tunai kewajipan mengundi pada ulang tahun hari kelahiran," katanya.


PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Jumaat, 3 Julai 2026

"UMNO BN perlu menang besar PRN Johor untuk bebaskan Najib"

"UMNO BN perlu menang besar PRN Johor untuk bebaskan Najib"


Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor akan memberi isyarat rakyat terus menyokong bekas perdana menteri, Najib Razak dan berharap beliau menerima pengampunan diraja, kata anaknya, Nazifuddin.


Ketua Umno Langkawi itu mengulas naratif kemenangan besar BN di Johor akan membawa kepada pembebasan Najib.


"Kalau BN menang besar, ia menjadi isyarat bukan sahaja rakyat Johor menyokong BN dan kepimpinan negeri, tetapi mereka juga masih sayangkan 'Bossku' dan mengharapkan beliau dapat bersama semula dengan rakyat.


"Kalau ada yang nak letak jawatan, lebih baik letak jawatan sekarang, tak payah tunggu kita menang," katanya dalam program Bual Bicara Santai di PDM Kampung Melayu II, malam tadi.


Bagaimanapun, Nazifuddin mengakui kemenangan BN pada PRN tidak bermakna Najib akan dibebaskan secara automatik.


"Kita bukan memilih perdana menteri. Apa yang kita mahu ialah BN menang besar. Kalau BN menang besar, apa salahnya kalau Bossku diampunkan dan dibebaskan? (Tetapi) Itu hak Yang di-Pertuan Agong," katanya.


Selasa lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, beliau akan menjadi individu pertama meletak jawatan dalam Jemaah Menteri, sekiranya Najib dibebaskan dari penjara, selain tidak menolak kemungkinan DAP meninggalkan kerajaan perpaduan.


Najib, 72, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd, selepas hukuman penjara asal 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.


Bekas ahli Parlimen Pekan itu dijadualkan tamat hukuman penjaranya pada 23 Ogos 2028.


Najib turut disabitkan bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, di mana Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun. Beliau telah memfailkan rayuan terhadap sabitan itu.

Keputusan tangguh prosiding kebankrapan Najib dan anak ditetapkan 4 September ini

Keputusan tangguh prosiding kebankrapan Najib dan anak ditetapkan 4 September ini


Rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan akan diputuskan pada 4 September ini.


Prosiding itu dimulakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas kedua-dua mereka gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.


Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Dr Alwi Abdul Wahab menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Kanan LHDN Norhisham Ahmad.


Dua lagi hakim turut bersidang dalam panel sama ialah Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan.


Pada 17 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan bekas perdana menteri itu dan anaknya untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka.


Pesuruhjaya Kehakiman Suhendran Sockanathan@Saheran Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati tiada sebarang kemudaratan lain yang mewajarkan penangguhan.


Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Najib dan anaknya perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.


Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dikenakan taksiran cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion walaupun telah membayar cukai pendapatan.


Beliau berkata, taksiran yang terlalu tinggi itu dibuat berasaskan sumbangan daripada Arab Saudi yang diterima Najib dan dipulangkan semula selepas pilihan raya umum.


Muhammad Shafee berkata sumbangan itu, yang sepatutnya dikecualikan daripada cukai, telah 'tersilap' dianggap sebagai pendapatan tambahan dan seterusnya dikenakan cukai.


"Kami telah membangkitkan perkara ini sejak awal lagi, tetapi mereka (LHDN) tidak pernah menjawab bagaimana mereka mengira (taksiran cukai tambahan itu)," katanya.


Beliau sehubungan itu memohon mahkamah memberikan penangguhan prosiding kebankrapan sementara menunggu pendengaran di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) supaya Najib dapat mencabar taksiran cukai berkenaan.


Katanya, anak guamnya akan menghadapi masalah untuk mendapatkan khidmat peguam dan perlu membuat pembayaran melalui sumber lain jika diisytiharkan bankrap.


Sementara itu, Norhisham berhujah bahawa walaupun jumlah yang dikenakan terhadap Najib sememangnya tinggi, ia bukan alasan yang sah untuk membolehkan prosiding kebankrapan ditangguhkan.


Beliau berkata, jumlah yang besar tidak dengan sendirinya merupakan keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan.


"Undang-undang menetapkan beliau perlu membayar terlebih dahulu dan mempertikaikannya kemudian," katanya.


Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi yang berasingan membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin bagi tempoh antara 2011 hingga 2017.


Penghakiman terus ialah keputusan yang dibuat oleh mahkamah berdasarkan hujahan bertulis tanpa memanggil saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.


LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut pemimpin politik itu membayar jumlah berkenaan bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


LHDN melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa anak Najib itu belum membayar cukai untuk tahun taksiran selama tujuh tahun bermula dari 2011, seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Selasa, 30 Jun 2026

PRN Johor: Muhyiddin ingatkan rakyat jasa PN urus negara ketika Covid-19

PRN Johor: Muhyiddin ingatkan rakyat jasa PN urus negara ketika Covid-19


Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengimbau kembali kecekapan Perikatan Nasional (PN) dalam mengurus kesihatan awam, ekonomi dan kebajikan rakyat ketika mentadbir negara sewaktu krisis pandemik Covid-19, enam tahun lalu.


Beliau berkata, ketika PN menjadi kerajaan, pelbagai bentuk bantuan telah dilaksanakan bagi membantu rakyat yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk penyaluran bantuan kewangan secara terus ke akaun penerima.


"Kita sudah ada pengalaman mentadbirkan negara. Sedara masih ingat zaman Covid? Saya macam mana Allah tetapkan jadi Perdana Menteri. Tapi zaman susah, zaman wabak penyakit yang melanda seluruh negara dan seluruh dunia.


"Dalam keadaan susah itu pun, saya pikul amanah dan tanggungjawab. Saya tak tidur siang dan malam, memikirkan bagaimana negara mesti diselamatkan. Rakyat jangan mati kerana penyakit atau kerana tak ada makanan di atas meja," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di program Sembang Santai di Kampung Jayor, Pagoh, petang semalam.


Muhyiddin berkata, kerajaan ketika itu melaksanakan perbelanjaan besar bagi tujuan membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara, dengan jumlah dianggarkan sekitar RM850 bilion.


Beliau turut membandingkan penyaluran Bantuan Kasih Johor (BKJ) oleh kerajaan negeri ketika ini berjumlah RM200 yang didakwanya memerlukan rakyat menunggu lama untuk menerima bantuan.


"Kerana ada kuasa yang diberikan pada saya, saya gunakan kekuatan dan kekuasaan yang ada itu untuk maju dan juga untuk menguruskan hal ehwal negara dan akhirnya sampai masa selesailah kita menguruskan isu Covid, saya belanja RM850 bilion.


"Ada orang kata Johor ini dah okey, Menteri Besar hebat bagi bantuan BKJ. Banyak mana? RM200. Waktu zaman saya berapa banyak? Bila ada pengumuman Perdana Menteri, semua tunggu depan televisyen nak tengok apa yang Tan Sri Muhyiddin nak umum.


"Bukan ambil masa berbulan. Dalam masa seminggu, tengok dalam akaun bank, dapat duit lagi RM2,000, RM3,000. Betul tak," ujarnya.


Ujarnya lagi, isu rasuah masih berlaku walaupun sering ditekankan sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negara dan ia antara merupakan salah satu perkara yang diperjuangkan PN dengan menyertai PRN Johor.

Khamis, 25 Jun 2026

‘Kalau bukan Zahid, siapa yang halang Onn Hafiz ke program Felda? - Akmal Saleh

‘Kalau bukan Zahid, siapa yang halang Onn Hafiz ke program Felda? - Akmal Saleh


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pengarah Felda menjelaskan pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor serta menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memasuki kawasan Felda.


Beliau berkata, persoalan itu timbul selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menafikan mengeluarkan arahan membatalkan program berkenaan mahupun menghalang Menteri Besar Johor daripada memasuki kawasan Felda.


Menurutnya, terdapat pihak yang sebelum ini menuding jari kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung kontroversi tersebut.


Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid sendiri telah menjelaskan bahawa walaupun beliau merupakan menteri yang menyelia Felda, agensi itu masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.


"Kalau bukan arahan daripada menteri penyelia iaitu Ahmad Zahid, mestilah arahan yang Felda dapat daripada orang atau pihak yang lebih atas daripada menteri penyelia, iaitu kemungkinan arahan daripada Jabatan Perdana Menteri ataupun arahan daripada Perdana Menteri sendiri.


"Ini soalan saya. Jadi, saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Ketua Pengarah Felda untuk menjawab siapa yang tak bagi (sambutan diadakan) ini. Janganlah jadi bak kata pepatah, dah baling batu, lepas itu sorok tangan. Rakyat nak tahu," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Rabu.


Sebelum ini, sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Felda Ulu Belitong, Kluang, dibatalkan dan didakwa atas arahan pihak pengurusan Felda Kebangsaan.


Program itu kemudiannya dilaporkan diteruskan dalam skala lebih sederhana menerusi Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda.


Onn Hafiz pada Selasa pula mendedahkan beliau dihalang daripada memasuki kawasan Felda bagi menghadiri majlis penyerahan geran hak milik kepada peneroka.


Keadaan itu menyebabkan majlis yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang, pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa dipindahkan ke Dewan Dato Onn, Taman Sri Lambak, Kluang.


Terdahulu, Ahmad Zahid, seperti dilaporkan media berkata tiada sebarang arahan atau halangan untuk Onn Hafiz memasuki kawasan Felda.


Ahmad Zahid menjelaskan tindakan seperti yang didakwa Onn Hafiz itu juga tidak pernah diarahkan olehnya.


"Saya tidak pernah mengarahkan atau menghalang Menteri Besar Johor untuk masuk ke dalam kawasan Felda," katanya.

Isnin, 22 Jun 2026

BERSATU sedia guna logo sendiri jika tidak dibenar guna logo PN - Muhyiddin

BERSATU sedia guna logo sendiri jika tidak dibenar guna logo PN - Muhyiddin


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersedia menggunakan logo sendiri sekiranya tidak mendapat kebenaran menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.


Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan secara konsensus dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN di Kuala Lumpur pada Isnin.


Menurutnya, keputusan mengenai penggunaan logo parti atau gabungan hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan bersama kepimpinan PN.


"Ada orang tanya saya, apa logo nak pakai. Kita akan pakai logo PN (tapi) macam mana nak guna kalau Pengerusi PN (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) tak nak sign, (guna logo) PN kena ada watikah," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri, Muar pada malam Ahad.


Turut hadir, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.


Pada 16 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, BERSATU kekal bersama PN dan akan menggunakan logo gabungan itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan. Namun keesokan harinya, PAS dilaporkan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai gopoh.


Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, watikah atau kuasa penggunaan logo PN perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.


Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, BERSATU mempunyai ramai calon untuk diketengahkan dan parti perlu bertanding banyak kerusi supaya dapat menubuhkan kerajaan jika menang PRN Johor kali ini.


"Johor ada 56 kerusi, pada PRN lalu, BERSATU menang dua kerusi di Bukit Kepong dan Endau serta satu PAS di Maharani.


"Kalau 10 kerusi tidak cukup untuk jadi kerajaan, perlu ada 28 campur satu kerusi baru boleh jadi kerajaan," katanya.

Khamis, 18 Jun 2026

Bukan lagi rahsia, sikap 'kuku besi' PAS semakin terserlah - Tun Faisal

Bukan lagi rahsia, sikap 'kuku besi' PAS semakin terserlah - Tun Faisal


PAS didakwa tanpa berselindung berusaha menguasai Perikatan Nasional (PN) sepenuhnya dengan langkah terbaharu menggugurkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam gabungan itu.


Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sikap autoritarian dan politik kasar parti itu bertujuan melemahkan kedudukan partinya dalam struktur kepimpinan gabungan itu.


"Bukan lagi rahsia bahawa terdapat pihak dalam PAS yang berhasrat untuk menguasai PN sepenuhnya dan menyingkirkan BERSATU daripada gabungan tersebut.


"Kenyataan anggota Lajnah Undang-Undang PAS serta jentera parti juga memberi gambaran ke arah itu, termasuk usaha menyulitkan pengeluaran watikah calon, memanfaatkan dominasi dalam Majlis Tertinggi untuk menekan BERSATU serta mengetepikan peranan Majlis Presiden dalam proses membuat keputusan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Tambah beliau, susunan baharu yang diumumkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu juga mengubah keseimbangan undi dalam Majlis Tertinggi PN berikutan BERSATU memiliki empat wakil berbanding enam sebelum ini.


"Sekiranya berlaku pengundian, misalnya Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menyokong BERSATU sekalipun, undi hanya tinggal tujuh sahaja.


"Sebaliknya jika Gerakan mempunyai tiga undi menyokong PAS, sudah tentu keputusan akan berpihak kepada mereka dengan menjadi 10 undi (tidak termasuk undi Pengerusi)," katanya.


Tun Faisal turut mempersoalkan mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN dalam masa terdekat selepas sekian lama tidak memanggil mesyuarat penting berkaitan persiapan pilihan raya dan penyelesaian konflik dalaman gabungan itu.


Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa BERSATU akan terus mempertahankan kedudukannya dalam PN selain mengharapkan pihak dalam PAS sendiri membantu menghentikan permainan politik kluster publika itu.

Rabu, 17 Jun 2026

Guna logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan: PAS menyifatkan kenyataan Muhyiddin gopoh

Guna logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan: PAS menyifatkan kenyataan Muhyiddin gopoh


PAS menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung BERSATU akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bersifat gopoh.


Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kuasa atau watikah berhubung penggunaan logo PRN perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.


"Nak guna logo PN, saya rasa ada kesilapan dari segi kenyataan. Dia ingat boleh guna dengan mudah, sebaliknya ada peraturannya. Kuasa atau watikah perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.


"BERSATU nak tanding logo PN sepatutnya perlu dibincang dan diperhalusi dalam PN dan tidak sepatutnya diumum. Sebab itu saya merasakan kenyataan Tan Sri Muhyiddin 'lorat' (gopoh) kerana ia bersifat teknikal dan perlu dibincang," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, hari ini.


Sementara itu ketika ditanya kenyataan BERSATU yang sedia berdepan PAS pada PRN nanti, Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) memaklumkan, BERSATU perlu keluar daripada PN terlebih dahulu.


"Mahu lawan PAS itu pelik. Kalau betul dia nak lawan dia tidak boleh duduk dalam PN, BERSATU kena keluar la," katanya.


Terdahulu media melaporkan, Muhyiddin berkata parti itu akan kekal sebagai komponen dalam PN serta akan menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.


Beliau berkata, BERSATU tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.

Selasa, 16 Jun 2026

Berbalas kenyataan di media sosial, Anthony Loke, Onn Hafiz akhirnya bersemuka, berjabat tangan

Berbalas kenyataan di media sosial, Anthony Loke, Onn Hafiz akhirnya bersemuka, berjabat tangan


Selepas beberapa hari berbalas kenyataan di media sosial, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersemuka di Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, hari ini.


Anthony Loke tiba pada majlis yang Kementerian Pengangkutan menjadi tuan rumah itu pada 12.45 tengah hari disusuli Onn Hafiz lima minit kemudian.


Turut kelihatan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan beberapa pemimpin DAP.


Kedua pemimpin politik itu dilihat saling bersalaman dan berbual mesra sebelum masing-masing berucap pada majlis berkenaan.


Memulakan ucapan, Onn Hafiz mengucapkan 'selamat datang' kepada Loke dan pasukannya ke negeri Johor.


Onn Hafiz berkata, beliau meminda dan menyusun semula jadual sebaik menerima notis pendek berhubung jemputan menghadiri majlis hari ini.


"Apa pun keadaan, kita faham dan dalam suasana luar biasa, kita harus kekal profesional dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai kerajaan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Johor," katanya.



Perang media sosial di antara kedua-dua pemimpin itu bermula apabila Onn Hafiz dalam ucapannya menyatakan bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya parti gabungan itu membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Kenyataan itu dibuat Onn Hafiz ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Iskandar Puteri, 7 Jun lalu.


Malah, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Negeri Johor menegaskan ketika itu dia lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.


Pada hari yang sama, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menyindir Onn Hafiz dengan menyatakan bahawa pendirian Menteri Besar Johor itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dan DAP pada peringkat Persekutuan apabila Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hampir tiap-tiap minggu duduk di sebelahnya dalam mesyuarat.


Susulan itu, pada Sabtu lalu, Loke menjemput Onn Hafiz untuk menaiki KTM Komuter baharu bersama-sama dengannya pada majlis peluncurannya, hari ini.


Onn Hafiz kemudian membuat kenyataan 'terharu' apabila akhirnya 'dijemput' Loke, namun mendakwa belum menerima sebarang surat rasmi walaupun lawatan kerja hari ini sudah dirancang sejak seminggu yang lalu.


Onn Hafiz berkata jemputan diterima selepas beberapa lawatan Loke membabitkan projek di negeri ini tidak pernah membabitkan dirinya atau EXCO kerajaan negeri yang bertanggungjawab.


Loke pula menjawab beliau tidak menjemput Menteri Besar jika ia membabitkan lawatan kerja kerana memahami kesibukan Menteri Besar itu.