Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan

Ahad, 4 Disember 2022

Lapan aktivis lancar protes dalam restoran Salt Bae diheret keluar

Lapan aktivis lancar protes dalam restoran Salt Bae diheret keluar


Sekumpulan aktivis diheret keluar dari restoran stik mewah milik Salt Bae di tengah London selepas melancarkan protes di restoran berkenaan petang semalam, lapor akhbar Metro UK pada 3 Disember 2022.


Kejadian tersebut berlaku di restoran Nusr-Et, di Knightsbridge milik chef terkenal Turkiye, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae yang tular kerana gaya istimewanya menabur garam pada stik.


Kemahirannya membawa kejayaan berbilang restoran di seluruh dunia termasuk di London. Restoran itu menarik perhatian ramai dengan menunya yang mahal termasuk stik 'tomahawk emas' yang dibalut kertas emas 24 karat.


Kumpulan Animal Rebellion menghantar lapan aktivisnya untuk mengadakan protes 'duduk' di restoran stik tersebut tanpa membuat sebarang pesanan makanan.



Aktivis berkenaan dilihat duduk di meja yang ditempah pelanggan lain sambil memegang replika 'menu olok-olok' yang menggariskan permintaan kumpulan tersebut.


Video yang disiarkan oleh kumpulan aktivis haiwan itu menunjukkan seorang ahli kumpulannya sedang dibawa keluar oleh kakitangan premis itu.


Bunyi sorakan kuat didengari di dalam restoran berkenaan ketika kakitangan mengucapkan 'selamat tinggal' kepada aktivis itu.


Polis Metropolitan dilaporkan tiba di tempat kejadian tetapi mengesahkan penunjuk perasaan sudah meninggalkan restoran berkenaan. - Sumber Metro UK.


Pekerja mengheret aktivis yang mengadakan protes keluar dari restoran. - Foto Twitter.

Isnin, 28 November 2022

Ronaldo belanja rakan-rakan sepasukan skuad Piala Dunia negaranya makan malam

Ronaldo belanja rakan-rakan sepasukan skuad Piala Dunia negaranya makan malam


Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo dilaporkan membawa rakan-rakan dalam skuad Piala Dunia negaranya keluar untuk makan malam di sebuah restoran di Pulau Al Maha, Qatar baru-baru ini, lapor Daily Mail pada 26 November 2022.


Sebelum makan malam itu, beliau membantu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dalam kemenangan pembukaan ketika Portugal menang 3-2 ke atas Ghana, menerusi perlawanan pertama sejak penyingkirannya secara tidak sengaja dari kelab Manchester United di Old Trafford, England.


Ia berlaku ketika Portugal berusaha untuk memenangi Piala Dunia buat kali pertama.


Anggota-anggota pasukan Portugal telah bersatu selepas mereka bergambar semasa makan malam itu sekali gus menghabiskan masa bersama selepas ketua jurulatih skuad negara tersebut, Fernando Santos memberi mereka rehat daripada menyertai latihan.



Menurut El Espanol, Ronaldo membawa rakan sepasukannya keluar untuk makan malam di restoran Tatel de Doha yang baru dibuka di pulau tersebut dan mempunyai kaitan dengan bintang berusia 37 tahun itu.


Ini kerana Tatel de Doha adalah milik Mabel Hospitality iaitu sebuah syarikat yang menguruskan restoran-restoran di seluruh dunia, manakala bintang bola sepak tersebut merupakan salah seorang rakan perkongsiannya.


Anggota-anggota skuad bola sepak itu termasuk Ronaldo keluar sehingga jam 11.30 malam waktu tempatan sebelum pemain-pemain berkenaan menaiki bas mereka sendiri untuk pulang ke pusat penginapan mereka.


Pemergian Ronaldo dari kelab Manchester United di Old Trafford berlaku selepas temu bualnya dengan Piers Morgan.


Dalam temu bual itu, dia berkata bahawa dia berasa 'dikhianati' oleh kelab dan mendakwa bahawa dia 'tidak menghormati' Erik ten Hag kerana dia merasakan pemain Belanda itu tidak menghormatinya. - Sumber Daily Mail.


Anggota-anggota skuad bola sepak Piala Dunia Portugal makan malam di sebuah restoran di Pulau Al Maha, Qatar baru-baru ini. - Foto FPF.

Rabu, 9 November 2022

63 bangkai kucing ditemui di dalam rumah wanita, dan 80 masih hidup dalam keadaan kurus kering

63 bangkai kucing ditemui di dalam rumah wanita, dan 80 masih hidup dalam keadaan kurus kering


Sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan menemui 63 bangkai kucing, seekor bangkai anjing dan 80 haiwan masih hidup dalam keadaan kurus kering di sebuah rumah di Bangkok pada Jumaat lalu, lapor laman berita Thaiger pada 7 November 2022.


Watchdog Thailand bekerjasama dengan pasukan polis dari Balai Polis Khan Na Yao dan Jabatan Ternakan, bagi memeriksa rumah tersebut selepas menerima laporan penduduk setempat yang bimbang berlakunya pengabaian haiwan di kediaman tersebut.


Menurut polis dan jabatan ternakan, mereka menghidu bau busuk sejurus memasuki rumah itu sebelum menemui bangkai kucing dan najis haiwan di merata-rata tempat.


Mereka turut menemui 80 ekor kucing dan anjing yang diabaikan dengan ada antaranya dikurung di dalam sangkar selain sebilangan lagi dibiar berkeliaran.


Haiwan-haiwan yang masih hidup memakan bangkai haiwan lain akibat kelaparan dan ada antaranya yang mungkin telah mati selama lebih setahun, kata Watchdog Thailand.


Tambah organisasi itu, penemuan paling mengejutkan adalah bangkai beberapa ekor kucing di dalam beg plastik hitam yang disumbat ke dalam peti sejuk.


Menurut polis, pemilik rumah tersebut yang merupakan seorang wanita berusia 40 tahun, berada di dalam rumah itu ketika kediaman berkenaan diserbu.


Dia melarikan diri dengan memandu sebuah kereta sebelum merempuh dinding dan pengsan. Polis menghubungi ambulans untuk membawa suspek ke hospital.


Hasil daripada serbuan itu, pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 80 haiwan dan membawanya ke sebuah hospital haiwan untuk menerima rawatan. Kesemua haiwan itu kemudian akan dibawa ke Chiang Mai untuk dijaga oleh Yayasan Pemuliharaan Gajah dan Alam Sekitar.


Watchdog Thailand berkata, suspek mengeksploitasi haiwan-haiwan itu menggunakan laman Facebook untuk mengumpul sumbangan orang ramai.


Pada bulan Mac, Watchdog Thailand menyelamatkan lebih daripada 20 kucing yang dikurung dalam sebuah rumah di wilayah Samut Prakan. Lima ekor kucing ditemui mati. - Sumber The Thaiger.


Pasukan tersebut menemui 80 ekor kucing dan anjing yang diabaikan dengan ada antaranya dikurung di dalam sangkar selain sebilangan lagi dibiar berkeliaran. - Foto Thaiger.

Sabtu, 5 November 2022

Sebuah video tular memaparkan lelaki tidur nyenyak atas motosikal di tengah jalan

Sebuah video tular memaparkan lelaki tidur nyenyak atas motosikal di tengah jalan


Sebuah video tular di media sosial Thailand memaparkan beberapa lelaki cuba mengejutkan seorang penunggang motosikal yang tidur nyenyak di atas kenderaannya di tengah jalan, lapor laman berita Thaiger pada 3 November 2022.


Berdasarkan video dimuat naik ke halaman Facebook berita tempatan bernama Hear On Board, penunggang motosikal itu dilihat tidur dengan amat nyenyak dengan keadaan mulutnya ternganga luas.


"Bangun. Adakah anda sedar anda sedang tidur di tengah jalan? Tolong bangun," kata kumpulan lelaki berkenaan ketika mengejutkan penunggang tersebut.


Dia kemudian terjaga dari tidur dan kelihatan keliru. Menurut lelaki tersebut, dia tidak berada dalam keadaan mabuk dan menunjukkan isyarat dua jari bagi menandakan keadaannya baik.



Dia kemudian meminta salah seorang daripada lelaki yang mengejutkannya agar menghantarnya pulang kerana berasa tidak berdaya lagi untuk menunggang motosikal.


Lokasi kejadian tidak dinyatakan, tetapi ia tidak kelihatan seperti jalan biasa yang anda temui di Bangkok. Jalan raya ibu kota pada umumnya sangat sibuk dan berbahaya.


Netizen memuji kumpulan lelaki itu kerana membantu. Ada yang beranggapan bahawa video itu kelakar, manakala yang lain berkata ia tidak kelakar sama sekali, menambah penunggang itu hanya bernasib baik kali ini.


Penunggang motosikal itu dilihat sedang tidur dengan amat nyenyak dengan keadaan mulutnya yang ternganga luas. - Foto Thaiger.

Isnin, 31 Oktober 2022

Ibu terkejut anak jadi 'orang minyak' dipercayai jatuh longkang

Ibu terkejut anak jadi 'orang minyak' dipercayai jatuh longkang


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang wanita terkejut apabila mendapati badan anak perempuannya dipenuhi lumpur hitam pekat akibat terjatuh ke dalam sebuah longkang, lapor laman berita Suara.com.


Video yang dimuat naik dalam akaun Instagram @memomedsos itu memaparkan seorang kanak-kanak perempuan kelihatan berdiri di luar rumah ketika menunggu ibunya keluar. Dia kelihatan takut untuk menemui ibunya selain risau akan dimarah.


Ibunya kemudian menghampiri dan dia kemudian cuba menjelaskan perkara yang berlaku walaupun dengan suara yang gagap. 


Menurut budak perempuan itu, dia tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang yang disyaki longkang ketika cuba berjalan mengundur. 


"Macam mana boleh jatuh. Jalan mengundur di mana?" Tanya wanita itu.


Bagaimanapun, video tersebut tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut. Klip video berkenaan mendapat perhatian netizen di ruangan komen.


"Kalau saya pasti sudah panik kerana takut masuk mata atau tertelan air kotor. Tidak sempat fikir untuk merakam, pasti terus dibersihkan," kata seorang netizen.


Tangkap layar memaparkan seorang budak perempuan yang dipenuhi lumpur hitam berdiri di luar rumah. - Foto Instagram.

Ahad, 30 Oktober 2022

Seribu kali ganda daripada jumlah sebenar, lelaki bayar tambang teksi RM31,593

Seribu kali ganda daripada jumlah sebenar, lelaki bayar tambang teksi RM31,593


Seorang penumpang hampir berputih mata apabila tersilap membayar lebih 1000 kali ganda harga tambang teksi dinaikinya apabila menekan beberapa butang tambahan ketika membuat pembayaran secara dalam talian.


Ketika tergesa-gesa memindahkan wang kepada pemandu teksi menggunakan telefon bimbit, penumpang tersebut secara tidak sengaja membayar sebanyak 253,303 baht (RM31,593) untuk tambang yang hanya berharga 253 baht (RM31.55).


Menurut portal berita The Thaiger, penumpang tersebut dilaporkan menggunakan khidmat teksi untuk perjalanan ke Phahonyothin Soi 64 di Bangkok dan dijemput oleh pemandu, Thanasorn Thongdee.


Penumpang tersebut hanya menyedari kesilapannya itu pada keesokan hari ketika menyemak baki akaun banknya.


Penumpang itu kemudiannya menelefon talian kecemasan trafik dan turut meminta bantuan sebuah stesen radio tempatan yang terkenal dengan kecekapan membantu pemanggil mencari barang yang hilang.


Lelaki tersebut bernasib baik apabila stesen radio berkenaan berjaya mengesan Thanasorn melalui butiran lebihan bayaran yang tidak disengajakan itu.


Lelaki tersebut bertuah apabila Thanasorn sememangnya mempunyai sifat baik dan sering memulangkan barangan yang tertinggal di dalam teksinya termasuk mata wang dari pelbagai negara.


Lelaki berkenaan amat bersyukur apabila Thanasorn hadir dan memulangkan semula lebihan bayaran tersebut yang sangat diperlukan untuk membayar keperluan ibunya yang sedang sakit. - Sumber The Thaiger.


Seorang penumpang tidak sengaja membayar tambang teksi 1000 kali ganda daripada jumlah sebenar di Thailand. - Foto Agensi.
Lelaki kantoi 'tinggal' bertahun-tahun di dalam pusat beli belah

Lelaki kantoi 'tinggal' bertahun-tahun di dalam pusat beli belah


Seorang lelaki berkongsi pengalamannya tinggal secara percuma dengan bersembunyi selama bertahun-tahun di dalam ruang sempit sebuah pusat beli belah di Amerika Syarikat, tanpa disedari oleh sesiapa.


Michael Townsend berjaya menyelinap masuk ke satu ruangan kecil yang tersorok daripada pandangan kakitangan dan pengunjung pusat beli belah berkenaan.


Bagaimanapun, rahsia yang disimpan rapi itu terbongkar selepas terserempak pengawal keselamatan yang menjalankan rondaan.


Townsend berkata, tindakan itu terpaksa dibuat kerana dalam keadaan terdesak selepas dihalau dari rumahnya dan tidak mempunyai pilihan lain.


Ketika sedang berusaha mencari kediaman baharu, dia terbaca iklan di sebuah pusat beli belah yang terdapat sebuah bilik kosong di premis berkenaan.



Dia kemudiannya membuat keputusan untuk tumpang tidur di premis berkenaan, namun dalam masa sama menghias ruang menjadi sebuah bilik yang dilengkapi perabot.


Malah, lelaki itu turut mempelawa rakannya untuk menetap bersama di premis berkenaan. Kisah pada 1999 itu dikongsi Townsend dalam satu wawancara bersama Daily Star, baru-baru ini.


Townsend juga memaklumkan dia sebenarnya hanya bercadang untuk tinggal selama seminggu namun tidak menyangka berlanjutan sehingga bertahun-tahun.


Menurut NBC News, Townsend dan rakan-rakannya juga membina dinding blok angin dan pintu utiliti untuk menyembunyikannya. Sebelum ditangkap, Townsend mempunyai rancangan untuk memasang lantai kayu, bilik tidur kedua dan dapur. - Sumber Irish Mirror.