Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan

Khamis, 27 Oktober 2022

Adik perempuan jadi pengantin lelaki ganti abang tidak dapat hadir majlis kahwin

Adik perempuan jadi pengantin lelaki ganti abang tidak dapat hadir majlis kahwin


Gara-gara tidak dapat menghadiri upacara perkahwinan sendiri, seorang lelaki di China digantikan oleh adik perempuannya yang menjadi pengantin lelaki bagi meneruskan majlis yang telah dirancang, lapor portal berita Wolipop pada 22 Oktober 2022.


Dalam kejadian di Suzhou, wilayah Anhui itu, calon pengantin lelaki dikatakan tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana berada di daerah yang melaksanakan perintah berkurung Covid-19.


Oleh kerana itu, ahli keluarga lelaki berkenaan membuat keputusan menggantikan tempat pengantin lelaki dengan adik perempuannya supaya majlis perkahwinan tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang.


Berdasarkan gambar yang dikongsi di media sosial, adik perempuan lelaki berkenaan dilihat memakai kot serta pakaian pengantin lelaki dan menyematkan sekuntum bunga pada sutnya.


Selain bersanding dengan pengantin perempuan, mereka turut melakukan upacara perkahwinan dengan niat untuk menggantikan abang wanita tersebut.


Majlis perkahwinan itu mendapat perhatian orang ramai malah penduduk di sekitar kawasan itu turut menghadirkan diri untuk melihat sendiri upacara berkenaan.


"Ini seperti dalam drama. Kami sudah berkahwin tetapi pengantinnya bukan saya," kata seorang netizen. - Sumber Wolipop.


Demi menjayakan majlis perkahwinan yang telah dirancang selama berbulan-bulan, adik perempuan kepada pengantin lelaki mengambil keputusan untuk menggantikan abangnya kerana tidak dapat hadirkan diri ke upacara hari gembiranya bersama pasangan. - Foto Weibo.

Rabu, 14 September 2022

Berang dipatuk, lelaki gigit ular tedung hingga mati kemudian dililit di lehernya

Berang dipatuk, lelaki gigit ular tedung hingga mati kemudian dililit di lehernya


Seorang petani di India membalas dendam terhadap seekor ular tedung yang mematuknya dengan cara menggigit reptilia berbisa itu sehingga mati, lapor akhbar Daily Star pada 12 September 2022.


Dalam kejadian pada hari Selasa, 6 September lalu, petani bernama Salim Khan dilaporkan sedang bekerja di kawasan sawah padi berhampiran kampung Darada di wilayah Bengal, India.


Penduduk tempatan berkata, lelaki itu mengumpul rumput untuk memberi makan kepada lembu peliharaannya apabila dia tiba-tiba dipatuk seekor ular tedung.


Salim dipatuk pada bahagian kaki, menyebabkan dia nekad membalas dendam terhadap repitilia berbisa itu.



Tidak seperti kebanyakan orang lain yang melarikan diri sekiranya insiden tersebut berlaku, Salim bertindak menggigit ular tedung itu sehingga ia mati.


Bagaikan membawa trofi kemenangan, Salim kemudian berarak di sekitar kejiranannya bersama bangkai haiwan itu yang dililit di leher. Dia bangga kerana dapat membunuh ular yang menyerangnya.


Menurut Salim, dia sedikit pun tidak berasa sakit selepas dipatuk ular tedung itu.


"Kami melihat Salim menunggang basikal bersama seekor ular tedung yang dililit di sekeliling lehernya. Ia amat menakutkan," kata seorangs saksi kepada laman berita Sambad English.


Menurut Sambad English, Salim mendakwa bahawa dia berjaya menghapuskan bisa ular menggunakan ilmu sihir. - Sumber Daily Star.


Salim melilit ular tedung tersebut pada lehernya sambil berarak di sekitar bandar. - Fito Daily Star.

Ahad, 11 September 2022

Lima orang maut selepas bot yang membawa 11 penumpang terbalik dilanggar ikan paus

Lima orang maut selepas bot yang membawa 11 penumpang terbalik dilanggar ikan paus


Lima orang maut selepas sebuah bot terbalik akibat berlanggar dengan seekor ikan paus pada pagi Sabtu di perairan South Island, New Zealand, lapor akhbar Daily Mail pada 10 September 2022.


Menurut pegawai tempatan, bot yang membawa 11 penumpang yang berusia lebih 50 tahun dalam perjalanan memerhati burung, dilaporkan terbalik kira-kira pukul 10 pagi (waktu tempatan) di Goose Bay, 15 kilometer di selatan Kaikoura.


New Zealand Coastguard, Maritim New Zealand dan Fire and Emergency New Zealand, operator pelancongan termasuk Dolphin Encounter Kaikōura, dan segelintir nelayan tempatan terlibat dalam usaha menyelamatkan mangsa.


Dua helikopter Westpac Rescue turut dipanggil ke tempat kejadian. Operasi menyelamat yang mengambil masa hampir tujuh jam berakhir apabila pasukan penyelam polis menemukan lima mayat di dalam bot tersebut.


Dilaporkan, enam lagi mangsa berjaya diselamatkan dan mereka hanya mengalami cedera ringan. Beberapa media tempatan melaporkan tekong bot itu juga terselamat.


Terdahulu, beberapa gambar tular dalam media sosial menunjukkan mangsa melambai tangan dengan meminta bantuan dari bot sepanjang 8.5 meter yang terbalik. Menurut polis, bot tersebut milik perniagaan sewaan tempatan.


Sementara itu, Datuk Bandar Kaikoura, Craig Mackle berkata, beberapa 'petunjuk' menunjukkan bot itu berlanggar dengan seekor ikan paus.


Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca bot itu terbalik tetapi berkata terdapat perlanggaran dan siasatan masih dijalankan. Paus bungkuk dan paus sperma diketahui kerap mengunjungi kawasan itu.


"Walaupun saya tidak tahu jenis ikan paus yang mungkin berlanggar dengan bot itu, namun terdapat beberapa ikan paus sperma di kawasan itu dan juga beberapa ikan paus bungkuk," kata Craig Mackle. - Sumber Daily Mail.


Lima orang maut selepas sebuah bot terbalik akibat berlanggar dengan seekor ikan paus pada pagi Sabtu. - Foto AP.

Enam penumpang lain termasuk kapten telah diselamatkan dan hanya cedera ringan. - Foto AF.

Gambar mengerikan menunjukkan seorang penumpang duduk di atas bot yang terbalik sambil menunggu untuk diselamatkan. - Foto Twitter.

Separuh penumpang berjaya menaiki badan kapal yang terbalik di mana mereka menunggu bantuan. - Foto AF.

Sabtu, 20 Ogos 2022

Ibu muda maut terjatuh ketika sertai acara lari dalam guni di Tasikmalaya

Ibu muda maut terjatuh ketika sertai acara lari dalam guni di Tasikmalaya

Gambar hiasan.

Seorang wanita muda meninggal dunia ketika menyertai pertandingan lumba lari dalam guni menerusi satu program di Mangkabumi, Tasikmalaya pada Rabu 17 Ogos 2022 lalu, lapor Kompas.com.


Berdasarkan video yang dikongsi dalam media sosial, kelihatan wanita muda yang dikenali sebagai Rini, 29, dari Kampung Gunung Bubut, Desa Cipatra, Kecamatan Mangkubumi, Kota Tasikmalaya, Jawa Barat terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika menyertai acara tersebut.


Video itu juga menunjukkan orang ramai bersorak kepada peserta pertandingan dengan Rini berada paling depan. Namun, ketika hampir tiba di garis penamat, wanita itu tiba-tiba terjatuh dan kepalanya terhentak pada tanah.


Orang ramai kemudiannya menghampiri mangsa dan cuba membantunya, namun Rini tidak sedarkan diri dan dia terus dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran sebelum disahkan sudah meninggal dunia.


Dalam pada itu, Ketua Polis Mangkabumi, Hartono mengesahkan insiden itu berkata, sebelum meninggal dunia, Rini menyertai acara itu dalam keadaan ceria.


"Menurut keterangan keluarganya, Rini mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan ketika kejadian, dia baru dua bulan melahirkan anak. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya.


Sementara itu, seorang saksi, Aef Saefudin, 43, berkata beberapa penduduk melarang Rini menyertai acara lumba lari dalam guni kerana baru dua bulan bersalin.


Hartono berkata, pihak keluarga menganggap kematian ibu berusia 29 tahun itu sebagai satu musibah. Selepas kejadian itu, jenazah Rini segera dikebumikan di tanah perkuburan awam.


"Keluarga mangsa selepas mengetahui musibah itu telah ikhlas atas kejadian itu. Mereka tidak akan menyaman sesiapa atas kejadian itu. Kerana, apa yang menimpanya adalah musibah dan keluarga juga telah mengebumikannya di tanah perkuburan awam," jelasnya. - Sumber Kompas.com.


Tangkap layar memaparkan Rini berlari dalam guni sebelum terjatuh ketika mengikuti pertandingan memperingati Hari Kemerdekaan Republik Indonesia di kampungnya pada Rabu lalu. - Foto Kompas.com.

Ahad, 7 Ogos 2022

Wanita mahu balas dendam kepada bekas kekasih, tersalah bakar rumah orang lain

Wanita mahu balas dendam kepada bekas kekasih, tersalah bakar rumah orang lain


Seorang wanita ingin membalas dendam terhadap bekas kekasihnya dengan membakar rumah lelaki itu. Namun, tindakan itu bertukar tragedi apabila wanita tersebut tersalah membakar rumah orang lain.


Menurut laporan WBTV, wanita itu dikenali sebagai Christie Louise Jones, ingin membalas dendam terhadap bekas teman lelakinya. Kejadian itu berlaku di North Carolina pada awal pagi Jumaat, 22 Julai 2022 lalu.


Menurut Pejabat Syerif Daerah Rowan memaklumkan, pemilik rumah berkenaan dikejutkan oleh jirannya selepas mereka ternampak wanita tersebut cuba membakar rumahnya di Gold Hill.


Sehubungan itu, pemilik rumah tersebut segera menghubungi pihak berkuasa dan polis dikerahkan ke lokasi kejadian. Ketika tiba, polis mendapati bahagian depan rumah berkenaan sudah terbakar dan menemui minyak tanah yang digunakan untuk membakar.


"Pemilik itu menceritakan dia cuba memadamkan kebakaran yang tercetus namun tidak berjaya kerana suspek sudah menyekat aliran air.


"Selepas itu, pemilik rumah tersebut mengambil senapang dan berdepan dengan suspek. Namun, suspek melarikan diri selepas polis tiba di rumah tersebut," kata Rowan.


"Kesilapan itu mungkin dilakukan kerana bekas teman lelaki Jones memiliki harta di kawasan kejiranan itu. Akibatnya, terdapat syak wasangka yang dia benar-benar melihat rumah yang salah," kata seorang saksi. - Sumber UNILAD.


Christie Louise Jones memulakan rancangannya pada awal pagi pada hari Jumaat, 22 Julai 2022 lalu. - Foto Rowan Sheriff's Office.

Rabu, 6 Julai 2022

Lelaki terapung disangka mayat rupanya sedang bertapa

Lelaki terapung disangka mayat rupanya sedang bertapa


Sekumpulan penduduk di Bangkok, Thailand yang menemui 'mayat' lelaki terapung di sebuah terusan terkejut apabila mendapati ia sebenarnya seorang manusia yang sedang bermeditasi, lapor laman berita Oddity Central pada 4 Julai 2022.


Berdasarkan sebuah rakaman video, orang ramai dilihat memenuhi tebing terusan itu selepas melihat satu 'mayat' terapung di permukaan air longkang dipenuhi sampah-sarap.


Beberapa orang di tebing terusan cuba menjerit ke arah 'mayat' yang terapung untuk memastikan ia benar-benar mati. Mereka juga telah melaporkan perkara itu kepada polis.


Seorang pemuda yang berani turun ke dalam air dan memeriksa keadaan 'mayat' tersebut. Namun, sebaik sahaja menyentuh badan 'mayat' itu, lelaki berkenaan terkejut apabila mendapati ia bergerak dan bercakap kepadanya.


"Kami fikirkan bahawa dia sudah mati. Semua orang menjerit sebelum itu, namun dia langsung tidak bergerak. Apabila ada seseorang cuba menariknya, barulah dia bercakap dan memberitahu bahawa dia sedang bermeditasi," kata seorang anggota penyelamat, Sommatr Promvog.


Selepas membantu mengeluarkan lelaki berkenaan dari terusan tersebut, sebuah ambulans telah dipanggil untuk melakukan pemeriksaan kesihatan lelaki tua itu, dan kakitangan mendapati dia dalam keadaan sedar dan berada dalam keadaan sihat.


Lelaki itu kemudian dihantar pulang ke rumahnya serta diminta melakukan meditasi di tempat yang lebih sesuai. - Sumber Oddity Central.


Sebaik sahaja menyentuh badan ‘mayat’ itu, dia secara tica-tiba bergerak dan bercakap kepada lelaki yang membantunya. - Foto Oddity Central.

Ahad, 26 Jun 2022

Sebuah hotel menawarkan pengalaman bermalam berbumbungkan langit, tanpa dinding dan pintu

Sebuah hotel menawarkan pengalaman bermalam berbumbungkan langit, tanpa dinding dan pintu


Sebuah hotel di kampung Saillon, selatan Switzerland menawarkan pengalaman bermalam berkonsepkan terbuka tanpa dinding, bumbung dan pintu, lapor Reuters pada 23 Jun 2022.


Hotel 'Zero Star Hotel' yang diilhamkan pasangan adik beradik, Frank Riklin dan Patrik Riklin menawarkan harga 275 pound (RM1,400), bagi satu malam dengan kemudahan seperti katil di atas platform, dengan dua meja sisi katil dan lampu.


Konsep itu bertujuan membiarkan tetamu memikirkan masalah di dunia seperti perubahan iklim, peperangan serta kerosakan yang ditimbulkan akibat tangan manusia di bumi.


"Tidur bukan tujuan utama kami menyediakan penginapan ini. Apa yang penting adalah bagaimana kita memberikan maklum balas terhadap situasi dunia sekarang.


"Bermalam di sini adalah satu kenyataan tentang keperluan melakukan perubahan segera dalam masyarakat.


"Sekarang bukan masa untuk tidur dengan nyenyak, kita perlu memikirkan masalah dunia. Jika kita meneruskan arah yang sama seperti hari ini, mungkin terdapat lebih banyak tempat yang sudah tidak indah lagi," kata Patrik Riklin.


Projek tersebut dibangunkan bersama pengusaha hotel, Daniel Charbonnier yang menawarkan tempat tidur di tepi jalan bersebelahan stesen minyak, lereng bukit dan ladang anggur dengan pemandangan yang mempesonakan.


Pakej turut dilengkapi perkhidmatan penyedia makanan bagi sarapan dan minuman yang akan tersedia dari 1 Julai hingga 18 September depan. - Sumber Reuters.


Foto adik-beradik Frank Riklin dan Patrik Riklin. Gambar diambil 14 Jun 2022 oleh Reuters/Denis Balibouse.

Tempat tidur dengan pemandangan mempesonakan di lereng bukit di kampung Saillon, selatan Switzerland. - Foto Agensi.

Gambar diambil 15 Jun 2022 oleh Reuters/Denis Balibouse.

Gambar diambil 15 Jun 2022 oleh Reuters/Denis Balibouse.