Ahad, 11 September 2022

Lima orang maut selepas bot yang membawa 11 penumpang terbalik dilanggar ikan paus


Lima orang maut selepas sebuah bot terbalik akibat berlanggar dengan seekor ikan paus pada pagi Sabtu di perairan South Island, New Zealand, lapor akhbar Daily Mail pada 10 September 2022.


Menurut pegawai tempatan, bot yang membawa 11 penumpang yang berusia lebih 50 tahun dalam perjalanan memerhati burung, dilaporkan terbalik kira-kira pukul 10 pagi (waktu tempatan) di Goose Bay, 15 kilometer di selatan Kaikoura.


New Zealand Coastguard, Maritim New Zealand dan Fire and Emergency New Zealand, operator pelancongan termasuk Dolphin Encounter Kaikōura, dan segelintir nelayan tempatan terlibat dalam usaha menyelamatkan mangsa.


Dua helikopter Westpac Rescue turut dipanggil ke tempat kejadian. Operasi menyelamat yang mengambil masa hampir tujuh jam berakhir apabila pasukan penyelam polis menemukan lima mayat di dalam bot tersebut.


Dilaporkan, enam lagi mangsa berjaya diselamatkan dan mereka hanya mengalami cedera ringan. Beberapa media tempatan melaporkan tekong bot itu juga terselamat.


Terdahulu, beberapa gambar tular dalam media sosial menunjukkan mangsa melambai tangan dengan meminta bantuan dari bot sepanjang 8.5 meter yang terbalik. Menurut polis, bot tersebut milik perniagaan sewaan tempatan.


Sementara itu, Datuk Bandar Kaikoura, Craig Mackle berkata, beberapa 'petunjuk' menunjukkan bot itu berlanggar dengan seekor ikan paus.


Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca bot itu terbalik tetapi berkata terdapat perlanggaran dan siasatan masih dijalankan. Paus bungkuk dan paus sperma diketahui kerap mengunjungi kawasan itu.


"Walaupun saya tidak tahu jenis ikan paus yang mungkin berlanggar dengan bot itu, namun terdapat beberapa ikan paus sperma di kawasan itu dan juga beberapa ikan paus bungkuk," kata Craig Mackle. - Sumber Daily Mail.


Lima orang maut selepas sebuah bot terbalik akibat berlanggar dengan seekor ikan paus pada pagi Sabtu. - Foto AP.

Enam penumpang lain termasuk kapten telah diselamatkan dan hanya cedera ringan. - Foto AF.

Gambar mengerikan menunjukkan seorang penumpang duduk di atas bot yang terbalik sambil menunggu untuk diselamatkan. - Foto Twitter.

Separuh penumpang berjaya menaiki badan kapal yang terbalik di mana mereka menunggu bantuan. - Foto AF.


EmoticonEmoticon