Memaparkan catatan dengan label Khalwat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khalwat. Papar semua catatan

Selasa, 20 Oktober 2026

Beri alasan urusan bank, janda ditahan khalwat dengan suami orang dalam bilik hotel

Beri alasan urusan bank, janda ditahan khalwat dengan suami orang dalam bilik hotel

Foto Ihsan AADK

Seorang wanita berstatus janda dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki bukan Islam yang juga suami orang di sebuah bilik hotel di Padang Serai, Kulim, hari ini.


Wanita berusia 42 tahun itu memberi alasan datang dari Terengganu ke daerah ini kerana mempunyai urusan bank sebaliknya bertemu lelaki berkenaan.


Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad, berkata tangkapan dilakukan jam 7.30 pagi tadi dan ketika itu pasangan terbabit berada dalam sebuah bilik hotel tingkat atas.


Katanya, hasil soal siasat lelaki berusia 24 tahun itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak serta berasal dari Padang Serai.


"Pasangan ini tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat.


"Lelaki itu mengaku mengenali wanita berkenaan kerana pernah bekerja di tempat sama di sebuah syarikat kurier selama tiga bulan.


"Wanita terbabit pula berasal dari Terengganu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.


Anwar Sharifudin berkata, pasangan itu memaklumkan mereka menyewa bilik hotel itu jam 12.30 tengah malam tadi.


"Soal siasat mendapati pasangan itu mengakui sudah dua kali bertemu di hotel. Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat," katanya.

Khamis, 15 Oktober 2026

Isteri orang berusia lingkungan 50-an ditangkap khalwat bersama duda dalam bilik sewa

Isteri orang berusia lingkungan 50-an ditangkap khalwat bersama duda dalam bilik sewa


Seorang wanita berstatus isteri orang ditangkap khalwat bersama seorang duda berusia lingkungan 60-an dalam serbuan di sebuah bilik sewa di rumah kedai di Taman Maju Jaya, Johor Bahru Jumaat lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menjalankan pemeriksaan selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan mencurigakan di premis berkenaan.


Menurut JAINJ, sebaik tiba di lokasi, anggota penguat kuasa naik ke tingkat atas bangunan sebelum memeriksa beberapa bilik sewa di situ.


"Ketika pemeriksaan, penguat kuasa mengetuk pintu sebuah bilik sebelum dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek tanpa berbaju.


"Pemeriksaan lanjut menemukan seorang wanita berusia lingkungan 50-an sedang duduk di atas katil bujang dalam keadaan berpakaian lengkap," menurut kenyataan itu.


Difahamkan, kedua-dua individu berkenaan kelihatan gelisah ketika pemeriksaan dijalankan sebelum mengakui mereka bukan pasangan suami isteri.


Lelaki terbabit merupakan warga tempatan berasal dari Pulau Pinang yang berstatus duda dan bekerja di Singapura, manakala wanita berkenaan bekerja di Johor Bahru.


Pemeriksaan lanjut mendapati keadaan katil di dalam bilik itu tidak terurus, selain pakaian lelaki dan wanita ditemukan bercampur di dalam almari.


Siasatan awal mendapati bilik berkenaan disewa oleh lelaki terbabit yang sebelum ini tinggal bersendirian, manakala bilik lain di premis sama turut dihuni penyewa lelaki.


Wanita berkenaan dipercayai berada di bilik sewa itu sejak dua hingga tiga hari sebelum serbuan dilakukan.


Ketika disoal, wanita terbabit memberi alasan terpaksa keluar dari rumah akibat masalah rumah tangga dengan suaminya.


Lelaki berkenaan pula mendakwa hanya berniat membantu dengan membenarkan wanita itu menumpang di bilik sewanya.


Bagaimanapun, wanita terbabit pada mulanya mendakwa sudah bercerai dengan suaminya sebelum menjelaskan bahawa proses perceraian masih berjalan.


Susulan itu, penguat kuasa menasihatinya supaya tidak membuat pengakuan sudah bercerai selagi perceraian berkenaan belum disahkan oleh Mahkamah Syariah.


Kedua-dua individu terbabit ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997. Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah bagi tindakan lanjut.

Selasa, 13 Oktober 2026

Dua pasangan kekasih ditahan berkhalwat, alasan tinggal sebilik demi jimat kos sewa

Dua pasangan kekasih ditahan berkhalwat, alasan tinggal sebilik demi jimat kos sewa


Dua pasangan kekasih ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di dua bilik berasingan di sebuah rumah kedai di Saleng, Kulai, semalam.


JAINJ dalam kenyataannya memaklumkan kedua pasangan itu ditahan dalam serbuan pada 10.50 pagi selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan berkenaan.


Menurut kenyataan itu, pemeriksaan di bilik pertama menemukan seorang lelaki berusia 22 tahun bersama seorang wanita berusia 22 tahun yang bukan isterinya.


"Pemeriksaan lanjut turut menemukan pakaian lelaki dan wanita di dalam bilik berkenaan sebelum pasangan itu mengaku sudah tinggal bersama selama beberapa bulan," menurut kenyataan itu.


Dalam serbuan sama, penguat kuasa turut memeriksa sebuah bilik bersebelahan dan menemukan seorang lelaki berusia 20 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun.


Pasangan kedua itu turut mengaku bukan suami isteri dan sudah tinggal bersama di bilik berkenaan selama lebih sebulan.


JAINJ memaklumkan, kedua pasangan terbabit dipercayai bekerja di syarikat yang sama dan berasal dari daerah lain sebelum berpindah ke Kulai untuk mencari pekerjaan.


Mereka dipercayai mula berkenalan di tempat kerja sebelum mengambil keputusan tinggal bersama di bilik sewa berkenaan.


Menurut kenyataan itu, kedua wanita terbabit memberi alasan tinggal bersama pasangan masing-masing bagi menjimatkan kos sewa bilik, selain memudahkan perjalanan ke tempat kerja.


Kedua pasangan itu kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Isnin, 12 Oktober 2026

Wanita Indonesia tawar aktiviti pelacuran RM20 diserbu JAIM di Banda Hilir, Melaka

Wanita Indonesia tawar aktiviti pelacuran RM20 diserbu JAIM di Banda Hilir, Melaka


Kegiatan disyaki pelacuran membabitkan lima wanita warga Indonesia di sebuah rumah tumpangan di Banda Hilir, Melaka terbongkar selepas diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira jam 3 petang semalam.


Dalam serbuan itu, seorang daripada wanita berusia 38 tahun mengaku menerima bayaran untuk memberikan khidmat seks kepada seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang sudah berkahwin.


Menurut sumber, pemeriksaan yang dijalankan dengan bantuan anggota polis turut menyaksikan beberapa lelaki dipercayai warga asing melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.


"Ketika pemeriksaan di bilik pertama, penguat kuasa menemukan seorang lelaki tempatan bukan Islam berusia 44 tahun bersama seorang wanita Indonesia berusia 38 tahun.



"Siasatan awal mendapati wanita itu mengaku menerima bayaran RM40 bagi khidmat urutan selama 15 minit, manakala tambahan RM20 bagi khidmat seks," katanya.


Menurut sumber itu, pemeriksaan di bilik berkenaan turut menemukan kondom terpakai dan tisu di dalam tong sampah, selain wang tunai RM60 yang dipercayai berkaitan dengan transaksi tersebut.


Pemeriksaan lanjut di empat bilik lain pula menemukan empat lagi wanita warga Indonesia beragama Islam berusia lingkungan 30-an hingga 40-an. Bagaimanapun, tiada pelanggan ditemukan bersama mereka.


"Ketika operasi dijalankan, sekumpulan lelaki dipercayai warga asing muncul di premis berkenaan, namun mereka melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.


"Beberapa kondom yang belum digunakan turut ditemukan di tangga menuju ke rumah tumpangan itu," katanya.



Sumber itu berkata, pintu belakang premis berkenaan juga didapati dibuka ketika operasi dijalankan, dipercayai bagi mengelakkan kegiatan tersebut dikesan pihak berkuasa.


Menurutnya, JAIM sebelum ini beberapa kali melakukan serbuan di lokasi sama susulan maklumat orang awam, namun usaha berkenaan tidak membuahkan hasil sehingga operasi terbaharu itu dijalankan.


Kesemua lima wanita berkenaan kemudian dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JAIM untuk siasatan lanjut sebelum dijadualkan dituduh di mahkamah hari ini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 berkaitan perbuatan berkurung yang mendatangkan syak atau berkhalwat, serta Seksyen 75 enakmen sama berkaitan perbuatan melacurkan diri.

Isnin, 5 Oktober 2026

Ibu dan nenek sedang tidur di ruang tamu, pasangan kekasih berkhalwat dalam bilik

Ibu dan nenek sedang tidur di ruang tamu, pasangan kekasih berkhalwat dalam bilik


Pasangan kekasih ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat dalam rumah di Plentong, Johor Bahru, awal pagi tadi, ketika ibu dan nenek wanita berkenaan sedang tidur.


JAINJ dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan kira-kira jam 3.15 pagi itu dilakukan sepasukan penguat kuasa selepas menerima aduan awam berhubung kegiatan pasangan berkenaan.


"Pemeriksaan di rumah kampung berkembar mendapati pintu utama rumah tidak berkunci, manakala pintu gril juga didapati tidak berkunci sebelum penguat kuasa memasuki rumah untuk menjalankan pemeriksaan," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan di ruang tamu rumah itu kemudiannya menemukan dua wanita berusia 50-an dan 70-an yang juga ibu dan nenek wanita itu sedang tidur.


Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bilik yang tertutup dan berkunci kemudiannya mendapat terdapat wanita dan lelaki dalam bilik berkenaan.


"Pasangan terbabit mengaku bukan suami isteri, sebaliknya mendakwa hanya berkawan dan lelaki berkenaan kerap datang ke rumah berkenaan untuk makan serta minum," katanya.


Beliau berkata, lelaki berusia 29 tahun dan berstatus bujang itu berasal dari negeri lain serta bekerja di Singapura manakala wanita berusia 24 tahun berasal dari daerah ini, tidak bekerja dan menjaga neneknya yang uzur.


"Siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan mengaku kerap datang ke rumah itu sejak berpindah ke bandar raya ini termasuk tiga hingga empat kali seminggu sehingga lewat malam atau awal pagi.


"Lelaki terbabit turut mengaku membiayai perbelanjaan rumah berkenaan termasuk bayaran sewa, selain membantu menanggung wanita yang tidak bekerja," katanya.


Menurut kenyataan itu, lelaki itu mendakwa mereka merancang untuk berkahwin pada hujung tahun ini, namun pemeriksaan mendapati tiada permohonan pernikahan dibuat di pejabat kadi setakat ini.


Pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Sabtu, 3 Oktober 2026

Niat beri kejutan hari lahir isteri, suami temui lelaki lain dalam rumah sewa isterinya

Niat beri kejutan hari lahir isteri, suami temui lelaki lain dalam rumah sewa isterinya


Niat seorang lelaki berusia 25 tahun yang hanya dikenali sebagai EE, memberikan kejutan hari lahir kepada isterinya bertukar tragedi apabila dia menemui seorang lelaki lain berada di rumah sewa isterinya di Kecamatan Tayu, Kabupaten Pati, Jawa Tengah.


Kejadian pada awal pagi 27 September lalu itu menyebabkan lelaki berusia 25 tahun dikenali AK maut selepas ditikam EE yang dipercayai berang selepas mendapati mangsa berada bersama isterinya, VD.


Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pati, Kompol Dika Hadiyan Widya Wiratama, EE datang dari Demak ke Tayu kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan dengan menunggang motosikal untuk menjemput isterinya pulang ke rumah.


EE sengaja tidak memaklumkan kedatangannya kerana mahu memberikan kejutan sempena hari lahir isterinya.


Namun, setibanya di rumah sewa itu, pintu bilik tidak terus dibuka. Selepas kira-kira empat minit, VD membuka pintu sebelum mengajak suaminya keluar membeli makanan.


EE bagaimanapun masuk ke bilik mandi untuk membuang air kecil sebelum mendapati pintu bilik berkenaan tidak dapat dibuka sepenuhnya kerana dihalang sesuatu. Apabila pintu berjaya dibuka, dia menemui AK bersembunyi di sebaliknya.


Menurut polis, EE bertanyakan identiti lelaki terbabit dan sebab dia berada di rumah sewa isterinya. AK dikatakan hanya mendakwa dirinya sebagai rakan sebelum berdiam diri.


Polis berkata, mangsa dan isteri suspek dipercayai mempunyai hubungan rapat.


Pertengkaran kemudian tercetus sebelum EE mengambil sebilah pisau lipat yang berada di rumah sewa berkenaan dan menikam paha kiri AK sekali.


Isteri EE dilaporkan cuba menenangkan keadaan dan meminta suaminya tidak mencederakan mangsa.


Selepas kejadian, EE meminta bantuan pemilik rumah sewa. Namun, lelaki berkenaan dilaporkan tidak berani membantu, menyebabkan EE dan isterinya membawa AK ke hospital dengan motosikal.


Mangsa mengalami pendarahan teruk dan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan. Polis kemudian menahan EE dan menetapkannya sebagai suspek dalam kes berkenaan.


Menurut laporan media Indonesia, EE didakwa mengikut Perkara 466(3) Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan penganiayaan yang menyebabkan kematian, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.


Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas seorang lelaki ditemukan maut akibat ditikam di sebuah rumah sewa di Pati. - Foto iNews TV/VINDI AGIL

Rabu, 23 September 2026

Suami orang, janda bersekedudukan hingga dapat anak ditahan

Suami orang, janda bersekedudukan hingga dapat anak ditahan


Tidak hanya ditahan kerana berkhalwat dengan janda, malah seorang lelaki berstatus suami orang disyaki bersekedudukan hingga melahirkan anak.


Pasangan itu bagaimanapun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hasil serbuan di unit pangsapuri di Kluang jam 1.15 pagi tadi.


Menurut JAINJ, lelaki berusia 50-an itu mengaku bersekedudukan bersama wanita berusia 30-an sehingga melahirkan anak.


Katanya, sebelum tangkapan dilakukan, penguat kuasa menemui kereta dipercayai milik lelaki itu di kawasan parkir kediaman berkenaan.


"Ketika awal serbuan, penguat kuasa JAINJ mengetuk pintu kediaman sambil memberi salam namun tiada sesiapa menjawabnya.


"Selepas 25 minit, barulah seorang lelaki membuka pintu. Lelaki itu keluar dengan memakai baju T dan berseluar panjang.


"Penguat kuasa JAINJ memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa. Apabila ditanya, lelaki itu mendakwa dia tinggal bersama wanita yang juga bakal isterinya.


"Pemeriksaan di sebuah bilik menemukan seorang wanita memakai kain batik dan baju T selain bayinya sedang tidur," katanya.


Menurutnya, hasil soal siasat, pasangan itu mengaku tiada sebarang ikatan sah.


JAINJ berkata, lelaki itu kemudian cuba merayu dan mendakwa akan menanggung malu memandangkan ramai orang mengenalinya di daerah Kluang.


"Daripada maklumat diperolehi, bayi itu adalah anak wanita terbabit yang lahir di hospital. Hasil semakan, bayi itu hanya mempunyai nama ibu.


"Pada masa sama, lelaki itu turut mengaku beberapa kali melakukan aksi terlarang bersama wanita itu sepanjang berada di rumah itu sebelum ini.


"Lelaki terbabit bekerja di Kluang manakala pasangannya berniaga sambilan. Rumah ini disewa wanita terbabit namun lelaki itu kadang kala datang bertemu pasangannya," katanya.


Katanya, pasangan terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana khalwat dan Seksyen 23 enakmen sama kerana berzina," katanya.

Selasa, 22 September 2026

Empat jam menunggang motosikal demi kekasih, dua penuntut kolej dicekup khalwat di hotel

Empat jam menunggang motosikal demi kekasih, dua penuntut kolej dicekup khalwat di hotel


Seorang penuntut lelaki sebuah kolej di Selangor sanggup meredah perjalanan selama empat jam dengan menunggang motosikal semata-mata mahu bertemu kekasihnya sebelum dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Bukit Gambir, Tangkak, semalam.


Penuntut berusia belasan tahun itu ditahan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana berdua-duaan dengan wanita itu yang juga penuntut sebuah kolej di Pagoh, Muar pada jam 11.45 malam.


JAINJ berkata, menerusi pemeriksaan berkala, penguat kuasa menjalankan operasi sebelum mengetuk pintu bilik hotel didiami pasangan ini.


"Kira-kira lima minit kemudian, seorang lelaki memakai seluar panjang dan baju T membukanya.


"Penguat kuasa memperkenalkan diri sambil menunjukkan kad kuasa dan masuk ke dalam bilik untuk pemeriksaan. Keadaan bilik ketika itu gelap sebelum penguat kuasa membuka suis lampu.


"Penguat kuasa bertanya lelaki itu tinggal dengan siapa namun dia menjawab berseorangan, tetapi pintu dan lampu tandas tertutup. Selepas diketuk, keluar seorang wanita memakai baju T dan seluar panjang.


"Pemeriksaan menemukan pakaian dalam dan tudung wanita di atas katil manakala beg mereka di atas meja dan kerusi," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Katanya, apabila disoal siasat, pasangan ini mengaku mereka tidak mempunyai sebarang ikatan dan kedua-duanya berasal dari Selangor.


"Mereka mengaku sudah berkenalan sejak di bangku sekolah namun terpaksa berjauhan kerana melanjutkan pelajaran. Mereka sebelum itu berjanji bertemu pada hari cuti untuk melepaskan rindu di hotel," katanya.


JAINJ berkata, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana berkhalwat.



Ahad, 20 September 2026

Isteri orang, rakan bawah umur dicekup khalwat dengan dua lelaki di hotel

Isteri orang, rakan bawah umur dicekup khalwat dengan dua lelaki di hotel


Seorang wanita yang masih berstatus isteri orang antara empat individu ditahan selepas dipercayai berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di Muar pagi Jumaat.


Keempat-empat mereka termasuk seorang daripadanya masih di bawah umur, ditahan selepas pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 9 pagi.


Menurut JAIN, pemeriksaan mendapati keempat-empat individu terbabit berada dalam sebuah bilik hotel dan mereka bukan pasangan suami isteri serta tiada hubungan mahram.


"Seorang daripada wanita terbabit mengaku masih mempunyai suami, namun memaklumkan mempunyai masalah dalam rumah tangga.


"Bagaimanapun, perkara itu tidak mengubah statusnya sebagai seorang isteri ketika pemeriksaan dijalankan," katanya dalam kenyataan.


Jelas JAINJ, wanita berkenaan mendakwa berada di hotel bersama seorang lagi wanita, manakala dua lelaki terbabit dikatakan datang kemudian untuk menghantar sarapan serta berbual.


"Mereka memberi alasan hanya berkawan dan tidak melakukan sebarang perbuatan tidak bermoral.


"Namun, mereka tetap ditahan untuk tindakan lanjut kerana berada bersama dalam bilik hotel tanpa hubungan mahram," katanya.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat beg dan pakaian wanita di dalam almari, manakala keadaan katil di bilik berkenaan tidak teratur.


"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah," katanya.

Khamis, 17 September 2026

Suami orang dicekup khalwat dengan wanita warga asing di rumah urut di Masai

Suami orang dicekup khalwat dengan wanita warga asing di rumah urut di Masai


Dua pasangan ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di sebuah premis urut di Masai, Johor pada malam Selasa.


Operasi kira-kira jam 9.45 malam itu dijalankan sempena cuti Hari Malaysia dan turut disertai 30 penguat kuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).


Dalam operasi berkenaan, penguat kuasa JAINJ dan MBPG membuat pemeriksaan di setiap tingkat premis tiga tingkat berkenaan sebelum menemui dua pasangan berlainan dalam bilik yang berkunci dari dalam.


Di tingkat dua, penguat kuasa mengetuk sebuah bilik yang dikunci dari dalam sebelum dibuka kira-kira dua minit kemudian oleh seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang urut di premis terbabit.


Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki bersamanya dalam keadaan hanya memakai seluar dalam, manakala pakaian lelaki berkenaan ditemui tergantung di dinding.


Lelaki berusia 20-an itu dipercayai sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, manakala wanita berusia 20-an berkenaan mengaku masih belum berkahwin.


Sementara itu, di tingkat tiga, penguat kuasa mengetuk sebuah bilik yang turut dikunci dari dalam namun tiada jawapan selepas kira-kira 10 minit.


Pintu bilik berkenaan kemudian dibuka menggunakan kunci pendua sebelum pemeriksaan menemukan seorang lelaki dan seorang wanita di dalamnya.


Lelaki berusia 30-an itu berstatus bujang dan bekerja di Pasir Gudang, manakala wanita berusia 20-an berkenaan juga merupakan warga Indonesia dan bekerja sebagai tukang urut.


Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bilik berkenaan dilengkapi kemudahan seperti katil dan tandas serta digunakan bagi perkhidmatan urut secara tertutup.


Maklumat awal turut mendapati perkhidmatan urut ditawarkan pada kadar RM260 bagi tempoh kira-kira sejam, dengan bayaran tambahan dikenakan bagi perkhidmatan lain.


Kedua-dua pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Rabu, 16 September 2026

Janda beri alasan bantu masak, kemas rumah selepas dicekup khalwat dengan lelaki bujang

Janda beri alasan bantu masak, kemas rumah selepas dicekup khalwat dengan lelaki bujang

(Gambar Ilustrasi)

Seorang wanita berstatus janda ditahan khalwat bersama seorang lelaki bujang di sebuah pangsapuri di Johor Bahru pada 1.50 pagi, Ahad.


Pasangan berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas menerima aduan awam.


JAINJ dalam kenyataan memberitahu, pemeriksaan dijalankan penguat kuasa mendapati pintu utama dan jeriji rumah berkunci sebelum seorang lelaki membuka pintu selepas loceng ditekan beberapa kali.


"Pasangan ini mengaku mereka bukan suami isteri dan bukan juga adik-beradik atau mahram.


"Lelaki terbabit masih bujang dan bekerja di Johor Bahru, manakala wanita itu berusia lingkungan 40-an, berstatus janda anak satu dan turut bekerja di kawasan sama," katanya.


Menurut JAINJ, rumah tiga bilik berkenaan disewa lelaki terbabit yang mendakwa tinggal seorang diri, manakala wanita itu dikatakan kerap datang ke rumah berkenaan pada waktu malam.


"Wanita itu memberi alasan datang untuk membantu memasak dan mengemas rumah. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat makanan di dapur dan rumah juga berada dalam keadaan kemas.


"Bagaimanapun, berdasarkan aduan diterima, wanita berkenaan dikatakan beberapa kali datang pada waktu malam dan keluar sekitar jam 6 pagi keesokan harinya.


"Pasangan ini turut merayu supaya tidak ditahan dengan alasan mereka tidak melakukan sebarang maksiat," katanya.


Bagaimanapun, penguat kuasa menjelaskan bahawa perbuatan berkurung atau berada bersama bukan mahram dalam keadaan sedemikian boleh menjadi kesalahan khalwat mengikut peruntukan undang-undang syariah Johor.

Selasa, 15 September 2026

Pasangan dicekup khalwat dua kali dihukum enam sebatan

Pasangan dicekup khalwat dua kali dihukum enam sebatan


Pasangan pesalah kes khalwat terkedu apabila Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu, hari ini memutuskan mereka dikenakan hukuman tambahan enam kali sebatan setiap seorang.


Hukuman itu diputuskan panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Abd. Malik Wan Sidek bersama Datuk Abdul Walid Abu Hassan dan Datuk Mohd. Yazid Mustafa selepas sebulat suara membenarkan permohonan semakan dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail.


Sebelum ini, kedua-dua pesalah, Mohammad Farish Ezmie, 41, dan Che Nurul Syamilia Che Mat Hamdan, 20, yang kini sudah mendirikan rumah tangga masing-masing dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, pada 11 Mac lalu.


Ketiga-tiga panel hakim syarie turut mengekalkan hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar.


Mahkamah menetapkan hukuman sebatan perlu dilaksanakan dalam tempoh sebulan selepas sabitan dengan jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua pesalah.


Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Farish dan Che Nurul Syamilia yang sewaktu kejadian bukan mahram didakwa berduaan di dalam sebuah bilik hotel di Kemaman pada pukul 1 pagi, 14 Disember 2025.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.


Sebelum ini, Mohammad Farish dan Che Nurul Syamilia pernah mempunyai rekod lampau juga atas kesalahan khalwat bersama dengan sabitan dikenakan masing-masing pada 4 November 2025 dan 23 September 2025.

Isnin, 14 September 2026

Lelaki dicekup bersama pelacur warga asing, mengaku bayar RM200

Lelaki dicekup bersama pelacur warga asing, mengaku bayar RM200

(Gambar Ilustrasi)

Seorang lelaki ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas membayar RM200 untuk melanggan pelacur warga asing dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kluang, baru-baru ini.


Lelaki terbabit bagaimanapun belum sempat mendapatkan khidmat wanita berusia 20-an itu apabila premis berkenaan diserbu penguat kuasa kira-kira jam 3.05 petang.


Menurut JAINJ, sebaik tiba di rumah kedai terbabit, penguat kuasa mendapati terdapat dua bilik yang ditutup dengan langsir.


"Apabila memasuki bilik pertama, penguat kuasa menemukan seorang lelaki manakala wanita itu sedang duduk bersila di atas katil. Wanita terbabit hanya berkemban manakala lelaki terbabit bertuala.


"Lelaki ini masih bujang, berasal dari sebuah negeri di utara dan bekerja di Kluang, manakala wanita warga asing itu juga belum berkahwin," katanya dalam kenyataan.


JAINJ berkata, pemeriksaan kemudian diteruskan ke bilik kedua sebelum menemukan seorang wanita berusia 30-an sedang berbaring di atas katil dengan memakai baju-T dan skirt.


"Wanita itu warga tempatan dan bukan beragama Islam," katanya.


Dalam pada itu, ketika pemeriksaan dijalankan, dua lelaki warga asing muncul dipercayai mahu mendapatkan khidmat wanita di premis terbabit, namun kedua-duanya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.


"Pemeriksaan lanjut di kedua-dua bilik menemukan beberapa kondom yang belum digunakan. Selain itu, terdapat juga kondom terpakai yang ditemui dalam tong sampah bersama tisu," ujarnya.


Pasangan terbabit ditahan bagi siasatan berkaitan kesalahan khalwat atau persediaan atau percubaan melakukan persetubuhan luar nikah dan pelacuran.

Khamis, 10 September 2026

Konon mahu balik kampung, isteri orang dicekup khalwat dengan kekasih yang juga suami orang

Konon mahu balik kampung, isteri orang dicekup khalwat dengan kekasih yang juga suami orang


Sepasang kekasih yang masing-masing sudah berumah tangga dicekup berkhalwat dalam bilik hotel di sebuah daerah, ketika penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan pemeriksaan pada awal pagi sempena cuti panjang pada Ahad lalu.


Pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 pagi selepas penguat kuasa mengetuk pintu bilik sebelum dibuka seorang lelaki kira-kira enam minit kemudian.


JAINJ memberitahu, lelaki terbabit pada awalnya hanya berdiam diri ketika ditanya sama ada terdapat individu lain bersamanya dalam bilik berkenaan.


"Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan seorang wanita berada di dalam bilik.


"Kedua-duanya mengaku bukan suami isteri, sebaliknya hanya berkawan lama sejak zaman persekolahan," katanya dalam kenyataan.


Menurutnya, pemeriksaan dan soal siasat mendapati lelaki terbabit adalah suami orang dan menetap di daerah berkenaan, manakala wanita itu juga isteri orang yang menetap di Kuala Lumpur.


"Wanita terbabit dipercayai datang ke daerah berkenaan dengan menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada sebelah petang dengan alasan mahu pulang ke kampung sempena cuti panjang," katanya.


Jelasnya lagi, wanita berkenaan bagaimanapun dipercayai memilih mendaftar masuk ke hotel sebelum lelaki terbabit datang menemuinya pada sebelah malam.


"Bilik hotel itu didaftarkan atas nama wanita berkenaan dan pemeriksaan turut menemukan beg pakaiannya di dalam almari. Lelaki terbabit pula datang kemudian dengan membawa barangan peribadi," katanya.


Katanya, pemeriksaan turut mendapati keadaan bilik menunjukkan kedua-duanya sudah berada di situ untuk beberapa ketika.


"Pasangan terbabit kemudian dibawa ke pejabat agama untuk tindakan lanjut.


"Suami kepada wanita itu hadir sebagai penjamin, manakala isteri kepada lelaki terbabit turut hadir bagi urusan sama," katanya.


Pasangan berkenaan akan didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.

Ahad, 30 Ogos 2026

Kerap berkunjung, duda 40-an dan gadis 18 tahun ditahan berkhalwat dalam bilik sewa

Kerap berkunjung, duda 40-an dan gadis 18 tahun ditahan berkhalwat dalam bilik sewa

(Foto Dijana AI)

Seorang duda berusia 40-an ditahan bersama gadis berusia 18 tahun dalam bilik sewa di rumah kedai di Pasir Gudang, Johor Bahru, 2.15 pagi hari ini.


Pasangan terbabit ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) susulan aduan awam.


Menurut JAINJ, ketika pemeriksaan, penguat kuasa mendapati lelaki berkenaan berada di dalam bilik bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun dan gadis terbabit.


"Pemeriksaan mendapati gadis berkenaan sedang berada di atas katil bujang, manakala kanak-kanak terbabit tidur di lantai beralaskan selimut dan bantal.


"Lelaki itu yang bekerja di Pasir Gudang mengaku berstatus duda anak dua, manakala gadis terbabit masih belum berkahwin dan tidak bekerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya lagi, ketika disoal siasat, pasangan itu pada awalnya memberi alasan gadis berkenaan datang ke bilik tersebut untuk membantu mengemas rumah.


Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati gadis berkenaan yang tinggal kira-kira 15 kilometer dari situ kerap datang ke premis berkenaan, iaitu kira-kira dua hingga tiga kali seminggu.


Katanya, lelaki terbabit menyewa bilik berkenaan bersama anaknya, manakala bekas isterinya menjaga seorang lagi anak mereka.


"Lebih mengelirukan apabila kanak-kanak berkenaan memanggil lelaki itu sebagai 'papa' dan gadis terbabit sebagai 'mama'.


"Apabila ditanya sama ada mereka sudah berkahwin, kedua-duanya mengakui belum berkahwin dan hanya merancang untuk bernikah tidak lama lagi," katanya.


Susulan pengakuan itu, pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Khamis, 27 Ogos 2026

Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan duda usia lewat 60-an di rumah kampung

Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan duda usia lewat 60-an di rumah kampung


Seorang wanita berusia 40-an yang masih berstatus isteri orang ditahan bersama seorang lelaki warga emas selepas dipercayai berkhalwat di sebuah rumah kampung di daerah Segamat, pada Rabu.


Operasi penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu dijalankan susulan aduan awam dan ketika tiba di lokasi kira-kira jam 11.40 pagi, penguat kuasa mendapati terdapat dua kenderaan di rumah berkenaan yang dipercayai masing-masing milik lelaki dan wanita terbabit.


JAINJ dalam kenyataanya, berkata ketika pemeriksaan mendapati pintu rumah berkunci dari dalam sebelum penguat kuasa mengetuk dan memberi salam beberapa kali.


"Selepas kira-kira lima minit, pintu dibuka seorang lelaki berusia lewat 60-an yang memakai seluar panjang kelabu dan baju panas putih.


"Lelaki berstatus duda itu pada awalnya mendakwa dia berada seorang diri di rumah berkenaan.


"Bagaimanapun, pemeriksaan di ruang tamu dan dapur tidak menemui sesiapa sebelum penguat kuasa memeriksa empat bilik di rumah tersebut," katanya.


Pemeriksaan di sebuah bilik utama yang tidak berkunci membawa kepada penemuan seorang wanita berusia 40-an yang memakai seluar panjang hitam dan baju-T merah.


Seterusnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pakaian lelaki tersusun di dalam almari, manakala keadaan katil didapati tidak kemas dengan cadar beralun serta dua bantal berada di atas katil.


Pasangan terbabit kemudian mengaku bukan suami isteri dan memberi alasan hanya berada bersama untuk berehat.


"Kami terangkan kepada mereka bahawa wanita itu masih berstatus isteri orang dan lelaki terbabit bukan mahramnya. Justeru, alasan datang untuk berehat tidak mengubah keadaan kerana mereka berada berdua-duaan di dalam rumah," katanya.


JAINJ memberitahu, wanita terbabit dipercayai datang dari daerah lain yang jaraknya lebih 100 kilometer dan dikatakan tiba di rumah berkenaan sekitar jam 9 pagi.


Ketika disoal, wanita itu mendakwa datang untuk menumpang berehat dan menafikan melakukan perbuatan tidak bermoral.


Menurut penguat kuasa, pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadaan sebenar di rumah berkenaan selepas lelaki terbabit pada awalnya mendakwa berada seorang diri.


"Pada awalnya lelaki itu memberitahu dia seorang sahaja di rumah. Namun, selepas pemeriksaan dibuat, wanita terbabit ditemui berada di dalam bilik utama," katanya.


Siasatan turut mendapati wanita terbabit mempunyai masalah rumah tangga dan sedang dalam proses permohonan perceraian, dengan mendakwa masalah berpunca daripada ketidakserasian serta pengabaian nafkah.


Penguat kuasa turut menasihatkan wanita berkenaan supaya tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan kedudukannya dalam proses perceraian yang sedang berjalan.


"Walaupun sedang menghadapi masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian, itu bukan alasan untuk melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan syak atau melanggar undang-undang syariah," katanya.


Sementara itu, lelaki berkenaan yang sudah beberapa tahun berstatus duda mendakwa mempunyai hasrat untuk memperisterikan wanita tersebut, namun masih menunggu proses perceraian wanita itu selesai.


"Lelaki itu mendakwa mempunyai niat untuk berkahwin dengannya selepas urusan perceraian selesai, tetapi buat masa ini wanita itu masih isteri orang dan perkara tersebut perlu dihormati," katanya.


Selasa, 25 Ogos 2026

Hanya berseluar dalam, suami orang dicekup bersama tukang urut warga asing

Hanya berseluar dalam, suami orang dicekup bersama tukang urut warga asing


Seorang lelaki yang hanya memakai seluar dalam dicekup bersama tukang urut wanita warga asing dalam operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah urut di Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.


Menurut JAINJ, kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota penguat kuasa pada jam 10.45 malam di salah sebuah bilik rumah urut berkenaan.


"Pemeriksaan mendapati lelaki tempatan berusia 30-an itu hanya memakai seluar dalam ketika ditemui sedang berbaring, manakala seorang wanita berusia 30-an yang juga warga Indonesia duduk di sebelahnya.


"Di dalam bilik itu turut ditemui katil bujang bersama tilam dan cadar, pakaian lelaki berkenaan serta beberapa botol kecil berisi minyak urut," katanya dalam kenyataan.


Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan berstatus suami orang dan bekerja di daerah ini, manakala wanita terbabit bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan kira-kira empat bulan lalu.


"Lelaki terbabit memaklumkan dia tinggal bersendirian di daerah itu dengan menyewa sebuah bilik, sementara isteri dan anaknya berada di negeri lain yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan.


"Dia juga mendakwa kebiasaannya pulang ke kampung seminggu sekali atau dua minggu sekali. Sementara itu, wanita terbabit mengaku bekerja sebagai tukang urut secara komisen," katanya.


JAINJ berkata, premis berkenaan dipercayai menerima pelanggan melalui promosi di beberapa aplikasi Internet selain pelanggan tetap yang datang secara terus.


Katanya, bayaran urutan biasa dikenakan RM80 bagi tempoh sejam, manakala terdapat bayaran tambahan bagi perkhidmatan lain.


"Bagaimanapun, lelaki berkenaan mendakwa dia hanya mendapatkan urutan biasa kerana mengalami lenguh badan selepas bekerja dan menafikan mendapatkan perkhidmatan lain," katanya.


Pasangan terbabit kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

Ahad, 23 Ogos 2026

‘Duduk sebilik hingga hamil’: Pasangan kekasih dicekup penguat kuasa JAINJ

‘Duduk sebilik hingga hamil’: Pasangan kekasih dicekup penguat kuasa JAINJ


Pasangan kekasih yang dipercayai tinggal bersama hampir setahun di sebuah bilik sewa akhirnya dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan pada awal pagi Khamis minggu lalu (13 Ogos).


Lebih mengejutkan, wanita berusia lingkungan 20-an itu dipercayai hamil kira-kira enam bulan hasil hubungan dengan teman lelakinya yang juga berusia lingkungan 20-an.


Menurut JAINJ, operasi berkenaan dijalankan kira-kira jam 2.50 pagi selepas JAINJ menerima aduan awam mengenai sebuah rumah kedai di kawasan berkenaan.


"Ketika tiba, penguat kuasa mendapati tingkat bawah bangunan berkenaan tidak berkunci sebelum pemeriksaan diteruskan ke tingkat atas yang mempunyai beberapa bilik sewa.


"Penguat kuasa mengetuk sebuah bilik, namun tiada respons sebelum pintu dibuka kira-kira lapan minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dan berbaju-T," katanya.


Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan seorang wanita berada di dalam bilik terbabit, sebelum kedua-duanya mengaku bukan pasangan suami isteri.


"Bilik itu hanya mempunyai sebuah katil bujang, manakala pemeriksaan turut menemukan pakaian lelaki dan wanita bercampur di dalam almari serta sebuah tilam yang digunakan untuk tidur.


"Pada awalnya lelaki terbabit mendakwa tinggal seorang diri, namun pemeriksaan lanjut mendapati sebaliknya," ujarnya.


Tambah JAINJ, keadaan fizikal wanita berkenaan kemudian menimbulkan syak kepada penguat kuasa wanita yang menjalankan pemeriksaan lanjut.


"Wanita itu akhirnya mengaku sedang hamil kira-kira enam bulan. Pasangan terbabit turut mengakui mereka sudah tinggal bersama hampir setahun walaupun bilik berkenaan pada asalnya disewa untuk lelaki," katanya.


Jelasnya lagi, kedua-duanya mendakwa mempunyai hasrat untuk berkahwin namun rancangan itu tertangguh selepas wanita terbabit mengandung.


"Mereka mendakwa pada awalnya memang merancang untuk berkahwin, tetapi lelaki itu dikatakan semakin takut untuk berdepan keluarga wanita berkenaan selepas mengetahui dia hamil.


"Mereka kemudian merancang untuk melahirkan anak terlebih dahulu sebelum meneruskan hasrat berkahwin," katanya.


Sementara itu, ibu bapa wanita berkenaan yang dipanggil sebagai penjamin turut dilaporkan terkejut apabila mengetahui anak mereka ditahan selain mengetahui mengenai kehamilan tersebut.


Pasangan terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 dan disiasat mengikut Seksyen 23 dan kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

Sabtu, 22 Ogos 2026

Wanita bawa dua anak kecil dicekup khalwat bersama suami orang dalam bilik sewa

Wanita bawa dua anak kecil dicekup khalwat bersama suami orang dalam bilik sewa


Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan pasangan yang masing-masing berstatus suami dan isteri orang kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik sewa di Pasir Gudang, Johor Bahru, awal pagi tadi.


Menurut JAINJ, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dilakukan selepas penguat kuasa menerima aduan awam berhubung kehadiran pasangan itu di premis rumah kedai dua tingkat terbabit.


"Seorang wanita berusia lingkungan 20-an membuka pintu bilik selepas beberapa minit diketuk, namun pemeriksaan lanjut menemukan lelaki berusia 30-an di dalam bilik itu, selain dua kanak-kanak berusia empat dan satu tahun yang sedang tidur," katanya melalui kenyataan.


Siasatan awal, katanya mendapati lelaki itu bekerja di bandar raya ini, manakala wanita berkenaan tidak bekerja buat sementara waktu kerana menjaga anak.


Pasangan itu mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan ketika disoal siasat.


"Lelaki terbabit mendakwa mempunyai masalah rumah tangga dan tidak lagi tinggal bersama isteri, manakala wanita itu pula dalam proses perceraian dengan suami.


"Lelaki terbabit turut mendakwa membantu wanita berkenaan yang tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan dengan menanggung sewa bilik serta perbelanjaan makan minum," katanya.


Bagaimanapun, JAINJ memaklumkan siasatan mendapati kedua-duanya sudah mengenali satu sama lain sejak lebih setahun lalu ketika lelaki berkenaan bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing.


"Hubungan mereka kemudian menjadi semakin rapat selepas masing-masing berkongsi masalah rumah tangga sebelum mengambil keputusan untuk tinggal bersama di bilik berkenaan sejak beberapa bulan lalu.


"Dua kanak-kanak di dalam bilik adalah anak wanita berkenaan hasil perkahwinan sah," katanya.


Pasangan terbabit ditahan kerana untuk tindakan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Khamis, 20 Ogos 2026

Alasan hantar ubat, suami orang dicekup khalwat dengan janda dalam bilik hotel

Alasan hantar ubat, suami orang dicekup khalwat dengan janda dalam bilik hotel


Kononnya mahu menghantar ubat kepada seorang wanita yang kurang sihat, seorang lelaki berstatus suami orang ditahan selepas disyaki berkhalwat bersama wanita itu dalam sebuah bilik hotel di Kluang, baru-baru ini.


Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui bersama wanita berstatus janda berusia lingkungan 30-an dalam operasi pemeriksaan rambang dan berkala Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 11.50 malam.


Menurut kenyataan, penguat kuasa mengetuk pintu bilik berkenaan sambil memberi salam sebelum pintu dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh lelaki terbabit.


"Pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita berada di atas katil dalam bilik berkenaan dan hasil soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri.


"Lelaki itu memberi alasan datang ke hotel berkenaan selepas wanita terbabit memaklumkan dirinya kurang sihat dan meminta bantuan membelikan ubat," katanya.


Menurutnya, pasangan berkenaan turut menunjukkan ubat yang dikeluarkan daripada beg tangan wanita terbabit kepada penguatkuasa.


"Bagaimanapun, kedua-duanya tetap ditahan untuk siasatan kerana ditemui berdua-duaan dalam bilik hotel yang berkunci tanpa hubungan perkahwinan yang sah," katanya.


JAINJ berkata, pemeriksaan turut menemukan bekas makanan dan minuman di dalam bakul sampah bilik berkenaan.


"Bilik itu didaftarkan atas nama wanita terbabit yang mendaftar masuk pada sebelah petang sebelum lelaki berkenaan datang pada waktu malam. Lelaki itu mendakwa hubungannya dengan isteri masih baik," katanya.


Tambahnya wanita terbabit memberi alasan memilih untuk menginap di hotel kerana kediamannya tidak mempunyai penghawa dingin selain keadaan cuaca panas dan dirinya kurang sihat.


Pasangan berkenaan ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor sebelum tindakan pendakwaan di Mahkamah Syariah.