Tiga pasangan termasuk janda ditangkap khalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam tiga serbuan berbeza di kondominium mewah di Johor Bahru, semalam.
Menurut JAINJ, tangkapan pertama membabitkan pasangan bujang dan wanita berstatus janda yang ditahan di sebuah kondominium mewah di persiaran Danga Bay pada jam 12 malam hingga 3 pagi tadi.
Katanya tangkapan dibuat hasil aduan awam daripada masyarakat sekitar.
"Lelaki berstatus bujang berumur 30-an manakala wanita berstatus janda berumur 40-an. Ini adalah rumah sewa wanita manakala lelaki kerap datang berkunjung.
"Kebiasaannya lelaki akan terus tidur bermalam kerana tempat ini dianggap selamat dari pemeriksaan penguat kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
JAINJ turut memaklumkan dua pasangan kedua ditahan di sebuah kondominium di Larkin, Johor Bahru.
Katanya kedua-dua pasangan ditahan penguat kuasa JAINJ di dalam bilik bersama pasangan masing-masing.
"Mereka menyewa rumah secara berpasangan dan tinggal seperti suami isteri tanpa nikah.
"Pasangan pertama berstatus bujang dan anak dara, masing-masing berusia 20-an serta bekerja di Johor Bahru.
"Manakala pasangan ketiga berstatus bujang dan anak dara berusia 20-an. Mereka adalah warganegara Malaysia yang ulang alik bekerja di Singapura.
"Tangkapan ini membuktikan, penguat kuasa JAINJ tetap melakukan serbuan walaupun melibatkan kondominium mewah. Janganlah anggap kediaman berkenaan sebagai tempat selamat untuk melakukan maksiat," katanya.
Kesemua pasangan ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

EmoticonEmoticon