Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Jumaat, 24 Jun 2022

Wanita kahwini patung dakwa lahirkan 'anak' di kediamannya dibantu dua jururawat

Wanita kahwini patung dakwa lahirkan 'anak' di kediamannya dibantu dua jururawat


Seorang wanita di Brazil mendakwa telah melahirkan 'bayi' hasil perkahwinannya dengan sebuah patung buatan tangan yang dijahit sendiri oleh ibunya, lapor akhbar The Sun pada 21 Jun 2022.


Meirivone Rocha Moraes, 37, sebelum ini mengadu kepada ibunya mengenai kesukaran untuk mencari jodoh sebelum dia diperkenalkan dengan Marcelo, sebuah patung kain buruk buatan tangan.


Menurut Moraes, dia jatuh cinta pandang pertama pada Marcelo dan menjalinkan hubungan selama beberapa bulan, sebelum dia mengambil keputusan untuk berkahwin.


Tidak lama selepas itu, Moraes memaklumkan bahawa dia 'hamil' dan telah selamat 'melahirkan bayi lelaki' di kediamannya pada 21 Mei lalu.


"Kelahiran anak saya dibantu oleh dua jururawat yang menyaksikan saya mengalami kesakitan kontraksi. Saya sangat marah apabila orang menuduh saya mereka-reka cerita sedangkan semua ini benar-benar berlaku," tegas Moraes.


Dalam pada itu, wanita itu berkata, suaminya adalah pasangan yang sempurna namun hanya memiliki satu kelemahan iaitu malas bekerja.


"Dia adalah suami yang sempurna dan hebat, tetapi satu-satunya kelemahan ialah dia malas. Dia tidak bekerja langsung.


"Bagaimanapun, dia suami yang dicemburui wanita lain. Dia tidak pernah bertengkar dengan saya, tidak pernah marah, setia dan sangat memahami," ujar Moraes. - Sumber The Sun.


Moraes memangku 'anak' yang dilahirkan hasil perkahwinan dengan anak patung, Marcello. - Foto Jam Press.

Moraes berkata Marcelo adalah 'suami yang hebat dan setia'. - Foto Jam Press.

Moraes dengan Marcelo pada hari perkahwinan mereka tahun lepas. - Foto Jam Press.

Sabtu, 11 Jun 2022

Demi menarik perhatian pelanggan ke gerainya, lelaki sanggup pakai 5 kilogram barang kemas setiap hari

Demi menarik perhatian pelanggan ke gerainya, lelaki sanggup pakai 5 kilogram barang kemas setiap hari


Seorang pemilik gerai makanan di Vietnam menjadi popular selepas berjalan sekitar bandar itu, sambil memakai barangan kemas seberat 5 kilogram hampir setiap hari, lapor Oddity Central pada 7 Jun 2022.


Do Ngoc Thuan, 34, atau dikenali sebagai Seven Ball berkata, dia mula meminati barang kemas sejak kecil lagi dan apabila dewasa dia membelinya sendiri.


Dia semakin bersemangat melaburkan sebahagian besar wangnya untuk membeli perhiasan tersebut apabila sering menjadi perhatian ketika berjalan di khalayak ramai.


Dia turut memakai banyak barangan kemas demi menarik perhatian supaya orang ramai mengunjungi gerai makanannya di Ho Chi Minh, serta semakin popular apabila tular dalam media sosial.


"Setelah membuka gerai makanan di Ho Chi Minh, saya mengenakan sejumlah besar perhiasan barangan kemas untuk menarik lebih banyak pelanggan.


"Saya berasa obses untuk mengumpul lebih banyak barang kemas selepas ramai yang memperhatikan perhiasan yang saya pakai apabila berada di tempat awam," jelasnya.


Ketika ini, Thuan memakai 10 bentuk cincin, 30 utas gelang dan lebih 12 utas rantai emas tebal setiap kali dia keluar bersiar-siar atau ke gerainya.


Katanya, jumlah itu tidak termasuk anting-anting emas, gelang kaki serta cincin yang dipakai pada jari kakinya.


"Sejak memakai emas pada 2018 hanya dua kali saya hampir dirompak. Oleh itu saya upah pengawal peribadi untuk perlindungan apabila keluar dari bandar kerana semua orang di Ho Chi Minh mengenali saya dan gaya saya," katanya.


Menurutnya, walaupun begitu ada segelintir orang meraguinya memakai perhiasan emas tulen.


"Sesiapa yang masih ragu-ragu boleh pergi ke kedai emas bersama saya untuk membuat pengesahan, jika terbukti saya memakai emas palsu, saya berikan semuanya.


"Jika emas yang saya pakai adalah emas asli, mereka perlu memberi saya 5 juta dong Vietnam (RM949.17)," tegasnya.


Do Ngoc Thuan menunjukkan barangan kemas seberat lima kilogram yang dipakainya hampir setiap hari. - Foto Oddity Central.

Ahad, 5 Jun 2022

22 pengantin disatukan tanpa kenali identiti pasangan, hanya tahu selepas dipanggil untuk akad nikah

22 pengantin disatukan tanpa kenali identiti pasangan, hanya tahu selepas dipanggil untuk akad nikah


Tular di media sosial tentang majlis perkahwinan beramai-ramai yang berlangsung baru-baru ini. Seramai 22 pasangan pengantin dinikahkan dalam satu majlis yang diadakan di Sekolah Pondok Darul Falah Pusat di Sidoarjo, Jawa Timur.


Memetik laporan Tribunnews pada 31 Mei 2022, kesemua pengantin itu saling tidak mengenali siapa pasangan mereka ketika dinikahkan. Mereka hanya akan berjumpa buat kali pertama dengan setiap pasangan hidup selepas ketua sekolah mengumumkan nama satu persatu pasangan mereka.


Ketua sekolah pondok tersebut, Syaiful Bakri berkata, acara pernikahan melibatkan ramai pasangan pengantin itu bermula pada tahun 1992 yang lalu. Pada mulanya setiap tiga tahun. Tetapi selepas 1997 ia menjadi setiap lima tahun.


Katanya, kebanyakan pengantin itu merupakan pelajar perempuan dan lelaki di sekolah pondok berkenaan yang sudah cukup umur dan ingin mendirikan rumah tangga.


"Kesemua pelajar itu akan dinikahkan dan mereka hanya bertemu dengan pasangan masing-masing selepas ijab kabul selesai.


"Hal ini tidak menimbulkan masalah kerana setiap pengantin sudah bersedia untuk menerima sesiapa sahaja yang dijadikan suami mereka," katanya seperti yang dilapor Antara.


Jelas Syaiful, pernikahan kali ini merupakan yang ke-7 dilaksanakan di sekolah pondok berkenaan.


Dia menerangkan, selepas para pelajar bernikah, mereka dan suami serta isteri masing-masing akan ditempatkan di cawangan sekolah pondok di beberapa daerah lain bagi membantu operasi.


"Sekurang-kurangnya 250 pasangan pengantin sudah dinikahkan sejak majlis perkahwinan beramai-ramai itu diadakan.


"Para pelajar juga tidak dipaksa sama ada untuk berkahwin dengan rakan mereka di sekolah pondok atau pun orang luar. Jika ada yang mahu berkahwin dengan orang luar, mereka akan merujuk kepada penjaga di sekolah pondok dan mendapatkan nasihat," ujarnya.


Menurut salah seorang bekas sekolah pondok yang juga merupakan pasangan yang dipilih khas di sekolah tersebut, dia juga tidak tahu siapa pasangannya. Setelah akad dilangsungkan, barulah dia mengenali jodohnya itu yang juga satu kampung dengannya.


Rakaman video pernikahan beramai-ramai yang berlangsung pada Ahad, 22 Mei lalu menjadi tular di media sosial.


Kesemua pengantin itu hanya ditemukan dengan isteri atau suami masing-masing selepas ijab kabul selesai.

Ahad, 22 Mei 2022

Kanak-kanak berusia 10 tahun di Afrika terima Lamborghini sebagai hadiah hari lahir

Kanak-kanak berusia 10 tahun di Afrika terima Lamborghini sebagai hadiah hari lahir


Kanak-kanak terkaya di Nigeria, Muhammad Awal Mustapha menyambut hari lahirnya yang ke-10 dengan menerima hadiah berupa sebuah kereta mewah jenama Lamborghini Aventador, yang berharga lebih £300,000 (RM1.6 juta), lapor akhbar Daily Star pada 11 Mei 2022.


Muhammad Awal yang lebih dikenali sebagai Mompha Junior di akaun Instagram miliknya menyambut ulang tahun kelahirannya pada bulan lalu.


Budak lelaki itu bagaimanapun baru memuat naik gambar hadiah kereta Lamborghini berwarna kuning pada Rabu, minggu lalu yang diberikan oleh bapanya.


Bapanya, Ismailia Mustapha atau lebih dikenali sebagai Mompha Senior turut berkongsi gambar anak lelakinya di Instagram. Muhammad Awal dilihat memakai tali kasut berwarna kuning untuk dipadankan dengan warna kereta tersebut.



"Memiliki anak lelaki seperti kamu menjadi penyebab untuk saya terus hidup. Senyuman kamu juga pembawa kebahagiaan. Kami sayang kamu. Selamat hari lahir. Muhammad Awal sudah 10 tahun," demikian menurut kapsyen pada gambar yang dimuat naik.


Ismailia menjadi jutawan selepas menjadi Ketua Eksekutif syarikat Mompha Bureau De Change di Lagos.


Jutawan itu mendapat jumlah pengikut yang ramai di akaun media sosialnya sejak berkongsi gambar sebuah kereta Rolls Royce pada Februari 2018, pengikutnya di Instagram kini melebih 1.2 juta.


Ahli perniagaan itu tidak segan untuk mempamerkan kereta super, jet peribadi, dan rumah mewah miliknya di seluruh dunia termasuk di Dubai dan Nigeria. - Sumber Daily Star.


Mompha Junior menyambut hari lahirnya dengan menerima hadiah kereta super baharu pada bulan lepas. - Foto Instagram.

Rabu, 11 Mei 2022

Kerana cat rumah warna pelangi lelaki menerima ancaman bunuh dari jirannya

Kerana cat rumah warna pelangi lelaki menerima ancaman bunuh dari jirannya


Gara-gara mahu mengecat rumah dengan warna pelangi, seorang penggaya rambut di Australia menerima ancaman bunuh dari jirannya, lapor akhbar The Sun pada 8 Mei 2022.


Mykey O'Halloran yang membeli rumah impiannya di tepi pantai, di Pulau Philip pada Februari tahun lalu kecewa apabila tidak menerima sambutan baik daripada jirannya.


Dia yang mempunyai 600,000 pengikut TikTok dan 153,000 lagi di Instagram kerap berkongsi video mengenai gaya rambut termasuk diwarnakan dengan warna pelangi.


Ketaksubannya terhadap warna itu menyebabkan dia mahu mengecat rumahnya dengan teknik warna sedemikian, tetapi masalah timbul apabila niatnya diketahui jiran yang tidak menyukainya.


"Sebulan selepas berpindah, lima lelaki muncul di laman belakang rumah saya pada 10 malam, dan mengancam untuk mencederakan saya jika teruskan rancangan mengecat rumah warna pelangi," katanya dilapor The Sun.


Menurutnya, dia tidak pernah bertemu dengan mereka sebelum ini, namun salah seorang daripada lelaki itu, yang dia dapati adalah jirannya.


"Mereka menjadi sangat agresif dan ganas, mereka memanggil saya 'gay c***' dan berkata 'jika saya mengecat juga, mereka akan datang lagi dan bunuh saya," katanya.


Berikutan serangan itu, Mykey berkata dia mengalami 'tindak balas trauma kejutan penuh,' menangis dan mengurung diri di dalam rumah sebelum menelefon polis.


Pegawai tiba kira-kira lima minit kemudian dan pergi menemu bual jiran itu. Dua hari kemudian, jirannya didakwa di mahkamah melakukan serangan yang menyalahi undang-undang dan ugutan untuk membunuh.


Pada Julai 2021, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang lebih ringan atas serangan menyalahi undang-undang dan telah disabitkan kesalahan, kemudian didenda 2,500 Australian dollar (RM7,671.82).


Mykey membeli rumah impiannya yang terletak berdekatan dengan pantai tahun lalu.

Khamis, 14 April 2022

Pemuda ubah wajah untuk kelihatan seperti bintang K-Pop kerana sukar mencari pekerjaan

Pemuda ubah wajah untuk kelihatan seperti bintang K-Pop kerana sukar mencari pekerjaan

 

Seorang pemuda di Vietnam tular di media sosial selepas melakukan perubahan fizikal drastik yang menyaksikan dia kelihatan seperti bintang K-Pop, lapor laman berita Oddity Central pada 11 April 2022.


Tran Dang Phuoc Cuong mula menjalani pembedahan plastik ketika dia berusia 17 tahun pada 2009 apabila menyambung pengajian di China. Tran nekad melakukan perubahan pada wajahnya selepas dia gagal mencari pekerjaan sambilan di China kerana dikatakan kurang tampan.


Tran cuba mendapatkan pekerjaan sebagai penari di bar Shanghai yang popular namun ditolak kerana tidak mempunyai wajah yang cukup cantik, dia akhirnya hanya bekerja sebagai pelayan restoran. Dia mula menyimpan wang untuk menukar wajah yang terbukti menjadi penghalang untuk capai impiannya.


Pada tahun 2011, Tran pertama kali menjalani pembedahan untuk mengurangkan saiz hidungnya. Enam bulan kemudian, dia menjalani pembedahan lagi, kali ini untuk menukar bentuk hidung dan memanjangkan hujung hidung.


Selama bertahun-tahun, lelaki itu membentuk semula bibir, melapik dagu, malah menjalani pembedahan selama 12 jam untuk menurunkan tulang pipinya di samping memotong tulang rahang dan membentuk semula hidungnya. Hasilnya, Tran menjadi seorang individu yang baharu.



"Saya tidak akan melupakan saat saya berbaring di atas meja bedah dengan cahaya lampu pembedahan di mata saya, bau antiseptik, anestetik, pembalut, dan muka saya bengkak dan tidak dapat dikenali.


"Ramai orang menyangka bahawa banyak pembedahan plastik boleh membuatkan anda ketagih, tetapi, pada hakikatnya, tiada siapa yang ketagih pada kesakitan. Sudah banyak kali saya terlintas untuk berhenti daripada melakukan pembedahan plastik pada wajah saya," kata Tran.


Namun, lelaki berusia 29 tahun itu tidak pernah membiarkan kesakitan dan penderitaan akibat berulang kali menjalani pembedahan plastik, menghalang impiannya untuk mengubah penampilan sepenuhnya.


Kini, dia tidak sepenuhnya menyokong pembedahan plastik tetapi menasihati mereka yang mempertimbangkan pilihan itu untuk melakukannya, jika mereka fikir ia dapat meningkatkan kehidupan dan keyakinan diri.


Tran sudah bergelar model bagi industri fesyen Vietnam dan berulang alik ke Shanghai untuk menguruskan beberapa perniagaan miliknya di sana.


Transformasi wajah Tran dari sebelum melakukan pembedahan plastik hingga berwajah seperti bintang K-Pop. - Foto Oddity Central.

Khamis, 7 April 2022

Jersi 'Gol Tangan Tuhan' Diego Maradona dilelong RM22 juta

Jersi 'Gol Tangan Tuhan' Diego Maradona dilelong RM22 juta


Rumah lelong Sotheby bercadang untuk melelong jersi yang dipakai Diego Maradona ketika dia menjaringkan "Gol Tangan Tuhan" pada Piala Dunia 1986. Jersi yang pernah dipakai oleh legenda itu dirancang untuk ditawarkan kepada pengumpul mulai 20 April hingga 4 Mei 2022.


Ia dijangka akan dijual dengan harga £4 juta (RM22.05 juta) dalam satu sesi lelongan. Ikon legenda itu menjaringkan kedua-dua gol ketika suku akhir berdepan England. Gol pertama Maradona dijaringkan secara kontroversi apabila menggunakan tangan bagi menewaskan Peter Shilton.


Bagaimanapun gol kedua dijaringkannya digelar "Gol Abad Ini." Jersi ikonik berwarna biru dipakai Maradona bernombor 10 itu dimiliki bekas pemain tengah skuad Three Lions, Steve Hodge.


Dia mendapat jersi nombor sepuluh milik Maradona selepas bertukar jersi pada penghujung suku akhir Piala Dunia 1986 yang diadakan di Stadium Azteca, Mexico.


Pemain berusia 59 tahun itu tidak melalui hari yang bagus dalam perlawanan berkenaan. Hodge juga secara tidak sengaja memberikan bola kepada Maradona yang menyebabkan 'Gol Tangan Tuhan' itu.


"Saya menjadi pemilik jersi ini selama lebih 35 tahun, sejak Diego dan saya menukar jersi di terowong selepas perlawanan popular itu.


"Ia memang satu penghormatan bermain menentang seorang daripada pemain terhebat dan menakjubkan sepanjang zaman itu," kata Hodge.


Bagi Hodge, jersi Maradona yang dimilikinya bukanlah barang biasa. Kerana, ada nilai sejarah disebaliknya yang membuatkan jersi ini layak mendapat harga yang tinggi.


"Jersi tangan Tuhan mempunyai kepentingan budaya yang mendalam untuk dunia bola sepak, rakyat Argentina dan rakyat England. Saya pasti pemilik baharu akan berbangga dengan jersi bola sepak paling ikonik di dunia," kata Hodge.


Sebelum lelongan, jersi Maradona ini telah dipinjamkan kepada Muzium Bola Sepak Negara di Manchester untuk dipamerkan sejak 2002.


Gambar kiri, jersi ikonik berwarna biru dipakai Maradona bernombor 10. - Foto Sotheby.