Sabtu, 11 Jun 2022

Demi menarik perhatian pelanggan ke gerainya, lelaki sanggup pakai 5 kilogram barang kemas setiap hari


Seorang pemilik gerai makanan di Vietnam menjadi popular selepas berjalan sekitar bandar itu, sambil memakai barangan kemas seberat 5 kilogram hampir setiap hari, lapor Oddity Central pada 7 Jun 2022.


Do Ngoc Thuan, 34, atau dikenali sebagai Seven Ball berkata, dia mula meminati barang kemas sejak kecil lagi dan apabila dewasa dia membelinya sendiri.


Dia semakin bersemangat melaburkan sebahagian besar wangnya untuk membeli perhiasan tersebut apabila sering menjadi perhatian ketika berjalan di khalayak ramai.


Dia turut memakai banyak barangan kemas demi menarik perhatian supaya orang ramai mengunjungi gerai makanannya di Ho Chi Minh, serta semakin popular apabila tular dalam media sosial.


"Setelah membuka gerai makanan di Ho Chi Minh, saya mengenakan sejumlah besar perhiasan barangan kemas untuk menarik lebih banyak pelanggan.


"Saya berasa obses untuk mengumpul lebih banyak barang kemas selepas ramai yang memperhatikan perhiasan yang saya pakai apabila berada di tempat awam," jelasnya.


Ketika ini, Thuan memakai 10 bentuk cincin, 30 utas gelang dan lebih 12 utas rantai emas tebal setiap kali dia keluar bersiar-siar atau ke gerainya.


Katanya, jumlah itu tidak termasuk anting-anting emas, gelang kaki serta cincin yang dipakai pada jari kakinya.


"Sejak memakai emas pada 2018 hanya dua kali saya hampir dirompak. Oleh itu saya upah pengawal peribadi untuk perlindungan apabila keluar dari bandar kerana semua orang di Ho Chi Minh mengenali saya dan gaya saya," katanya.


Menurutnya, walaupun begitu ada segelintir orang meraguinya memakai perhiasan emas tulen.


"Sesiapa yang masih ragu-ragu boleh pergi ke kedai emas bersama saya untuk membuat pengesahan, jika terbukti saya memakai emas palsu, saya berikan semuanya.


"Jika emas yang saya pakai adalah emas asli, mereka perlu memberi saya 5 juta dong Vietnam (RM949.17)," tegasnya.


Do Ngoc Thuan menunjukkan barangan kemas seberat lima kilogram yang dipakainya hampir setiap hari. - Foto Oddity Central.


EmoticonEmoticon