Ahad, 22 Mei 2022

Kanak-kanak berusia 10 tahun di Afrika terima Lamborghini sebagai hadiah hari lahir


Kanak-kanak terkaya di Nigeria, Muhammad Awal Mustapha menyambut hari lahirnya yang ke-10 dengan menerima hadiah berupa sebuah kereta mewah jenama Lamborghini Aventador, yang berharga lebih £300,000 (RM1.6 juta), lapor akhbar Daily Star pada 11 Mei 2022.


Muhammad Awal yang lebih dikenali sebagai Mompha Junior di akaun Instagram miliknya menyambut ulang tahun kelahirannya pada bulan lalu.


Budak lelaki itu bagaimanapun baru memuat naik gambar hadiah kereta Lamborghini berwarna kuning pada Rabu, minggu lalu yang diberikan oleh bapanya.


Bapanya, Ismailia Mustapha atau lebih dikenali sebagai Mompha Senior turut berkongsi gambar anak lelakinya di Instagram. Muhammad Awal dilihat memakai tali kasut berwarna kuning untuk dipadankan dengan warna kereta tersebut.



"Memiliki anak lelaki seperti kamu menjadi penyebab untuk saya terus hidup. Senyuman kamu juga pembawa kebahagiaan. Kami sayang kamu. Selamat hari lahir. Muhammad Awal sudah 10 tahun," demikian menurut kapsyen pada gambar yang dimuat naik.


Ismailia menjadi jutawan selepas menjadi Ketua Eksekutif syarikat Mompha Bureau De Change di Lagos.


Jutawan itu mendapat jumlah pengikut yang ramai di akaun media sosialnya sejak berkongsi gambar sebuah kereta Rolls Royce pada Februari 2018, pengikutnya di Instagram kini melebih 1.2 juta.


Ahli perniagaan itu tidak segan untuk mempamerkan kereta super, jet peribadi, dan rumah mewah miliknya di seluruh dunia termasuk di Dubai dan Nigeria. - Sumber Daily Star.


Mompha Junior menyambut hari lahirnya dengan menerima hadiah kereta super baharu pada bulan lepas. - Foto Instagram.


EmoticonEmoticon