Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan

Rabu, 20 Mac 2024

Bank alami gangguan, pelanggan boleh keluar wang 'tanpa had' lebih RM189 juta

Bank alami gangguan, pelanggan boleh keluar wang 'tanpa had' lebih RM189 juta


Pengguna sebuah bank komersial terbesar di Ethiopia ibarat mendapat durian runtuh apabila mereka bebas mengeluarkan jumlah wang yang dikehendaki, gara-gara berlaku gangguan sistem pada awal pagi Sabtu lalu, lapor BBC News pada 18 Mac 2024.


Pelanggan Commercial Bank of Ethiopia (CBE) mendapat maklumat bahawa mereka boleh mengeluarkan wang melebihi baki dalam akaun mereka.


Media tempatan melaporkan lebih AS$40 juta (RM189 juta) dikeluarkan atau dipindahkan ke akaun bank lain sebelum CBE berjaya membekukan semua transaksi setelah beberapa jam.


Presiden CBE, Abe Sano berkata, kebanyakan wang itu dikeluarkan oleh penuntut universiti setelah khabar angin tentang kejadian tersebut.


"Barisan panjang dapat dilihat di mesin teler automatik (ATM) di beberapa kampus. Mereka berlumba-lumba keluarkan wang sehingga polis tiba," jelas laporan itu lagi.


Salah seorang pelajar University Institute of Technology memberitahu, dia tidak percaya apabila dimaklumkan oleh rakannya.


Seorang lagi penuntut di Dilla University di selatan Addis Ababa berkata, sejumlah rakannya mengeluarkan wang dari ATM antara waktu tengah malam dan 2 pagi (waktu tempatan).


Lebih 38 juta merupakan pemegang akaun CBE yang ditubuhkan kira-kira 82 tahun lalu.


Sementara itu, Bank Pusat Ethiopia yang bertindak sebagai badan induk sektor kewangan menjelaskan 'gangguan' itu berlaku ketika aktiviti penyelenggaraan dan pemeriksaan.


Sebanyak tiga universiti mengeluarkan kenyataan meminta penuntut yang terlibat supaya mengembalikan wang yang bukan milik mereka.


"Sesiapa yang memulangkan wang tidak akan didakwa atas kesalahan jenayah," kata Abe Sano.


Seorang pelajar dari Universiti Jimma berkata, dia tidak mendengar mengenai sesiapa memulangkan wang itu, namun menambah, dia melihat kenderaan polis berada di kampus. - Sumber BBC News.


Ibu pejabat CBE di Addis Ababa. - Foto AFP.

Ahad, 17 Mac 2024

Seekor kerbau albino dijual pada harga RM2.4 juta

Seekor kerbau albino dijual pada harga RM2.4 juta


Seekor kerbau albino dijual dengan harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) di sebuah pameran di Thailand, baru-baru ini, lapor laman berita Nation Thailand pada 13 Mac 2024.


Kerbau diberi nama Ko Muang Phet itu adalah milik Damrongsak Morakot dari wilayah selatan Phetchaburi.


Walaupun berat untuk berpisah dengan Ko Muang Phet, Damrongsak berharap pemilik baharunya akan terus mempertahankan legasinya dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kerbau albino Thailand.


Menurut rekod, Ko Muang Phet memegang gelaran kerbau pembiakan gergasi terkemuka Thailand, kekal tidak tewas dalam pertandingan selama bertahun-tahun. Ia terkenal dengan 'kecantikannya' dan saiz yang sangat besar, pada ketinggian 180 sentimeter.


Kerbau berumur lima tahun itu mempunyai keupayaan pembiakan luar biasa kerana 90 peratus daripada anaknya akan dilahirkan dengan ciri-ciri albino, menjadikannya ia aset penting dalam pembiakan kerbau.


Menambah kemasyhurannya, Ko Muang Phet juga mencatatkan kejayaan dalam dunia hiburan kerana membintangi watak kerbau Ai Khlaow dalam versi terbaru drama televisyen popular, Mon Rak Luk Thung.


Kerbau itu dibeli oleh Ladang Wanasuwan di Chiang Rai semasa Pesta Kerbau Thai Uthai Thani ke-12 yang diadakan pada hujung minggu lalu, pada harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) dan menjadikannya pemerolehan kerbau paling mahal.


Menurut laporan media, Ko Muang Phet sudah 'bersara' daripada pertandingan dan pemiliknya memberikan tumpuan kepada usaha melahirkan generasi baharu kerbau albino.


Damrongsak menerangkan bagaimana semangatnya untuk meneroka potensi industri kerbau Thailand membawanya kepada Ko Muang Phet.


Bermula dengan pembelian dan penternakan kerbau biasa, Damrongsak secara beransur-ansur membina sembilan Ladang Morakot di daerah Tha Yang, Phetchaburi.


Dia membesarkan Ko Muang Phet dan memelihara kerbau itu seperti kanak-kanak serta menjadikannya haiwan kesayangan di ladangnya. - Sumber Nation Thailand.


Kerbau albino yang diberi nama Ko Muang Phet. - Foto The Nation.

Sabtu, 16 Mac 2024

Wanita jumpa wang hampir RM300,000 dalam van mini miliknya

Wanita jumpa wang hampir RM300,000 dalam van mini miliknya


Seorang wanita tidak menyangka menemui sebuah beg mengandungi wang tunai sebanyak 1.2 bilion dong (RM238,958) di dalam van mini miliknya, lapor portal berita VNEXpress pada 15 Mac 2024.


Nguyen Thi Luc, 44, menemui beg tersebut selepas dia menghantar bekalan telur kepada penjaja di sebuah pasar tempatan di Hanoi pada Rabu lalu.


Selepas melakukan penghantaran, dia menemui wang tersebut di dalam beg plastik dan bertanya kepada beberapa orang di sekitar van mini itu tetapi mereka mengaku bukan pemiliknya.


Dia kemudian membawa wang itu ke balai polis terdekat.


Pasukan polis yang melakukan pencarian menyeluruh selama tiga jam akhirnya berjaya mengesan pemilik wang tunai itu yang merupakan seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Le Duc Son.


Dia memperoleh wang itu selepas menjual sebidang tanah pada hari sebelumnya.


"Anak lelaki Son mengambil beg berisi wang itu dan secara tidak sengaja meninggalkannya di sekitar pasar Dinh," kata seorang ketua polis tempatan, Le Duy Hoa.


Polis membuat dokumentasi yang diperlukan sebelum menyerahkan semula wang itu kepada Son. Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Luc dan para pegawai kerana mendapatkan semula wangnya. - Sumber VNExpress.


Nguyen Thi Luc bertanya kepada orang berhampiran selepas menemui beg plastik dengan wang tunai sebanyak 1.2 bilion dong di dalam van mininya pada 13 Mac 2024. - Foto diperoleh oleh VnExpress.

Khamis, 14 Mac 2024

Nelayan yang curi kubah masjid bersalut emas bernilai hampir RM1 juta akhirnya dicekup

Nelayan yang curi kubah masjid bersalut emas bernilai hampir RM1 juta akhirnya dicekup


Polis memberkas seorang nelayan berumur 67 tahun kerana disyaki mencuri hiasan bersalut emas pada kubah masjid yang bernilai 3 bilion rupiah (RM902,195), lapor laman berita Tribunnews pada 12 Mac 2024.


Suspek yang dikenali sebagai Amin Gay, ditahan ketika mahu melarikan diri ke Kota Namlea, Pulau Buru dalam wilayah Maluku.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Buru, Inspektor Aditya Bambang Sundawa berkata, suspek mencuri hiasan emas itu untuk membayar hutangnya.


Tambah Aditya, warga emas itu menggunakan pelbagai alat untuk melarikan kubah tersebut termasuk dua tangga kayu dan tali.


Dia melakukan perbuatan itu berseorangan antara pukul 2 pagi hingga 3 pagi (waktu tempatan).


Ujar Aditya, ketika menarik hiasan kubah tersebut menggunakan tali, ia terjatuh lalu patah.


Ia membuatkan suspek menanam sebahagian daripada kepingan hiasan itu di dalam tanah di sebuah kawasan hutan, sebelum ia ditemui penduduk pada Sabtu lalu.


Jika didapati bersalah, suspek boleh dipenjara selama tujuh tahun.


Dalam kejadian pada 4 Mac lalu, hiasan kubah masjid diperbuat daripada emas seberat 2.6 kilogram itu hilang dari Masjid Al-Huda, Buru.


Hiasan tersebut merupakan sumbangan penduduk Kampung Kayeli dan pelombong di Gunung Botak, yang mengunjungi masjid tersebut sejak 2015. - Sumber Tribunnews.


Amin ditahan polis ketika mahu melarikan diri ke Kota Namlea. - Foto Tribunnews.

Khamis, 7 Mac 2024

Lelaki 'berlakon' pengemis jana pendapatan RM46,000 sebulan

Lelaki 'berlakon' pengemis jana pendapatan RM46,000 sebulan


Seorang penghibur digelar pengemis terkaya di China kerana mampu menjana pendapatan sehingga 70,000 yuan (RM46,069) sebulan dengan berlakon sebagai pengemis, lapor laman berita Oddity Central pada 5 Mac 2024.


Lu Jingang, menjadi perhatian ramai kerana berlakon sebagai pengemis secara profesional di sekitar kawasan tumpuan pelancong, Qinming Shanghe Garden, wilayah Henan.


Dia melakukan pekerjaan tersebut selama 12 tahun sekali gus mencetuskan perdebatan ramai yang menuduhnya sebagai penyamar.


Namun, Jingang mendakwa bahawa dia sekadar berlakon menjadi pengemis kerana menyukai bidang kerja tersebut. Ia memberi peluang kepadanya menjadi penghibur tanpa perlu menghadiri sesi uji bakat.


Dengan mukanya yang dipenuhi kotoran, renungan mata yang sedih dan pakaian compang-camping, Jingang melakonkan watak pengemis untuk menarik perhatian pelancong yang bermurah hati mendermakan wang kepadanya.


"Dia lebih bahagia daripada saya, sayalah pengemis sebenar," tulis seorang netizen.


"Saya mahu berhenti kerja dan menjadi pengemis," kata seorang lagi pengguna media sosial. - Sumber Oddity Central.


Jingang berlakon menjadi pengemis selama 12 tahun. - Foto Oddity Central.

Rabu, 6 Mac 2024

Ferrari milik bintang F1 ditemui selepas 28 tahun dicuri

Ferrari milik bintang F1 ditemui selepas 28 tahun dicuri


Polis Britain akhirnya menemui sebuah kereta Ferrari yang dicuri daripada pemandu Formula Satu (F1) Austria, Gerhard Berger, di Itali hampir tiga dekad lalu, lapor laman berita NBC News pada 4 Mac 2024.


Ferrari F512M berwarna merah itu adalah salah satu daripada dua supercar yang dicuri semasa pemandunya berada di Imola untuk menyertai acara Grand Prix San Marino pada April 1995.


Pasukan Polis Metropolitan London dimaklumkan oleh pengeluar kereta itu pada bulan Januari lalu bahawa sebuah Ferrari dalam proses dijual kepada pembeli Amerika Syarikat (AS) oleh seorang broker dari Britain.


Siasatan yang dilakukan oleh Unit Jenayah Kenderaan polis mendapati kereta itu telah dibawa ke Britain dari Jepun pada akhir 2023.


Anggota polis kemudian merampas kereta itu, yang dikatakan bernilai hampir £350,000 (RM2.1 juta).


Bagaimanapun, sebuah lagi Ferrari yang dicuri masih belum ditemui.


Ferrari mengeluarkan 501 model F512M antara 1994 dan 1996. Kereta itu mempunyai kelajuan tertinggi 315 Kilometer sejam. - Sumber NBC News.


Sebuah Ferrari F512M ditemui semula 28 tahun selepas ia dicuri daripada bekas pemandu Formula Satu Gerhard Berger. - Foti Polis Metropolitan/AP.

Jumaat, 23 Februari 2024

Pekerja kira, tentukan sendiri sebanyak mana duit bonus mereka mahu bawa pulang

Pekerja kira, tentukan sendiri sebanyak mana duit bonus mereka mahu bawa pulang


Sebuah syarikat di China, baru-baru ini, menarik perhatian apabila menawarkan bonus tahunan bernilai 100 juta yuan (kira-kira RM67 juta) untuk kakitangan mereka menerusi satu permainan mengira wang, lapor South China Morning Post.


Acara itu diadakan oleh syarikat Kren Kuangshan di wilayah Henan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada 5 Februari lalu.


Dalam acara itu, pekerja boleh membawa pulang sebanyak mana wang yang mereka mampu kira di atas meja. Timbunan wang kertas 100 yuan (RM66) diletakkan di atas sebuah meja sepanjang 50 meter.


Pekerja dibenarkan mengira wang tersebut dalam tempoh masa tertentu iaitu antara 1, 3, 5, 10 dan 15 minit. Tempoh masa tersebut ditetapkan secara undian. 


Bagaimanapun, sebanyak 1,000 yuan (RM665) akan ditolak bagi setiap sekeping wang yang silap dikira. Syarikat itu menyediakan 20 kaunter wang untuk pemeriksaan terbabit.


Seramai 5,000 pekerja dibenarkan menyertai acara tersebut dengan salah seorang daripada mereka berjaya membawa pulang wang sebanyak 97,800 yuan (RM65,120).


Tahun lalu, syarikat itu memperuntukkan 61 juta yuan (RM40.6 juta) kepada 40 pekerja yang mempunyai prestasi terbaik dengan tiga jurujual teratas masing-masing menerima lima juta yuan (RM3.33 juta).


Seorang kakitangan, Feng berkata, setiap seorang daripada tiga jurujual berkenaan menjual produk bernilai lebih 100 juta yuan, pada tahun lalu. Syarikat itu juga mengadakan jamuan tahunan untuk ibu bapa kakitangan.


Bos syarikat itu, Cui Peijun diberi gelaran bos paling pemurah di China. Kemurahan hati pemilik syarikat itu, menarik ratusan permohonan kerja berminat berkhidmat untuk syarikat terbabit.


Berdasarkan tinjauan Syarikat Perunding Pengurusan CIIC, 74 peratus syarikat di China memberikan bonus akhir tahun pada 2022, walaupun undang-undang buruh di negara itu tidak mengenakan syarat berkenaan. - Sumber South China Morning Post.


Beberapa pekerja dilihat mengira wang di atas meja. - Foto SCMP/Shutterstock/Douyin.