Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan

Isnin, 19 Februari 2024

Menantu tukar barang kemas ibu mentua dengan emas palsu menyebabkan kerugian RM30,000

Menantu tukar barang kemas ibu mentua dengan emas palsu menyebabkan kerugian RM30,000


Tindakan menantu lelaki mencuri barang kemas milik ibu mentua dan menukarkannya dengan emas palsu mengundang padah apabila ditahan di kawasan Taman Pandan Mesra, Ampang Jaya, Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian yang berlaku 11 Februari itu disedari wanita tempatan berusia 56 tahun apabila mendapati barang kemas diletakkan di dalam laci dan bilik tidur telah hilang.


Menurutnya, wanita itu mendapati satu gelang tangan emas miliknya tiada manakala rantai leher emas miliknya ditukar kepada emas palsu sehingga menyebabkan kerugian sekitar RM30,000.


"Seorang penganggur, lelaki tempatan berusia 26 tahun yang merupakan menantu mangsa telah ditahan sekitar pukul 6.30 petang bagi membantu siasatan, Isnin lalu.


"Soal siasat suspek membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang berperanan sebagai pembeli barang kemas seperti dilaporkan hilang pada Rabu lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Azam, semakan mendapati tahanan pertama mempunyai dua rekod lampau dadah dan positif methamphetamine dan amphetamin.


"Tangkapan kedua tiada rekod lampau jenayah dan positif ganja.


"Menantu mangsa dibenarkan reman tujuh hari bermula Selasa lalu hingga esok manakala tangkapan kedua telah tamat reman tiga harinya, semalam.


Jelas beliau, motif kejadian disebabkan suspek memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang tertunggak, hutang motosikal, berjudi dan membeli bekalan dadah.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri di dalam rumah," ujarnya. - Sumber Kosmo Online.

Ahad, 4 Februari 2024

Warga emas dihalau anak selepas serah hak milik rumah

Warga emas dihalau anak selepas serah hak milik rumah


Sepasang suami isteri di China diusir oleh anak lelaki mereka selepas menandatangani surat penyerahan hak milik rumah kepada cucu sendiri, lapor portal berita South China Morning Post pada 31 Januari 2024.


Jin, 86, menyesali keputusannya apabila terpaksa menyewa selepas dia dan isterinya, juga berusia lapan puluhan, dihalau oleh anak lelaki dan menantunya.


Mereka tinggal di sebuah rumah pangsa sejak tahun 1990-an. Kediaman itu diberikan oleh sebuah universiti tempat Jin bekerja. Rumah itu kini bernilai 1.05 juta yuan (RM698,454).


Beberapa tahun lalu ketika dia masih lemah selepas menjalani pembedahan, anak lelaki dan menantu Jin mula meminta dia menyerahkan rumah itu kepada anak lelaki mereka yang juga cucunya.


"Mereka sebenarnya tidak membayar satu sen pun. Hak milik rumah itu jatuh atas nama cucu saya," kata Jin.


Mimpi ngeri Jin bermula pada tahun lepas apabila anaknya memberitahu bahawa dia akan menjual rumah itu untuk membeli sebuah vila. Apabila Jin cuba menghalangnya, dia dimaki hamun oleh anaknya.


Pasangan warga emas yang tidak berdaya itu terpaksa tidur di atas lantai yang sejuk dan keras di luar rumah pangsa tersebut apabila mereka tidak dibenarkan masuk oleh anak lelaki dan menantunya.


"Cucu anda mengatakan ia adalah flatnya, jadi anda tidak mempunyai hak untuk menggunakannya," kata mereka.


Keadaan yang tertekan itu menyebabkan Jin rebah dan dibawa ke hospital. Apabila isterinya bertanya kepada anak lelaki mereka sama ada dia boleh berehat di flat itu, dia enggan membuka pintu.


Pasangan itu dilaporkan terpaksa tinggal menyewa sementara mendapatkan nasihat undang-undang untuk cuba mendapatkan rumah mereka semula. - Sumber South China Morning Post.


Pasangan itu kini terpaksa menyewa. - Foto Baidu.

Selasa, 30 Januari 2024

Wanita wariskan harta RM13 juta kepada kucing, anjing peliharaannya

Wanita wariskan harta RM13 juta kepada kucing, anjing peliharaannya


Warga emas wanita di China sanggup mewariskan hartanya bernilai 20 juta yuan (RM13.32 juta) kepada kucing dan anjingnya berbanding darah dagingnya sendiri, lapor South China Morning Post pada 24 Januari 2024.


Wanita itu, bernama Liu, dari Shanghai berkata, dia membuat surat wasiat beberapa tahun lalu dengan meninggalkan tiga anaknya wang dan harta.


Namun katanya, dia berubah fikiran kerana zuriatnya itu tidak menjenguknya atau menjaganya ketika sakit, malah jarang menghubunginya.


"Hanya kucing dan anjing peliharaan setia bersama saya," katanya memetik laporan Zonglan News.


Katanya, dia menukar wasiatnya dan menegaskan semua wangnya mesti digunakan untuk menjaga kebajikan haiwan peliharaannya dan mana-mana anak haiwan itu, selepas dia meninggal dunia.


Sebuah klinik veterinar tempatan dilantik sebagai pentadbir harta pusakanya dan bertanggungjawab untuk menjaga haiwan itu.


Sementara itu, pegawai dari ibu pejabat Pusat Pendaftaran Wasiat di Beijing, Chen Kai berkata, walaupun Liu mahu menyerahkan semua hartanya terus kepada haiwan peliharaannya, wasiat itu tidak sah di China.


"Tetapi ada alternatif untuk menyelesaikan isu ini.


"Permintaan semasa Liu adalah satu cara, dan kami akan menasihatinya untuk melantik orang yang dipercayainya untuk menyelia klinik doktor haiwan bagi memastikan haiwan peliharaan itu dijaga dengan baik," katanya.


Seorang lagi pegawai dari Pusat Pendaftaran Wasiat China cawangan timur China berkata, mereka memaklumkan Liu mengenai risiko meletakkan semua hartanya di tangan klinik haiwan itu, sebelum dia membuat wasiat terakhirnya.


"Kami memberitahu Liu jika anak-anaknya mengubah sikap mereka terhadapnya, dia masih boleh mengubah permintaannya lagi," kata pegawai itu.


Kisah Liu turut mencetuskan perbincangan dalam talian mengenai harta pusaka keluarga.


Pada Disember tahun lalu, mahkamah di Shanghai memutuskan wasiat seorang lelaki yang meninggalkan semua asetnya bernilai 3.3 juta yuan (RM2.2 juta) kepada pemilik gerai buah-buahan yang baik hati dan bukannya saudara-maranya, adalah sah selepas mereka mencabar wasiat itu di mahkamah. - Sumber South China Morning Post.


Wanita itu berubah fikiran kerana zuriatnya itu tidak menjenguknya atau menjaganya ketika sakit. - Foto Sina.

Sabtu, 27 Januari 2024

Tuah gali tanah, jumpa berlian asli 7.46 karat

Tuah gali tanah, jumpa berlian asli 7.46 karat


Seorang pelancong Perancis yang pertama kali melawat Taman Negeri Kawah Berlian di Arkansas, Amerika Syarikat (AS), bertuah apabila menemui berlian asli 7.46 karat.


Taman Negeri Arkansas memaklumkan, Julien Navas dari Paris melancong ke AS untuk melihat pelancaran Roket Vulcan Centaur United Launch Alliance di Cape Canaveral, Florida, sebelum akhirnya ke New Orleans bersama seorang rakan.


Ketika di Louisiana, Navas mengetahui mengenai Taman Negeri Kawah Berlian dan memutuskan untuk melawat taman itu sebelum meninggalkan AS.


"Saya sampai ke taman itu kira-kira 9 pagi dan mula menggali. Mulanya saya rasa seperti buang masa, tetapi memasuki tengah hari, saya tengok ada batu berkilat di tanah saya gali.


"Rupanya ia berlian warna coklat 7.46 karat. Saya sangat gembira," katanya.


Navas menamakan berlian itu sebagai Berlian Carine, sempena nama tunangnya dan merancang untuk memotong batu itu menjadi dua bahagian, satu untuk tunangnya dan satu lagi untuk anak perempuannya.


Penolong Penguasa Taman Waymon Cox berkata, Navas menemui berlian itu semasa meninjau kawasan pencarian seluas 37.5 ekar pada 11 Januari, tuahnya mungkin turut dipengaruhi cuaca yang kerap hujan, baru-baru ini.


"Kami secara berkala membajak kawasan pencarian untuk menggemburkan tanah yang berisi berlian dan menggalakkan hakisan semula jadi.


"Apabila hujan di kawasan padang, ia membasuh kotoran dan mendedahkan batu berat, mineral dan berlian pada permukaan," katanya. - Sumber New York Post.


Berlian yang ditemui Navas. - Foto Taman Negeri Arkansas.

Selasa, 9 Januari 2024

Bermimpi ada emas, lelaki maut terjatuh dalam lubang digali selama setahun di lantai dapurnya

Bermimpi ada emas, lelaki maut terjatuh dalam lubang digali selama setahun di lantai dapurnya


Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam 130 kaki (39.6 meter) yang digali di bawah lantai dapurnya selepas dia bermimpi ada emas tertimbus di bawah lantai itu.


Mirror UK pada 8 Januari melaporkan Joao Pimenta da Silva, 71, menjunam ke bawah lubang yang digalinya selepas kehilangan imbangan kerana tergelincir.


Jirannya berkata, pesara itu taksub dengan idea ada emas tertanam di kawasan di bawah kediamannya di perbandaran Ipatinga, Minas Gerais, itu.


Seorang daripada jirannya, Arnaldo da Silva memberitahu media tempatan bahawa Joao menghabiskan lebih setahun menggali lubang dan mengupah ramai orang untuk melakukan kerja penggalian.


"Dia bermula dengan membayar upah 70 Reais Brazil (kira-kira RM67) sehari kepada penggali ketika lubang itu masih rendah tetapi semakin dalam kos semakin meningkat.


"Dia akhirnya menawarkan membayar sekitar 495 Reais Brazil (kira-kira RM472) kepada sesiapa yang sanggup memasuki lubang digali dan membantu mengeluarkan tanah," katanya.



Arnaldo berkata, Joao mendakwa diberitahu oleh 'roh' dalam mimpi terdapat emas di bawah batu di bawah lantai dapurnya.


Katanya, dia cuba memberi amaran kepada Joao mengenai bahaya misinya itu tetapi tidak diendahkan.


Sementara itu, anggota bomba mengesahkan tragedi yang membawa kepada kematian warga emas yang menginginkan emas itu berlaku pada 5 Januari lalu.


Bomba menerima panggilan sekitar jam 1.30 tengah hari mengenai kejadian dan bergegas ke sebuah rumah di kawasan kejiranan Betania selepas dilaporkan pemilik kediaman terjatuh dalam lubang.


Gambar-gambar lubang yang berdiameter sekitar 89 sentimeter dengan kedalaman 39.6 meter turut diterbitkan dalam akhbar Brazil.


Laporan tempatan berkata, mangsa dipercayai tergelincir dari pelantar kayu bahagian atas lubang itu.


Mayatnya dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan. Dia didapati mengalami kecederaan di kepala dan patah kaki serta patah tulang lain. - Sumber Mirror UK.


Lubang digali Joao di bawah lantai dapur rumahnya. Gambar kanan, pasukan keselamatan menjalankan operasi menyelamat. - Foto Mirror UK.

Ahad, 7 Januari 2024

Tiga syiling miliki nilai sejarah bakal dilelong lebih RM5.8 juta

Tiga syiling miliki nilai sejarah bakal dilelong lebih RM5.8 juta


Tiga keping duit syiling Britain yang jarang ditemukan, akan dilelong dalam satu acara diadakan oleh Heritage Auctions. Kesemua syiling itu yang memiliki nilai sejarah tinggi, dijangka meraih hasil jualan lebih sejuta pound (lebih RM5.8 juta) dalam acara lelongan tersebut.


Lapor Daily Mail, bahan pertama bakal dipamerkan merupakan duit syiling perak bercorak mahkota Raja Charles II yang dinilai oleh pelelong pada harga 400,000 pound (RM2.32 juta).


Anggaran jualan sama turut dibuat untuk duit syiling emas Raja Henry III bernilai 20 pence. Namun, duit syiling emas lima guinea bercorak lakaran Ratu Anne yang berasal dari tahun 1706, pula dianggarkan pada harga 240,000 pound (RM1.39 juta).


Acara lelongan Heritage Auctions akan diadakan di Dallas, Texas, akan berlangsung pada 8 Januari ini.


Dalam acara itu, syiling perak bercorak mahkota Raja Charles II yang direka oleh Thomas Simon pada tahun 1663, dijangka menjadi perhatian para tetamu yang hadir.


"Ia menunjukkan profil sisi Raja Charles II dan menampilkan inskripsi Simon yang merayu untuk dipilih sebagai ketua pengukirnya.


"Raja sebaliknya memilih keluarga Rottier untuk peranan itu dan hanya beberapa 'rayuan' Simon yang diterima," jelas laporan itu.


Selain itu, duit syiling emas Raja Henry III bernilai 20 pence dilaporkan berasal dari tahun 1257. Syiling emas itu dipercayai memaparkan lakaran 'potret pertama sebenar' raja Inggeris pada mata wang.


"Ia menggambarkan Raja Henry II memakai mahkota sambil memegang tongkat di tangan kanan," jelas laporan.


Duit syiling emas menampilkan sisi tepi Ratu Anne pula dipercayai berasal dari tahun 1706. Ketiga-tiga syiling berkenaan dihantar oleh pengumpul peribadi yang berasingan.


Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Numismatik Antarabangsa di Heritage Auctions, Cris Bierrenbach memaklumkan syiling mahkota Raja Charles II adalah amat terkenal dan sangat dicari.


Katanya, syiling berkenaan disimpan oleh pengumpul dari Eropah selama lebih 50 tahun. Malah, jelas Bierrenbach, syiling bersejarah itu merupakan antara yang terbaik pernah ada.


Menurutnya, seni artistik yang terdapat pada duit syiling zaman awal itu amat mengagumkan.


"Kami mempunyai alasan kukuh memikirkan bahawa syiling itu boleh dikesan kembali ke lelongan firma Sotheby pada tahun 1903.


"Malah, kami menjangkakan selepas 120 tahun, syiling itu akan mendapat bidaan tinggi lagi, selain menjadi bahagian penting dalam koleksi barang-barang British yang jarang ditemukan," katanya. - Sumber Daily Mail.


Duit syiling emas lima guinea bercorak lakaran Ratu Anne yang berasal dari tahun 1706. - Foto Heritage Auctions.

Duit syiling perak bercorak mahkota Raja Charles II. - Foto Heritage Auctions.

(Duit syiling emas Raja Henry III) Duit syiling ini menggambarkan raja Henry II berjanggut dengan tongkat di tangan kanannya. - Foto Heritage Auctions.

Jumaat, 5 Januari 2024

Tak terima sebarang bayaran, lelaki kesal serah jongkong emas RM11.7 juta kepada polis

Tak terima sebarang bayaran, lelaki kesal serah jongkong emas RM11.7 juta kepada polis


Seorang pengumpul peralatan ketenteraan menyuarakan rasa kesal kerana memulangkan jongkong emas bernilai £2 juta (RM11.7 juta) yang ditemui di dalam sebuah kereta kebal yang dibelinya, lapor akhbar Daily Star pada 3 Januari 2024.


Nick Mead berkata, dia tidak menerima sebarang bayaran sebaliknya, jongkong emas itu hanya disimpan di dalam peti keselamatan deposit di London.


Mead menemui barang berharga itu pada 2017 apabila dia membeli kereta kebal Type 69 yang pernah digunakan oleh tentera Iraq daripada laman e-dagang, eBay.


"Saya amat menyesal kerana menyerahkannya (jongkong emas). Saya sepatutnya meminta sedikit bayaran kerana menemuinya, namun sesen pun tidak dibayar," katanya.



Kenderaan itu telah dipulihkan oleh pemilik sebelumnya Joe Hewes, 23, yang menggantikan trek dan membetulkan enjinnya tanpa pernah menemui harta rampasan berharga di dalamnya. Dipercayai jongkong emas itu dirompak semasa pencerobohan Kuwait pada 1990.


"Apabila kami menemui jongkong emas kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengannya. Ia tidak seperti anda boleh membawa lima jongkong emas ke kedai pajak gadai. Jadi kami menghubungi polis.


"Emas mempunyai cap jari. Mereka tahu di mana ia telah dilombong. Ia pasti dicuri dari Kuwait," kata Mead.


Menurut Mead, dua pegawai Polis Northamptonshire mengambil jongkong emas itu untuk melakukan siasatan dan hanya memberikan sekeping resit kepadanya.


Adalah dipercayai siasatan akan dibuat di Kuwait untuk melihat sama ada emas itu boleh dipadankan dengan mana-mana jongkong yang dicuri semasa pencerobohan Iraq pada Ogos 1990.


Lelaki berusia 62 tahun itu berkata, dia tidak tahu keadaan terkini barangan tersebut, namun menganggap polis masih cuba menjejaki pemiliknya.


Mead membeli kereta kebal itu untuk menambah koleksi 300 kenderaan tenteranya yang digelar Tanks-a-Lot di ladangnya di Helmdon, Northamptonshire. - Sumber Daily Mail.


Mead menemui jongkong emas di dalam sebuah kereta kebal yang dibelinya pada 2017. - Foto YouTube.