Selasa, 9 Januari 2024

Bermimpi ada emas, lelaki maut terjatuh dalam lubang digali selama setahun di lantai dapurnya


Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam 130 kaki (39.6 meter) yang digali di bawah lantai dapurnya selepas dia bermimpi ada emas tertimbus di bawah lantai itu.


Mirror UK pada 8 Januari melaporkan Joao Pimenta da Silva, 71, menjunam ke bawah lubang yang digalinya selepas kehilangan imbangan kerana tergelincir.


Jirannya berkata, pesara itu taksub dengan idea ada emas tertanam di kawasan di bawah kediamannya di perbandaran Ipatinga, Minas Gerais, itu.


Seorang daripada jirannya, Arnaldo da Silva memberitahu media tempatan bahawa Joao menghabiskan lebih setahun menggali lubang dan mengupah ramai orang untuk melakukan kerja penggalian.


"Dia bermula dengan membayar upah 70 Reais Brazil (kira-kira RM67) sehari kepada penggali ketika lubang itu masih rendah tetapi semakin dalam kos semakin meningkat.


"Dia akhirnya menawarkan membayar sekitar 495 Reais Brazil (kira-kira RM472) kepada sesiapa yang sanggup memasuki lubang digali dan membantu mengeluarkan tanah," katanya.



Arnaldo berkata, Joao mendakwa diberitahu oleh 'roh' dalam mimpi terdapat emas di bawah batu di bawah lantai dapurnya.


Katanya, dia cuba memberi amaran kepada Joao mengenai bahaya misinya itu tetapi tidak diendahkan.


Sementara itu, anggota bomba mengesahkan tragedi yang membawa kepada kematian warga emas yang menginginkan emas itu berlaku pada 5 Januari lalu.


Bomba menerima panggilan sekitar jam 1.30 tengah hari mengenai kejadian dan bergegas ke sebuah rumah di kawasan kejiranan Betania selepas dilaporkan pemilik kediaman terjatuh dalam lubang.


Gambar-gambar lubang yang berdiameter sekitar 89 sentimeter dengan kedalaman 39.6 meter turut diterbitkan dalam akhbar Brazil.


Laporan tempatan berkata, mangsa dipercayai tergelincir dari pelantar kayu bahagian atas lubang itu.


Mayatnya dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan. Dia didapati mengalami kecederaan di kepala dan patah kaki serta patah tulang lain. - Sumber Mirror UK.


Lubang digali Joao di bawah lantai dapur rumahnya. Gambar kanan, pasukan keselamatan menjalankan operasi menyelamat. - Foto Mirror UK.


EmoticonEmoticon