Khamis, 11 Januari 2024

'Komet syaitan' bertanduk lebih besar daripada Gunung Everest sedang hampiri Bumi


Sebuah komet yang dikatakan bersaiz lebih besar daripada gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest kini sedang bergerak menghampiri Bumi, lapor laman berita UNILAD pada 9 Januari 2024.


Komet 12P/Pons-Brooks turut dikenali sebagai 'komet syaitan'. Ia diberikan gelaran itu kerana bentuknya kelihatan seperti tanduk. Para saintis percaya 'tanduk' tersebut terdiri daripada gas dan habuk.


Komet itu dijangka berada pada jarak dekat dengan Bumi pada 2 Jun depan, manakala ahli-ahli astronomi berharap ia boleh dilihat menerusi mata kasar.


Bagaimanapun, walaupun ia melintas pada titik terdekat dengan Bumi, ia masih akan berada lebih jauh daripada Matahari.



Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkata: "NASA mengesahkan tiada asteroid atau komet berada dalam laluan perlanggaran dengan Bumi. Oleh itu, kemungkinan akan berlaku perlanggaran besar adalah kecil.


"Secara faktanya, tiada objek besar akan menghentam Bumi dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang."


Para saintis juga membuat pemerhatian menarik tentang komet itu baru-baru ini. Apabila diamati sekali lagi, nampaknya tanduk pada komet itu sudah tidak ada lagi.


Komet selebar 10.5 batu itu sebenarnya adalah cryovolcanic, bermakna ia adalah gunung berapi yang sejuk. Tanduk itu telah hilang selepas letusan terbarunya ketika ia meluncur melalui angkasa.


Live Science melaporkan komet itu telah menjadi bentuk bulat, berwarna hijau dan muncul bayangan panjang ketika ia meluncur di angkasa. - Sumber UNILAD.


Gambar fail menunjukkan Komet Syaitan. - Foto Persatuan Astronomi Britain.


EmoticonEmoticon