Jumaat, 23 Februari 2024

Pekerja kira, tentukan sendiri sebanyak mana duit bonus mereka mahu bawa pulang


Sebuah syarikat di China, baru-baru ini, menarik perhatian apabila menawarkan bonus tahunan bernilai 100 juta yuan (kira-kira RM67 juta) untuk kakitangan mereka menerusi satu permainan mengira wang, lapor South China Morning Post.


Acara itu diadakan oleh syarikat Kren Kuangshan di wilayah Henan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada 5 Februari lalu.


Dalam acara itu, pekerja boleh membawa pulang sebanyak mana wang yang mereka mampu kira di atas meja. Timbunan wang kertas 100 yuan (RM66) diletakkan di atas sebuah meja sepanjang 50 meter.


Pekerja dibenarkan mengira wang tersebut dalam tempoh masa tertentu iaitu antara 1, 3, 5, 10 dan 15 minit. Tempoh masa tersebut ditetapkan secara undian. 


Bagaimanapun, sebanyak 1,000 yuan (RM665) akan ditolak bagi setiap sekeping wang yang silap dikira. Syarikat itu menyediakan 20 kaunter wang untuk pemeriksaan terbabit.


Seramai 5,000 pekerja dibenarkan menyertai acara tersebut dengan salah seorang daripada mereka berjaya membawa pulang wang sebanyak 97,800 yuan (RM65,120).


Tahun lalu, syarikat itu memperuntukkan 61 juta yuan (RM40.6 juta) kepada 40 pekerja yang mempunyai prestasi terbaik dengan tiga jurujual teratas masing-masing menerima lima juta yuan (RM3.33 juta).


Seorang kakitangan, Feng berkata, setiap seorang daripada tiga jurujual berkenaan menjual produk bernilai lebih 100 juta yuan, pada tahun lalu. Syarikat itu juga mengadakan jamuan tahunan untuk ibu bapa kakitangan.


Bos syarikat itu, Cui Peijun diberi gelaran bos paling pemurah di China. Kemurahan hati pemilik syarikat itu, menarik ratusan permohonan kerja berminat berkhidmat untuk syarikat terbabit.


Berdasarkan tinjauan Syarikat Perunding Pengurusan CIIC, 74 peratus syarikat di China memberikan bonus akhir tahun pada 2022, walaupun undang-undang buruh di negara itu tidak mengenakan syarat berkenaan. - Sumber South China Morning Post.


Beberapa pekerja dilihat mengira wang di atas meja. - Foto SCMP/Shutterstock/Douyin.


EmoticonEmoticon