Jumaat, 23 Februari 2024

Saintis korea berjaya cipta beras hibrid dari daging lembu


Sekumpulan saintis di Universiti Korea Selatan berjaya mencipta sejenis beras hibrid baharu yang bukan saja berwarna merah jambu, tetapi padat dengan protein daging lembu dan lemak, lapor laman berita CNN minggu lepas.


Difahamkan beras yang dimakan seperti nasi itu mempunyai lapan peratus protein dan tujuh peratus lebih lemak berbanding beras biasa.


Malah, saintis itu berkata, beras tersebut mungkin berpotensi menawarkan sumber protein yang lebih murah bagi menggantikan daging selain dipelbagaikan penggunaannya daripada membasmi kebuluran, bekalan makanan untuk tentera dan angkasawan.


"Bayangkan bagaimana anda memperoleh semua nutrien yang diperlukan daripada bijiran beras protein merah jambu ini nanti," kata pengarang bersama kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik, Matter, Park So-hyeon.


Saintis meramalkan beras hibrid yang bakal dikomersialkan boleh mencecah harga sehingga AS$2.23 ( RM11) sekilogram, berbanding AS$14.88 (RM71) iaitu harga semasa untuk daging lembu.


Bagaimanapun saintis menjelaskan, penyelidikan dilakukan mereka masih berada di peringkat awal. Kajian tambahan masih diperlukan untuk menilai rasa dan penerimaan pengguna sebelum nasi yang dimasak dengan daging lembu menjadi kenyataan di pinggan orang ramai.


"Kami telah bereksperimen dengan pelbagai jenis produk makanan, tetapi model sebelumnya tidak begitu berjaya," kata Park bercakap kepada CNN pada hari Khamis lalu.


Tambah Park, sebelum ini mereka cuba menanam kacang soya dengan sel daging haiwan menggunakan kaedah yang sama, tetapi perancah selular kacang soya terlalu besar, bermakna pengguna 'tidak dapat merasakan tekstur seperti daging.'


Alternatif daging dan inovasi makanan baharu telah berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu, daripada pilihan berasaskan tumbuhan seperti Beyond Meat kepada daging yang ditanam di makmal.


Kesemua kajian itu bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, terutamanya yang dihasilkan oleh ternakan. Sistem ternakan bertanggungjawab untuk 6.2 bilion tan metrik karbon dioksida memasuki atmosfera setiap tahun.


Ia kira-kira 12% daripada semua pelepasan yang disebabkan oleh manusia. Data PBB menunjukkan pengeluaran daging lembu adalah yang paling intensif karbon. - Sumber CNN.


Beras hibrid yang mengandungi daging lembu. - Foto Yonsei University.


EmoticonEmoticon