Jumaat, 23 Februari 2024

Tujuh 'samseng' bola terima balasan selepas mengaku salah cederakan pasukan lawan


Tujuh pemain kelab bola sepak amatur termasuk seorang penjawat awam mengaku salah di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu semalam atas dakwaan mencederakan pasukan lawan ketika perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL) pada bulan lalu.


Tertuduh, Ahmad Zaim Zahirulhaq Roslan, 24, Muhamad Supian Al Shaari, 29, Mohd. Zulkifli Abdullah, 36, Mohd. Hazwani Ab. Karim, 32, Tuan Faiz Hakimie Tuan Rosli, 29, Ahmad Najmie Adnan, 34, dan Wan Muhamad Aidid Ghazali, 22, turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.


Kesemua mereka didenda RM1,000 sehingga RM4,500 selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd. Shukri, semalam.


Muhamad Supian didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, Mohd Zulkifli didenda RM3,000 atas dua pertuduhan manakala yang lain didenda RM1,500 dan penjawat awam, Ahmad Najmie, didenda RM1,000.


Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada tiga lelaki berusia 18, 19 dan 36 tahun.


Mereka didakwa melakukan perbuatan itu ketika satu perlawanan TFL di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, jam 11 pagi, 12 Januari lalu.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad dan Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Nadzir Abdullah.


Sebelum ini, media melaporkan berlaku insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu ketika minit akhir perlawanan antara NAG FC dan KESA FC yang berlangsung di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu.


Tertuduh dikatakan mencederakan mangsa dengan menghantuk menggunakan kepala, memukul, menumbuk dan memijak mangsa menyebabkan kecederaan di bahagian dada, bahu dan muka.


Difahamkan, pergaduhan itu tercetus sebelum perlawanan antara kelab NAG FC dengan KESA FC tamat dengan NAG FC mendahului 4-1 pada kejohanan edisi kedua tersebut. - Sumber Harian Metro.


Sebahagian daripada tujuh individu didenda RM1,000 sehingga RM4,500 atas tuduhan mencederakan tiga orang lelaki. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon