Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Jumaat, 19 Ogos 2022

Pasangan suami isteri saman ayam jantan berkokok 200 kali sehari

Pasangan suami isteri saman ayam jantan berkokok 200 kali sehari


Sepasang suami isteri warga emas di Bad Salzuflen, barat Jerman, memfailkan kes mahkamah ke atas jiran mereka kerana tidak tahan mendengar bunyi ayam jantan peliharaannya berkokok sehingga 200 kali sehari, lapor laman berita Oddity Central pada 17 Ogos 2022.


Friedrich-Wilhelm, 76, dan isterinya, Jutta mendakwa bahawa mereka tidak dapat berehat dengan tenang sejak sekian lama disebabkan bunyi bising ayam jantan bernama Magda itu.


Ia mula berkokok sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) setiap hari, dan tidak berhenti berbunyi sehingga waktu senja apabila pemiliknya mengurung haiwan itu bersama ayam-ayam lain.


Selepas beberapa tahun cuba berunding dengan jiran mereka mengenai perkara itu, Friedrich dan Jutta akhirnya membuat keputusan membawa perkara itu ke mahkamah.


"Jiran kami enggan beralah mengenai isu ini dan kami mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan kehidupan seperti itu atau menang dalam perbicaraan.


"Kami tidak boleh menggunakan kawasan taman dan tidak boleh membuka tingkap. Kami sudah tidak tahan lagi," kata Friedrich.


Friedrich dan Jutta juga dilaporkan telah merakam bunyi kokokan haiwan itu sebagai bukti mahkamah. Bunyi kokokan ayam itu diukur sekuat 80 desibel, bersamaan dengan bunyi bising restoran yang dipenuhi pengunjung atau jalan raya dengan kesesakan lalu lintas.


Menurut peguam mereka, Torsten Gieseke, ayam jantan terlebih aktif seperti Magda tidak boleh berada di kawasan perumahan yang tenang sambil menambah, seorang lagi jiran terpaksa berpindah dua tahun lalu kerana tidak tahan dengan bunyi bising Magda.


Michael D. yang memiliki Magda, memberitahu pemberita bahawa ayam jantan itu memainkan peranan penting dalam kumpulan ayamnya, kerana dia menjaga ketenteraman di kalangan ayam lain.


"Ayam-ayam dalam kurungan itu memerlukan ayam jantan, jika tidak mereka akan berlawan satu sama lain," katanya.


Seorang hakim Mahkamah Daerah Lemgo dijadualkan untuk mendengar kes Friedrich dan Jutta tidak lama lagi dan memutuskan nasib Magda selepas itu. - Sumber Oddity Central.


Friedrich dan Jutta mengambil tindakan itu selepas sudah tidak tahan mendengar bunyi kokokan Magda dan gagal mencari penyelesaian dengan jiran mereka. - Foto Facebook Dim Mbapila Jr.

Ahad, 14 Ogos 2022

Kajian mendapati labah-labah tidur berdengkur dan mungkin bermimpi sama seperti manusia

Kajian mendapati labah-labah tidur berdengkur dan mungkin bermimpi sama seperti manusia


Satu kajian baharu mendedahkan bahawa labah-labah mampu bermimpi semasa tidur dan boleh mengalami situasi berdengkur seperti manusia, lapor portal berita MailOnline.


Para saintis tidak boleh mengimbas otak labah-labah, dan jelas sekali tidak boleh menyoal mereka. Jadi, perkara terbaik seterusnya ialah memerhati mereka pada waktu malam.


Penyelidik di Jerman merakam lebih 30 anak labah-labah semasa tidur menggunakan kamera inframerah.


Semasa berehat, serangga itu mempamerkan 'pergerakan retina berkala' yang ditambah dengan 'kedutan anggota badan dan lentik kaki'.


Ia serupa dengan pergerakan pantas mata semasa tidur atau REM pada manusia, iaitu apabila mata bergerak dengan pantas dari sisi ke sisi di belakang kelopak mata yang tertutup semasa mengalami mimpi yang jelas.


Justeru, hasil kajian mencadangkan bahawa labah-labah juga mengalami tidur REM dan mungkin turut mengalami mimpi.


Kajian itu diketuai oleh ahli biologi evolusi di Universiti Konstanz di Jerman, Daniela Roessler dan diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.


"Saya secara peribadi berpendapat bahawa mereka mengalami mimpi visual, tetapi ia akan menjadi sangat sukar untuk membuktikannya secara saintifik," kata Daniela Roessler.


Para penyelidik berkata ia adalah kali pertama saintis memerhatikan tidur REM pada haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang.


"Pergerakan retina yang diperhatikan adalah konsisten termasuk tempoh dan selang masa yang tetap dengan kedua-duanya meningkat sepanjang malam," tulis jurnal tersebut.


Kajian mendapati labah-labah mengalami REM sama seperti manusia ketika sedang bermimpi. - Foto Scorpo Hunter.

Rabu, 27 Julai 2022

Ular sepanjang 18 kaki belit tuan sendiri sehingga menemui ajal

Ular sepanjang 18 kaki belit tuan sendiri sehingga menemui ajal


Seorang lelaki di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat meninggal dunia selepas dibelit ular peliharaannya sepanjang 5.48 meter (18 kaki) di bahagian leher minggu lalu, lapor majalah People pada 26 Julai 2022.


Elliot Senseman, 27, mati ketika dirawat di Hospital Lehigh Valley kira-kira pukul 8.11 pagi (waktu tempatan) pada hari Ahad, 24 Julai 2022, kata Koroner Daerah Lehigh, Daniel A. Buglio dalam satu kenyataan.


"Punca kematian adalah kecederaan pada otak akibat kurang oksigen semasa dibelit.


"Seekor ular sawa boa constrictor dengan saiz kira-kira 5.48 meter melilit leher mangsa, yang mengakibatkan kecederaan otak ," kata kenyataan tersebut sambil menambah, kejadian itu disifatkan sebagai kemalangan.


Dalam insiden pada minggu lalu itu, anggota polis Perbandaran Upper Macungie dikejarkan ke perkampungan Fogelsville sejurus menerima panggilan kecemasan. Setibanya di lokasi kejadian, anggota-anggota polis menemui seorang lelaki terbaring di lantai, manakala seekor ular melilit lehernya.


"Disebabkan saiz reptilia itu amat besar, salah seorang anggota kami terpaksa menembak kepala ular tersebut tanpa mengakibatkan kecederaan kepada mangsa," demikian menurut laporan polis.


Dalam pada itu, seorang ahli keluarga mangsa memberitahu laman berita The Daily Beast bahawa mangsa mula membela ular sejak berusia 10 tahun selain mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan reptilia itu.


Dia juga telah menyelamatkan banyak ular dalam tempoh enam tahun lalu dan amat berminat dalam mencari tempat tinggal baharu bagi haiwan tersebut.


Bersama-sama dengan ular yang membunuhnya, Senseman mempunyai dua lagi ular peliharaan di rumahnya. Sebelum ini, ular sawa boa constrictor yang membunuhnya telah didera dan kekurangan zat makanan, menurut The Daily Beast.


"Ular tertentu ini agresif, dan itu adalah salah satu isu, dengan cara ular ini menyerangnya dan bagaimana ia menjadi agresif, ia tidak bertindak balas secara normal," kata ahli keluarga mangsa memberitahu outlet itu. - Sumber People.

42 orang cedera, monyet liar 'mengamuk' di Jepun rosakkan tanaman dan serang manusia

42 orang cedera, monyet liar 'mengamuk' di Jepun rosakkan tanaman dan serang manusia

Gambar hiasan. - Foto News Flare.

Pihak berkuasa tempatan di bandar Jepun, Yamaguchi memaklumkan mereka menggunakan pistol penenang untuk menangani monyet liar yang setakat ini sudah mencederakan 42 orang dalam beberapa minggu kebelakangan ini.


Monyet liar lazimnya dilihat di sebahagian besar Jepun dan dianggap sebagai binatang perosak di beberapa kawasan. Haiwan itu memakan tanaman dan juga memasuki rumah.


Serangan monyet liar di bandar barat Jepun adalah sesuatu yang luar biasa. Orang dewasa dan kanak-kanak mengalami kecederaan akibat dicakar dan gigitan haiwan terbabit.


Kecederaan yang dialami mangsa setakat ini sederhana, namun pihak berkuasa kini menggunakan pistol penenang selepas perangkap yang dipasang gagal memerangkap monyet terbabit.


"Pada mulanya, hanya kanak-kanak diserang. Baru-baru ini, warga emas dan lelaki dewasa juga menjadi sasaran haiwan itu," menurut pegawai.


Bandar terbabit tidak pasti jika serangan itu dilakukan oleh sekumpulan monyet ataupun seekor monyet yang agresif. Dalam beberapa kes, monyet itu masuk melalui pintu ataupun tingkap yang terbuka.


Kisah itu menjadi tajuk utama di Jepun dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas penduduk awam melaporkan serangan haiwan terbabit dengan lebih kerap.


"Saya mendengar tangisan datang dari tingkat bawah, jadi saya bergegas turun, kemudian saya nampak seekor monyet membongkok anak saya," kata seorang lelaki tempatan kepada Harian Mainichi Shimbun.


Serangan monyet terbabit pertama dilaporkan berlaku pada 8 Julai lalu apabila haiwan itu memanjat sebuah flat di daerah Ogori di bandar Yamaguchi, dan cuba menyeret seorang bayi keluar dari tingkap, menyebabkan beberapa kecederaan.


"Monyet itu telah mencengkam kaki anak saya semasa dia bermain di atas lantai, dan kelihatan seperti cuba mengheretnya ke luar," kata ibu bayi itu kepada media tempatan.


Menurut laporan, monyet itu menyerang lima orang lagi di daerah yang sama sebelum memasuki sebuah sekolah rendah pada 11 Julai, di mana ia mencalarkan seorang murid, dan kemudian menyerang seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun tiga hari kemudian di taska berdekatan. - Sumber Daily Mail UK.



Pegawai berkata serangan monyet di bandar Yamaguchi Jepun (gambar) di barat Jepun adalah luar biasa, dengan orang dewasa dan kanak-kanak mengalami luka termasuk calar dan gigitan. - Foto Yangxiong.

Ahad, 24 Julai 2022

Nelayan tangkap makhluk laut ganjil, cetus kepercayaan petanda gempa bumi dahsyat bakal menyusul

Nelayan tangkap makhluk laut ganjil, cetus kepercayaan petanda gempa bumi dahsyat bakal menyusul


Sekumpulan nelayan di Chile berjaya menangkap seekor makhluk laut yang kelihatan ganjil sepanjang 4.8 meter (16 kaki), mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat apabila mereka percaya kemunculan ikan gergasi itu mungkin petanda bencana dahsyat akan berlaku.


Ini berikutan kepercayaan tahyul masyarakat tempatan bahawa gempa bumi akan berlaku selepas kemunculan ikan gergasi itu yang dikenali sebagai ikan Oarfish, lapor akhbar Daily Star UK pada 13 Julai 2022 lalu.


Ikan itu yang juga digelar 'King of the Herrings' ditangkap di luar pantai Chile, dan orang awam yang tinggal di bandar Arica berpusu-pusu ke jeti untuk melihat haiwan ganjil tersebut.


Rakaman yang dikongsi di laman TikTok menunjukkan ikan yang panjang dan bertulang itu dicangkuk di kepala ketika pekerja-pekerja memindahkannya ke darat.



Rakaman video itu mendapat 10 juta tanda suka. Namun ia turut menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan yang khuatir penemuannya adalah petanda gempa bumi dahsyat akan berlaku.


"Isunya sekarang ke mana kita akan melarikan diri jika bencana ini berlaku," komen seorang pengguna media sosial.


"Oarfish hidup di laut dalam. Dikatakan bahawa apabila mereka kembali ke permukaan ia adalah kerana plat tektonik sedang bergerak," komen seorang lagi pengguna.


Sesetengah orang juga percaya bahawa sesiapa yang menemui ikan tersebut akan disumpah, manakala kemunculannya di dunia manusia adalah petanda buruk.


Ikan Oarfish hidup di laut dalam dan hanya kembali ke permukaan apabila sakit, hampir mati atau mahu membiak. - Sumber Daily Star.


Ikan spesies Oar diangkat dari laut ke darat oleh sekumpulan nelayan di bandar Arica, Chile. - Foto Jam Press.

Khamis, 21 Julai 2022

Pernah kena patuk 3,000 kali, Raja Ular Kelantan tidak pernah serik malah masih aktif dalam pertunjukan ular berbisa

Pernah kena patuk 3,000 kali, Raja Ular Kelantan tidak pernah serik malah masih aktif dalam pertunjukan ular berbisa


Mohd Hamdan Mahadi, 37, atau turut dikenali sebagai Raja Ular Kelantan dalam temubualnya bersama Harian Metro mendedahkan, dirinya pernah dipatuk ular berbisa lebih dari 3,000 kali.


Mohd Hamdan berkata, dia tidak pernah serik malah masih aktif dalam pertunjukan ular berbisa selain menjadi penangkap haiwan itu secara sukarela. Dia sentiasa mementingkan keselamatan ketika menangkap ular bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.


Katanya, ular berbisa menyerang manusia tanpa diduga dan hanya sekali patukan sahaja boleh membunuh mangsa jika lambat menerima rawatan.


"Namun sepanjang lebih 25 tahun berkhidmat sebagai penangkap ular selain kerap berhadapan dengan pelbagai spesies ular berbisa, hanya beberapa kali sahaja saya ditahan dalam wad bagi membuang bisa patukan ular.


"Saya tidak mempunyai ilmu formal atau menghadiri kursus menangkap ular, namun kepakaran menangani haiwan ini datang dengan sendiri.


"Saya menggunakan kemahiran dimiliki bukan untuk pertunjukan, tetapi khusus bagi menjalankan tugas dan kebolehan itu perlu digunakan sebaik mungkin demi membantu masyarakat," katanya ketika ditemui di Kuala Krai.


Bapa kepada empat anak berusia empat hingga 10 tahun ini berkata, dia meminati bidang menangkap ular sejak berusia sembilan tahun dan pernah beberapa kali menangkap ular berbisa yang memasuki rumah penduduk.


"Saya menyediakan perkhidmatan menangkap ular secara sukarela, bukan sahaja di Kelantan, malah ada juga masyarakat dari Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor mempercayai serta yakin dengan kebolehan saya menangkap haiwan berbisa," katanya.


Untuk rekod, dia telah menangkap lebih dari 5,000 pelbagai jenis ular berbisa dan ular yang paling besar serta berbahaya pernah ditangkapnya adalah ular tedung selar sepanjang lebih lima meter pada tahun ini.


Katanya, selain aktif menangkap ular, dia pernah mendapat undangan mengadakan pertunjukan di beberapa negara seperti India, Thailand, dan Singapura. - Sumber Harian Metro.


Walaupun tubuhnya sudah 'dihinggapi' lebih 3,000 patukan ular berbisa, Mohd Hamdan Mahadi atau turut dikenali sebagai Raja Ular Kelantan tidak pernah serik malah masih aktif dalam pertunjukan ular berbisa selain menjadi penangkap haiwan itu secara sukarela.

Jumaat, 15 Julai 2022

Nelayan kongsi gambar ketam miliki gigi seperti manusia, gemparkan warganet

Nelayan kongsi gambar ketam miliki gigi seperti manusia, gemparkan warganet


Seorang jurugambar dan nelayan laut dalam di Rusia, mendapat perhatian netizen selepas memuat naik hasil tangkapan terbarunya berupa seekor ketam yang memiliki gigi seperti manusia, lapor laman berita Wionews pada 13 Julai 2022.


Roman Fedortsov menyiarkan imej beberapa penemuan laut dalam yang paling luar biasa di laman Instagramnya.


Gambar paling mendapat perhatian adalah seekor ketam yang memiliki set gigi sempurna seperti manusia dewasa.


"Foto tersebut menerima tanda like dan komen paling banyak pada minggu lalu.


"Ada yang meluahkan rasa kagum dengan keunikan haiwan akuatik ini dan ada juga berasakan rupa fizikal binatang ini melucukan," kata Fedortsov.


Lelaki itu terkenal sebagai pesohor media sosial dan kini mempunyai lebih 652,000 pengikut di laman Instagramnya. Dia sering berkongsi foto hidupan laut pelik di platform tersebut.


Antaranya, ikan yang menyerupai labah-labah, ikan yang menyerupai cacing tanah, dan makhluk yang menyerupai gumpalan.


BACA: Koleksi Ikan Pelik Dengan Wajah Mengerikan Seakan 'Makhluk Asing' Ditangkap Di Laut Barents.


Ketam laut dalam yang mempunyai set gigi seperti manusia dewasa. - Foto fedortsov_official_account.