Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Selasa, 7 Mei 2024

Penduduk Iran terkejut sejumlah ikan yang masih hidup jatuh dari langit

Penduduk Iran terkejut sejumlah ikan yang masih hidup jatuh dari langit


Sejumlah ikan 'jatuh dari langit' di wilayah Yasuj, Iran, menyebabkan penduduk berlari mencari perlindungan bagi mengelak daripada ditimpa haiwan itu, lapor portal berita Daily Star pada 6 Mei 2024.


Beberapa rakaman video menunjukkan kejadian pelik itu berlaku ketika hujan lebat semalam, sehingga ia menjadi tular di media sosial.


Dalam satu klip video di sebatang jalan utama, seorang lelaki keluar dari keretanya apabila ikan jatuh di sekelilingnya.


Dia kemudian mengambil salah satu ikan yang masih hidup walaupun hidupan laut itu terkena impak kuat apabila ia jatuh atas jalan raya berturap.


Fenomena jarang berlaku itu dipercayai dicetuskan oleh belalai air mirip angin puting beliung, di mana ia 'mengangkat' hidupan marin kecil, manakala terdapat laporan mengenai taufan berlaku di wilayah Yasuj.


Menurut seorang pakar iklim 'hujan haiwan' adalah perkara sebenar, tetapi banyak laporan masih tidak terbukti.


"Tiada kuasa ghaib dalam hal ini. Satu hipotesis adalah belalai air seperti angin puting beliung kadangkala 'menangkap' makhluk seperti ikan atau katak dan membawanya jauh.


"Apabila kelajuan angin beransur-ansur berkurangan, makhluk hidup itu jatuh ke dalam air hujan," katanya. - Sumber Daily Star.


Sejumlah ikan turun dari langit ketika hujan lebat di Yasuj semalam. - Foto X.

Isnin, 6 Mei 2024

Ibu campak anak OKU dalam sungai yang dipenuhi buaya

Ibu campak anak OKU dalam sungai yang dipenuhi buaya


Seorang wanita berumur 26 tahun ditahan selepas mencampakkan anak lelakinya yang berumur enam tahun dan kurang upaya pertuturan ke dalam sebatang sungai dipenuhi buaya selepas dia bertengkar dengan suaminya, kata polis, semalam (5/5/2024).


Laman berita Wionews melaporkan, kejadian berlaku di daerah Dandeli, negeri Karnataka di selatan India pada Sabtu (4/5/2024).


Menurut polis, pasangan suami isteri itu sering bertengkar mengenai kecacatan yang dialami anak sulung mereka sejak lahir. Mereka juga mempunyai seorang lagi anak lelaki berumur dua tahun. 


"Suami Savitri (suspek) yang dikenali sebagai Ravi Kumar, kerap mempersoalkan mengapa isterinya melahirkan anak sedemikian dan mendesak wanita berkenaan membuang kanak-kanak itu," kata polis.


Selepas mereka bertengkar sekali lagi pada petang Sabtu, suspek yang kecewa bertindak membuang anaknya ke dalam saluran pembentungan yang bersambung ke Sungai Kali. Sungai berkenaan dipenuhi buaya.


Polis tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh jiran suspek. Polis menjalankan operasi mencari untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dengan bantuan penduduk tempatan dan penyelam. Bagaimanapun, disebabkan keadaan gelap, polis tidak dapat mengesan kanak-kanak itu.


Seorang pegawai polis berkata semalam (sehari kemudian) bahawa mereka telah menemui mayat kanak-kanak itu. 


"Mangsa mengalami kecederaan parah, kesan gigitan di seluruh badan dan sebelah tangannya hilang akibat dibaham buaya. Mayat kanak-kanak berkenaan dihantar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," katanya. 


Polis masih menjalankan siasatan berhubung kematian kanak-kanak lelaki itu.


"Kami telah mendaftarkan kes di balai Polis Luar Bandar Dandeli di bawah seksyen 109 dan 302 Kanun Keseksaan India dan menahan kedua-dua suami dan isteri berhubung kejadian itu," kata pegawai itu. - Sumber Wion News.


Kejadian berlaku di kampung Halamadi di Dandeli taluk pada malam Sabtu. - Foto Hindustan Times.

Jumaat, 3 Mei 2024

Buah pinggang rosak serta mengalami beberapa kegagalan organ selepas digigit tikus

Buah pinggang rosak serta mengalami beberapa kegagalan organ selepas digigit tikus


Seorang lelaki berusia 76 tahun nyaris maut selepas digigit seekor tikus yang ditemui bersembunyi dalam mangkuk tandas di rumahnya di Montreal, Kanada, baru-baru ini, lapor akhbar New York Post pada April lalu.


Semasa kejadian lelaki yang tidak didedahkan identitinya dikejarkan ke hospital selepas tikus menggigit dua jarinya ketika cuba menarik keluar haiwan itu dari tandas.


Setibanya di hospital, dia diberi suntikan tetanus oleh doktor sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya.


Bagaimanapun selepas 18 hari, lelaki itu kembali semula ke hospital sama kerana dia mengalami pelbagai gejala termasuk demam, sakit kepala dan sakit perut yang berterusan selama beberapa hari.


Walaupun luka akibat gigitan tikus didapati sembuh sepenuhnya, doktor yang memeriksanya mendapati degupan jantungnya berdegup kencang.


Kemudian doktor yang melakukan ujian awal mendapati buah pinggang lelaki itu telah rosak selain mempunyai platelet darah rendah.


Kadar jantungnya tinggi, tekanan darahnya rendah dan buah pinggangnya rosak, menurut laporan perubatan yang diterbitkan dalam Canadian Medical Association Journal.


Mereka menjalankan ujian darah dan air kencing dan mendapati lelaki itu menghidap leptospirosis, jangkitan kuman yang sering ditularkan kepada manusia oleh haiwan seperti tikus dan boleh membawa maut dalam kes yang jarang berlaku dan teruk.


Dia dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami beberapa kegagalan organ. - Sumber New York Post.


Tikus menggigit dua jari warga emas itu ketika mangsa cuba menarik keluar haiwan berkenaan dari tandas. - Gambar hiasan 123RF.

Selasa, 23 April 2024

Lelaki bertarung, tangkap aligator jantan dengan tangan kosong

Lelaki bertarung, tangkap aligator jantan dengan tangan kosong


Seorang lelaki di Florida dirakam bertarung dengan seekor aligator jantan yang mengganggu ketenteraman penduduk di kawasan kejiranan pusat bandar Jacksonville pada hujung minggu lalu, lapor laman berita FOX News pada 22 April 2024.


Mike Dragich, hanya menggunakan tangan kosong apabila dia menentang reptilia sepanjang kira-kiri 8 kaki (2.43 meter) itu selain hanya berkaki ayam.


Beliau merupakan ahli sukan seni bela diri campuran (MMA) yang juga dikenali sebagai @bluecollar_brawler di media sosial.


Dragich dikenali ramai pada Jun tahun lalu apabila dia menangkap seekor lagi aligator yang ditemui di tempat letak kereta berhampiran sebuah sekolah rendah di Jacksonville.


Beliau berkata, kejadian baru-baru ini merupakan antara tangkapan haiwan liar seterusnya yang berjaya dilakukan.


"Ia (aligator) berlari ke arah polis dan sekumpulan orang. Semua orang menjerit," kata Dragich ketika menggambarkan kejadian itu.


Dragich memberitahu FOX 35 News, dia sebenarnya menghadiri permainan hoki bersama keluarganya apabila Pejabat Sheriff Jacksonville memaklumkan Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC) tentang gangguan reptilia itu.


Oleh kerana dia seorang penjebak buaya berlesen, Dragich dihantar untuk membantu menangkap haiwan tersebut.


"Ia hanya lima minit dari permainan, jadi saya benar-benar meninggalkan permainan, menangkap buaya dan kemudian kembali ke permainan," kata Dragich. - Sumber FOX News.


Dragich menangkap aligator tanpa menggunakan alat khas dan hanya berkaki ayam di Florida baru-baru ini. - Foto FOX 35.

Isnin, 22 April 2024

Biri-biri jantan 'dihukum' mati selepas ia dipersalahkan atas kematian pasangan warga emas

Biri-biri jantan 'dihukum' mati selepas ia dipersalahkan atas kematian pasangan warga emas


Biri-biri jantan di New Zealand ditembak mati oleh polis, baru-baru ini, selepas ia dipersalahkan atas kematian pasangan warga emas di padang kecil (paddock) di ladang.


Lelaki dan wanita itu ditemukan meninggal dunia pada kejadian di Auckland Barat pada pagi Khamis, 18 April lalu.


"Kami mengesahkan seekor biri-biri jantan berada di dalam paddock pada masa kami dimaklumkan," kata polis dalam satu kenyataan.


Menurut polis, seorang lagi yang tidak dikenali mengalami kecederaan ringan selepas diserang oleh seekor biri-biri jantan di dalam kandang.



"Sebaik anggota kami tiba di tempat kejadian, mereka juga didekati oleh biri-biri jantan itu.


"Ketika menjalankan penilaian risiko, biri-biri jantan itu ditembak dan mati di tempat kejadian," katanya.


Polis mengesahkan salah seorang pegawai mereka membunuh haiwan itu.


Anak saudara pasangan itu, Dean Burrell berkata, mangsa berusia 80-an dan meninggal dunia dalam kemalangan tragis berkenaan.


Polis berkata, mereka sedang menyiasat kejadian itu dan bedah siasat dijalankan pada 19 April lalu.


New Zealand adalah rumah kepada lima juta orang dan kira-kira 25 juta biri-biri. - Sumber Daily Mail.


Akhbar NZ Herald melaporkan sepasang suami isteri, kedua-duanya berusia awal lapan puluhan, ditemui mati di kawasan pedalaman Waitakere, barat Auckland, awal pagi Khamis. - Foto NZ Herald.

Selasa, 2 April 2024

Najis ternakan babi cemar Sungai Tamparuli mengalir di Loji Rawatan Air Telibong

Najis ternakan babi cemar Sungai Tamparuli mengalir di Loji Rawatan Air Telibong


Perbuatan pengusaha ladang ternakan babi di Kampung Bawang, Tamparuli, membuang najis haiwan itu ke sungai berhampiran ladang sejak beberapa tahun lalu menyebabkan air sungai itu tercemar.


Lebih mengejutkan, air sungai terbabit masih digunakan penduduk setempat, malahan mengalir di Loji Rawatan Air Telibong sebelum disalurkan kepada ribuan pengguna di Tuaran, Tamparuli dan Kota Kinabalu.


Tinjauan mendapati, air sungai berhampiran ladang ternakan babi itu bertukar warna menjadi kehijauan, selain berbau busuk meloyakan.


Penduduk, Amy James, 37, mendakwa, bukan hanya air sungai di Kampung Bawang terjejas teruk, malahan kualiti udara di kawasan perkampungan juga tercemar dengan bau busuk, setiap hari.


"Pelbagai usaha sudah penduduk lakukan termasuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, namun ladang ternakan babi itu masih terus beroperasi.


"Apa yang berlaku sejak kewujudan ladang ternakan itu, sungai Kampung Bawang tercemar teruk oleh najis haiwan itu," katanya.


Bagaimanapun, menurutnya, ada penduduk masih menggunakan air sungai tercemar itu terutama ketika cuaca panas ketika ini, apabila sumber air mereka mula mengecil.


Seorang lagi penduduk, Voyed Jibil, 38, mengakui tidak tahan lagi dengan kewujudan ladang ternakan babi itu, yang najisnya mencemarkan air sungai dan kualiti udara Kampung Bawang.


"Pengusaha ladang ternakan babi itu benar-benar tidak bertanggungjawab apabila sewenang-wenangnya membuang najis haiwan itu ke dalam sungai berhampiran.


"Pemilik ladang itu sedar perbuatan itu salah kerana mencemarkan sumber air Loji Rawatan Air Telibong, namun berpura-pura tidak tahu," katanya.


Sebelum ini, pencemaran itu didedahkan seorang pengguna media sosial yang memuat naik rakaman video menunjukkan aliran air berbau busuk dan kotor dari kolam takungan najis babi sebelum mengalir ke sungai berhampiran.


Berikutan itu, pasukan pegawai dari Jabatan Veterinar meninjau ladang ternakan babi itu untuk menyiasat dakwaan terbabit.


Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pihaknya sangat prihatin dengan aduan pencemaran sungai daripada ladang ternakan babi yang dilaporkan berlaku di Tamparuli.


"Saya menyokong penuh siasatan dijalankan dan berharap satu penyelesaian segera dapat dilaksanakan," katanya.


Tambah beliau, pusat khidmat Parlimen Tuaran bersama-sama pihak berkuasa sudah membuat pemeriksaan di sungai dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan lanjut. - Sumber Harian Metro.


Air sungai berubah warna menjadi kehijauan berpunca ladang ternakan babi di Kampung Bawang, Tamparuli. - Foto Johary Indan.

Sabtu, 30 Mac 2024

Lelaki terkejut jumpa 'ikan puntianak' di tepi pantai

Lelaki terkejut jumpa 'ikan puntianak' di tepi pantai


Seorang lelaki menemui makhluk aneh kelihatan seperti cacing gergasi dalam filem sains fiksyen, Dune ketika dia bersiar-siar di tepi pantai, lapor portal berita MailOnline pada 29 Mac 2024.


Will Miles, 26, terjumpa makhluk aneh itu di pantai dekat Exmouth Marina, Devon, Britain baru-baru ini.


Makhluk tersebut diberi julukan 'ikan puntianak' kerana menghisap darah ikan lain dan mulutnya dipenuhi barisan gigi tajam.


"Saya sedang bersiar-siar selepas bekerja. Ia terdampar di tengah pantai berhampiran garis air pasang surut," katanya.


Berminat untuk berkongsi penemuan anehnya, Will menyiarkan foto di halaman Facebook untuk naturalis.


Walaupun ada yang mengenal pasti spesies itu dengan betul, yang lain berpendapat ia kelihatan seperti sesuatu daripada filem blockbuster Dune, berdasarkan novel sci-fi Frank Herbert.


Will menganggarkan haiwan aneh itu memiliki panjang 80 sentimeter atau menyamai ketinggian purata kanak-kanak umur dua tahun.


"Saya sangat terkejut. Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini," ujarnya.


'Ikan puntianak' pernah wujud di Britain dalam jumlah yang banyak sebelum bilangannya merosot disebabkan oleh kualiti air yang rendah. - Sumber Daily Mail.


Seorang lelaki menemui 'ikan puntianak' di tepi pantai Devon baru-baru ini. - Foto Jarco Havermans/Pen News.