Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Rabu, 27 Mac 2024

Penumpang terkejut jumpa kala jengking berkeliaran di lapangan terbang

Penumpang terkejut jumpa kala jengking berkeliaran di lapangan terbang


Para penumpang terkejut apabila menemui seekor kala jengking berkeliaran di Lapangan Terbang Heathrow, London, lapor akhbar Daily Express pada 26 Mac 2024.


Haiwan artropod itu dipercayai masuk ke dalam beg milik penumpang sebelum ia tiba di lapangan terbang tersebut.


Setakat ini masih tidak diketahui kala jengking yang berwarna hitam dan bergerak di sekitar kaki penumpang itu datang dari negara mana.


Namun, haiwan itu sering ditemui di Afrika Selatan, Asia Timur, Eropah Selatan dan Australia.


Spesies itu tidak berasal dari Britain kerana negara itu hanya mempunyai kala jengking yang mempunyai ekor berwarna kuning.


Haiwan itu tidak boleh membawa maut namun ia mempunyai sengatan yang kuat seperti tebuan.


Bagaimanapun, seorang jurucakap Lapangan Terbang Heathrow berkata: "Kala jengking ini selamat ditangkap dan dibawa keluar dari terminal (lapangan terbang) oleh kakitangan terlatih khas.


"Ia akan dinilai dan dikenal pasti, sebelum dibawa ke rumah baharu yang sesuai."


Apabila haiwan ditemui berkeliaran di terminal lapangan terbang Heathrow, mereka mempunyai Pusat Penerimaan Haiwan Heathrow sendiri yang mana pasukan dipanggil untuk menyelamatkan makhluk itu. - Sumber Daily Express.


Kala jengking yang berkeliaran di dalam Terminal Lapangan Heathrow baru-baru ini. - Foto Twitter @UB1UB2.

Selasa, 26 Mac 2024

Netizen terkejut temui 'ular berkaki' di rumahnya

Netizen terkejut temui 'ular berkaki' di rumahnya


Seorang pengguna media sosial di Thailand berkongsikan gambar seekor haiwan aneh yang kelihatan seperti ular kecil tetapi mempunyai empat kaki, lapor laman berita Thaiger pada 25 Mac 2024.


Menurut individu tersebut, haiwan itu ditemui di rumahnya.


"Haiwan apakah ini? Ia kelihatan seperti ular tetapi mengapa mempunyai kaki," soalnya dalam hantaran yang dimuat naik di laman media sosial.


Pengguna media sosial yang lain kemudian tampil menjelaskan bahawa haiwan tersebut dikenali sebagai Lygosoma quadrupes iaitu sejenis reptilia kecil dalam kumpulan skink.


Ia dikenali dengan badannya yang panjang, kepala panjang dan rata serta berkaki pendek.


Skink tersebut biasanya mempunyai badan berwarna kelabu dan hitam atau coklat muda. 


Disebabkan kakinya yang pendek, ia cenderung merayap dan bersembunyi di dalam tanah yang gembur atau di bawah kayu yang mereput dan sering disalah anggap sebagai ular. - Sumber The Thaiger.


Haiwan ini kelihatan seperti ular, namun mempunyai empat kaki. - Foto Khaosod.

Sabtu, 23 Mac 2024

Doktor keluarkan belut hidup dari perut pesakit

Doktor keluarkan belut hidup dari perut pesakit


Sekumpulan doktor berjaya menyelamatkan seorang lelaki apabila mengeluarkan seekor belut hidup sepanjang 30 sentimeter (cm) dari perutnya, lapor laman berita Oddity Central pada 21 Mac 2024.


Pada 20 Mac lalu, seorang lelaki berusia 34 tahun dimasukkan ke Pusat Perubatan Daerah Hai Ha di Wilayah Quang Ninh, Vietnam selepas mengalami sakit perut yang teruk.


Selepas menjalani imbasan X-ray dan ultra bunyi, doktor berjaya mengesan 'benda asing' dalam perutnya.


Doktor memutuskan bahawa tindakan terbaik adalah menjalankan pembedahan, membuang objek yang mencurigakan, dan cuba mengurangkan kerosakan pada usus lelaki itu.


Selepas membuka perut pesakit, doktor terkejut apabila mendapati objek asing itu adalah belut hidup sepanjang 30 cm.


Mujurlah, selepas pembedahan itu pesakit dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.


Ketika ditanya bagaimana belut itu memasuki perutnya, lelaki itu tidak dapat memberikan jawapannya, tetapi doktor percaya bahawa haiwan itu masuk dari dubur ke kolon pesakit, menggigit usus dan masuk bahagian perut.


Bagaimanapun, perkara yang masih mengejutkan kakitangan hospital adalah bagaimana belut itu masih hidup dalam badan lelaki itu sehingga dibedah doktor. - Sumber Oddity Central.


Seekor belut berjaya dikeluarkan dari perut seorang lelaki di Vietnam. - Foto Oddity Central.

Isnin, 18 Mac 2024

Tiga beradik antara 12 lelaki ditahan terlibat judi laga ayam di kebun kelapa sawit

Tiga beradik antara 12 lelaki ditahan terlibat judi laga ayam di kebun kelapa sawit


Tiga beradik antara 12 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat judi laga ayam di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Kolam Air Talang, Kampung Station di Kuala Kangsar, semalam.


Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, serbuan itu menahan suspek berusia 33 hingga 64 tahun termasuk penganjur.


Katanya, mereka diberkas dalam Op Dadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 4.45 petang.


"Polis merampas seunit kain kanvas, 20 besi pancang, dua taji, penimbang elektronik, 11 sangkar, lima kelambu, 14 ekor ayam laga dan wang tunai sebanyak RM5,852.


"Aktiviti judi laga ayam itu dipercayai mula aktif sejak awal bulan ini dan diadakan pada setiap Ahad bermula pukul 2 hingga 6 petang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, caj sebanyak RM20 dikenakan terhadap setiap pemilik ayam laga dengan wang pertaruhan dikenakan antara RM300 hingga RM1,000 bagi setiap perlawanan laga ayam.


Ketika serbuan dijalankan, kumpulan lelaki tersebut duduk mengelilingi gelanggang bulat yang dipasang kain kanvas dan pancang besi yang dijadikan lokasi laga ayam.


Apabila melihat kehadiran pasukan polis, kesemua lelaki itu cuba melarikan diri namun gagal dan berjaya ditangkap.


Kesemua tangkapan direman mulai hari ini sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 32(1)(a) dan Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.


Antara yang ditahan kerana disyaki terlibat judi laga ayam di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Kolam Air Talang, Kampung Station di Kuala Kangsar semalam. - Foto ihsan pembaca.

Ahad, 17 Mac 2024

Seekor kerbau albino dijual pada harga RM2.4 juta

Seekor kerbau albino dijual pada harga RM2.4 juta


Seekor kerbau albino dijual dengan harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) di sebuah pameran di Thailand, baru-baru ini, lapor laman berita Nation Thailand pada 13 Mac 2024.


Kerbau diberi nama Ko Muang Phet itu adalah milik Damrongsak Morakot dari wilayah selatan Phetchaburi.


Walaupun berat untuk berpisah dengan Ko Muang Phet, Damrongsak berharap pemilik baharunya akan terus mempertahankan legasinya dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kerbau albino Thailand.


Menurut rekod, Ko Muang Phet memegang gelaran kerbau pembiakan gergasi terkemuka Thailand, kekal tidak tewas dalam pertandingan selama bertahun-tahun. Ia terkenal dengan 'kecantikannya' dan saiz yang sangat besar, pada ketinggian 180 sentimeter.


Kerbau berumur lima tahun itu mempunyai keupayaan pembiakan luar biasa kerana 90 peratus daripada anaknya akan dilahirkan dengan ciri-ciri albino, menjadikannya ia aset penting dalam pembiakan kerbau.


Menambah kemasyhurannya, Ko Muang Phet juga mencatatkan kejayaan dalam dunia hiburan kerana membintangi watak kerbau Ai Khlaow dalam versi terbaru drama televisyen popular, Mon Rak Luk Thung.


Kerbau itu dibeli oleh Ladang Wanasuwan di Chiang Rai semasa Pesta Kerbau Thai Uthai Thani ke-12 yang diadakan pada hujung minggu lalu, pada harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) dan menjadikannya pemerolehan kerbau paling mahal.


Menurut laporan media, Ko Muang Phet sudah 'bersara' daripada pertandingan dan pemiliknya memberikan tumpuan kepada usaha melahirkan generasi baharu kerbau albino.


Damrongsak menerangkan bagaimana semangatnya untuk meneroka potensi industri kerbau Thailand membawanya kepada Ko Muang Phet.


Bermula dengan pembelian dan penternakan kerbau biasa, Damrongsak secara beransur-ansur membina sembilan Ladang Morakot di daerah Tha Yang, Phetchaburi.


Dia membesarkan Ko Muang Phet dan memelihara kerbau itu seperti kanak-kanak serta menjadikannya haiwan kesayangan di ladangnya. - Sumber Nation Thailand.


Kerbau albino yang diberi nama Ko Muang Phet. - Foto The Nation.

Ahad, 10 Mac 2024

9 maut, 78 lagi dimasukkan ke hospital selepas makan daging penyu

9 maut, 78 lagi dimasukkan ke hospital selepas makan daging penyu


Sembilan orang maut termasuk lapan kanak-kanak selepas makan daging penyu di Pulau Pemba di kepulauan Zanzibar iaitu wilayah separa autonomi di negara Afrika Timur Tanzania, lapor NBC News pada 9 Mac 2024.


Sebanyak 78 individu lain telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut, kata pihak berkuasa pada Sabtu.


Pegawai perubatan daerah Mkoani, Dr Bakari berkata, mangsa dewasa yang maut merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak yang turut mati akibat chelonitoxism.


Bakari turut memberitahu, ujian makmal telah mengesahkan semua mangsa makan daging penyu pada Selasa lalu.


Daging penyu dianggap sebagai makanan eksotik di Zanzibar, namun ia boleh menyebabkan kematian jika dimakan selalu akibat chelonitoxism, sejenis keracunan makanan.


Justeru, pihak berkuasa di Zanzibar menghantar pasukan pengurusan bencana bagi menggesa orang ramai mengelak daripada makan daging penyu.


Pada November 2021, tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, meninggal dunia di Pemba selepas makan daging penyu, manakala tiga yang lain dimasukkan ke hospital. - Sumber NBC News.


Pulau Pemba, Kepulauan Zanzibar. - Foto Agensi.

Sabtu, 9 Mac 2024

Warga emas terkejut ular sawa sepanjang 5 meter telan kambing dalam kandang

Warga emas terkejut ular sawa sepanjang 5 meter telan kambing dalam kandang


Seorang warga emas terkejut menemui seekor ular sawa batik yang kekenyangan selepas menelan kambing di sebuah kandang di Kampung Sungai Limau, Baling hari ini.


Menurut Hamidah Halid, 65, dia menemui reptilia tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika mahu melepaskan kambing dari kandang.


Katanya, dia percaya ular sama sepanjang kira-kira lima meter dengan berat 50 kilogram itu yang menghampiri kandang tersebut empat hari lalu.


"Ular sawa itu memasukkan kepala dalam pagar kandang yang mempunyai kira-kira 20 ekor kambing.


"Ular itu sempat tangkap seekor kambing tapi anak lelaki saya berjaya menghalangnya masuk ke kawasan semak berhampiran," ujarnya.


Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz memberitahu, reptilia tersebut dibawa ke pejabat APM Baling sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).


Sehubungan itu, APM menasihatkan orang awam supaya menjaga persekitaran rumah bagi mengelakkan kehadiran reptilia berkenaan.


"Perubahan cuaca pada masa sekarang menyebabkan kehadiran ular meningkat namun orang ramai dinasihatkan berhati-hati jika ternampak reptilia ini memasuki kediaman mereka," katanya.


Anggota APM menangkap ular sawa batik yang menelan seekor kambing di Kampung Sungai Limau, Baling hari ini. - Foto APM.