Ahad, 10 Mac 2024

9 maut, 78 lagi dimasukkan ke hospital selepas makan daging penyu


Sembilan orang maut termasuk lapan kanak-kanak selepas makan daging penyu di Pulau Pemba di kepulauan Zanzibar iaitu wilayah separa autonomi di negara Afrika Timur Tanzania, lapor NBC News pada 9 Mac 2024.


Sebanyak 78 individu lain telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut, kata pihak berkuasa pada Sabtu.


Pegawai perubatan daerah Mkoani, Dr Bakari berkata, mangsa dewasa yang maut merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak yang turut mati akibat chelonitoxism.


Bakari turut memberitahu, ujian makmal telah mengesahkan semua mangsa makan daging penyu pada Selasa lalu.


Daging penyu dianggap sebagai makanan eksotik di Zanzibar, namun ia boleh menyebabkan kematian jika dimakan selalu akibat chelonitoxism, sejenis keracunan makanan.


Justeru, pihak berkuasa di Zanzibar menghantar pasukan pengurusan bencana bagi menggesa orang ramai mengelak daripada makan daging penyu.


Pada November 2021, tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, meninggal dunia di Pemba selepas makan daging penyu, manakala tiga yang lain dimasukkan ke hospital. - Sumber NBC News.


Pulau Pemba, Kepulauan Zanzibar. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon