Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Jun 2022

Dilarang lakukan seks 8 minggu selepas dijangkiti cacar monyet

Dilarang lakukan seks 8 minggu selepas dijangkiti cacar monyet


Ketua pakar kesihatan di Britain memberi amaran kepada pesakit cacar monyet supaya berhenti me­lakukan hubungan seks buat sementara waktu, kerana dibimbangi boleh membantu penyebaran virus, lapor akhbar Mirror UK pada 30 Mei 2022.


Menerusi garis panduan yang dikeluarkan, sejumlah agensi kesihatan utama di Britain menasihatkan semua pesakit cacar monyet untuk tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu selepas dijangkiti.


Sekiranya ada pesakit yang ingin melakukan hubungan itu, maka mereka digalakkan untuk memakai kondom sebagai perlindungan.


"Pesakit perlu menahan diri daripada berhubungan seks semasa tempoh permulaan gejala dan tidak menyentuh sebarang jenis luka.


"Walaupun ketika ini tiada bukti virus cacar monyet ada dalam cecair alat kelamin, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks atau menggunakan kondom selama lapan minggu selepas jangkitan.


"Panduan ini akan dikemas kini apabila terdapat bukti baharu," kata agensi-agensi ber­kenaan.


Sebelum ini, mereka mene­gaskan bahawa cacar monyet tersebar melalui sentuhan fizikal terutamanya melalui luka dan kudis. Pesakit turut dinasihatkan untuk me­ngasingkan diri di rumah sehingga mereka didapati cukup sihat.


Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan penularan virus cacar monyet yang berlaku ketika ini dilihat tidak akan menjadi pandemik seperti kebimbangan banyak pihak.


Britain menjadi negara pertama merekodkan jangkitan tersebut pada 7 Mei dan sehingga kini, hampir 400 kes dicatatkan di puluhan negara di seluruh dunia.


Pakar cacar monyet WHO, Rosamund Lewis menyatakan, agensi itu tidak melihat wabak berkenaan akan menjadi pandemik.


"Kami tidak rasa cacar monyet akan bertukar menjadi pandemik, namun itu tidak bermakna kita boleh mengambil mudah dengan apa yang berlaku. Adalah lebih bagus jika kita dapat mencegah penularan virus itu daripada merebak lebih teruk," ujarnya. - Sumber Mirror UK.


Cacar monyet telah wujud selama beberapa dekad tetapi baru-baru ini merebak ke UK dan Eropah. - Foto AFP.

Ahad, 22 Mei 2022

Kajian sahkan wanita lebih suka dan tertarik kepada lelaki kaya

Kajian sahkan wanita lebih suka dan tertarik kepada lelaki kaya


Satu kajian mendedahkan bahawa wanita sememangnya lebih menyukai lelaki kaya untuk dijadikan pasangan, lapor akhbar The Sun pada 17 Mei 2022.


Wanita juga lebih mendapat perhatian jika mereka kelihatan kaya dan berpendidikan, namun kesannya lebih kecil berbanding lelaki.


Penyelidik kajian telah mengimbas 1.8 juta profil pada aplikasi janji temu dari 24 buah negara, dan menyimpulkan bahawa ia berlaku di seluruh dunia.


"Ramai orang cenderung untuk percaya bahawa ia hanyalah stereotaip. Namun, kami mendapati ia berlaku merentasi semua budaya dalam kajian yang dilakukan sejak 1980-an," kata seorang pakar psikologi dari Universiti Swansea, Dr. Andrew Thomas.


Kajian yang dilakukan Thomas menilai lelaki berdasarkan pendapatan, pendidikan dan pekerjaan yang disiarkan pada profil serta kaitannya dengan respons yang diterima daripada wanita bujang.


Lelaki yang memiliki tahap tertinggi pendidikan dan kewangan mendapat respons sebanyak 255 peratus berbanding yang terendah. Bagi wanita, ia adalah 103 peratus.


Dr Thomas juga berkata internet mendorong kedua-dua jantina ke tahap yang melampau untuk kelihatan kaya bagi menarik perhatian kekasih.


"Manusia nampaknya mempunyai keutamaan terhadap wang dan kekayaan pada pasangan.


"Hal ini kerana ia bertindak sebagai petunjuk moden yang bersifat lebih umum serta keupayaan untuk mendapatkan sumber seperti makanan, tempat tinggal, peralatan dan perlindungan," katanya. - Sumber The Sun.


Lelaki kaya seperti Elon Musk lebih 3.5 kali ganda mendapat balasan sembang di aplikasi janji temu. - Foto The Sun.

Rabu, 11 Mei 2022

Kerana cat rumah warna pelangi lelaki menerima ancaman bunuh dari jirannya

Kerana cat rumah warna pelangi lelaki menerima ancaman bunuh dari jirannya


Gara-gara mahu mengecat rumah dengan warna pelangi, seorang penggaya rambut di Australia menerima ancaman bunuh dari jirannya, lapor akhbar The Sun pada 8 Mei 2022.


Mykey O'Halloran yang membeli rumah impiannya di tepi pantai, di Pulau Philip pada Februari tahun lalu kecewa apabila tidak menerima sambutan baik daripada jirannya.


Dia yang mempunyai 600,000 pengikut TikTok dan 153,000 lagi di Instagram kerap berkongsi video mengenai gaya rambut termasuk diwarnakan dengan warna pelangi.


Ketaksubannya terhadap warna itu menyebabkan dia mahu mengecat rumahnya dengan teknik warna sedemikian, tetapi masalah timbul apabila niatnya diketahui jiran yang tidak menyukainya.


"Sebulan selepas berpindah, lima lelaki muncul di laman belakang rumah saya pada 10 malam, dan mengancam untuk mencederakan saya jika teruskan rancangan mengecat rumah warna pelangi," katanya dilapor The Sun.


Menurutnya, dia tidak pernah bertemu dengan mereka sebelum ini, namun salah seorang daripada lelaki itu, yang dia dapati adalah jirannya.


"Mereka menjadi sangat agresif dan ganas, mereka memanggil saya 'gay c***' dan berkata 'jika saya mengecat juga, mereka akan datang lagi dan bunuh saya," katanya.


Berikutan serangan itu, Mykey berkata dia mengalami 'tindak balas trauma kejutan penuh,' menangis dan mengurung diri di dalam rumah sebelum menelefon polis.


Pegawai tiba kira-kira lima minit kemudian dan pergi menemu bual jiran itu. Dua hari kemudian, jirannya didakwa di mahkamah melakukan serangan yang menyalahi undang-undang dan ugutan untuk membunuh.


Pada Julai 2021, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang lebih ringan atas serangan menyalahi undang-undang dan telah disabitkan kesalahan, kemudian didenda 2,500 Australian dollar (RM7,671.82).


Mykey membeli rumah impiannya yang terletak berdekatan dengan pantai tahun lalu.

Isnin, 9 Mei 2022

Sekampung 'ketakutan' lelaki sangka beg adalah seekor singa sesat

Sekampung 'ketakutan' lelaki sangka beg adalah seekor singa sesat


Sebuah perkampungan di Kenya dikejutkan dengan penemuan sebuah beg yang disalah anggap sebagai seekor singa yang sesat, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC News) pada 5 Mei 2022.


Beg tersebut telah diletakkan di kawasan semak samun di kampung Kinyana yang berjarak hanya satu kilometer dari Taman Negara Gunung Kenya.


Bagaimanapun, seorang pekerja ladang telah melihat beg itu lalu menyangka bahawa seekor singa sedang bersembunyi di bawah semak dan bersedia untuk menerkam.


Setelah menghubungi pihak berkuasa, tiga pegawai hidupan liar yang lengkap bersenjata bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap haiwan itu.


Mereka tidak menemui singa sebaliknya sebuah beg yang diletakkan oleh seorang wanita yang merupakan pemilik rumah berdekatan.



Wanita itu meletakkan anak-anak pokok di dalamnya, kerana tidak mahu ia kering di bawah matahari, dia meletakkannya di sebalik dedaun yang merimbun.


"Kami bertindak balas terhadap insiden itu dengan berhati-hati dan serius. Pada awalnya kami memastikan semua orang selamat sebelum pegawai hidupan liar menyiasat dan mendapat ia adalah beg," kata ketua kampung, Cyrus Mbijiwe kepada BBC News.


Setelah sedar bahawa ia adalah sebuah beg, mereka mula ketawa lalu merakam gambar dan swafoto dengannya. Pekerja ladang yang bekerja di rumah pemilik itu dipuji kerana mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan konflik. - Sumber BBC News.


Seorang tukang kebun melihat wajah seekor singa mengintainya dari dalam semak.

Sabtu, 16 April 2022

Parker pecah rekod dunia sebagai pemandu buta terpantas dunia mencapai kelajuan lebih 339 kmj

Parker pecah rekod dunia sebagai pemandu buta terpantas dunia mencapai kelajuan lebih 339 kmj


Seorang pemandu kereta lumba yang mengalami masalah penglihatan diiktiraf Rekod Dunia Guinness (GWR) sebagai pemandu buta terpantas dunia, lapor akhbar India Times pada 13 April 2022.


Dan Parker mencapai kelajuan tertinggi 339.640 kilometer sejam (kmj) di landasan Spaceport America, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 322.689 kmj. Lebih bermakna, Parker, meraih rekod berkenaan pada ulang tahun ke-10 dia hilang penglihatan akibat kemalangan perlumbaan 10 tahun lalu.


Parker menggubah suai kereta, Corvette khusus untuk dipandu laju dalam keadaan mata tertutup, selain menggunakan sistem panduan audio untuk membantunya mengawal kenderaan semasa percubaannya itu.


Perlumbaan terbaharu itu adalah sebahagian daripada Cabaran Pemandu Buta Persekutuan Kebangsaan Orang Buta (NFB). Inisiatif ini bertujuan untuk menarik perhatian kepada kepentingan memecahkan halangan dalam mobiliti, dan untuk menunjukkan pencapaian luar biasa orang buta.



"Bukan saja menunjukkan orang buta boleh mengendalikan kenderaan dengan selamat, tetapi kami boleh melakukannya dengan kelajuan lebih dua ratus batu sejam (kira-kira 321 kmj).


"Kami berharap kejayaan ini memberi inspirasi kepada orang buta dan menunjukkan kepada dunia potensi teknologi moden, seperti kereta pandu sendiri untuk membantu memecahkan halangan orang buta dalam pergerakan harian dan sebagainya," kata Parker kepada Las Cruces Sun News.


Acara Cabaran Pemandu Buta yang julung kali diadakan pada Januari 2011, apabila Mark Riccobono, kini presiden NFB, secara bebas mengendalikan hibrid Ford Escape yang diubah suai di Daytona International Speedway Road Course.


Riccobono menavigasi selekoh kursus dan mengemudikan kereta mengelilingi halangan dinamik dengan mengikuti gesaan haptik yang dijana oleh input daripada GPS kenderaan, kamera dan penderia LIDAR, lapor outlet itu. - Sumber India Times.


Parker ketika menerima sijil pengiktirafan daripada wakil GWR. - Foto Twitter.

Ahad, 13 Mac 2022

Kereta sepanjang 100 kaki lengkap kolam renang dan helipad diiktiraf kereta terpanjang di dunia

Kereta sepanjang 100 kaki lengkap kolam renang dan helipad diiktiraf kereta terpanjang di dunia


Sebuah limosin lama yang dibaiki semula diiktiraf sebagai kereta terpanjang di dunia oleh Guinness World Records, berukuran 100 kaki (30.5 meter), lapor akhbar Daily Star pada 11 Mac 2022.


Limosin dinamakan sebagai American Dream itu dibina pada tahun 1986 oleh seorang peminat ubah suai kenderaan, Jay Ohrberg dan berukuran panjang 60 kaki (18.28 meter) ketika itu.


Namun, baru-baru ini kepanjangan kereta itu ditambah menjadi 100 kaki sekali gus melayakkan American Dream dinamakan sebagai kereta terpanjang di dunia oleh Guinness World Records.


Ia kini mempunyai 26 roda dan boleh memuatkan kira-kira 75 orang di dalamnya. Beberapa ciri baharu telah dipasang iaitu helipad (landasan untuk helikopter), sebuah kolam renang dan padang golf mini.




Kenderaan itu pernah muncul beberapa kali dalam filem Hollywood sebelum ditinggalkan dalam keadaan terbiar di sebuah gudang di New Jersey selama bertahun-tahun.


Pemilik sebuah muzium automobil dari New York, Michael Manning kemudiannya membuat keputusan untuk membaiki limosin tersebut. 


"Saya mula menemui kereta ini pada acara pameran di New Jersey dan ia berada dalam keadaan teruk.


"Badannya dipenuhi dengan lukisan grafiti, tingkapnya pecah dan tayar pancit. Bagaimanapun, saya amat menyukainya dan bertekad untuk mendapatkan kereta itu bagi membaikinya," kata Manning.


Bagaimanapun, akibat kekangan wang, rancangan Manning untuk membaiki American Dream terbantut sehingga memaksanya menjual limosin itu di laman eBay sebelum ia dibeli oleh seorang pemilik muzium kereta di Florida.


Selepas dibawa ke negeri itu, Manning tidak berputus asa dan mengambil bahagian dalam kerja-kerja mengubah suai kereta itu. Ia dilaporkan akan dipamerkan di Muzium Dezerland Park Car.


Manning bertekad untuk membaiki American Dream dan mengubah suainya menjadi seperti kereta baharu. - Foto Guinness World Records.

Rabu, 9 Mac 2022

Conor McGregor mengemukakan tawaran RM8.4 bilion untuk membeli Chelsea

Conor McGregor mengemukakan tawaran RM8.4 bilion untuk membeli Chelsea


Bintang tempur UFC, Conor McGregor telah menyatakan minatnya untuk membeli Chelsea, dan membuat tawaran bernilai 1.5 bilion pound (RM8.4 bilion) untuk memiliki kelab itu.


Jaguh Ireland berusia 33 tahun itu, sebelum ini menyatakan hasrat untuk membeli pasukan Chelsea daripada Roman Abramovich juga menerusi Twitter.


"Saya dengan ini membuat tawaran 1.5 bilion pound," tulis Conor McGregor melalui akaun Twitter peribadinya, pada Sabtu, 5 Mac 2022 lalu.


Jutawan Rusia yang juga pemilik Chelsea, Abramovich mengesahkan dia mahu menjual juara Eropah itu dengan tawaran 3 bilion pound (RM16.8 bilion).


Abramovich bersedia melepaskan kelab yang telah dibeli sejak 2003 dalam masa terdekat sekiranya mendapat permintaan terbaik, kerana berdepan ancaman dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.


Katanya, kelab tersebut akan dijual dan menghapuskan hutang Chelsea sebanyak 1.5 bilion pound (RM8.4 bilion). Hasil jualan prospektif itu akan disumbangkan kepada mangsa perang di Ukraine.


Portal Mail Online, sebelum ini turut melaporkan Abramovich telah mengesahkan beliau dalam proses menjual Chelsea.


Roman Abramovich.