Sabtu, 16 April 2022

Parker pecah rekod dunia sebagai pemandu buta terpantas dunia mencapai kelajuan lebih 339 kmj


Seorang pemandu kereta lumba yang mengalami masalah penglihatan diiktiraf Rekod Dunia Guinness (GWR) sebagai pemandu buta terpantas dunia, lapor akhbar India Times pada 13 April 2022.


Dan Parker mencapai kelajuan tertinggi 339.640 kilometer sejam (kmj) di landasan Spaceport America, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 322.689 kmj. Lebih bermakna, Parker, meraih rekod berkenaan pada ulang tahun ke-10 dia hilang penglihatan akibat kemalangan perlumbaan 10 tahun lalu.


Parker menggubah suai kereta, Corvette khusus untuk dipandu laju dalam keadaan mata tertutup, selain menggunakan sistem panduan audio untuk membantunya mengawal kenderaan semasa percubaannya itu.


Perlumbaan terbaharu itu adalah sebahagian daripada Cabaran Pemandu Buta Persekutuan Kebangsaan Orang Buta (NFB). Inisiatif ini bertujuan untuk menarik perhatian kepada kepentingan memecahkan halangan dalam mobiliti, dan untuk menunjukkan pencapaian luar biasa orang buta.



"Bukan saja menunjukkan orang buta boleh mengendalikan kenderaan dengan selamat, tetapi kami boleh melakukannya dengan kelajuan lebih dua ratus batu sejam (kira-kira 321 kmj).


"Kami berharap kejayaan ini memberi inspirasi kepada orang buta dan menunjukkan kepada dunia potensi teknologi moden, seperti kereta pandu sendiri untuk membantu memecahkan halangan orang buta dalam pergerakan harian dan sebagainya," kata Parker kepada Las Cruces Sun News.


Acara Cabaran Pemandu Buta yang julung kali diadakan pada Januari 2011, apabila Mark Riccobono, kini presiden NFB, secara bebas mengendalikan hibrid Ford Escape yang diubah suai di Daytona International Speedway Road Course.


Riccobono menavigasi selekoh kursus dan mengemudikan kereta mengelilingi halangan dinamik dengan mengikuti gesaan haptik yang dijana oleh input daripada GPS kenderaan, kamera dan penderia LIDAR, lapor outlet itu. - Sumber India Times.


Parker ketika menerima sijil pengiktirafan daripada wakil GWR. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon