Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Februari 2023

Putaran kerak Bumi berhenti dan kini berputar bertentangan dengan Bumi, kata saintis

Putaran kerak Bumi berhenti dan kini berputar bertentangan dengan Bumi, kata saintis


Kerak Bumi sebesar Pluto didakwa berhenti berputar ke arah yang sama dengan bumi ketika seluruh planet mungkin berputar ke arah lain, lapor laman berita NDTV pada 25 Januari 2023.


Berada kira-kira 5,000 kilometer (km) di pusat Bumi, 'planet dalam planet' ini boleh berputar secara bebas kerana ia terapung dalam teras luar yang mengandungi logam cair.


Sehingga kini, saintis di seluruh dunia masih berdebat mengenai bagaimana kerak Bumi berputar dan penyelidikan terkini dijangka dapat merungkai kontroversi itu.


Apa yang diketahui mengenai kerak Bumi diperoleh dengan mengukur mengukur perbezaan kecil dalam gelombang seismik yang tercipta akibat gempa bumi atau kadangkala letupan nuklear, ketika melalui ruang tengah bumi.


Penyelidikan baharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience menganalisis gelombang seismik daripada gempa bumi berulang sejak enam dekad yang lalu.


Pengarang kajian itu, Xiaodong Song dan Yi Yang dari Universiti Peking, China, berkata mereka mendapati bahawa putaran kerak Bumi hampir terhenti sekitar 2009 dan kemudian beralih ke arah yang bertentangan.


"Kami percaya putaran kerak bumi berkaitan dengan permukaan Bumi, berulang alik balik seperti buaian. Satu kitaran ayunan adalah kira-kira tujuh dekad, bermakna ia berubah arah kira-kira setiap 35 tahun," kata mereka.


Tambah mereka, sebelum ini ia menukar arah pada awal 1970-an dan pertukaran seterusnya diramalkan berlaku pada pertengahan 2040-an.


Penyelidik berkata, putaran ini secara kasar adalah seiring dengan perubahan dalam apa yang dipanggil 'panjang tempo sehari', variasi kecil dalam masa tepat yang diperlukan Bumi untuk berputar pada paksinya.


Setakat ini, tidak banyak bukti menunjukkan bahawa apa yang berlaku di kerak Bumi akan memberi kesan kepada penduduk dunia di permukaan Bumi.


Bagaimanapun, penyelidik percaya terdapat hubungan fizikal antara semua lapisan Bumi dari kerak ke permukaan. - Sumber NDTV.


Satu kajian baharu mencadangkan putaran kerak Bumi telah berhenti baru-baru ini dan mula berputar ke arah lain. - Foto NDTV.

Khamis, 26 Januari 2023

Fenomena 'Light Pillars' muncul di Kunak, Sabah gemparkan penduduk

Fenomena 'Light Pillars' muncul di Kunak, Sabah gemparkan penduduk


Kehadiran garisan cahaya menegak di langit pada malam Isnin mengemparkan warga Kunak yang sempat menyaksikan fenomena berkenaan. Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam 23 Januari lalu.


Fenomena tiang cahaya yang pertama kali kelihatan di kawasan Kampung Pangkalan Kunak, Sabah itu sempat dirakam dan dikongsikan netizen di media sosial.


Menurut perkongsian yang dimuat naik oleh penduduk daerah Kunak, fenomena menakjubkan 'Light Pillars' tersebut muncul di langit malam dan dapat dilihat di kawasan sekitarnya.


"Tiang cahaya atau lebih dikenali 'Light Pillars' berlaku disebabkan cahaya bulan yang yang memantulkan kristal ais di awan," jelasnya.


Terdahulu, Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) telah menjelaskan berkenaan fenomena ini menerusi satu hantaran.


Menurutnya, ia merupakan fenomena optik atmosfera yang berlaku apabila terdapatnya cahaya terang di permukaan bumi dan dikelilingi air.


"Semasa ia berlaku, suhu atmosfera sangat sejuk sehingga membentuk kepingan ais yang tidak terlihat dengan mata kasar.


"Pertembungan dengan suhu bumi yang panas menyebabkan cahaya tadi terpantul ke atmosfera dan kelihatan seolah-olah tiang cahaya tergantung di langit," jelasnya.


Gambar yang sempat dirakam dan dimuat naik oleh netizen di Facebook.

Gambar yang sempat dirakam dan dimuat naik oleh netizen di Facebook.

Gambar yang sempat dirakam dan dimuat naik oleh netizen di Facebook.

Gambar yang sempat dirakam dan dimuat naik oleh netizen di Facebook.

Ahad, 22 Januari 2023

Awan merah berbentuk UFO mengejutkan penduduk di Turkiye

Awan merah berbentuk UFO mengejutkan penduduk di Turkiye


Penduduk bandar Bursa, Turkiye dikejutkan dengan kemunculan gumpalan awan berbentuk seakan-akan kanta mata dan menyerupai objek terbang tidak dikenali (UFO) di langit, pagi Khamis lalu, lapor laman berita Wion News, semalam.


Saksi berkata, bentuk itu dapat dilihat selama kira-kira sejam dari daerah Gursu, Osmangazi, Kestel, Nilufer dan Yildrim di Bursa sebelum hilang dari langit.


Awan berbentuk bulat itu muncul ketika matahari terbit, yang turut menampilkan lubang besar di tengahnya. Pancaran cahaya matahari terbit menyebabkan awan besar itu bertukar warna dari jingga kepada merah dan kuning.


"Pembentukan aneh itu adalah contoh awan kanta yang umumnya terbentuk akibat angin kencang yang turun naik di atas bukit serta gunung," menurut Direktorat Umum Meteorologi memberitahu media tempatan.


Ramai penduduk yang kagum dengan fenomena alam itu merakamkan awan kanta tersebut menggunakan telefon bimbit mereka.


Video dan gambar awan yang kelihatan seperti UFO itu dikongsi secara meluas di media sosial seluruh Turkiye. - Sumber Wion News.


Fenomena awan berbentu kanta mata itu berlaku Khamis lalu. - Foto Anadolu Agency via Getty Images.

Isnin, 12 Disember 2022

Pembentukan awan indah seperti ombak di lautan 'muncul' di langit AS

Pembentukan awan indah seperti ombak di lautan 'muncul' di langit AS


Satu fenomena alam semula jadi mengejutkan penduduk di negeri Wyoming, Amerika Syarikat apabila mereka menyaksikan pembentukan awan yang indah seperti alunan ombak di lautan, lapor laman berita Wion News pada 10 Disember 2022.


Pemandangan memukau itu kelihatan pada Selasa lalu di atas puncak Pegunungan Bighorn di bandar Sheridan.


Pembentukan awan itu dikenali sebagai ketidakstabilan Kelvin-Helmholtz. Ia berlaku apabila aliran udara yang lebih laju bergerak di atas udara yang naik dari bawah. Ia juga dikenali sebagai awan berkibar.


Bentuk itu dinamakan sempena nama saintis, Lord Kelvin dan Hermann von Helmholtz yang mengkaji fenomena fizik.


Rachel Gordon adalah orang pertama yang menyiarkan imej tersebut. Dia merakam gambar itu dari pintu belakang rumah ibu bapanya.


"Kejadian ini istimewa dan saya segera tahu saya perlu merakamnya," katanya kepada Badan Penyiaran Britain (BBC).


Dia menyiarkan gambar itu di Facebook melalui halaman Lens. Dia berkata bahawa ia adalah detik yang mengagumkan untuknya.


Menurut seorang wartawan BBC, gambar-gambar itu adalah salah satu contoh pembentukan Kelvin-Helmholtz yang paling sempurna.


Sebuah organisasi yang berpangkalan di Britain, Cloud Appreciation Society mentakrifkan Kelvin-Helmholtz sebagai permata mahkota di antara banyak pembentukan awan. - Sumber Wion News.


Awan itu terbentuk di atas Pegunungan Bighorn di bandar Sheridan. - Foto Facebook/Rachel Gordon.

Ahad, 4 Disember 2022

Saintis menjumpai 'virus zombi' berusia 50,000 tahun 'hidup semula' pada tasik beku yang mencair di Siberia

Saintis menjumpai 'virus zombi' berusia 50,000 tahun 'hidup semula' pada tasik beku yang mencair di Siberia


Para saintis di Perancis menzahirkan kebimbangan selepas 'virus zombi' yang membeku dalam sebuah tasik di Hemisfera Utara Bumi, di Siberia, Rusia selama 50,000 tahun telah mula mencair, lapor akhbar New York Post pada 28 November 2022.


Menurut kajian oleh ahli mikrobiologi, Jean-Marie Alempic dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS), perubahan iklim dan suhu dunia telah menyebabkan permafros (lapisan ais bawah permukaan tanah tebal yang kekal di bawah takat beku sepanjang tahun) telah mula mencair dan tidak dapat dibekukan semula.


Perkara ini telah menyebabkan pembebasan bahan organik beku yang berusia jutaan tahun termasuk patogen (mikroorganisma yang menyebabkan penyakit) berbahaya. Bahan ini kebanyakannya terurai menjadi karbon dioksida dan metana yang meningkatkan lagi kesan rumah hijau.


"Sebahagian daripada bahan organik ini juga terdiri daripada mikrob selular (bakteria, kulat, alga dan protozoa) yang dihidupkan semula serta virus yang tidak aktif sejak zaman prasejarah.


"Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika penyakit tumbuhan, haiwan atau manusia muncul disebabkan kebangkitan semula virus purba yang tidak diketahui," tulis para penyelidik.


Sebanyak 13 'virus zombi' beku telah ditemui dalam tujuh sampel berbeza dari permafros Siberia dan salah satu daripadanya berusia hampir 50,000 tahun. Sepasukan saintis dari CNRS menghidupkan semula beberapa virus yang ditemui untuk mengenalinya dengan lebih baik.


"Kajian ini mengesahkan kapasiti besar virus asid deoksiribonukleik (DNA) yang menjangkiti Acanthamoeba (sejenis amoeba) untuk kekal berjangkit selepas lebih daripada 48,500 tahun berada di dalam permafros," demikian menurut kajian yang diketuai oleh ahli mikrobiologi, Jean-Marie Alempic.


Kebanyakan virus yang ditemui dalam kajian itu dicadangkan adalah sebahagian daripada keluarga Pandoraviridae virus yang mempunyai DNA dua rantaian dan menjangkiti amoeba.


"Berapa lama virus ini boleh kekal berjangkit sebaik sahaja terdedah kepada keadaan luar (cahaya UV, oksigen, haba) dan kemungkinan besar ia akan menjangkiti perumah yang sesuai dalam selang waktu itu, masih mustahil untuk dianggarkan," kata kajian itu.


Bagaimanapun, selepas mengkaji mikroorganisma tersebut, saintis mendapati bahawa semua yang dikatakan sebagai 'virus zombi' itu mempunyai potensi untuk berjangkit dan memberi ancaman kepada kesihatan semua hidupan.


Mereka menjangkakan virus ini akan menyebabkan pandemik seakan pandemik Covid-19 pada masa hadapan. Hal ini kerana permafros yang sentiasa mencair akibat pemanasan suhu global akan terus mengeluarkan virus yang telah lama tidak aktif.


Virus ini mungkin hanya salah satu daripada jutaan virus lain yang sedang berhibernasi dan belum ditemui. Bagaimanapun, analisis yang lebih mendalam diperlukan untuk menentukan lebih banyak maklumat tentang virus. - Sumber New York Post.


13 'virus zombi' beku ditemui dalam tujuh sampel berbeza dari permafros Siberia dan satu daripadanya berusia hampir 50,000 tahun. - Foto Unsplash.

Ahad, 20 November 2022

Saintis masih gagal rungkai misteri fenomena beribu-ribu burung jatuh dari langit berlaku setiap tahun

Saintis masih gagal rungkai misteri fenomena beribu-ribu burung jatuh dari langit berlaku setiap tahun


Sejenis fenomena burung jatuh dari langit digelar Sindrom Lumpuh Lorikeet (LPS) mencetuskan tanda tanya dalam kalangan saintis kerana punca situasi tahunan yang berlaku antara Oktober hingga Jun itu sehingga kini masih gagal ditemui, lapor laman berita Oddity Central pada 2 November 2022.


Doktor-doktor haiwan dan pakar ornitologi telah lama mengetahui mengenai sindrom tersebut namun, meskipun telah melakukan pelbagai usaha, punca penyakit itu kekal misteri.


Penyakit tersebut menjejaskan ribuan burung setiap tahun dengan banyak daripadanya mati akibat tidak dapat mencari makanan atau melarikan diri daripada pemangsa.


Kes-kes LPS telah mula dilaporkan di Australia sejak 1970, dan meskipun saintis-saintis berjaya menghapuskan beberapa kebarangkalian, mereka tidak tahu sebab sebenar keadaan itu berlaku.


"Kami menolak beberapa kemungkinan yang menjadi punca simptom tersebut termasuk toksin yang terhasil daripada pencemaran atau toksin daripada racun perosak.


"Kami juga tahu bahawa ia bukan sejenis penyakit berjangkit," kata Profesor David Phalen daripada Fakulti Sains Veterinar Universiti Sydney di Australia.



Dalam tempoh beberapa tahun lalu, banyak teori diutarakan untuk cuba menyelesaikan misteri LPS namun, tiada satu pun yang berjaya disahkan.


Teori yang paling diterima ramai adalah LPS berpunca daripada sejenis tumbuhan yang dimakan burung nuri lorikeet ketika bulan Oktober hingga Jun.


Faktor penyakit bermusim dan keadaannya yang berlaku di beberapa wilayah di Australia menjadi penguat teori tersebut, namun setakat ini, tiada seorang pun yang dapat mengenal pasti jenis tumbuhan berkenaan.


Antara gejala LPS termasuk kegagalan untuk terbang, lumpuh semua anggota badan dan leher, lumpuh pada lidah, tidak dapat menelan dan mata gagal berkedip.


Sesetengah burung mati akibat gejala-gejala seperti tidak dapat makan, manakala ada yang mati dilanggar kenderaan mahupun dimakan pemangsa atau semut ketika jatuh dan tidak dapat bergerak di atas tanah. - Sumber Oddity Central.


Beberapa ekor burung lorikeet ditemui mati di bawah sebatang pokok di Brisbane tahun lalu. - Foto Daily Mail.

Selasa, 15 November 2022

Penduduk di New Delhi gempar lihat objek aneh didakwa UFO berlegar-legar di langit ketika jerebu

Penduduk di New Delhi gempar lihat objek aneh didakwa UFO berlegar-legar di langit ketika jerebu


Netizen di India gempar apabila sebuah hantaran tular di media sosial memaparkan gambar yang didakwa mereka sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor laman berita India Today pada 8 November 2022.


Berdasarkan rakaman yang dikongsikan di laman Twitter, seorang netizen berkata, dia menerima hantaran imej tersebut daripada seorang rakannya di New Delhi yang menyangka ia adalah sebuah piring terbang.


Bagaimanapun, jika diperhatikan secara teliti, imej sama ternyata sebuah tangki air yang tidak dapat dilihat dengan jelas disebabkan jerebu teruk melanda ibu negara India itu.


Bahagian atas tangki tersebut berbentuk seperti piring terbang yang sering dikaitkan dengan UFO meskipun ia sedikit kabur akibat jerebu tebal.


Bahagian bawahnya pula bagaimanapun hampir tidak kelihatan sehingga menyebabkan sebilangan netizen menyangka ia adalah UFO besar yang berlegar-legar di kaki langit.


Imej yang dimuat naik pada minggu lepas itu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.


"Pembenci akan menyatakan ia adalah imej photoshop," kata seorang netizen yang menyangka ia imej UFO sebenar.


"Kini, UFO boleh terbang di sekitar New Delhi ketika hari siang dan menyamar menjadi tangki air apabila imejnya dikesan," kata seorang lagi pengguna secara sinis.


Sekali pandang, imej ini kelihatan seperti UFO kerana bahagian bawahnya yang kurang jelas kelihatan akibat jerebu. - Foto Twitter.