Ahad, 22 Januari 2023

Awan merah berbentuk UFO mengejutkan penduduk di Turkiye


Penduduk bandar Bursa, Turkiye dikejutkan dengan kemunculan gumpalan awan berbentuk seakan-akan kanta mata dan menyerupai objek terbang tidak dikenali (UFO) di langit, pagi Khamis lalu, lapor laman berita Wion News, semalam.


Saksi berkata, bentuk itu dapat dilihat selama kira-kira sejam dari daerah Gursu, Osmangazi, Kestel, Nilufer dan Yildrim di Bursa sebelum hilang dari langit.


Awan berbentuk bulat itu muncul ketika matahari terbit, yang turut menampilkan lubang besar di tengahnya. Pancaran cahaya matahari terbit menyebabkan awan besar itu bertukar warna dari jingga kepada merah dan kuning.


"Pembentukan aneh itu adalah contoh awan kanta yang umumnya terbentuk akibat angin kencang yang turun naik di atas bukit serta gunung," menurut Direktorat Umum Meteorologi memberitahu media tempatan.


Ramai penduduk yang kagum dengan fenomena alam itu merakamkan awan kanta tersebut menggunakan telefon bimbit mereka.


Video dan gambar awan yang kelihatan seperti UFO itu dikongsi secara meluas di media sosial seluruh Turkiye. - Sumber Wion News.


Fenomena awan berbentu kanta mata itu berlaku Khamis lalu. - Foto Anadolu Agency via Getty Images.


EmoticonEmoticon