Ahad, 22 Januari 2023

Wang lebih RM32 juta dalam bank lesap dicuri anak ketika terlantar sakit


Seorang wanita berumur 83 tahun menerima wang ganti rugi sebanyak 207 juta baht (RM27.17 juta) selepas duit yang disimpan di sebuah bank di Bangkok dicuri anak perempuannya sendiri, lapor laman berita The Nation pada 20 Januari 2023.


Mahkamah Sivil Phra Khanong membuat keputusan itu dengan bank tersebut, empat pekerjanya termasuk timbalan pengurus cawangan serta anak perempuan wanita berkenaan didapati mencuri 250 juta baht (RM32.82 juta) daripada akaun banknya ketika dia terlantar sakit.


Wanita tersebut, Huai Sriwirat, memfailkan kes di mahkamah pada November 2019 dengan menuduh bank itu, empat pekerja dan anak keduanya, Mawadee Sriwirat memalsukan dokumen untuk memindahkan wang daripada akaun bank miliknya.


Pada Disember lalu, Mahkamah Jenayah Phra Khanong menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan denda 123 juta baht kepada Mawadee kerana memalsukan dokumen untuk mencuri lebih 250 juta baht daripada ibunya.


Semasa ibunya sakit tenat, Mawadee, 56, dilaporkan mengubah syarat mengeluarkan wang daripada akaun Huai di dua cawangan bank dengan bantuan kakitangan, demikian menurut tuntutan mahkamah.


Daripada memerlukan tandatangan, Mawadee dan rakan sejenayahnya menukar proses supaya hanya cap ibu jari diperlukan. Ini membolehkan Mawadee mengeluarkan lebih 250 juta baht daripada akaun bank Huai, yang dilakukannya dalam banyak transaksi kecil.


Mahkamah jenayah mendapati Mawadee bersalah kerana memalsukan dokumen dan 84 pertuduhan mencuri. Mahkamah juga memerintahkan dia membayar balik 123 juta baht kepada ibunya - plaintif dalam kes itu.


Mengenai kes sivil, peguam Huai, Ananchai Chaiyadech berkata bahawa Mahkamah Sivil Phra Khanong pada Khamis memerintahkan bank terbabit membayar ganti rugi 44.6 juta baht, ditambah faedah maksimum 7.5% setahun, kepada plaintif.


Defendan lain diperintahkan membayar pampasan antara 34.8 juta baht hingga 117 juta baht, menurut peguam itu. - Sumber The Nation Thailand.


Huai duduk di atas kerusi roda ketika ditemu bual pemberita. - Foto Thaiger.


EmoticonEmoticon