Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan

Isnin, 12 Disember 2022

Padah tatu mata sebelah biru, sebelah ungu, wanita derita mengalami cacat penglihatan

Padah tatu mata sebelah biru, sebelah ungu, wanita derita mengalami cacat penglihatan


Gara-gara membuat tatu pada bola matanya, wanita berusia 32 tahun dari Belfast, Ireland, menanggung derita apabila mengalami cacat penglihatan, lapor Oddity Central pada 8 Disember 2022.


Anaya Peterson, penuntut jurusan undang-undang dan peminat pengaruh pengubahsuaian badan Amber Luke, tidak dapat melihat selama tiga minggu. Ia selepas dia membuat tatu pada bola matanya dengan warna biru dan ungu, yang perlahan-lahan menjejaskan penglihatannya.


Ibu kepada lima anak itu terdorong melakukannya kerana kagum dengan wajah unik Luke. Dia kemudian nekad membuat tatu pada bola matanya sendiri dua tahun lalu walaupun sudah diberi amaran oleh anak perempuannya yang berusia tujuh tahun mengenai kemungkinan buta.


Peterson membuat tatu bola mata kanannya pada Julai 2020, diikuti pada mata kiri , lima bulan berikutnya, walaupun mengalami sakit kepala dan masalah mata kering semasa proses penyembuhan.


Prosedur itu nampaknya berjalan lancar, namun hanya pada Ogos tahun lalu, kelopak matanya membengkak. Oleh kerana bengkak itu semakin teruk, Peterson ke hospital untuk memeriksa keadaannya dan antibiotik kelihatan tidak memberi kesan terhadap keradangan.


Peterson menerima ubat melalui titisan selama tiga hari dan biopsi diambil daripada salah satu bola matanya. Dia akhirnya menjalani pembedahan mata untuk menyelamatkan penglihatannya.


Walaupun masalah keradangan dapat diselesaikan, dan dia cukup pulih untuk dibenarkan keluar, masalahnya masih belum selesai. Warna pada bola matanya memberi kesan serius terhadap penglihatannya.


Selepas memeriksanya, pakar oftalmologi memberitahu Peterson bahawa wanita itu berisiko tinggi menghidap glaukoma dan penglihatan sudah merosot secara drastik.


"Saya pada dasarnya hampir buta. Dari jauh, saya tidak dapat melihat ciri pada wajah. Jika saya tidak membuat tatu pada bola mata, saya tidak akan mengalami masalah ini.


"Kini, saya tidak boleh mengeluarkan tatu ini. Saya akan sentiasa mengalami masalah ini. Saya berfikir bahawa apabila saya semakin tua, adalah lebih baik untuk membiarkan saya menjadi buta. Saya tidak mahu pergi ke doktor mata setiap dua atau tiga hari," kata Peterson. - Sumber Oddity Central.


Anaya Peterson sanggup mentatu bola matanya dengan warna berlainan. - Foto Oddity Central.
Pembentukan awan indah seperti ombak di lautan 'muncul' di langit AS

Pembentukan awan indah seperti ombak di lautan 'muncul' di langit AS


Satu fenomena alam semula jadi mengejutkan penduduk di negeri Wyoming, Amerika Syarikat apabila mereka menyaksikan pembentukan awan yang indah seperti alunan ombak di lautan, lapor laman berita Wion News pada 10 Disember 2022.


Pemandangan memukau itu kelihatan pada Selasa lalu di atas puncak Pegunungan Bighorn di bandar Sheridan.


Pembentukan awan itu dikenali sebagai ketidakstabilan Kelvin-Helmholtz. Ia berlaku apabila aliran udara yang lebih laju bergerak di atas udara yang naik dari bawah. Ia juga dikenali sebagai awan berkibar.


Bentuk itu dinamakan sempena nama saintis, Lord Kelvin dan Hermann von Helmholtz yang mengkaji fenomena fizik.


Rachel Gordon adalah orang pertama yang menyiarkan imej tersebut. Dia merakam gambar itu dari pintu belakang rumah ibu bapanya.


"Kejadian ini istimewa dan saya segera tahu saya perlu merakamnya," katanya kepada Badan Penyiaran Britain (BBC).


Dia menyiarkan gambar itu di Facebook melalui halaman Lens. Dia berkata bahawa ia adalah detik yang mengagumkan untuknya.


Menurut seorang wartawan BBC, gambar-gambar itu adalah salah satu contoh pembentukan Kelvin-Helmholtz yang paling sempurna.


Sebuah organisasi yang berpangkalan di Britain, Cloud Appreciation Society mentakrifkan Kelvin-Helmholtz sebagai permata mahkota di antara banyak pembentukan awan. - Sumber Wion News.


Awan itu terbentuk di atas Pegunungan Bighorn di bandar Sheridan. - Foto Facebook/Rachel Gordon.

Rabu, 7 Disember 2022

Ribuan anjing laut mati secara misteri hanyut ke pantai Russia

Ribuan anjing laut mati secara misteri hanyut ke pantai Russia


Kira-kira 2,500 ekor anjing laut mati ditemui di luar pantai Russia di Laut Caspian, lapor akhbar New York Post pada 4 Disember 2022.


Pihak berkuasa di wilayah Dagestan berkata, punca kematian itu tidak jelas tetapi berkemungkinan disebabkan oleh fenomena alam semula jadi.


Menurut laporan awal pada Sabtu lalu, 700 anjing laut ditemui mati di luar pantai sebelum jumlah itu kemudian meningkat kepada 2,500, demikian menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Russia.


Dalam satu kenyataan, ketua Pusat Perlindungan Alam Sekitar Caspian (CEIC), Zaur Gapizov berkata, anjing-anjing laut itu mungkin sudah mati sejak beberapa minggu lalu. Tiada tanda-tanda ia dibunuh atau terjerat dalam pukat, katanya.



Pakar dan pendakwa raya dari Agensi Perikanan Persekutuan telah memeriksa pantai itu dan mengumpulkan data untuk penyelidikan dalam makmal kerana bahan pencemaran tidak segera dikesan.


Kematian besar-besaran membabitkan anjing laut yang disebabkan oleh alam semula jadi tidak pernah didengari sebelum ini.


Kazakhstan yang mempunyai pantai Caspian yang panjang, melaporkan terdapat sekurang-kurangnya tiga kejadian serupa tahun ini.


Menurut CEIC, bilangan anjing laut di rantau Caspian dianggarkan kira-kira 70,000 hingga 300,000 ekor. - Sumber New York Post.


Anjing laut mati dihanyutkan ke darat. - Foto Kementerian Alam Sekitar Dagestan.

Rabu, 30 November 2022

Lelaki ubah suai kereta Toyota jadi Ferrari F430 berdepan hukuman penjara

Lelaki ubah suai kereta Toyota jadi Ferrari F430 berdepan hukuman penjara


Seorang lelaki di Itali baru-baru ini didakwa atas tuduhan pemalsuan dan pelanggaran cap dagangan selepas didapati bahawa Ferrari F430 merah miliknya sebenarnya adalah Toyota MR Coupe yang diubah suai, lapor laman berita Oddity Central pada 29 November 2022.


Agensi penguatkuasaan undang-undang, Guardia membuat rampasan luar biasa itu semasa melakukan pemeriksaan rutin di bandar Asti, Itali.


Walaupun kereta itu menampilkan semua elemen ikonik Ferrari F430 termasuk logo kuda pada bonet dan stereng, rim, brek serta lampu depan, sesuatu tentang kenderaan itu kelihatan tidak kena.


Tidak dijelaskan sama ada pemandu berusia 26 tahun itu mempunyai dokumen yang diperlukan untuk membuktikan bahawa keretanya adalah Ferrari F430 tulen atau tidak, tetapi pegawai polis memanggil pasukan pakar untuk mendapatkan kepastian.



Mereka mengesahkan bahawa kereta itu sebenarnya adalah Toyota MR Coupe yang telah diubah suai. Kes itu dianggap unik kerana tahap pemalsuannya yang tinggi.


Menurut pakar yang mengesahkan pemalsuan itu, kereta tersebut juga menampilkan alat ganti dan aksesori Ferrari asli, menjadikannya lebih sukar untuk menyedari bahawa ia sebenarnya adalah Toyota.


Media berita Itali melaporkan bahawa kereta itu telah disita dan pemiliknya dilaporkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Asti kerana menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran. - Sumber Oddity Central.


Kereta ini menjalani pengubahsuaian ta fthap tinggi sehingga sukar dikenal pasti sebagai Toyota. - Foto Guardia.

Selasa, 29 November 2022

Saintis terkejut temui pelbagai jenis 'makhluk laut' aneh di kawasan terpencil Lautan Hindi

Saintis terkejut temui pelbagai jenis 'makhluk laut' aneh di kawasan terpencil Lautan Hindi


Beberapa jenis 'makhluk laut' aneh ditemui berhampiran kawasan gunung berapi bawah air di bahagian terpencil Lautan Hindi, lapor akhbar Daily Star pada 14 November 2022.


Saintis-saintis dari Institut Penyelidikan Muzium Victoria di Australia terkejut apabila menemui ikan seakan-akan kelawar, belut buta dan 'lizard fish' yang bergigi tajam.


Ia ditemui semasa mereka menjalankan ekspedisi ke Islands Marine Park yang terpencil di Australia. Kawasan berkeluasan 467,054 kilometer (km) persegi itu terletak sejauh 2,750 km di barat laut Perth.


Dua atol (terumbu karang berbentuk seperti cincin) di wilayah itu terdiri daripada 27 pulau kecil dengan pantai berpasir putih, pokok palma dan lagun.


Pasukan itu mengumpulkan sampel di kawasan sedalam lebih 5 km dan meninjau hidupan laut yang tidak diketahui sebelum ini termasuk seekor belut buta.


Mereka turut menemui biawak Highfin yang mempunyai dua alat kelamin. Turut ditemui ialah ikan yang memiliki dua mata di sebelah kepala untuk mengekalkan penglihatan semasa berada di dasar laut.


Ikan 'batfish' laut dalam yang menggunakan sirip seperti lengan untuk merangkak di dasar lautan turut ditemui selain ikan Sloane's Viperfish yang memiliki jejak lampu yang panjang di sepanjang perutnya.


"Ikan-ikan itu adalah 'fesyen' laut dalam yang menonjol. Kami telah menemui sejumlah besar spesies haiwan baharu yang tinggal di taman laut terpencil ini," kata ketua saintis ekspedisi, Tim O'Hara kepada laman berita Live Science. - Sumber Daily Mail.



Belut yang ditemui ini boleh mencapai satu meter panjang dengan berat hanya 50 gram, ia mempunyai gigi kait untuk mengoyakkan krustasea dan sentiasa dipamerkan kerana ia tidak dapat menutup rahangnya yang melengkung. - Foto Yi-Kai Tea.

Belut buta yang tidak diketahui sebelum ini yang diliputi kulit yang longgar dan lembut. - Foto Benjamin Healley/Museums Victoria.

Ikan Viperfish Sloane mempunyai gigi yang sangat besar sehingga dapat dilihat walaupun mulutnya tertutup. - Foto Benjamin Healley/Museums Victoria.

Ikan kelawar mempunyai 'gewang pancing' kecil yang diselitkan ke dalam muncung berongganya yang boleh digoyang-goyangkan untuk menarik mangsa. - Foto Benjamin Healley/Museums Victoria.

Para penyelidik turut menemui biawak Highfin yang mempunyai dua alat kelamin. - Foto Benjamin Healley/Museums Victoria.

Ikan rata ini memiliki dua mata di satu sisi kepalanya. - Benjamin Healley/Museums Victoria.

Ahad, 27 November 2022

Lelaki temui hidupan laut aneh menyerupai makhluk asing terdampar di tepi Pantai

Lelaki temui hidupan laut aneh menyerupai makhluk asing terdampar di tepi Pantai


Seorang lelaki tidak menyangka bahawa sejenis hidupan laut bercengkerang menyerupai makhluk asing yang ditemui sebenarnya mempunyai nilai kira-kira £4,000 (RM21,683), lapor akhbar Daily Star, minggu lalu.


Dave McGirr, menemui ribuan hidupan bercengkerang putih berbentuk aneh terdampar di tepi Pantai Criccieth, Wales, England. Ia memenuhi sebatang dahan pokok sepanjang kira-kira 21 kaki di tepi pantai tersebut.


Dia merakam beberapa gambar teritip unik itu sebelum membuat pencarian di internet bagi mengetahui jenis hidupan laut tersebut.


"Saya mendapati ia sebenarnya adalah teritip Gooseneck yang digambarkan memiliki rupa seperti makhluk asing dan jarang ditemui.


"Haiwan itu dianggap sebagai juadah istimewa yang dijual pada harga £80 (RM433) bagi satu kilogram," kata McGirr.


Tambah McGirr, dia tidak terfikir untuk membawa pulang penemuan menakjubkan itu dan meneruskan perjalanan ke Snowdonia selepas merakam gambar.


"Saya juga memuat naik gambar di laman Facebook tanpa menyedari ia sebenarnya akan menjadi berita tular," ujarnya.


Spesies teritip yang jarang ditemui itu merupakan hidangan istimewa di negara seperti Portugal dan Sepanyol, di mana ia digelar sebagai 'percebes' dan berharga sehingga £300 (RM1,625) bagi 1 kilogram.


Mereka yang pernah memakan siput itu berkata, rasanya seperti udang galah yang dicampur dengan kerang, manakala teksturnya menyerupai isi sotong.


"Apabila anda mendekati, anda boleh melihat mereka seperti sotong kecil, atau sotong, mereka mempunyai sesungut kecil yang menjangkau dari cangkerang mereka," kata McGirr. - Sumber Daily Star.


McGirr menemui ribuan makhluk bercengkerang putih berbentuk aneh terdampar di tepi pantai Criccieth, Wales. - Foto Dave McGirr/SnapHappyDave.

Rabu, 16 November 2022

Anak kambing dilahir berwajah manusia dan kelihatan seperti memakai cermin mata

Anak kambing dilahir berwajah manusia dan kelihatan seperti memakai cermin mata


Seekor anak kambing yang cacat di India dilahirkan dengan keadaan wajah seperti manusia serta kelihatan seperti memakai kaca mata, lapor akhbar Daily Star pada 14 November 2022.


Seorang penternak haiwan, Nabab Khan terkejut apabila seekor induk kambing melahirkan anak yang kelihatan seperti memiliki mulut manusia.


Ia merupakan kali pertama haiwan peliharaan Nabab, termasuk seekor kerbau dan tujuh kambing, melahirkan anak. Anak kambing itu dilahirkan di kampung Sironj dalam negeri Madhya Pradesh, Jumaat lalu (11 November).


Anak kambing itu terpaksa diberi minum susu menggunakan picagari disebabkan keadaan mulutnya. Ciri paling aneh adalah kambing itu mempunyai bulatan hitam di sekeliling matanya yang membuatkan ia kelihatan seperti memakai kaca mata.



Ia juga mempunyai bulu putih yang tebal di bahagian kepala dan sekeliling dagunya. Penduduk di India berpusu-pusu ke rumah Nabab apabila berita mengenai kelahiran haiwan cacat itu tersebar.


Menurut pakar veterinar, Dr. Manav Singh, istilah perubatan untuk keadaan kambing itu adalah 'dispepsia kepala'. Ia memberi kesan kepada satu daripada 50,000 kelahiran haiwan dan lebih biasa pada lembu berbanding kambing.


Keadaan itu menyebabkan bengkak pada kepala haiwan, yang dikenali sebagai 'ydrocephalus' dan mempunyai dua punca yang diketahui. Pertama, induk haiwan mengalami kekurangan vitamin A semasa bunting dan kedua, induk diberi ubat yang salah semasa bunting.


Hydrocephalus hanya merujuk kepada terdapat terlalu banyak cecair pada otak, sama ada kerana masalah saliran atau masalah pengeluaran berlebihan. - Sumber Daily Star.


Anak kambing itu sihat tetapi perlu diberi minum susu menggunakan picagari. - Foto Jam Press Vid/Rare Shot News.