Isnin, 12 Disember 2022

Padah tatu mata sebelah biru, sebelah ungu, wanita derita mengalami cacat penglihatan


Gara-gara membuat tatu pada bola matanya, wanita berusia 32 tahun dari Belfast, Ireland, menanggung derita apabila mengalami cacat penglihatan, lapor Oddity Central pada 8 Disember 2022.


Anaya Peterson, penuntut jurusan undang-undang dan peminat pengaruh pengubahsuaian badan Amber Luke, tidak dapat melihat selama tiga minggu. Ia selepas dia membuat tatu pada bola matanya dengan warna biru dan ungu, yang perlahan-lahan menjejaskan penglihatannya.


Ibu kepada lima anak itu terdorong melakukannya kerana kagum dengan wajah unik Luke. Dia kemudian nekad membuat tatu pada bola matanya sendiri dua tahun lalu walaupun sudah diberi amaran oleh anak perempuannya yang berusia tujuh tahun mengenai kemungkinan buta.


Peterson membuat tatu bola mata kanannya pada Julai 2020, diikuti pada mata kiri , lima bulan berikutnya, walaupun mengalami sakit kepala dan masalah mata kering semasa proses penyembuhan.


Prosedur itu nampaknya berjalan lancar, namun hanya pada Ogos tahun lalu, kelopak matanya membengkak. Oleh kerana bengkak itu semakin teruk, Peterson ke hospital untuk memeriksa keadaannya dan antibiotik kelihatan tidak memberi kesan terhadap keradangan.


Peterson menerima ubat melalui titisan selama tiga hari dan biopsi diambil daripada salah satu bola matanya. Dia akhirnya menjalani pembedahan mata untuk menyelamatkan penglihatannya.


Walaupun masalah keradangan dapat diselesaikan, dan dia cukup pulih untuk dibenarkan keluar, masalahnya masih belum selesai. Warna pada bola matanya memberi kesan serius terhadap penglihatannya.


Selepas memeriksanya, pakar oftalmologi memberitahu Peterson bahawa wanita itu berisiko tinggi menghidap glaukoma dan penglihatan sudah merosot secara drastik.


"Saya pada dasarnya hampir buta. Dari jauh, saya tidak dapat melihat ciri pada wajah. Jika saya tidak membuat tatu pada bola mata, saya tidak akan mengalami masalah ini.


"Kini, saya tidak boleh mengeluarkan tatu ini. Saya akan sentiasa mengalami masalah ini. Saya berfikir bahawa apabila saya semakin tua, adalah lebih baik untuk membiarkan saya menjadi buta. Saya tidak mahu pergi ke doktor mata setiap dua atau tiga hari," kata Peterson. - Sumber Oddity Central.


Anaya Peterson sanggup mentatu bola matanya dengan warna berlainan. - Foto Oddity Central.


EmoticonEmoticon