Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan

Ahad, 15 Januari 2023

UFO berbentuk cakera terbang berhampiran gunung berapi aktif di Mexico

UFO berbentuk cakera terbang berhampiran gunung berapi aktif di Mexico


Sepasang kekasih peminat hobi fotografi terkejut melihat kehadiran objek terbang tidak dikenali (UFO) ketika merakam gambar sebuah gunung berapi aktif di tengah Mexico, lapor portal berita Mirror UK pada 11 Januari 2023 lalu.


Karla Garcia memberitahu portal berita itu bahawa teman lelakinya, Luis Guerra bangun awal pagi pada Ahad, 8 Januari di rumah mereka di Atlixco, Puebla untuk menyediakan sarapan apabila mereka terdengar bunyi letusan gunung berapi Popocatepetl.


Kata Karla, Guerra mengambil telefon bimbitnya dan mula merakamkan gambar dan video dan menumpukan perhatian pada bulan purnama yang kelihatan di tepi gunung itu.


"Dia kemudian menghantar foto itu kepada saya menerusi WhatsApp dan apabila saya bangun, saya melihatnya dan berkongsi (gambar itu) di status WhatsApp saya," kata Karla.



Namun, Karla yang kekal berada di katil mula menerima mesej daripada rakan-rakan memberitahunya tentang objek yang kelihatan seperti sebuah UFO sedang terbang berhampiran gunung berapi itu.


"Ekoran teman lelaki saya bukan peminat rangkaian sosial, saya bertanya kepadanya sama ada saya boleh memuat naik fotonya ke Twitter dan dia berkata, ya," tambah García.


Dia kemudian melampirkan gambar tersebut kepada seorang wartawan tempatan yang terus berkongsi imej itu di rangkaian tempatannya sebelum ia menjadi tular di media sosial. - Sumber Mirror UK.


Foto menunjukkan gunung berapi setinggi 10,000 kaki dengan kepulan asap yang melayang dari kawahnya, dan di sebelah kanan kelihatan objek berbentuk cakera yang jelas, seperti yang dilaporkan oleh Daily Star. - Foto Facebook/Karla GC.

Isnin, 10 Oktober 2022

Pengembara masa ramal meteor membawa makhluk asing terhempas di Bumi hujung tahun ini

Pengembara masa ramal meteor membawa makhluk asing terhempas di Bumi hujung tahun ini


Seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai 'pengembara masa dari tahun 2671' memberi amaran kepada orang ramai mengenai beberapa 'peristiwa besar' yang bakal berlaku di Bumi menerusi beberapa hantaran klip video di media sosial.


Menerusi lapor akhbar The Sun pada 8 Oktober 2022, individu itu telah memberi amaran kepada orang ramai bahawa meteor besar akan terhempas ke Bumi yang membawa makhluk asing antara November 2022 hingga Mei 2023.


Pengguna TikTok, Eno Alric, yang lebih dikenali dengan julukan 'theradianttimetraveler' antaranya mendakwa manusia akan menemui planet baharu, dan Bumi dilanda ombak besar.


"Perhatian! Ya, saya pengembara masa sebenar dari tahun 2671, ingat tarikh-tarikh ini. 30 November 2022, Teleskop James Webb menemui planet yang amat menyerupai Bumi.


"8 Disember 2022, meteor besar terhempas di Bumi yang mengandungi jenis logam dan membawa makhluk asing," kata Alric.


Tambahnya, pada 6 Februari 2023, sekumpulan empat remaja akan menemui tinggalan purba dan peranti yang membuka lubang laluan ke galaksi lain.


"23 Mac 2023, sekumpulan saintis yang meneroka Jurang Mariana menemui spesies purba," demikian menurut dakwaannya.


Rata-rata netizen bagaimanapun menunjukkan reaksi tidak percaya mengenai dakwaan tersebut. Salah seorang netizen turut mengatakan bahawa pengembara masa tidak wujud. - Sumber The Sun.


Sebuah meteor besar diramal terhempas di Bumi pada 8 Disember 2022. - Foto radianttimetraveler/TikTok.

Jumaat, 16 September 2022

Nelayan naikkan jerung mata 'alien' makhluk laut dalam yang jarang ditemui

Nelayan naikkan jerung mata 'alien' makhluk laut dalam yang jarang ditemui


Seorang nelayan di Sydney, Australia menangkap seekor jerung daripada spesies jarang ditemui yang mempunyai sepasang mata amat ganjil, lapor akhbar New York Post pada 15 September 2022.


Trapman Bermagui, memuat naik gambar hidupan marin itu di laman Facebook pada Isnin lalu selepas menangkapnya dari laut pada kedalaman 560 meter.


Dia percaya haiwan tersebut adalah sejenis jerung berkulit kasar dan hidup di laut dalam. Penemuan luar biasa itu mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial, sekali gus menjadikan hantaran tersebut tular.


"Laut dalam adalah dunia lain," kata seorang pengguna.



Sementara itu, menurut beberapa pakar, haiwan tersebut berkemungkinan adalah jerung 'dogfish' berkulit kasar yang turut dikenali sebagai Centroscymnus owstoni.


"Dalam kajian laut dalam saya, kami telah menangkap beberapa ekor jerung seumpama itu di Teluk Mexico dan Bahamas.


"Ia tergolong dalam kumpulan Somniosidae atau jerung tidur iaitu keluarga yang sama dengan jerung Greenland, tetapi spesies yang lebih kecil.


"Saya kerap menemui jerung 'dogfish' pada kedalaman antara 731 meter hingga 1,158 meter," kata Pengarah Kajian Bersekutu di Makmal Pantai dan Laut Universiti Florida, Dean Grubbs.


Bermagui turut bersetuju bahawa jerung itu boleh ditemui pada kedalaman melebihi 182 meter.


"Kebiasaannya kami menangkap jerung ini pada musim sejuk," katanya. - Sumber New York Post.


Seekor jerung spesies jarang ditemui yang kelihatan mengerikan dilihat di Australia mengejutkan pengguna media sosial. - Foto Trapman Bermagui.

Rabu, 14 September 2022

Kehidupan wujud di pelbagai planet, kami akan cari 'Alien', kata saintis NASA

Kehidupan wujud di pelbagai planet, kami akan cari 'Alien', kata saintis NASA


Bekas ketua saintis NASA, Jim Green berkata terdapat beberapa planet di luar Bumi yang mungkin boleh menampung hidupan. Beliau juga berkata manusia berada di ambang 'penemuan yang sangat menakjubkan'.


"Kami mencapai kemajuan yang ketara. Sekarang, kami tahu terdapat lebih banyak planet dalam galaksi daripada bintang. Kebanyakan planet seperti Bumi boleh menerima cahaya daripada Matahari dan mempunyai air," kata Green seperti yang dilaporkan oleh Daily Star.


Green, yang telah bekerja untuk NASA selama 40 tahun, menambah bahawa beberapa planet mempunyai air.


"Ia bukan sahaja dalam bentuk cecair, ada juga bentuk beku dan wap. Ini adalah syarat penting yang kami percaya diperlukan untuk kehidupan. Kami menjumpai beberapa planet yang berkemungkinan kehidupan telahpun wujud," kata Green.


NASA baru sahaja mengumumkan akan mengeluarkan gambar terbaru teleskop James Webb. Pada masa ini, empat elemen teleskop paling canggih itu berada dalam arah yang sempurna.


"Dengan teleskop hebat ini, kami akan mula menunjukkan rupa planet dan atmosferanya," kata Green.


Menurut Green, perbandingan atmosfera adalah penting kerana ia adalah salah satu tanda planet yang boleh dihuni atau tidak.


"Kami akan membandingkannya dengan apa yang kami tahu. Adakah atmosfera seperti Zuhrah, Marikh atau Bumi? Ini benar-benar satu langkah besar.


"Saya fikir kita akan melihat beberapa penemuan yang sangat mengagumkan dalam beberapa tahun akan datang," katanya.


Green meramalkan NASA sedang dalam perjalanan untuk menjawab dua matlamat misinya, 'Adakah kita bersendirian dan bagaimana kita sampai ke sini?'


Bagaimanapun, Wanjie Song dan He Gao dari Jabatan Astronomi di Beijing Normal University, dalam jurnal bertajuk 'The Number of Possible CETIs within Our Galaxy and the Communication Probability among These CETIs' meragui perkara ini.


Dipetik daripada Daily Star, mereka berpendapat bahawa manusia terpantas boleh mendengar tamadun pintar lain, kira-kira 2,000 tahun hingga 400 ribu tahun lagi. - Sumber Daily Star.


BACA: Manusia mungkin perlu menunggu 400,000 tahun untuk berhubung dengan makhluk asing.

Selasa, 13 September 2022

Tentera laut AS sekat 24 video penampakan UFO daripada disiarkan kepada umum, bimbang 'keselamatan negara'

Tentera laut AS sekat 24 video penampakan UFO daripada disiarkan kepada umum, bimbang 'keselamatan negara'


Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) didakwa menyekat pelepasan sebilangan klip video memaparkan kemunculan objek terbang tidak dikenali (UFO) kerana dianggap 'memudaratkan keselamatan negara', lapor akhbar Daily Star pada 11 September 2022.


Ketua-ketua tentera dikatakan memegang sekurang-kurangnya 24 video UFO yang tidak dapat dijelaskan yang belum pernah dilihat oleh orang ramai sebelum ini. Ia berkaitan dengan 19 penampakan berasingan pada separuh kedua tahun 2019.


Sebuah laman web yang menumpukan penyiasatan UFO membuat permintaan untuk menyiarkan video itu kepada orang awam.


"Pengeluaran maklumat ini akan membahayakan keselamatan negara kerana mungkin membekalkan maklumat berharga mengenai operasi Jabatan Pertahanan, Tentera Laut kepada musuh mengenai kelemahan dan keupayaan.


"Tiada bahagian video yang boleh diasingkan untuk dikeluarkan," kata timbalan pengarah Akta Kebebasan Maklumat Tentera Laut, Gregory Cason.


Menurut Cason, pihaknya telah menyahklasifikasikan tiga video yang memaparkan pertemuan antara juruterbang dan Tentera Laut Top Gun, serta fenomena udara yang tidak dapat dikenal pasti yang didedahkan kepada orang awam dua tahun lalu.


Beliau berkata, ketua-ketua tentera menganggap tindakan itu tidak boleh dilakukan 'tanpa merisikokan keselamatan negara'. Bagaimanapun, ketua laman web The Black Vault merancang untuk membuat rayuan mengenai video tersebut.


Perbalahan itu berlaku ketika Kerajaan AS menyiasat 144 laporan pertembungan antara juruterbang tentera dan objek terbang misteri.


Marik von Rennenkampff, bekas penganalisis dengan Biro Keselamatan Antarabangsa dan Nonproliferasi Jabatan Negara AS, berkata video itu harus dikeluarkan.


"Pentagon mempunyai sekurang-kurangnya dua dozen, dan mungkin lebih banyak lagi video UFO dalam simpanan. Walaupun ada komitmen awam terhadap  ketelusan pegawai, namun mereka enggan mengeluarkan sebarang rakaman itu.


"Penyiaran awam video UFO tidak sensitif boleh menyelesaikan beberapa kes dengan cepat. Pentagon mesti mematuhi komitmen tegasnya terhadap ketelusan dan mengeluarkan semua rakaman UFO itu," katanya kepada laman web politik The Hill. - Sumber Daily Star.


BACA: Pentagon Tubuh Pasukan Khas Siasat 144 Penampakan UFO, Berpotensi Cetuskan Bahaya.


Sebanyak 24 video penampakan UFO yang disembunyikan daripada orang awam. - Foto Getty Images.

Jumaat, 9 September 2022

Cahaya misteri muncul di langit Texas bukan kapal makhluk asing, kata pakar

Cahaya misteri muncul di langit Texas bukan kapal makhluk asing, kata pakar


Satu kumpulan cahaya misteri telah dikesan pada malam Khamis, 1 September 2002 lalu di utara Austin Texas, Amerika Syarikat. Rakaman tentang cahaya misteri itu dihantar ke laman berita FOX 7 oleh seorang penduduk, Gus McGiven.


Dia keluar berjalan dengan rakannya, Kyle Gomez berhampiran Cat Hallow di Round Rock ketika mereka menyaksikan kumpulan cahaya misteri tersebut.


"Dalam kehidupan sebenar apabila anda melihatnya, ia jauh lebih cerah daripada yang sebenarnya," kata Kyle Gomez seperti dilaporkan Fox 7.


Seorang lagi penduduk, Emily White berkata, dia dan seorang rakan berada berhampiran Brushy Creek, berhampiran dengan Taman Cedar juga merakamkan kumpulan cahaya tersebut.


"Ia memukau, secara jujur. Ia sangat senyap kerana jika ia adalah satu (kumpulan) cahaya, maka saya mungkin akan berfikir (ia) adalah helikopter, kapal terbang atau sesuatu seperti itu," kata White, yang bercakap dengan Rudy Koski dari FOX 7.


Bagaimanapun, kumpulan cahaya misteri itu kemungkinan sejenis pesawat tanpa pemandu atau UAV.


"Saya tidak pernah percaya pada UFO atau apa-apa seperti itu. UFO sebenarnya mungkin adalah UAV.


"Saya perlu mengatakan bahawa tiada makhluk luar angkasa yang terlibat dengan kejadian ini, tetapi saya tidak mengatakan bahawa itu tidak mungkin," kata seorang pakar dron, Gene Robinson.


Robinson yang tinggal di Wimberley, melatih juruterbang dron dan menerbangkan beberapa jenis platform UAV telah meneliti video yang dihantar kepada Fox 7.


"Pandangan awal saya mengenai perkara ini ialah kemungkinan besar ia adalah fenomena berasaskan dron," kata Robinson. - Sumber Fox 7 Austin.


Kumpulan cahaya misteri dilihat di utara Texas pada Khamis lalu. - Foto Twitter.

Rabu, 31 Ogos 2022

NASA hantar lukisan bogel manusia ke angkasa, tarik perhatian makhluk asing datang ke Bumi

NASA hantar lukisan bogel manusia ke angkasa, tarik perhatian makhluk asing datang ke Bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bercadang untuk menghantar foto dua orang berbogel ke angkasa lepas, dengan harapan untuk menarik perhatian kehidupan dari planet lain datang ke Bumi, lapor akhbar Daily Star.


"Walaupun manusia telah cuba menghubungi kehidupan makhluk asing selama lebih daripada 150 tahun, setakat ini tiada satu pun percubaan kami berjaya.


"Projek 'Beacon in the Galaxy' (BITG) bertujuan untuk menghantar mesej kepada tamadun lain di angkasa yang menjemput mereka untuk datang dan bercakap dengan kami," kata agensi itu.


NASA merancang untuk membuat hubungan komunikasi dengan makhluk asing dengan menghantar imej manusia pasangan lelaki dan perempuan melambai tangan. Ia diharapkan dapat menawarkan pendekatan yang mesra.


Namun begitu, lakaran manusia itu tidak akan sempurna seperti biasa kerana ia hanya dilukis berdasarkan anatomi asal tubuh manusia atau dalam erti lain, gambaran bogel.


Sebab saintis memilih imej ini adalah kerana cabaran berkomunikasi dengan spesies yang mungkin mempunyai bentuk bahasa yang sama sekali berbeza dengan manusia.


Pakar percaya bahawa lakaran bogel adalah bersifat kod binari dan mungkin lebih senang untuk difahami oleh makhluk asing.


"Walaupun konsep matematik dalam istilah manusia berpotensi tidak dapat dikenali oleh makhluk asing, kod binari berkemungkinan bersifat universal merentas semua kecerdasan," kata kajian itu. 


NASA sebelum ini telah menghantar gambaran manusia bogel ke angkasa lepas untuk mencuba dan menarik perhatian makhluk asing. - Sumber Daily Star.


Ini adalah gambar yang ingin dihantar oleh NASA. Lakaran lukisan manusia bogel dikatakan bersifat lebih universal dan difahami oleh makhluk asing. - Foto Jonathan H Jiang.